Penulis: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
Disemak oleh: Ustaz Mohd Fikri Che Hussain
Dipetik dari : http://www.hafizfirdaus.com/ebook/Solat%20sunat/3.htm
SOLAT SUNAT RAWATIB
Solat sunat Rawatib adalah solat-solat sunat yang didirikan sebelum mahupun sesudah solat fardu lima waktu. Bagi solat Rawatib sebelum solat fardu ianya dikenali sebagai solat sunat Qabliyah dan bagi solat Rawatib yang dikerjakan sesudah solat fardu ianya dikenali sebagai solat Ba’diyah.
Fungsi Solat Qabliyah adalah untuk menenangkan jiwa seseorang setelah melalui aktiviti kehidupan seharian yang adakalanya terlalu sibuk sehingga menyebabkan seseorang itu tidak mampu untuk khusyuk ketika mendirikan solat fardu. Oleh itu solat Qabliyah berfungsi untuk mententeramkan jiwa serta memastikan kita berada dalam keadaan yang cukup bersedia bagi menyempurnakan solat fardu.
Solat Ba’diyah pula bertindak bagi menyempurnakan apa-apa kekurangan yang mungkin wujud ketika melaksanakan solat fardu seperti kesilapan dalam bacaan, tidak khusyuk, tersilap dalam
pergerakan dan lain-lain. Solat sunat Rawatib ini pula terbahagi kepada mu’akkad (diperkuatkan) dan ghairu mu’akkad (tidak diperkuatkan). Para ulamak berbeza pendapat tentang jumlah rakaat solat Rawatib yang mu’akkad sama ada jumlah keseluruhannya dua belas atau sepuluh rakaat.
Hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Habibah radhiallahu’ anha menjelaskan terdapat dua belas rakaat solatRawatib sebagaimana yang disabdakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
مَا مِنْ عَبْدٍ مُسْلِمٍ يُصَلِّي لِلَّهِ كُلَّ يَوْمٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً تَطَوُّعًا غَيْرَ فَرِيضَةٍ
إِلاَّ بَنَى اللَّهُ لَهُ بَيْتًا فِي الْجَنَّةِ.
Maksudnya:
Tidaklah seorang hamba Muslim mengerjakan solat kerana Allah dalam satu hari dua belas rakaat sebagai tathawwu’ dan bukan fardu, melainkan Allah akan membangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 728
Di dalam riwayat yang lain diperjelaskan pula apakah itu solat-solat yang berjumlah dua belas rakaat seperti yang dimaksudkan hadis di atas. Daripada Ummu Habibah radhiallahu’ anha, dia berkata bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ
أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ
وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الْفَجْرِ.
Maksudnya:
Barang siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. Kedua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zuhur, dua rakaat setelah solat Zuhur, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh.
– Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 380.
Melalui riwayat Ibnu ‘Umar radhiallahu’ anh pula menunjukkan jumlah rakaat solat Rawatib adalah sepuluh. Dia berkata:
حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ
رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ
وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ.
Maksudnya:
Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tentang sepuluh rakaat (iaitu solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zuhur dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, dua rakaat setelah solat Isyak di rumahnya dan dua rakaat sebelum solat Subuh.
– Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1180.
Dari sini dapat kita fahami bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah mengerjakan kedua-dua jumlah rakaat iaitu dua belas mahupun sepuluh rakaat solat sunat Rawatib. Perbezaan tersebut adalah disebabkan perbezaan jumlah rakaat ketika melaksanakan solat Qabliyah Zuhur. Oleh itu bolehlah bagi kita semua untuk memilih untuk mengerjakan solat Qabliyah Zuhur tersebut sebanyak empat mahupun dua rakaat.
Keutamaan mengerjakan solat Rawatib adalah sebagaimana yang dikhabarkan oleh hadis riwayat Ummu Habibahradhiallahu’ anha iaitu disediakan sebuah rumah di syurga bagi mereka yang mendirikannya. Selanjutnya penulis akan membentangkan setiap jenis solat Rawatib dan tatacara perlaksanaannya.
1) SOLAT RAWATIB SUBUH
Dalil Disyariatkan
Solat Qabliyah Subuh ini merupakan salah satu dari solat sunat yang amat dititik beratkan oleh Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam malah diriwayatkan bahawa baginda tidak pernah meninggalkannya. Daripada ‘Aisyahradhiallahu’ anha dia berkata:
صَلَّى النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعِشَاءَ ثُمَّ صَلَّى ثَمَانِيَ رَكَعَاتٍ
وَرَكْعَتَيْنِ جَالِسًا وَرَكْعَتَيْنِ بَيْنَ النِّدَاءَيْنِ وَلَمْ يَكُنْ يَدَعْهُمَا أَبَدًا.
Maksudnya:
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam solat Isyak kemudian solat lapan rakaat dan dua rakaat dengan duduk serta dua rakaat di antara dua seruan (yakni azan dan iqamah untuk solat subuh). Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam tidak pernah meninggalkan ke dua rakaat tersebut (yakni solat qabliyah subuh). - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalamShahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1159.
Malah diriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam tetap melaksanakannya walaupun ketika bermusafir. Daripada Abu Maryam, dia berkata:
كُنَّا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي سَفَرٍ فَأَسْرَيْنَا لَيْلَةً
فَلَمَّا كَانَ فِي وَجْهِ الصُّبْحِ نَزَلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنَامَ وَنَامَ النَّاسُ
فَلَمْ يَسْتَيْقِظْ إِلاَّ بِالشَّمْسِ قَدْ طَلَعَتْ عَلَيْنَا
فَأَمَرَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْمُؤَذِّنَ فَأَذَّنَ ثُمَّ صَلَّى الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْفَجْرِ
ثُمَّ أَمَرَهُ فَأَقَامَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ ثُمَّ حَدَّثَنَا بِمَا هُوَ كَائِنٌ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ.
Maksudnya:
Kami pernah bersama Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sebuah perjalanan. Lalu kami melakukan perjalanan pada malam hari. Ketika di ambang waktu Subuh, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam berhenti lalu tidur dan orang-orang lain pun ikut serta tidur. Dan kami tidak bangun kecuali ketika matahari telah terbit menyinari kami. Kemudian Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam menyuruh muadzdzin mengumandangkan azan, maka dia pun mengumandangkannya. Selanjutnya, baginda mengerjakan solat dua rakaat sebelum solat Subuh. Setelah itu baginda menyuruh muadzdzin melaungkan iqamah, maka dia pun melakukan iqamah. Setelah itu baru baginda mengerjakan solat secara berjemaah. Kemudian baginda memberitahu kami mengenai apa yang akan terjadi sampai hari kiamat kelak. – Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Mawaaqiit, no: 617.
Menurut Ibnul Qayyim rahimahullah:
Di antara petunjuk yang dicontohkan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam sesebuah perjalanannya, iaitu baginda mencukupkan diri dengan melaksanakan solat yang fardu, dan baginda tidak diketahui melakukan solat sunat Rawatib sebelum dan sesudah solat fardu kecuali solat Witir dan solat sunat Rawatib Subuh kerana baginda tidak pernah meninggalkan kedua solat tersebut baik ketika mukim mahupun saat bermusafir. – Rujuk Zaad al-Ma’ad, jilid 1, ms. 456.
Hanya sahaja tidak ada sebarang riwayat yang menunjukkan solat ini hukumnya wajib. Oleh kerana itu ianya termasuk dalam kategori amalan sunat mu’akkadah.
Keutamaannya
Perlaksanaan solat Rawatib subuh ini lebih baik dari segala perkara yang terdapat di dunia ini. Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
رَكْعَتَا الْفَجْرِ خَيْرٌ مِنْ الدُّنْيَا وَمَا فِيهَا.
