Jenis-jenis Penyelidikan Pendidikan

Dipetik daripada Modul PSV3113

Tajuk ini mengandungi dua bahagian. Dalam bahagian pertama, anda akan mempelajari tentang jenis-jenis penyelidikan dalam pendidikan. Jenis-jenis penyelidikan yang akan dibincangkan ialah penyelidikan asas, gunaan, tindakan dan penilaian. Dalam bahagian kedua, anda akan mempelajari
tentang reka bentuk penyelidikan dalam pendidikan yang dibahagikan kepada dua iaitu reka bentuk penyelidikan kuantitatif dan kualitatif.

Jenis jenis Penyelidikan


Jenis Penyelidikan
Terdapat empat jenis penyelidikan iaitu penyelidikan asas, penyelidikan gunaan, penyelidikan tindakan dan penyelidikan penilaian. Huraian di bawah menerangkan setiap daripada penyelidikan tersebut.

Penyelidikan Asas
Penyelidikan asas merupakan suatu penyelidikan yang berasaskan kepada penyiasatan dan analisis yang berfokuskan kepada kefahaman sesuatu subjek, fenomena atau keadaan semula jadi tetapi tidak memerlukan rawatan ataupun penyelesaian. Pada amnya, penyelidikan asas adalah untuk memperluaskan pengetahuan sedia ada serta menambahkan maklumat mengenai masalah yang hendak dikaji dan ianya dijalankan sebelum menjalankan kajian selanjutnya (Rosinah, 2011).

Penyelidikan Gunaan
Penyelidikan gunaan merupakan penyelidikan yang digunakan untuk menyelesaikan masalah yang lebih praktikal. Ianya bukan digunakan untuk tujuan menambah ilmu pengetahuan tetapi lebih kepada menyelesaikan situasi kemanusian (human condition). Penyelidikan gunaan dijalankan unuk
menerokai dan mengenalpasti masalah bagi tujuan merancang strategi dan tindakan untuk menyelesaikan masalah berkenaan (Rosinah,2011).
Sebagai contoh penyelidikan gunaan mengkaji cara-cara:
- memperbaiki pengeluaran tanaman
- merawat penyakit
- menambahbaik kecekapan penggunaan tenaga di rumah, pejabat atau pengangkutan.

Penyelidikan Tindakan

Definisi
Penyelidikan tindakan telah mendapat tempat yang baik dalam bidang pendidikan terutamanya dalam konteks perkembangan profesionalisme dan pembuat keputusan berasaskan data (Othman, 2011). Ia biasanya digunakan untuk menyelesaikan masalah sosial (organisasi) atau pun fenomena dalam
jangka masa yang singkat (Lewin, 1964); ini termasuklah bidang-bidang seperti bidang perubatan, keselamatan, pendidikan dan sebagainya.

Tujuan melakukan penyelidikan tindakan adalah untuk memperbaiki kualiti sesuatu amalan bagi pengamal atau pun individu yang terlibat dengan situasi sosial berkenaan bagi memperbaiki kefahamannya tentang sesuatu peristiwa, situasi dan masalah agar keberkesanan amalan dapat diperbaiki (Chua, 2006). Banyak definisi tentang penyelidikan telah dikemukakan oleh ahli-ahli
penyelidikan tindakan. Antaranya:

Elliot dan Adelman (1976 , seperti dinyatakan dalam Chua, 2006) telah mendefinisikan penyelidikan tindakan sebagai satu pendekatan penyelidikan yang berusaha mempertingkatkan mutu profesionalisme para pendidik dengan cara menyelidik situasi sosial di organisasi pendidikan, dan tujuan penyelidikan tindakan ialah untuk memperbaiki kualiti amalan harian. Manakala Ebutt (seperti dinyatakan dalam Chua, 2006) pula mendefinisikan penyelidikan tindakan sebagai suatu penyelidikan yang dibuat oleh individu atau golongan yang merupakan pengamal kepada amalan harian dalam
suatu sosial atau fenomena.
Kurt Lewin (1947) mendefinisikan penyelidikan tindakan sebagai suatu proses lingkaran tiga-langkah iaitu (1) perancangan yang melibatkan tinjauan; (2) mengambil tindakan; dan (3) pencarian fakta tentang keputusan daripada tindakan yang dibuat (Othman, 2011).

Stephen Corey (seperti dinyatakan dalam Othman, 2011) pula mendefinisikan penyelidikan tindakan sebagai usaha yang dilakukan oleh pengamal untuk mengkaji masalah yang dihadapi secara saintifik supaya dapat memberi panduan, membuat pembetulan dan menilai keputusan dan tindakan yang
dilakukan.
Mills (2000, seperti dinyatakan dalam Othman, 2011) berpendapat bahawa kajian tindakan adalah satu inkuiri yang dijalankan secara sistematik oleh guru, guru besar atau pengetua, guru-guru pembimbing atau guru lain yang berkepentingan dalam suasana pengajaran/perkembangan pelajar bagi mengumpulkan maklumat tentang perjalanan sekolah mereka, bagaimana pengajaran dibuat dan bagaimana pelajar belajar.
Walaupun berbagai definisi telah diberikan, secara umumnya ahli-ahli penyelidikan tindakan bersetuju bahawa penyelidikan tindakan adalah satu kajian inkuiri di mana pengkaji perlu membuat perbincangan, refleksi dan membuat keputusan ke arah tindakan yang baru sama ada mengaplikasikan penemuan baru atau pun mendefinisikan semula masalah.

