Alam Fauna dan Flora

Fenomena Alam

EDUP3053 Teknologi Pengajaran & Pembelajaran

Sudut Agama dan Moral

Halaman Kesihatan

Halaman Pertanian

Halaman Pendidikan Seni Visual

Sudut Hiburan & Rekreasi

Ukiran Kayu

Seni ukiran kayu adalah seni kraftangan yang telah lama wujud di kalangan masyarakat Melayu. Walau bagaimanapun agak sukar untuk melihat catatan untuk mengetahui sejarah awal ukiran kayu. Apa yang dapat disandarkan ialah melalui penemuan-penemuan sumber primer zaman batu Neolitik di Asia Tenggara mengenai ukiran-ukiran yang terdapat pada  belanga, gelang, kendi dan pinggan mangkuk yang dapat disimpulkan bahawa adanya pengukir-pengukir handal telah wujud pada zaman itu. Demikian juga catatan karya sastera Sejarah Melayu atau Sulalatus Salatin oleh Tun Sri Lanang yang ditulis pada abad ke 17 mengesahkan keindahan seni bina istana Sultan Mansur Syah yang memerintah Melaka pada tahun 1459 hingga tahun 1477. Satu lagi catatan silam mengenai seni bina ialah Hikayat Misa Melayu. Dalam hikayat itu digambarkan mengenai seni ukir di istana yang terletak di Pulau Indera Sakti, sebuah tempat di Kuala Sungai Kinta, Perak Darul Ridzuan semasa pemerintahan Sultan Iskandar Zulkarnain (1756 - 1780). Menunjukkan seni ukir di negara ini telah pun berkembang lebih awal lagi daripada catatan Tun Sri Lanang, namun tidak ada catatan khusus mengenainya.
Pengertian seni menurut Sidi Gazalba ialah sebagai usaha untuk mencipta sesuatu bentuk yang menyenangkan (Sidi Gazalba, 1977). Seni yang menyenangkan boleh menyumbang kepada penghayatan yang mempunyai hubungkait antara karya dan pelihat (Read 1959).
Dalam tulisan Collingwood yang berjudul, Theory of Arr As a Psychological Stimulus yang dirujuk dalam Werhane (1984), menyatakan bahawa hasil seni ialah artifak yang dihasilkan
“to arouse certain States of mind in his audience” “to arouse of certain kind of emotion', to stimulate certain intelectual activities and to stimulate a certain kind of action”
Mengikut teori seni yang dikemukakan oleh Mohamed Najib (1995) pula,karya seni kreatif yang melibatkan seniman, merupakan kerja yang harus melalui beberapa tahap dan proses pengkaryaan yang bertitik tolak daripada penggunaan akal yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada manusia.
Seni ukiran menurut istilah dewan bahasa, merupakan satu proses menorah, menggores, dan memahat dengan menggunakan pahat untuk membuat reka bentuk pada kayu atau barang perhiasan dan lain-lain. Manakala kraf tradisional pula boleh didefinisikan sebagai perusahaan (kerja seni) yang melibatkan kemahiran kerja tangan yang memerlukan daya cipta oleh masyarakat yang diwarisi turun-temurun. Kesimpulannya, ukiran kayu tradisional Melayu adalah kerja mengukir atau menggores kayu mengikut reka corak yang tertentu dengan menggunakan alatan seperti pahat, pisau, dan sebagainya berdasarkan corak kesenian Melayu yang diwarisi turun temurun. Usaha kerja mengukir merupakan satu cara penghayatan, pernyataan seni emosi pengukir dan daya cipta dalam bentuk tampak terhadap beraneka benda serta berfungsi terhadap penggunaannya pada masyarakat.
Dari sudut sejarah, pengaruh hindu sangat memberi kesan terhadap perkembangan budaya di alam Melayu. Ini termasuklah dalam pembentukan sosio-budaya masyarakat Melayu yang bermula sejak abad pertama. Unsur budaya Hindu yang merangkumi kesusasteraan, agama dan kepercayaan seperti telah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat Melayu. Lantaran itu dipercayai bahawa pembangunan kraftangan, terutama ukiran kayu dalam dunia Melayu, dipengaruhi juga oleh kebudayaan Hindu. (Siti Zainon, 1986).
Sebelum kedatangan Islam ke Tanah Melayu, kepercayaan terhadap animisme sangat meluas dan menjadi anutan kepada masyarakat pada masa itu dan secara tidak langsung ia telah meresap ke atas seni ukiran . Motif yang digunakan pada masa itu lebih kepada figura dan juga binatang. Apabila Islam mula memasuki Tanah Melayu, ajaran Islam mula meresapi pemikiran masyarakat pada masa itu dan secara tidak langsung Islam melarang penggunaan motif-motif figura dan binatang yang sememangnya bertentangan dengan akidah Islam. Islam