Maksudnya:
Dua rakaat sebelum Subuh itu lebih baik dari dunia dan isinya. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 725.
Tatacara Perlaksanaannya Serta Hukum-Hukum Berkaitan
Jumlah Rakaat Dan Waktu Mengerjakannya
Solat Qabliyah Subuh sebanyak dua rakaat ini didirikan setelah masuknya waktu solat Subuh iaitu di antara azan dan iqamah. Daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha, dia berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ خَفِيفَتَيْنِ بَيْنَ النِّدَاءِ وَالإِقَامَةِ مِنْ صَلاَةِ الصُّبْحِ.
Maksudnya:
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan dua rakaat solat dengan ringan di antara azan dan iqamah solat Subuh. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Azaan, no: 619.
Dikerjakan Secara Ringkas
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam meringankan perlaksanaannya iaitu dengan membaca surah-surah yang pendek secara ringkas dan pantas. Daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha, dia berkata:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُخَفِّفُ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ
حَتَّى إِنِّي لأَقُولُ هَلْ قَرَأَ بِأُمِّ الْكِتَابِ.
Maksudnya:
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam meringankan dua rakaat sebelum solat Subuh sehingga aku tertanya apakah baginda hanya membaca Ummul Kitab. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1165.
Surah Yang Dibacakan
Di antara ayat-ayat yang dibacakan oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ketika solat sunat Qabliyah subuh adalah seperti berikut :-
a) Surah al-Kaafiruun dan al-Ikhlas
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَرَأَ فِي رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ
قُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَد.ٌ
Maksudnya:
Daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa membaca di dalam (solat) dua rakaat sebelum Subuh: ‘Qul yaa ayyuhal kaafiruun’ dan ‘Qul huwallahu ahad’ – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 726.
b) Al-Baqarah (2) : 136 dan Aali ‘Imraan (3) : 52
أَنَّ ابْنَ عَبَّاسٍ أَخْبَرَهُ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
كَانَ يَقْرَأُ فِي رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ فِي الأُولَى مِنْهُمَا قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا الآيَةَ
الَّتِي فِي الْبَقَرَةِ وَفِي الآخِرَةِ مِنْهُمَا آمَنَّا بِاللَّهِ وَاشْهَدْ بِأَنَّا مُسْلِمُونَ.
Maksudnya:
Daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa membaca di dalam solat dua rakaat sebelum Subuh, iaitu rakaat pertama membaca: Quuluu aaamannaa billaahi wamaa unzila ilaina… kemudian ayat yang terdapat di dalam surah al-Baqarah (ayat 136), dan pada rakaat kedua membaca: Aaamannaa billaahi wasyad bi annaa muslimuun. (Aali ‘Imraan : 52) – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 727.
c) Al-Baqarah (2) : 136 dan Aali ‘Imraan (3) : 64
عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ
قُولُوا آمَنَّا بِاللَّهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْنَا وَالَّتِي فِي آلِ عِمْرَانَ تَعَالَوْا إِلَى كَلِمَةٍ سَوَاءٍ بَيْنَنَا وَبَيْنَكُمْ.
Maksudnya:
Daripada Ibnu ‘Abbas radhiallahu’ anh bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam biasa membaca di dalam solat dua rakaat sebelum Subuh: Quuluu aamannaa billaahi wamaa unzila ilaina… surah al-Baqarah (ayat 136), dan yang terdapat di dalam surah Aali ‘Imraan: Ta’aalau ilaa kalimatin sawaa’ bainanaa wa bainakum (Aali ‘Imraan : 64) – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 727.
Memandangkan kesemua hadis di atas adalah hadis yang sahih maka bolehlah kita mengamalkannya secara bergilir-gilir.
PERHATIAN
Di sepanjang perbahasan tentang solat-solat sunat dalam buku ini, penulis akan memperjelaskan surah-surah atau ayat-ayat yang pernah dibaca oleh Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dalam solat-solat yang tertentu. Tentu sahaja sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam ini adalah sebaik-baik ikutan bagi seluruh umat Islam. Namun sekiranya ada di kalangan kita yang tidak menghafal surah-surah tersebut maka hendaklah dia membaca apa sahaja surah lain yang mudah baginya.
Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala:
فَاقْرَءُوا مَا تَيَسَّرَ مِنَ الْقُرْآنِ
Maksudnya:
… oleh itu bacalah mana-mana yang mudah kamu dapat membacanya dari Al-Quran (dalam solat). - al-Muzzammil (73) : 20
Dan Sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ
Maksudnya:
Bacalah sesuatu yang mudah bagimu dari al-Qur’an. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Azaan, no: 757.
Baring Setelah Selesai Mengerjakannya
Setelah mengerjakan solat sunat Qabliyah Subuh tersebut, adalah disunatkan untuk berbaring di atas lambung kanan sebelum mengerjakan solat Subuh. Daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallambersabda:
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ فَلْيَضْطَجِعْ عَلَى يَمِينِهِ.
Maksudnya:
Jika salah seorang di antara kalian telah mengerjakan solat dua rakaat sebelum Subuh, hendaklah dia berbaring di atas lambung kanannya. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 385.
Namun begitu sekiranya terdapat urusan yang menyebabkan seseorang itu tidak dapat untuk berbaring sesudah mengerjakan solat Qabliyah Subuh maka tidak mengapa baginya untuk menyelesaikan urusan tersebut kerana amalan tersebut hanyalah sunat.
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
كَانَ إِذَا صَلَّى فَإِنْ كُنْتُ مُسْتَيْقِظَةً حَدَّثَنِي وَإِلاَّ اضْطَجَعَ حَتَّى يُؤْذَنَ بِالصَّلاَةِ.
Maksudnya:
Daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha bahawasanya jika Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah mengerjakan solat sunat Subuh, sedang aku dalam keadaan terbangun, baginda akan berbicara denganku. Jika tidak demikian baginda akan berbaring sehingga azan (dikumandangkan iqamah) untuk mendirikan solat. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Tahajjud, no: 1161.
Cara Mengqadha Solat Qabliyah Subuh
Bagi mereka yang tidak sempat mengerjakan solat Qabliyah Subuh maka dia boleh mengqadhanya dengan mengerjakannya setelah matahari terbit. Daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh. dia berkata, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ لَمْ يُصَلِّ رَكْعَتَيْ الْفَجْرِ فَلْيُصَلِّهِمَا بَعْدَ مَا تَطْلُعُ الشَّمْسُ.
Maksudnya:
Barangsiapa tidak sempat mengerjakan solat rawatib dua rakaat sebelum Subuh, maka hendaklah dia mengerjakannya setelah matahari terbit. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 388.
Dibenarkan juga untuk mengqadhakan solat Qabliyah Subuh itu sebaik sahaja selesai solat fardu Subuh.
Daripada Qais, dia berkata:
رَأَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلًا يُصَلِّي بَعْدَ صَلاَةِ الصُّبْحِ رَكْعَتَيْنِ
فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: صَلاَةُ الصُّبْحِ رَكْعَتَان.ِ
فَقَالَ الرَّجُلُ: إِنِّي لَمْ أَكُنْ صَلَّيْتُ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ قَبْلَهُمَا فَصَلَّيْتُهُمَا الآن.
َ فَسَكَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
Maksudnya:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah melihat seseorang sedang mengerjakan solat sunat setelah mengerjakan solat Subuh. Baginda lalu bersabda: Solat subuh itu hanya dua rakaat. Lelaki tersebut lalu berkata: Sesungguhnya tadi aku belum mengerjakan solat sunat dua rakaat sebelum (Qabliyah) solat Subuh, oleh itu aku mengerjakannya sekarang. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pun mendiamkannya (menandakan baginda bersetuju) - Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 1076.