Model Penyelidikan Tindakan
Terdapat beberapa model penyelidikan tindakan yang dicadangkan oleh para penyelidik yang dapat membantu guru untuk menjalankan kajian di bilik darjah. Dua model dibincangkan di bawah iaitu Model Kemmis dan McTaggart (1988) dan Model Spiral Kajian Tindakan Kemmis yang dikembangkan daripada Model Kemmis dan McTaggart.


Model Kemmis dan McTaggart (1988)

Model Spiral Kajian Tindakan Kemmis


Berdasarkan pada kedua-dua model di atas, kajian tindakan adalah merupakan satu proses berulangan iaitu kajian yang berterusan ke atas amalan sosial dan penyelidik membuat refleksi tentang tindakannya dalam kitaran pertama sebelum kitaran kedua bermula sama ada tindakannya telah
mengubah keadaan semasa atau pun tidak (Chua, 2006). Proses kajian tindakan akan diulang semula jika didapati perlu berbuat demikian dengan memilih tindakan lain yang dapat membantu menyelesaikan masalah sosial berkenaan. Ini akan dilakukan dalam kitaran kajian tindakan selanjutnya.

Penyelidikan Penilaian
Penyelidikan penilaian merupakan suatu bentuk penyelidikan untuk mengkaji kesan atau hasil daripada sesuatu program atau pun intervensi sosial. (Rosinah, 2011). Sering kali tujuan penyelidikan penilaian adalah untuk penambahbaikan program atau intervensi.

Reka Bentuk Penyelidikan
Terdapat dua reka bentuk penyelidikan yang utama iaitu penyelidikan kuantitatif dan kualitatif. Contoh penyelidikan kuantitatif ialah penyelidikan eksperimental, kuasi-eksperimental, tinjauan dan korelasi manakala contohpenyelidikan kualitatif pula ialah penyelidikan etnografi, kajian kes dan bersejarah.

Penyelidikan Kuantitatif
Istilah kuantiti bermaksud bilangan atau banyak. Kuantiti juga merujuk kepada bilangan yang diskrit. Berdasarkan kepada istilah ini, penyelidikan kuantitatif adalah dikaitkan dengan data berangka dan ketepatan. Data yang dipungut dalam penyelidikan kuantitatif adalah dianalisis dengan ujian statistik dan masalah kajian dinyatakan dalam bentuk hipotesis (Chua,2006). Pembolehubah dalam penyelidikan kuantitatif dioperasionalkan sebelum diukur dan ianya perlu mendapat kesahan dan kebolehpercayaan terlebih dahulu. Berikut ialah huraian bagi empat reka bentuk penyelidikan kuantitatif yang di adaptasi daripada Chua (2006).

Eksperimental
Reka bentuk kajian eksperimental merupakan reka bentuk kajian perbandingan antara kumpulan-kumpulan yang paling baik iaitu kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Dalam reka bentuk ini kumpulan-kumpulan diagihkan secara rawak dan responden mempunyai ciri-ciri yang sama.
Terdapat lima reka bentuk kajian eksperimental yang sering digunakan dalam penyelidikan kuantitatif iaitu:
i reka bentuk ujian pasca
ii reka bentuk pra-pasca
iii reka bentuk empat kumpulan Solomon
iv reka bentuk penukar-gantian
v reka bentuk faktorial

Kuasi-eksperimental
Reka bentuk kuasi-eksperimental digunakan untuk menggan tikan reka bentuk eksperimental apabila responden tidak dapat diagihkan secara rawak. Ia adalah suatu kajian yang digunakan untuk menilai keberkesanan sesuatu PSV3113 Penyelidikan Tindakan I program. Terdapat tiga reka bentuk kajian kuasi-eksperimental yang sering digunakan dalam penyelidikan kuantitatif iaitu: i reka bentuk ujian pra-pasca kumpulan - kumpulan tidak seimbang ii reka bentuk regresi tidak bersambungan
iii reka bentuk siri masa.

Tinjauan
Kajian tinjauan adalah salah satu kaedah penyelidikan kuantitatif yang paling popular dalam kajian sains sosial. Kaedah ini banyak digunakan oleh berbagai pihak untuk meninjau keberkesanan sesuatu produk atau pun meninjau pandangan orang ramai mengenai sesuatu isu seperti majalah, televisyen dan sebagainya. Reka bentuk kajian tinjauan boleh digunakan dalam semua bidang termasuk pendidikan, keselamatan, sosial, psikologi, kesihatan dan sebagainya. Maklumat daripada kajian tinjauan boleh diperoleh terus daripada subjek kajian dan ianya sesuai digunakan untuk menghurai fenomena yang diminati oleh pengkaji. Reka bentuk kajian ini juga boleh meramalkan isu masyarakat
semasa yang timbul.