menganjurkan penggunaan motif bunga-bungaan, tumbuh-tumbuhan, geometri dan kaligrafi sebagai menggantikan apa yang telah dipraktikkan selama ini.
Perkembangan seterusnya peradaban Melayu ialah melalui proses asimilasi budaya dan kepercayaan agama dari Hindu kepada Islam telah memberi kesan berpanjangan hingga kini. Amalan ritual dalam beberapa upacara khususnya yang bersangkut paut dengan apa yang dikatakan amalan tradisional pada sesetangahnya masih dalam proses penyesuaian. Antara amalan khurafat dan kesetiaan kepada warisan. Proses Islamisasi dalam amalan terlihat pada bacaan dan jampi serapah yang menggunakan kalimah Islam bertepatan dengan pernyataan betapa eratnya kehidupan masyarakat Melayu dengan kepercayaan Islam.
Pada asalnya, ukiran kayu dihasilkan hanya untuk tujuan rekreasi sahaja. Keadaan- bertukar apabila ukiran kayu diberikan satu tempat yang khas di istana. Berbakat dan berkemahiran tinggi dalam kegiatan mengukir biasanya ditentukan apabila ia mendapat tempat di istana sebagai "Royal Artists (Seniman diraja)". Hasilnya, pengukir kayu tradisional yang mulanya mengukir berkonsepkan lambang dan budaya masyarakat Melayu telah mendapat kedudukan khas di istana. Zaman Keemasan kayu Melayu tradisional ukiran bermula apabila sultan dan bangsawan menjadi penaung dan pemilik seni. Kecemerlangan seni ukiran kayu Melayu bermula apabila kumpulan ini dinaikkan status pekerja-pekerja mahir sebagai artis-artis istana (Mohd. Affandi Hassan, 1992).
Ukiran yang dihasilkan untuk istana biasanya menekankan sejumlah rekaan termasuklah aspek keindahan dan makna. Dari segi estetik, kesenian ukiran biasanya menekankan nilai artistik dan simbol status istana, manakala tentang makna, perhatian difokuskan pada makna tersembunyi dan jelas dalam menghasilkan ukiran kayu. Motif dan corak dirancang khusus untuk istana secara tidak langsung mempunyai kepentingan dan falsafahnya sendiri yang mana membezakan golongan pemerintah dari orang biasa. Jelas seni ukiran kayu merupakan hasil seni rupa tradisi Melayu yang memiliki bentuk ukiran yang memaparkan keunikan, kelembutan dan kehalusan hasil kerja tangan pengukir dan kematangan seni ukiran turun temurun masyarakat Melayu. Ini dapat dilihat pada ukiran- ukiran yang terdapat di istana dan rumah-rumah kediaman masyarakat Melayu dahulu kala.
Salah satu daripada ciri yang menarik pada seni bina rumah tradisi di Malaysia ialah seni ukiran kayu.  Hasil ukiran kayu Melayu terutamanya ukiran pada papan banyak menghiasi beberapa bahagian rumah Melayu tradisi dan juga dalam masjid-masjid di Semenanjung Malaysia.  Mereka yang pakar dalam seni ukiran kayu menyatakan bahawa reka bentuk ukiran kayu untuk dinding pintu, tingkap, pemidang, almari atau meja dihasil menggunakan dua teknik asas iaitu ukiran tebuk dan ukiran timbul.
Proses mereka motif ukiran kayu biasanya melibatkan beberapa proses seperti memilih, memasang dan menyusun motif-motif reka bentuk berdasarkan falsafah ukiran kayu Melayu. Proses ini ditemui dalam konsep awan larat.
tumbuh berpunca
punca penuh rahsia
tajam tidak menujah lawan
melilit tidak memaut kawan
tetapi melingkar penuh mesra
(petikan dari Asas Ukiran Melayu, Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan Belia dan
Sukan Malaysia, 1982)
Konsep  awan larat lazimnya menekankan satu daripada pergerakan yang tetap itu
berasal dari satu sumber misteri, yang dengan perlahan dan secara semula jadi bersatu dalam
keseimbangan dan keharmonian. Motif-motif reka bentuk yang ditonjolkan memberi pengertian tentang kesederhanaan, kurang ditonjolkan tetapi sebaliknya membawa makna tentang idea kerendahan hati. Sebaliknya, corak-corak halus menggambarkan unsur pengulangan, merujuk kepada zikir iaitu penyucian jiwa dan rohani.