PERHATIAN
Menerusi buku ini para pembaca akan melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam telah menqadhakan beberapa jenis solat sunat yang baginda tidak sempat melaksanakannya. Apa yang harus para pembaca fahami adalah solat-solat tersebut hanya boleh diqadhakan sekiranya wujud keuzuran yang tidak boleh dielakkan seperti terlupa, tertidur, pengsan, hilang akal dan sibuk dengan hal yang lebih penting. Sekiranya seseorang itu secara sengaja meninggalkan solat sama ada fardu mahupun sunat tanpa alasan yang kukuh maka tidak dibenarkan baginya untuk mengqadha. Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin rahimahullah berkata:
"Pendapat paling kuat menurutku adalah sebagaimana yang dipilih oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah rahimahullahbahawa sesiapa yang sengaja meninggalkan solat sehingga habis waktunya, mengqadanya tidaklah bermanfaat. Ini kerana, sesuatu ibadah tertakluk dengan waktu tertentu harus dikerjakan tepat pada waktu yang ditentukan. Maka sebagaimana ibadah itu tidak sah dikerjakan sebelum waktunya, ia juga tidak sah dikerjakan setelah habis waktunya. Kerana batasan waktu yang telah ditentukan oleh Allah hendaklah diperhatikan. – Rujuk buku Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, Majmu’ Fatawa Arkanil Islam, (edisi terjemahan dengan tajuk Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Aqidah dan Ibadah : Bab Ibadah, Pustaka Arafah, Solo, 2002), ms. 322.
Ringkasan tatacara mengerjakan Solat Rawatib Subuh
Rakaat Pertama
Berniat di dalam hati untuk mengerjakan Solat Qabliyah Subuh
Takbiratul Ihram
Doa Iftitah
Membaca surah al-Fatihah
Membaca surah al-Qur’an
Rukuk
Iktidal
Sujud
Duduk antara dua sujud
Sujud kali kedua
Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua
Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
Duduk untuk tahiyyat akhir
Memberi salam ke kanan dan ke kiri
Baring sebentar di atas lambung kanan
2) SOLAT RAWATIB ZUHUR
Dalil Disyari’atkan
Solat Rawatib Zuhur adalah termasuk dalam kategori solat yang tidak pernah ditinggalkan oleh Rasulullahshallallahu ‘alaihi wasallam kecuali jika baginda sedang bermusafir. Terdapat banyak dalil yang menunjukkan bahawa Solat Qabliyah dan Ba’diyah Zuhur ini termasuk dalam sunnah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam Di antaranya adalah sebuah riwayat daripada ‘Abdullah bin Syaqiq, dia berkata: Saya pernah bertanya kepada ‘Aisyah tentang solattathawwu’ Rasulullah, lalu ‘Aisyah menjawab:
كَانَ يُصَلِّي فِي بَيْتِي قَبْلَ الظُّهْرِ أَرْبَعًا ثُمَّ يَخْرُجُ فَيُصَلِّي بِالنَّاسِ ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya:
Rasulullah solat empat rakaat sebelum Zuhur di rumahnya lalu baginda solat (Zuhur) bersama orang ramai dan setelah itu baginda solat dua rakaat. – Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatul Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 730.
Keutamaannya
Menghindari Siksa Api Neraka
Mengerjakan solat sunat Rawatib Zuhur dapat memelihara seseorang itu dari api neraka. Dalilnya adalah sebagaimana sebuah riwayat daripada Ummu Habibah radhiallahu’ anha, dia berkata aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ.
Maksudnya:
Barangsiapa yang memelihara solat empat rakaat sebelum Zuhur dan empat rakaat sesudahnya, Allah akan mengharamkannya dari Neraka. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 428.
Waktu Yang Afdhal Untuk Beribadah
Pada waktu ini pintu langit terbuka dan ianya memudahkan amalan-amalan soleh untuk naik ke atas.
Daripada Abu Ayyub al-Anshori bahawa dia bersolat empat rakaat sebelum Zuhur. Kemudian sewaktu dia ditanya: Mengapa anda selalu mengerjakan solat sunat ini? Dia menjawab: Saya melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam selalu mengerjakannnya, lalu saya pun bertanya seperti itu dan baginda menjawab:
إِنَّهَا سَاعَةٌ تُفْتَحُ فِيهَا أَبْوَابُ السَّمَاءِ فَأَحْبَبْتُ أَنْ يَرْتَفِعَ لِي فِيهَا عَمَلٌ صَالِحٌ.
Maksudnya:
Sesungguhnya ada suatu saat di mana semua pintu langit dibuka maka saya ingin sekali bahawa pada saat itu ada suatu amal kebaikanku yang naik ke sana. – Hadis riwayat Imam Ahmad dalam Musnadnya, no: 22449
v Tatacara Perlaksanaannya Serta Hukum-Hukum Berkaitan
q Waktu Mengerjakannya
Solat Qabliyah Zuhur dilaksanakan setelah azan Zuhur dikumandangkan dan sebelum melaksanakan solat Zuhur. Manakala solat Ba’diyah Zuhur didirikan sesudah mengerjakan solat Zuhur.
q Jumlah Rakaatnya
Berkaitan dengan jumlah rakaatnya terdapat tiga pendapat dari segi perlaksanaannya.
Pertama : Mengerjakan dua rakaat sebelum Zuhur dan dua rakaat setelahnya. Daripada Ibnu ‘Umar radhiallahu’ anh, dia berkata:
حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا
وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ.
Maksudnya:
Aku telah menghafal (menjaga) daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tentang sepuluh rakaat (iaitu solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zuhur dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, dua rakaat setelah solat Isyak di rumahnya dan dua rakaat sebelum solat Subuh. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1180.
Kedua: Mengerjakan empat rakaat sebelum Zuhur dan dua rakaat setelahnya. Daripada Ummu Habibah radhiallahu’ anha, dia berkata bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ صَلَّى فِي يَوْمٍ وَلَيْلَةٍ ثِنْتَيْ عَشْرَةَ رَكْعَةً بُنِيَ لَهُ بَيْتٌ فِي الْجَنَّةِ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا
وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الْفَجْرِ.
Maksudnya:
Barang siapa yang mengerjakan solat (sunat) sebanyak dua belas rakaat dalam sehari semalam kelak akan dibangunkan untuknya sebuah rumah di syurga. Kedua belas rakaat itu adalah empat rakaat sebelum solat Zuhur, dua rakaat setelah solat Zuhur, dua rakaat setelah solat Maghrib, dua rakaat setelah solat Isyak dan dua rakaat sebelum solat Subuh. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 380.
Ketiga: Mengerjakan empat rakaat sebelum Zuhur dan empat rakaat setelahnya. Daripada Ummu Habibah radhiallahu’ anha, dia berkata aku pernah mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
مَنْ حَافَظَ عَلَى أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ قَبْلَ الظُّهْرِ وَأَرْبَعٍ بَعْدَهَا حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ.
Maksudnya:
Barangsiapa yang memelihara solat empat rakaat sebelum Zuhur dan empat rakaat sesudahnya, Allah akan mengharamkannya dari Neraka. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 428
Kesemua tatacara di atas adalah bersandarkan kepada dalil-dalil yang sabit daripada baginda shallallahu ‘alaihi wasallammaka dibenarkan bagi kita untuk melaksanakannya menurut salah satu dari tatacara di atas ataupun boleh juga bagi kita untuk menggilirkan tatacara perlaksanaan solat Rawatib Zuhur ini menurut ketiga-tiga tatacara tersebut.