Dalam kajian tinjauan, penyelidik biasanya akan memilih responden daripada satu populasi secara rawak. Proses dan langkah-langkah yang perlu diambil kira adalah:
i menyatakan tujuan kajian
ii mengenal pasti sumber yang diperlukan
iii mengenalpasti populasi sasaran
iv menentukan saiz sampel
v menentukan kaedah kajian tinjauan
vi menyediakan instrumen kajian
vii menganalisis data kajian
viii membuat generalisasi hasil kajian.

Korelasi
Reka bentuk korelasi merupakan kajian untuk menentukan perhubungan antara variabel. Contohnya, penyelidik ingin menentukan perhubungan antara prestasi murid dan kepimpinan transformasional guru besar. Reka bentuk korelasi terbahagi kepada dua iaitu korelasi positif dan korelasi negatif. Korelasi positif bermaksud semakin guru besar mengamalkan kepimpinan transformasional, prestasi murid semakin meningkat. Di seblaiknya, korelasi negatif bermaksud semakin guru besar tidak
mengamalkan kepimpinan transformasional, prestasi murid semakin meningkat.

Penyelidikan Kualitatif
Pendekatan kualitatif adalah kaedah penyelidikan yang lebih kepada mengkaji sesuatu fenomena/situasi dalam konteks sebenar (natural setting) atau semula jadi. Ianya menggunakan kaedah inkuiri yang bukan bersifat statistikal (Chua,2006). Penyelidikan kualitatif dilakukan untuk mendapat kefahaman yang mendalam tentang sikap, emosi, kepercayaan, tingkah laku individu atau sekumpulan individu. Penyelidikan kualiatif telah mula mendapat tempat dalam kalangan penyelidik di Malaysia. Ianya lebih memfokuskan kepada manusia. Manusia secara individu dan kolektif
membentuk, mengubahsuai, menginterpretasi dan membina makna pada alam sekeliling mereka (Lim, 2011).
Pendekatan kualitatif menggunakan kaedah penyiasatan untuk menjawab persoalan kajian ‘mengapa’ dan ‘bagaimana’. Antara reka bentuk kajian kualitatif ialah:

Kajian etnografi
Reka bentuk ini merupakan kajian tentang peristiwa dan budaya sesebuah masyarakat. Reka bentuk ini merujuk kepada interaksi antara individu dalam konteks sosiobudaya, kepercayaan serta amalan mereka. Tujuan kajian ini adalah untuk mempelajari dan memahami dengan mendalam sesuatu
fenomena/situasi atau pun budaya sesebuah masyarakat. Pengumpulan data boleh diperoleh melalui pemerhatian, temu bual, soal selidik dan sebagainya (Akhiar & Shamsina, 2011). Contoh kajian etnografi ialah kajian tentang faktor-faktor yang mempengaruhi prestasi cemerlang mata pelajaran Matematik bagi murid-murid Cina.

Kajian kes
Reka bentuk kajian kes merupakan kajian deskriptif secara menyeluruh. Kajian ini dibuat secara terperinci dan intensif ke atas satu unit kecil sosial seperti sekumpulan murid yang ponteng kelas Matematik di sekolah. Reka bentuk kajian kes adalah juga suatu kajian yang terbatas ataupun mempunyai sempadan. Kelebihan kajian kes ialah penyelidik mampu mendapat maklumat secara mendalam, terperinci serta menyeluruh mengenai sesuatu kes (Akhiar & Shamsina, 2011)

Kajian sejarah
Reka bentuk kajian ini merupakan kaedah kajian yang dilakukan melalui pengumpulan data secara sistematik dan penilaian data-data secara objektif terhadap peristiwa yang telah berlaku pada masa lepas (Chua,2006). Tujuan menjalankan kajian sejarah adalah untuk menghuraikan peristiwa lampau
supaya ramalan tentang peristiwa masa depan dapat dilakukan. Reka bentuk kajian ini tidak memanipulasikan atau mengawal variabel. Penyelidik yang menjalankan kajian ini harus tidak membenarkan emosinya mempengaruhi dirinya supaya penyelidik dapat membuat kesimpulan yang adil dan tidak berat sebelah (Chua,2006).

Kesemua reka bentuk kajian kualitatif ini mempunyai ciri-ciri yang sama iaitu:
i     penyelidikan dijalankan dalam persekitaran semula jadi
ii    berbilang realiti sosial
iii   realiti sosial tertambat kepada konteks
iv   kepentingan niat
v    mengkaji kes
vi   mementingkan “makna”
vii tumpuan pada tindakan
viii mengkaji secara holistik
ix  teori berpaksikan logik induktif
x   kefleksibelan reka bentuk
xi  kesukaran pereplikaan
xii penyelidik sebagai instrumen kajian
xiii penglibatan penyelidik secara peribadi
xiv nilai adalah sebahagian daripada inkuiri
xv fokus pada proses
xvi bentuk data
xvii pendekatan menganalisis data

1 comment:

Unknown said...

good information... tq