Gambar 1: Ukiran Kayu
Awan Larat Melayu Asli



Ukiran kayu biasa juga ditemui pada ukiran panel. Ukiran panel adalah dinding kayu yang terdapat pada senibina rumah tradisional yang merupakan hiasan dua dimensi. Ukiran panel ini mempunyai panjang dan lebar yang pelbagai dan ketebalan yang seragam mengikut ketebalan dinding.Panel ini diukir dengan teknik tebuk tembus atau tebuk timbul. Teknik ukiran kedua-duanya boleh dikemaskan dengan silatan ukir seperti silat belah rotan, silat sodok, silat bunuh juring dan sebagainya.







Gambar 2:
Ukiran Panel



Permulaan reka bentuk ukiran disebut punca dan dari punca inilah gubahan ukiran akan keluar dalam bentuk lingkaran hingga memenuhi ruangan panel yang hendak di ukir. Punca ukiran ini adalah benih umpama semua yang bernyawa bermula dengan benih baik tumbuhan, haiwan ataupun manusia. Panel ukir ini berfungsi tidak hanya sebagai hiasan kepada dinding rumah tetapi mengandungi makna yang lebih daripada itu. Panel ukir ini ibarat gunungan atau pohon budi atau pohon hayat pada persembahan wayang kulit yang membawa lambang kehidupan seperti juga tree of life dalam banyak budaya lain di dunia. Ini adalah kerana motif yang dihasilkan walaupun tumbuhan asasnya, tetapi bukanlah suatu pohon sebenar yang boleh dilihat di dalam alam semulajadi. Ia adalah suatu perlambangan yang membawa maksud tentang kewujudan pencipta alam ini yang maha berkuasa dan maha agung.