Sekiranya solat Rawatib Zuhur ini dikerjakan sebanyak empat rakaat, diperbolehkan bagi kita untuk mengerjakannya dua rakaat lalu memberi salam dan sesudah itu dikerjakan lagi dua rakaat ataupun mengerjakannya sebanyak empat rakaat sekaligus dengan dua tasyahhud sebagaimana solat empat rakaat yang biasa.
q Cara Mengqadha Solat Qabliyah Zuhur
Bagi mereka yang terlepas mengerjakan Solat Qabliyah Zuhur maka diperbolehkan untuk mengqadhanya setelah mengerjakan solat Zuhur. Daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha, dia berkata:
أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا لَمْ يُصَلِّ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ صَلاَّهُنَّ بَعْدَهُ.
Maksudnya:
Sesungguhnya jika Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tidak sempat mengerjakan solat empat rakaat sebelum (Qabliyah) Zuhur, baginda akan mengerjakan keempat rakaat itu setelahnya. – Hadis riwayat Imam Tirmidzi dalamSunannya, Kitab al-Sholaah, no: 426
q Cara Mengqadha Solat Ba’diyah Zuhur
Bagi mereka yang terlepas mengerjakan Solat Ba’diyah Zuhur maka diperbolehkan untuk mengqadhanya setelah mengerjakan solat Asar. Hal ini adalah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah radhiallahu’ anha yang melihat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan solat dua rakaat sesudah solat Asar sedangkan waktu itu termasuk waktu yang dilarang untuk mendirikan solat lalu beliau bertanya kepada baginda lalu baginda menjawab:
يَا بِنْتَ أَبِي أُمَيَّةَ سَأَلْتِ عَنْ الرَّكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعَصْرِ إِنَّهُ أَتَانِي أُنَاسٌ
مِنْ عَبْدِ الْقَيْسِ بِالإِسْلاَمِ مِنْ قَوْمِهِمْ فَشَغَلُونِي عَنْ الرَّكْعَتَيْنِ اللَّتَيْنِ بَعْدَ الظُّهْرِ فَهُمَا هَاتَانِ.
Maksudnya:
Wahai anak Abu Umayah, kamu bertanya tentang dua rakaat yang saya kerjakan setelah Asar, hal itu kerana saya telah didatangi oleh beberapa orang dari ‘Abdul Qais untuk mengislamkan beberapa orang daripada kaumnya sehingga aku tidak sempat mengerjakan solat rawatib dua rakaat sesudah Zuhur, dan inilah dua rakaat itu. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Maghaazi, no 4370.
Justeru itu menerusi hadis ini dapatlah kita simpulkan bahawa dibenarkan untuk mengqadha solat Ba’diyah Zuhur pada waktu dilarang mengerjakan solat iaitu setelah mengerjakan solat Asar secara mutlak. Sebahagian ulamak pula berpendapat bahawa larangan mengerjakan solat setelah waktu Asar hanyalah ketika matahari tenggelam. Sekiranya setelah mengerjakan solat asar dan matahari masih berwarna putih bersih maka ia tidak termasuk dalam waktu yang terlarang. Dalilnya adalah sebagaimana riwayat dibawah:
عَنْ عَلِيٍّ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْعَصْرِ إِلاَّ وَالشَّمْسُ مُرْتَفِعَةٌ.
Maksudnya:
Daripada ‘Ali bin Abi Thalib bahawasanya Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam melarang dari mengerjakan solat setelah Asar, kecuali jika matahari masih tinggi. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 1082.
q Ringkasan tatacara mengerjakan Solat Rawatib Zuhur
A) Tatacara Solat Rawatib Zuhur Dua Rakaat
Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Qabliyah / Ba’diyah Zuhur
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca surah al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Sujud
9) Duduk antara dua sujud
10) Sujud kali kedua
11) Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua
1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Duduk untuk tahiyyat akhir
3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri
B) Tatacara Solat Rawatib Zuhur Empat Rakaat
Boleh dilaksanakan seperti solat Rawatib Zuhur dua rakaat di atas sebanyak dua kali ataupun dengan sekaligus mengerjakan empat rakaat dengan dua tahiyyat seperti di bawah.
Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Qabliyah / Ba’diyah Zuhur
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca surah al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Sujud
9) Duduk antara dua sujud
10) Sujud kali kedua
11) Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua
1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Duduk untuk tahiyyat awal
3) Bangun untuk rakaat ketiga
Rakaat Ketiga
1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Bangun untuk rakaat keempat
Rakaat Keempat
1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Duduk untuk tahiyyat akhir
3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri
3) SOLAT RAWATIB MAGHRIB
v Dalil Disyari’atkan
Solat Ba’diyah Maghrib adalah termasuk dalam kategori solat sunat Rawatib yang mu’akkad. Dalilnya adalah seperti riwayat di bawah:
فَقَالَتْ كَانَ يُصَلِّي فِي بَيْتِي قَبْلَ الظُّهْرِ أَرْبَعًا ثُمَّ يَخْرُجُ فَيُصَلِّي بِالنَّاسِ
ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ وَكَانَ يُصَلِّي بِالنَّاسِ الْمَغْرِبَ ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ.
Maksudnya:
Lalu dia (‘Aisyah radhiallahu’ anha) berkata adalah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersolat di rumahku sebelum Zuhur empat rakaat, kemudian baginda keluar lalu bersolat (Zuhur) bersama orang ramai, kemudian baginda masuk ke rumahku dan bersolat dua rakaat. Baginda bersolat Maghrib dengan orang ramai, kemudian baginda masuk ke dalam rumahku lalu bersolat dua rakaat. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 730.
v Keutamaannya
Bagi mereka yang mengerjakan solat Ba’diyah Maghrib ini, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menyediakan baginya sebuah rumah di syurga. Sila rujuk hadis daripada Ummu Habibah radhiallahu’ anha yang telah penulis paparkan pada awal perbahasan tentang solat rawatib.
v Tatacara Perlaksanaannya Serta Hukum-Hukum Berkaitan
q Jumlah Rakaatnya
Ianya dilaksanakan sebanyak dua rakaat setelah mengerjakan solat Maghrib dan Rasulullah s.a.w mendirikannya di rumah baginda. Daripada ‘Aisyah radhiallahu’ anha:
وَكَانَ يُصَلِّي بِالنَّاسِ الْمَغْرِبَ ثُمَّ يَرْجِعُ إِلَى بَيْتِي فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ
Maksudnya:
Adalah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam mengerjakan solat Maghrib kemudian baginda kembali ke rumahku lalu baginda mengerjakan solat dua rakaat. – Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 1060.
Justeru itu adalah lebih afdal sekiranya solat Ba’diyah Maghrib ini didirikan di rumah masing-masing melainkan terdapat keperluan untuk mengerjakannya di masjid.
q Surah Yang Dibacakan
Lazimnya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membaca surah al-Kaafiruun dan al-Ikhlash semasa solat Ba’diyahMaghrib ini. Daripada Ibnu Mas’ud radhiallahu’ anh, dia berkata:
مَا أُحْصِي مَا سَمِعْتُ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقْرَأُ فِي الرَّكْعَتَيْنِ
بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَفِي الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الْفَجْرِ بِقُلْ يَا أَيُّهَا الْكَافِرُونَ وَقُلْ هُوَ اللَّهُ أَحَدٌ.
