Alam Fauna dan Flora

Fenomena Alam

EDUP3053 Teknologi Pengajaran & Pembelajaran

Sudut Agama dan Moral

Halaman Kesihatan

Halaman Pertanian

Halaman Pendidikan Seni Visual

Sudut Hiburan & Rekreasi

Konsep Asas Dalam Pendidikan Moral


KONSEP ASAS DALAM PENDIDIKAN MORAL

(Adaptasi; Prof. Madya Dr. Chang Lee Hoon)
Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya



1. PENDAHULUAN
Konsep asas berkaitan dengan pendidikan moral telahpun dikaji oleh ahli-ahli
antropologi, falsafah, psikologi dan sosiologi. Secara amnya, pengajian falsafah tentang
moral ataupun disebutkan sebagai falsafah moral atau etika telah memberikan kita sebab dan pengertian tentang andaian dan idea mengenai tindakan yang dianggap baik dan patut dilakukan oleh seseorang individu dalam hidupnya serta dalam hubungan antara individu.Pengajian psikologi tentang moral yang juga disebutkan sebagai psikologi moral telah meluaskan kefahaman kita tentang tingkah laku dan perkembangan kapasiti manusia untuk membuat pertimbangan moral sebagai agen moral yang bertanggungjawab.Pengajian sosiologi tentang moral pula menyumbangkan kepada pengetahuan kita terhadap tindakan sosial individu terhadap orang lain dalam institusi sosial. Sumbangan yang meluas dan mendalam daripada pelbagai bidang ilmu ini telah memberikan sesuatu asas kepada pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral. Sebagai satu titik permulaan untuk membimbing kita sebagai pendidik Pendidikan Moral, kertas ini akan membincangkan beberapa konsep asas yang dianggapkan penting dan relevan dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Moral di dalam kelas.

2. DOMAIN MORAL/ETIKA
Domain moral/etika memberi tumpuan kepada nilai normatif yang dianggapkan baik, benar betul dan patut sepertimana yang diwajarkan dalam perwatakan seseorang individu dan hubungan antara individu (Frankena, 1973; Abdul Rahman Md. Aroff, 1999). Domain moral/etika melibatkan pertimbangan nilai dalam bentuk pernyataan normatif dan ini adalah berbeza daripada pernyataan deskriptif yang merujuk kepada penilaian fakta. Namun begitu, bukan semua pernyataan normatif melibatkan soal moral atau etika.

Ada juga pernyataan normatif yang melibatkan domain nilai yang lain seperti aestetika, agama, adat/tradisi dan undang-undang. Lihat pernyataan yang berikut serta ulasan tentang perbezaan antara pernyataan normatif
dan deskriptif :

(1) Lukisan itu sangat cantik. (pernyataan normatif yang melibatkan soal estetika)

(2) Manusia memerlukan tiga keperluan yang asas. (pernyataan deskriptif yang melibatkan fakta atau empirikal)

(3) Mengikut agama, adalah berdosa jika kita berbohong. (pernyataan normatif yang melibatkan soal agama)

(4) Menanggalkan kasut di luar sebelum masuk ke dalam rumah adalah amalan budaya Malaysia. (pernyataan normatif yang melibatkan soal adat/tradisi yang diamalkan dalam budaya Malaysia.

(5) Menurut undang-undang jalan raya, dia patut berhenti apabila lampu isyarat bertanda merah (pernyataan normatif yang melibatkan soal
undang-undang)

(6) Dia patut berhenti apabila lampu isyarat bertanda merah kerana kegagalan melakukannya akan membahayakan nyawa diri dan pengguna jalan raya yang lain (pernyataan normatif yang melibatkan moral atau etika)

No comments:

Post a Comment