Gambar 3:
Ukiran Motif Awan Larat




Lazimnya motif awan larat direka dengan teliti berdasarkan beberapa kriteria.  Penggunaannya di satu komposisi dikawal oleh empat prinsip. Prinsip pertama, elemen reka bentuk mesti dibahagikan sama rata dalam komposisi. Kedua, ruang kosong atau ruang yang tidak diliputi sepatutnya sama dengan ruang berukir. Ketiga, haiwan atau manusia tidak seharusnya di-gambarkan dan keempat, apabila terdapat satu motif pusat, elemen reka bentuk  sekunder  yang lain akan diulangi di sekitarnya. Selain awan larat, unsur-unsur  lain yang berpengaruh  termasuk ayat-ayat suci dari Al-Quran dan tumbuhan seperti sulur paut kacang, dan  daun  kiambang.
Setiap ukiran yang dihasilkan adalah bersumberkan inspirasi alam dengan mematuhi prinsip-prinsip kesenian Islam bahkan pengutaraan motif ukiran kayu tradisional Melayu itu sendiri sangat berkait dengan falsafah Islam. Enam prinsip keindahan ukiran kayu Melayu tradisional merujuk kepada idea kelembutan (flexibility), kehalusan (refinement) keseimbangan (balance), kesatuan (unity) berguna (functionality) dan perlambangan (symbolism).
Nilai estetika yang dihasilkan dalam kraf orang Melayu ini adalah berkaitan halus, berguna, bersatu, berlawan dan prinsip berlambang supaya penghasilannya dapat memberi kepuasan kepada pereka dan penghayat kraf atau seni. Dari segi kehalusan sesuatu seni yang dihasilkan oleh orang Melayu melibatkan cara pembuatan teliti dan bahan yang sesuai dari segi kegunaan.
Penghasilan seni yang berguna pula, melibatkan hasil seni yang memenuhi fungsi yang bukan hanya indah dipandang, malah selesa dipegang. Prinsip bersatu pula bermaksud sesuatu hasil seni tidak berakhir dan berhujung, iaitu motif yang dihasilkan dikaitkan dengan satu bahagian dengan bahagian lain yang boleh mengajak mata menerokai bahagian dalaman. Berkaitan dengan prinsip bersatu, lingkaran belit ialah perkara yang berkaitan dengan prinsip menyatukan, manakala prinsip berlawan merujuk kepada adanya pertentangan yang terkawal di antara dua bahagian. Akhir sekali, prinsip berlambang adalah sesuatu seni yang berkaitan dengan hiasan kerana hiasan merupakan lambang keindahan dan kecantikan yang mempunyai hubung kait antara isi dan bentuk
Prinsip-prinsip keindahan ukiran kayu tradisional tersebut mengandungi elemen-elemen syariat sebagai tanda kepatuhan dan kesetiaan kepada Yang Maha Esa. Lima Prinsip Kesenian yang dimaksudkan ialah:
1. Mengangkat martabat insan dengan tidak meninggalkan nilai-nilai kemanusiaan dan nilai-nilai persekitran dan sejagat. Alam sekitar gelerinya dan manusia menjadi seniman yang menggarap segala unsur kesenian untuk tunduk serta patuh kepada keredaan NYA.
2. Mementingkan persoalan akhlak dan kebenaran yg menyentuh aspek-aspek estatika, kemanusiaan, moral dan lain2 lagi.
3. Kesenian Islam menghubungkan keindahan sebagai nilai yang tergantung kpd keseluruhan kesahihan Islam itu sendiri. Menurut Islam kesenian yang mempunyai nilai tertinggi ialah yang mendorong ke arah ketaqwaan, kemakrufan, kesahihan dan budi yang mantap.
4. Kesenian Islam terpancar dari wahyu Allah, sama seperti undang2 dan syariat. Setiap penciptaan karya harus berada di bawah linkungan dan peraturan wahyu. Ini membezakan kesenian Islam dan kesenian bukan Islam.
5. Kesenian Islam menghubungkan manusia dengan Allah, alam sekitar dan sesama manusia serta makhluk lain.
Sejak kedatangan Islam, motif-motif  atau gaya arabes telah menjadi ikutan kerana ianya tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Gaya arabes telah diperkenalkan apabila Islam melarang corak berdasarkan figura seperti manusia dan haiwan. Dari perspektif falsafah penciptaan, motif dihasilkan untuk tujuan-tujuan hiasan dan pada masa yang sama untuk tujuan tauhid. Dalam hal ini, Islam telah menjadi sumber penting dalam membangunkan satu perhubungan antara manusia dan pencipta dalam satu bentuk abstrak dan pada masa yang sama mencipta nilai estetik (Ismail Kata & Ahmad sifudin Abdullah, 2001).
Pengaruh Islam dalam masyarakat Melayu di Malaysia telah berjaya dalam menentu atau mempengaruhi pemilihan motif yang tidak bertentangan nilai-nilai Islam. Dalam satu hal yang lain motif tumbuh-tumbuhan dipilih untuk ukiran kayu disebabkan bahawa tumbuhan tersebut banyak digunakan dalam kehidupan seharian seperti sumber makanan, nilai-nilai berubat dan sebagainya. Kawasan persekitaran yang dikelilingi oleh tumbuh-tumbuhan turut memberi inspirasi dalam mengilhamkan seni ukiran kayu Melayu tradisional.
Tidak dapat disangkal lagi bahawa penciptaan motif-motif berasaskan tumbuhan amat penting dalam ukiran, bagaimanapun, motif-motif hidup yang mana tidak lengkap dan unik (siku keluang dan kuda laut ) motif-motif kosmologi (matahari, bintang, awan dan gunung) juga dihasilkan sebagai satu penghargaan keindahan dan keunikan kehidupan  alam semula jadi. Falsafah asal seni ukiran kayu  iaitu tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam dan lebih kepada konsep pengeluaran dan penghargaan sahaja. Pengaruh Islam dalam masyarakat Melayu juga turut menyumbang kepada penggunaan motif-motif geometri dalam ukiran kayu Melayu.
Mengikut Syed Zulflida (199), konsep estetika Melayu mempunyai kaitan dengan makna tertentu dalam kesenian seni Melayu itu sendiri. Tambah beliau keindahan yang digambarkan oleh orang Melayu ialah apa yang dialami melalui pengalaman dan pemerhatian pada alam sekeliling seperti buah, ranting, akar, hutan, pokok, bunga, haiwan, kampung, daun, dahan, alam dan istana. Beliau telah mengulas kesenian Melayu berdasarkan ungkapan pantun berikut:
                                                   Buah langsat kuning mencelah,
Senduduk tidak berbunga lagi,
                                                   Sudah dapat gading bertuah,
                                                  Tanduk tidak berguna lagi.
