Maksudnya:
Saya tidak dapat menghitung betapa seringnya saya mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam membaca dalam solat dua rakaat selepas Maghrib dan dua rakaat sebelum Subuh ‘Qul yaa ayyuhal kaafiruun’ dan ‘Qul huwallahu ahad’. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 396.
q Ringkasan tatacara mengerjakan Solat Rawatib Ba’diyah Maghrib
Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Ba’diyah Maghrib
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca Surah al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Sujud
9) Duduk antara dua sujud
10) Sujud kali kedua
11) Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua
1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Duduk untuk tahiyyat akhir
3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri
4) SOLAT RAWATIB ISYAK
v Dalil Disyari’atkan
Solat Ba’diyah Isyak ini merupakan sebahagian dari solat Rawatib yang mu’akkad. Daripada Ibnu ‘Umar, dia berkata:
حَفِظْتُ مِنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَشْرَ رَكَعَاتٍ رَكْعَتَيْنِ قَبْلَ الظُّهْرِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَهَا
وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْمَغْرِبِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ بَعْدَ الْعِشَاءِ فِي بَيْتِهِ وَرَكْعَتَيْنِ قَبْلَ صَلاَةِ الصُّبْحِ.
Maksudnya:
Aku telah menghafal (menjaga) dari Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam tentang sepuluh rakaat (iaitu solat sunat) iaitu dua rakaat sebelum solat Zuhur dan dua rakaat sesudahnya, dua rakaat setelah solat Maghrib di rumahnya, dua rakaat setelah solat Isyak di rumahnya dan dua rakaat sebelum solat Subuh. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1180.
v Keutamaannya
Bagi mereka yang mengerjakan solat Ba’diyah Isyak ini, maka Allah Subhanahu wa Ta’ala akan menyediakan baginya sebuah rumah di syurga. Sila rujuk hadis daripada Ummu Habibah radhiallahu’ anha yang telah penulis paparkan pada awal perbahasan tentang solat rawatib.
v Tatacara Perlaksanaannya Serta Hukum-Hukum Berkaitan
q Jumlah Rakaat dan Waktu Perlaksanaannya
Ianya didirikan setelah mengerjakan Solat Isyak sebanyak dua rakaat dan Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallammengerjakan solat ini di rumah.
فَقَالَتْ كَانَ يُصَلِّي فِي بَيْتِي قَبْلَ الظُّهْرِ أَرْبَعًا ثُمَّ يَخْرُجُ فَيُصَلِّي بِالنَّاسِ ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ
وَكَانَ يُصَلِّي بِالنَّاسِ الْمَغْرِبَ ثُمَّ يَدْخُلُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ وَيُصَلِّي بِالنَّاسِ الْعِشَاءَ
وَيَدْخُلُ بَيْتِي فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ...
Maksudnya:
Lalu dia (‘Aisyah radhiallahu’ anh) berkata adalah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersolat di rumahku sebelum Zuhur empat rakaat, kemudian baginda keluar lalu bersolat (Zuhur) bersama orang ramai, kemudian baginda masuk ke rumahku dan bersolat dua rakaat. Baginda bersolat Maghrib dengan orang ramai, kemudian baginda masuk ke dalam rumahku lalu bersolat dua rakaat. Baginda bersolat Isyak dengan orang ramai, kemudian baginda masuk ke dalam rumahku lalu bersolat dua rakaat.- Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab Sholaatil Musaafiriin wa Qashruhaa, no: 730.
q Ringkasan tatacara mengerjakan Solat Rawatib Ba’diyah Isyak
Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Ba’diyah Isyak
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca Surah al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Sujud
9) Duduk antara dua sujud
10) Sujud kali kedua
11) Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua
1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Duduk untuk tahiyyat akhir
3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri
5) SOLAT RAWATIB UNTUK SOLAT JUMAAT
Berkaitan dengan solat rawatib ketika solat Jumaat penulis akan membahagikan perbincangan kepada empat topik besar iaitu:
Mendirikan Solat Sunat Mutlak.
Azan untuk solat Jumaat hanya sekali.
Adakah disyari’atkan Solat Qabliyah Jumaat?
Solat Ba’diyah Jumaat.
v Mendirikan Solat Sunat Mutlak
Mendirikan solat sunat Mutlak pada hari Jumaat iaitu sebelum imam naik ke mimbar dan azan dilaungkan merupakan satu amalan yang agak asing bagi kebanyakan umat Islam di Malaysia. Lazimnya mereka lebih terbiasa untuk mengerjakan solat sunat Qabliyah Jumaat berbanding solat sunat Mutlak ini sehinggakan sesetengah pihak akan terpinga-pinga apabila disebut solat sunat Mutlak pada hari Jumaat ini. Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana Imam al-Syafi’irahimahullah telah memperjelaskan tentang kewujudan solat sunat Mutlak ini di dalam kitabnya al-Umm. Beliau telah menyatakan:
Dikhabarkan kepada kami oleh Ibrahim bin Muhammad, yang mengatakan dikhabarkan kepada saya oleh Ishak bin Abdullah, daripada Sa’id al-Maqburi, daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melarang solat pada tengahari, sehinggalah gelincir matahari, selain Jumaat. – Rujuk kitabal-Umm (Kitab Induk) karya Imam al-Syafi’i, jilid 2, ms. 21.
Dikhabarkan kepada kami oleh Malik daripada Ibnu Syihab, daripada Tsa’labah bin Abi Malik, bahawa dia mengkhabarkan kepadanya, bahawa mereka itu berada pada zaman ‘Umar bin al-Khatthabradhiallahu’ anh pada hari Jumaat mengerjakan solat (sunat Mutlak - pen) sehingga datanglah ‘Umar bin al-Khatthab. Tatkala ‘Umar telah datang dan duduk atas mimbar dan juruazan melakukan azan, mereka duduk berbincang-bincang. Sehingga apabila juruazan sudah diam, nescaya mereka itu diam. Dan tiada seorangpun yang berbicara. Disampaikan hadis kepada saya oleh Ibnu Abi Fudaik, daripada Ibnu Abi Dzi’b, daripada Ibnu Syihab, yang mengatakan, disampaikan hadis kepada saya oleh Tsa’labah bin Abi Malik, bahawa duduk imam itu memutuskan bertasbih. Dan perkataan imam itu memutuskan perkataan orang-orang yang hadir. Mereka itu berbincang-bincang pada hari Jumaat dan ‘Umar duduk atas mimbar. Apabila juruazan sudah diam, nescaya ‘Umar berdiri, lalu tiada seorangpun yang berkata-kata sehingga diselesaikan oleh ‘Umar akan khutbah itu seluruhnya. Apabila dibacakan iqamah untuk solat dan ‘Umar turun, lalu mereka itu berkata-kata.
Apabila manusia pergi menghadiri solat Jumaat, nescaya mereka itu bersolat, sehingga jadilah imam di atas mimbar. Apabila imam telah berada di atas mimbar, nescaya dicegah dari mereka itu orang yang telah mengerjakan solat dua rakaat (Tahiyyatul Masjid - pen) atau lebih dari berkata-kata. Sehingga imam itu sudah mulai berkhutbah. Apabila dia telah mula berkhutbah, nescaya diam dengan memperhatikan.– Rujuk kitab al-Umm (Kitab Induk) karya Imam al-Syafi’i, jilid 2, ms. 22.