Motif-motif ini adalah penghayatan pengukir tentang apa yang diperhatikan sekeliling mereka dengan panduan kepercayaan dan agama. Jelas di sini agama Islam menjadi asas pembentukan jiwa dan tercetuslah ilham rupa seni ukir kayu daripadanya. Jenis tumbuhan yang diilhamkan termasuklah tumbuhan rumput rampai, tumbuhan di air, tanaman herba dan ulam-ulaman, bunga-bungaan dan pohon buah-buahan Motif tumbuhan menggabungkan unsur-unsur pokok seperti punca, batang, sulur daun, putik, bunga, dan buah. Walau bagaimana pun karya tumbuhan yang terhasil bukanlah seperti asli tumbuhan yang boleh diperolehi dari alam sekitar pengukir. Ini adalah kerana jika diteliti pohon ciptaan ini berlainan dengan pohon yang asli. Dalam satu pohon tersebut digabungkan dua atau tiga unsur/elemen dari pohon lain menjadi satu. Ini bertujuan supaya ciptaan pengukir itu tidak serupa dengan apa yang diperolehi dalam alam semula jadi. Pegangan, asas, prinsip dan panduan ini diselitkan dalam setiap hasil karya ukiran.









Gambar: Sobekan bermotif flora mendominasi bunga ukiran pada komponen bangunan dan kraf di negeri Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan.










Gambar: Ukiran sederhana berupa tatah bakurawang dengan motif bulan penuh, bulan sahiris, bulan bintang, bintang sudut lima, daun jalukap atau daun jaruju




Seni ukiran Melayu melambangkan kemahiran dan kreativiti para pengukir sejak zaman berzaman.
Warisan kita seharusnya dijagai dan di simpan sebaik mungkin agar potensinya tidak terkubur begitu sahaja. Walaupun pelbagai produk telah dikeluarkan oleh pengusaha-pengusaha ukiran, tetapi harus diingat jika tiada yang lama maka tidak akan ada yang baru. Jadi kekalkanlah apa yang ada dan perbaharuilah dengan sempurna agar warisan itu terus kekal dan mekar selamanya. Seni ukiran kayu Melayu melibatkan bahan, tukang dan teknik dalam mengenalinya dengan lebih tepat. Bahan kayu merupakan sumber utama artifak dan barangan masyarakat Melayu kerana sumber kayu yang banyak diperolehi di sekeliling mereka. Mengenali tukang ialah melalui hasil karya kesenian kayu mereka. Amalan, adab, nilai dan etika serta pegangan mereka terserlah melalui air tangan mereka. Barangan kegunaan harian dan senibina Melayu adalah pencerminan masyarakat terhadap persekitaran, semangat, etika dan nilai budaya Melayu.

Bibliografi

A. Aziz Deraman (Disember 1985). Falsafah Kebudayaan Kebangsaan. Dewan Budaya,
hlm. 39-43.
Beardsley, Monroe C. (1966). Aesthetics from Classical Greece to the Present. New
York: The Macmillan Co.

Christie, Archibald H. (1969). Pattern Design. New York: Dover Publications, Inc.

Davis, Marian L. (1990). Visual Design in Dress. Englewood Cliffs, New Jersey:
Prentice Hall, Inc.

Gibson J. (1986). Psychology ofPerception. New York: Cornell University Press.

Kamus Dwibahasa (1979). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa & Pustaka.

Mohamed Najib Ahmad Dawa (1995). The Symbolism of Batik From Kelantan,

Othman Mohd. Yatim (1989). Warisan Kesenian Dalam Tamadun Islam. Kuala Lumpur:
Dewan Bahasa & Pustaka

Read, Herbert (1959). The Meaning ofArt. Ringwood, Victoria: Penguin Books Inc.

Sidi Gazalba (1977). Pandangan Islam Tentang Kesenian. Kuala Lumpur: Penerbit
Pustaka Antara.

Siti Zainon Ismail (1986). Reka Kraftangan Melayu Tradisi. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.

Syed Ahmad Jamal (1992). Rupa dan Jiwa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zakaria Ali (16-17 Jun 1993). Rupa a'an Jiwa.

Islamic Roots of the Malay Philosopny pf Beauty, as appeared in Insyirah The
Art of Sulaiman Esa From 1980 - 2000, Kuala Lumpur:Petronas, 2001

No comments:

Post a Comment