Sekian kata-kata Imam al-Syafi’i rahimahullah. Dari ini dapat kita rumuskan bahawa :
q Adalah disunnahkan untuk mengerjakan solat sunat mutlak sebelum azan dikumandangkan. Berkenaan dengan solat sunat mutlak ini, Syaikh al-Albani rahimahullah berkata:
Dianjurkan bagi orang yang masuk masjid pada hari Jumaat (bila sahaja) untuk mengerjakan solat sunat Mutlak sebelum duduk tanpa terikat dengan bilangan (rakaat – pen), juga tidak ditentukan waktunya, hingga imam keluar. Atau duduk ketika masuk masjid setelah solat Tahiyyatul Masjid atau sebelumnya. – Rujuk Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Al-Awjiba an-Naafi’ah ‘an As’ilati Lajnah Masjid al-Jaami’ah, (edisi terjemahan dengan tajuk Solat Jum’at Bersama Rasulullah : Hukum Dan Bid’ah Solat Jumaat, Najla Press, Jakarta, 2002) ms. 60.
q Tentang larangan untuk bersolat pada waktu tengahari sehingga gelincir matahari, maka khusus untuk hari Jumaat ianya diperbolehkan. Maka solat sunat Mutlak ini dilakukan sebelum diserukan azan solat Jumaat sebanyak dua rakaat-dua rakaat tanpa batasan jumlah yang tertentu. Maka perhatikanlah akan hal ini wahai pembaca yang budiman, berapa ramaikah umat Islam di Malaysia yang melakukan solat sunat Mutlak yang sememangnya disyari’atkan ini bahkan dianjurkan perlaksanaannya oleh Imam al-Syafi’i rahimahullah sendiri? Dalil tentang solat sunat Mutlak ini adalah sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam:
مَنْ اغْتَسَلَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَصَلَّى مَا قُدِّرَ لَهُ ثُمَّ أَنْصَتَ حَتَّى يَفْرُغَ مِنْ خُطْبَتِهِ
ثُمَّ يُصَلِّي مَعَهُ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ الأُخْرَى وَفَضْلُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ.
Maksudnya:
Barangsiapa mandi pada hari Jumaat kemudian mendatangi solat Jumaat dan bersolat sekadar kemampuannya, serta dia diam mendengarkan khutbah imam sehingga selesai, lalu dia bersolat bersamanya, maka diampunilah dosa-dosanya yang terdapat di antara Jumaat itu dengan Jumaat berikutnya dan ditambah tiga hari. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 857.
q Berbicara ketika azan dikumandangkan adalah tidak mengapa dan yang diharamkan adalah berbicara ketika imam sudah memulakan khutbahnya. Sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ "أَنْصِتْ!" وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ.
Maksudnya:
Apabila kamu berkata kepada temanmu di hari Jumaat “Diamlah!”, padahal imam sedang berkhutbah, maka engkau telah melakukan perbuatan sia-sia. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 934.
Setelah Imam berkhutbah tidak dibenarkan lagi bagi para makmun mengerjakan apa jua jenis solat sunat kecuali bagi mereka yang belum mengerjakan solat sunat dua rakaat Tahiyyatul Masjid.
v Azan Untuk Solat Jumaat Hanya Sekali
Sebelum kita meneruskan perbahasan tentang solat Qabliyah Jumaat, sewajarnya kita mengulas terlebih dahulu persoalan tentang azan untuk solat Jumaat. Berkaitan dengan laungan azan untuk solat Jumaat, Imam al-Syafi’irahimahullah dalam kitabnya al-Umm telah berkata:
Saya (Imam al-Syafi’i) menyukai bahawa azan pada hari Jumaat itu, ketika imam masuk masjid. Dan dia duduk pada tempatnya yang dia berkhutbah...Apabila imam telah berbuat demikian, lalu juruazan melaksanakan azan. Apabila telah selesai (azan tersebut – pen), lalu imam itu berdiri, lalu membaca khutbah. Tiada lebih dari demikian. – Rujuk Imam al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jilid 2, ms. 15.
Dikhabarkan kepada kami oleh al-Rabi’, yang mengatakan: Dikhabarkan kepada kami oleh al-Syafi’i, yang mengatakan: Dikhabarkan kepada saya oleh orang yang dapat dipercayai, daripada al-Zuhri, daripada al-Sa’ib bin Yazid: bahawa adalah permulaan bagi azan itu bagi Jumaat, ketika imam duduk atas mimbar pada masa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam, Abu Bakar dan ‘Umar. Tatkala masa Khalifah Uthman dan orang semakin ramai lalu Uthman menyuruh dengan azan kedua. Lalu dilaksanakan azan itu. Maka tetaplah urusannya atas yang demikian.
‘Atha’ menentang bahawa Uthman yang mengadakan azan kedua itu. Dan mengatakan: azan kedua itu diadakan oleh Muawiyah – dan Allah Subhanahu wa Ta’ala lebih mengetahui.
Manapun (antara –pen) orang yang dua (iaitu Uthman atau Muawiyah – pen) yang mengadakan (azan kedua tersebut – pen), maka keadaan yang pada masa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam adalah saya (Imam al-Syafi’i) lebih menyukai. – Rujuk Imam al-Syafi’i, al-Umm (Kitab Induk), jilid 2, ms. 15-16.
Sekian kata-kata Imam al-Syafi’i rahimahullah. Dari kenyataannya itu dapat kita rumuskan bahawa :
q Pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, Khalifah ‘Umar al-Khatthabradhiallahu’ anhum, azan untuk solat Jumaat hanya dikumandangkan satu kali iaitu setelah imam memasuki masjid dan duduk atas mimbar. Tetapi pada zaman Khalifah Uthman al-Affan radhiallahu’ anh, jumlah umat Islam di kota Madinahal-Munawwarah semakin ramai, rumah-rumah mereka semakin jauh dari Masjid Nabawi dan kedaan kota semakin sibuk dan pesat membangun. Disebabkan oleh perkembangan tersebut, Khalifah Uthman al-Affan radhiallahu’ anh telah berijtihad bahawa laungan azan untuk solat Jumaat yang dikumandang hanya sekali di Masjid Nabawi sudah tidak memadai untuk memanggil orang ramai solat berjemaah di masjid. Maka beliau memerintahkan satu lagi azan dilaungkan sebelum masuk waktu solat Jumaat di sebuah ruangan pasar miliknya bernama al-Zaura’ bertujuan untuk orang ramai yang sibuk dengan urusan harian bersiap sedia untuk mengerjakan solat Jumaat. Tempat yang bernama al-Zaura’ ini terletak di tengah-tengah kota Madinah. Oleh itu azan pertama itu tidak dilakukan di Masjid Nabawi yang kekal dengan hanya satu azan sahaja oleh seorang tukang azan. Daripada al-Sa’ib bin Yazid radhiallahu’ anh, dia berkata:
كَانَ النِّدَاءُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوَّلُهُ إِذَا جَلَسَ الإِمَامُ عَلَى الْمِنْبَرِ عَلَى عَهْدِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
وَأَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا فَلَمَّا كَانَ عُثْمَانُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ وَكَثُرَ النَّاسُ زَادَ النِّدَاءَ الثَّالِثَ
عَلَى الزَّوْرَاءِ.
Maksudnya:
Seruan (azan) pada hari Jumaat pada mulanya (dilakukan) apabila Imam duduk di atas mimbar, (begitulah) pada zaman Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, Abu Bakar dan ‘Umar radhiallahu’ anhuma. Namun tatkala manusia bertambah ramai pada (zaman ‘Uthman radhiallahu’ anh), beliau menambahkan seruan ke tiga di atas al-Zaura’. - Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 912.
Iqamah juga dikenali sebagai azan maka maksud tiga azan dalam hadis ini adalah dua kali azan yakni di al-Zaura’ dan Masjid Nabawi dan sekali Iqamah sejurus sebelum melaksanakan solat Jumaat. Berkaitan dengan faktor yang menyebabkan Saidina Uthman radhiallahu’ anh mengarahkan diserukan azan pertama di al-Zaura’, menurut Syaikh Abu Ubaidah Masyhur:
Sebab yang mendorong Uthman untuk melakukan azan dua kali sudah tidak ada lagi pada zaman sekarang ini. Sebab dulu Uthman berada di sebuah kota yang sangat besar seperti al-Madinah al-Munawwarah dengan hanya satu masjid di dalamnya. Padahal jumlah penduduk terlalu ramai dan tempat tinggal sangat berjauhan. Oleh kerana itu mereka menghadapi kesulitan untuk mendengar suara azan yang dikumandangkan dari pintu masjid. Adapun kota yang sudah banyak masjidnya, maka orang tidak perlu lagi untuk berjalan jauh-jauh ketika hendak menghadiri solat Jumaat. Selain itu bukankah azan pada zaman sekarang telah dimasukkan di dalam pembesar suara. Maka azan dua kali yang diupayakan oleh Uthman tidak perlu lagi dikerjakan...Kesimpulannya, bahawa menurut kami, sekarang ini sudah cukup mengumandangkan azan sekali sahaja, seperti yang dikerjakan pada zaman Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam. Azan itu hendaklah dilakukan ketika imam keluar dan mula naik ke atas mimbar. – Rujuk Abu Ubaidah Mashur bin Hassan, Al-Qawl al-Mubiin fii Akhthaa’ al-Musholliin (Edisi terjemahan dengan tajukKoreksi Total Ritual Solat, Pustaka Azzam, Jakarta 2001), ms. 344.
Menurut Syaikh Wahid Abdussalam Bali senario yang memungkinkan untuk melaungkan azan dua kali untuk solat Jumaat pada zaman sekarang adalah seperti berikut:
Jika sekarang ada sebuah kampung yang tidak memiliki pembesar suara untuk menguatkan suara azan, penduduknya tidak memiliki jam untuk memberitahukan kepada mereka bahawa waktu (untuk solat) Jumaat sudah dekat, dan tidak pula di rumah-rumah mereka terdapat radio dan sejenisnya dari sarana-sarana komunikasi moden yang dengannya mereka boleh mengetahui masuknya waktu solat Jumaat, maka disyari’atkan agar muadzin mengumandangkan azan kepada mereka di tempat tinggi beberapa waktu sebelum waktu Jumaat yang cukup agar mereka dapat bersiap-siap untuk menunaikan solat Jumaat
Adapun jika manusia memiliki jam yang dapat memberitahukan waktu kepada mereka, atau di masjid terdapat pembesar suara yang boleh memperdengarkan kepada manusia di rumah-rumah dan tempat kerja mereka, maka azan awal di dalam keadaan ini tidak diperlukan lagi. Sebaiknya, ketika itu hanya mencukupkan dengan satu azan pada saat khatib naik mimbar. – Rujuk Syaikh Wahid Abdussalam Bali, Al-Kalimat al-Nafi’ah fil Akhtha’ asy-Sya’iah (edisi terjemahan dengan tajuk 474 Kesalahan Dalam Akidah & Ibadah Beserta Koreksinya, Darul Haq, Jakarta 2005), ms. 385.
Menurut Imam al-Syafi’i r.h mencontohi Rasulullah s.a.w. adalah lebih beliau sukai iaitu mengekalkan dengan hanya satu laungan azan sahaja sepertimana ketika Nabi s.a.w. telah duduk di atas mimbar. Ini sebagaimana dikatakan oleh al-Sa’ib bin Yazid radhiallahu’ anh, dia berkata:
كَانَ بِلاَلٌ يُؤَذِّنُ إِذَا جَلَسَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَلَى الْمِنْبَرِ يَوْمَ الْجُمُعَةِ
فَإِذَا نَزَلَ أَقَامَ.
Maksudnya:
Bilal menyerukan azan bila Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah duduk di atas mimbar, dan dia iqamah bila baginda telah turun. - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i dalam Sunannya, Kitab al-Jumu’ah, hadis. no 1377.
Wahai pembaca yang budiman, ketahuilah bahawa inilah mazhab sebenar Imam al-Syafi’i rahimahullah tentang jumlah azan untuk solat Jumaat. Sebaik sahaja tukang azan selesai melaungkan azan, maka imam akan bangun dan memulakan khutbahnya. Maka ketika ini semua makmum wajib diam dan menumpukan perhatian kepada khutbah imam.
v Adakah Disyari’atkan Solat Qabliyah Jumaat?
Setelah kita fahami bahawa yang lebih bertepatan dengan sunnah baginda shallallahu ‘alaihi wasallam dan mazhab sebenar Imam al-Syafi’i rahimahullah berkaitan dengan azan pada hari Jumaat adalah dengan dikumandangkan sekali sahaja, maka kita juga boleh simpulkan bahawa pendapat yang lebih tepat adalah tidak disyari’atkan untuk mengerjakan solat sunat Qabliyah sesudah azan kerana tidak ada ruang waktu untuk mendirikannya. Ini adalah kerana sebaik sahaja selesai azan, imam akan membacakan khutbahnya. Telah berkata al-Hafidz al-‘Iraqi rahimahullahberkaitan dengan hal ini:
Tidak diriwayatkan daripada Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bahawa baginda pernah solat sunat sebelum solat Jumaat, kerana baginda keluar untuk solat Jumaat lalu Bilal azan di hadapannya kemudian berkhutbah. - Dinukil dari kitab Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, Al-Awjiba an-Naafi’ah ‘an As’ilati Lajnah Masjid al-Jaami’ah, ms. 43-44.
Ibnu Qayyim rahimahullah pula telah berkata:
Apa yang perlu dicatat, tidak terdapat solat sunat Qabliyah Jumaat. Ini disebabkan, apabila Bilal selesai melaungkan azan, maka Nabi s.a.w. terus menyampaikan khutbah tanpa ada selang waktu. Inilah yang terjadi. Maka bagaimana mungkin ada anggapan bahawa setelah Bilal azan mereka bangkit untuk mendirikan solat sunat dua rakaat. – Rujuk Ibnu Qayyim al-Jauziyyah, Mukhtashar Zaadul Ma’ad, ms. 47.
Dan sekiranya ada yang menyatakan bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam solat sunat di rumahnya, maka tentu telah datang riwayat daripada isteri-isteri baginda akan hal tersebut. Tetapi tidak ada seorang pun daripada para isteri baginda yang meriwayatkan sebegitu.
Tambahan pula hadis-hadis tentang solat Qabliyah Jumaat tidak ada yang sah daripada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam Hadis yang sering dipergunakan untuk menjustifikasikan solat Qabliyah Jumaat adalah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah dan al-Thabraniy rahimahullah iaitu:
كَانَ يُصَلِّي قَبْلَ اَلْجُمُعَة أَرْبَعًا وَبَعْدَهَا أَرْبَعًا لاَ يُفْصَلُ فِي شَيْءٍ مِنْهُنَّ.
Maksudnya:
Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam selalu solat sebelum (Qabliyah) Jumaat empat rakaat dan sesudah (Ba’diyah) sebanyak empat rakaat, baginda tidak memisahkan di antara empat rakaat itu (dengan salam). - Hadis riwayat Imam Ibnu Majah dalam Sunannya, Kitab Iqamah al-Shalah wa al-Sunnah Fiha, no: 1119 dan Imam al-Thabraniy dalam kitab al-Mu’jam Kabir, no: 12674.
Namun begitu perawi-perawi dalam sanad hadis ini telah dikritik hebat oleh ulamak hadis seperti Imam Ahmad, Imam al-Bushiriy, Imam al-Zayla’iy, Imam Ibnu Qayyim, Imam al-Nawawi, al-Hafidz Ibnu Hajar dan Imam al-Albanirahimahullah sehingga taraf hadis ini adalah berstatus dha’if jiddan (sangat lemah). Ulamak hadis telah bersepakat bahawa hadis dha’if Jiddan tidak boleh dijadikan sandaran untuk menetapkan hukum.
Al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah iaitu seorang tokoh ulamak hadis bermazhab Syafi’i juga telah berkata:
Ada juga hadis yang menyebutkan disunnahkan melaksanakan solat sunat sebelum (Qabliyah) Jumaat, tetapi sanad hadis ini dha’if (lemah). Di antaranya adalah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah oleh al-Bazzar:
كَانَ يُصَلِّي قَبْلَ اَلْجُمُعَة رَكْعَتَيْنِ وَبَعْدَهَا أَرْبَعًا.
Maksudnya:
“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan solat sunat dua rakaat sebelum (Qabliyah) solat Jumaat, dan empat rakaat setelah solat Jumaat.”
Hadis serupa daripada ‘Ali yang diriwayatkan oleh Atsram dan Thabraniy dalam kitab al-Ausath:
كَانَ يُصَلِّي قَبْلَ اَلْجُمُعَة أَرْبَعًا وَبَعْدَهَا أَرْبَعًا.
Maksudnya:
“Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam melaksanakan solat sunat sebelum (Qabliyah) solat Jumaat empat rakaat dan setelahnya empat rakaat.”
Akan tetapi dalam silsilah sanad riwayat ini terdapat Muhammad bin Abdurrahman al-Sahmi, dan dia adalah orang yang dha’if (lemah) menurut Imam al-Bukhari dan lainnya. Atsram mengatakan bahawa hadis ini adalah hadis yang lemah. Daripada Ibnu ‘Abbas juga disebutkan hadis yang serupa, akan tetapi dengan tambahan لاَ يُفْصَلُ فِي شَيْءٍ مِنْهُنَّ “Baginda tidak memisahkan empat rakaat itu (dengan salam)”. Ibnu Majah meriwayatkan hadis ini dengan sanad yang lemah. Imam al-Nawawi mengatakan dalam kitab al-Khulashah, bahawa hadis ini adalah hadis yang batil. Hadis ini juga disebutkan daripada Ibnu Mas’ud dan silsilah sanadnya lemah dan terputus. – Rujuk Al-Hafidz Ibnu Hajar al-’Asqalani, Fathul Baari, Jilid 5, ms. 210-211 ketika mengsyarah no: 937.
Setelah mengetahui kelemahan hadis solat Qabliyah Jumaat ini, maka penulis ingin menganjurkan kepada para pembaca yang budiman untuk meninggalkannya dan menggantikannya pula dengan melaksanakan solat sunat Mutlak seperti yang telah diperjelaskan sebelum ini memandangkan solat sunat Mutlak tersebut memang sahih ada contohnya daripada baginda shallallahu ‘alaihi wasallam dan juga merupakan mazhab sebenar Imam al-Syafi’i rahimahullah.
v Solat Ba’diyah Jumaat.
Berkaitan dengan solat sunat Ba’diyah (sesudah) Jumaat maka telah sepakat di kalangan ulamak bahawa ianya disyari’atkan. Ianya boleh dilaksanakan dengan dua rakaat atau empat rakaat setelah kita menyelesaikan solat Jumaat dan yang afdal ianya dikerjakan di rumah. Daripada Abu Hurairah radhiallahu’ anh, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ الْجُمُعَةَ فَلْيُصَلِّ بَعْدَهَا أَرْبَعًا.
Maksudnya:
Barangsiapa di antara kamu yang hendak bersolat, maka hendaklah bersolat empat rakaat sesudah (solat) Jumaat. - Hadis riwayat Imam Muslim dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 881.
Daripada Ibnu ‘Umar (radhiallahu’ anh), dia berkata:
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُصَلِّي بَعْدَ الْجُمُعَةِ رَكْعَتَيْنِ فِي بَيْتِهِ.
Maksudnya:
Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersolat dua rakaat sesudah (solat) Jumaat dua rakaat di rumahnya. - Hadis riwayat Imam al-Nasa’i, dalam Sunannya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1411.
v Ringkasan Tatacara Mengerjakan Solat Ba’diyah Jumaat
A) Tatacara Solat Rawatib Zuhur Dua Rakaat
Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Ba’diyah Jumaat
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca Surah al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Sujud
9) Duduk antara dua sujud
10) Sujud kali kedua
11) Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua
1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Duduk untuk tahiyyat akhir
3) Memberi salam kanan dan kiri
B) Tatacara Solat Ba’diyah Jumaat Empat Rakaat
Boleh dilaksanakan seperti solat Ba’diyah Jumaat dua rakaat di atas sebanyak dua kali ataupun dengan sekaligus mengerjakan empat rakaat dengan dua tahiyyat seperti di bawah.
Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Qabliyah / Ba’diyah Zuhur
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca Surah al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Sujud
9) Duduk antara dua sujud
10) Sujud kali kedua
11) Bangun untuk rakaat kedua
Rakaat Kedua
1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Duduk untuk tahiyyat awal
3) Bangun untuk rakaat ketiga
Rakaat Ketiga
1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Bangun untuk rakaat keempat
Rakaat Keempat
1) Ulang seperti rakaat pertama dari nombor (4) hingga (10)
2) Duduk untuk tahiyyat akhir
3) Memberi salam ke kanan dan ke kiri
6) SOLAT RAWATIB GHAIRU MU’AKKAD
Berkaitan solat Rawatib Qabliyah Asar, Maghrib dan Isyak maka ianya termasuk dalam solat sunat yang tidakmu’akkad. Maka mengerjakannya termasuklah amalan-amalan sunat yang terpuji. Dalil disyariatkan solat-solat tersebut adalah keumuman sabda Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam:
بَيْنَ كُلِّ أَذَانَيْنِ صَلاَةٌ ثَلاَثًا لِمَنْ شَاءَ.
Maksudnya:
Di antara setiap dua azan (iaitu azan dan iqamah) ada solat (sunat) – baginda mengulanginya hingga tiga kali- bagi yang menghendakinya. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Azaan, no 624.
Di samping itu terdapat juga hadis khusus yang meriwayatkan anjuran untuk mengerjakan solat Qabliyah Asar sebanyak empat rakaat malah bagi mereka yang mengerjakannya akan dikasihi oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Daripada Ibnu ‘Umar radhiallahu’ anh, Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
رَحِمَ اللَّهُ امْرَأً صَلَّى قَبْلَ الْعَصْرِ أَرْبَعًا.
Maksudnya:
Allah akan mengasihi orang yang mengerjakan solat empat rakaat sebelum Asar. – Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi dalam Sunannya, Kitab al-Sholaah, no: 430.
Berkaitan solat Qabliyah Maghrib telah diriwayatkan daripada Anas bin Malik radhiallahu’ anh, dia berkata:
كَانَ الْمُؤَذِّنُ إِذَا أَذَّنَ قَامَ نَاسٌ مِنْ أَصْحَابِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَبْتَدِرُونَ السَّوَارِيَ
حَتَّى يَخْرُجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُمْ كَذَلِكَ يُصَلُّونَ الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْمَغْرِبِ
وَلَمْ يَكُنْ بَيْنَ الأَذَانِ وَالإِقَامَةِ شَيْءٌ. قَالَ عُثْمَانُ بْنُ جَبَلَةَ وَأَبُو دَاوُدَ عَنْ شُعْبَةَ:
لَمْ يَكُنْ بَيْنَهُمَا إِلَّا قَلِيلٌ.
Biasanya apabila muadzdzin (juru azan) mengumandangkan azan, maka para sahabat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam berdiri dan segera menghampiri tiang-tiang (untuk dijadikan sutrah) sampai Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam keluar sedang mereka dalam keadaan demikian. Mereka solat dua rakaat sebelum (Qabliyah) Maghrib. Tiada (yakni jarak waktu yang singkat) sesuatu di antara azan dan iqamah. ‘Utsman bin Jabalah dan Daud meriwayatkan daripada Syu’bah: Tiada (jarak) antara keduanya kecuali sebentar. – Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Shahihnya,Kitab al-Azaan, no: 625
Berkenaan dengan solat Qabliyah Maghrib ini al-Hafidz Ibnu Hajar rahimahullah berkata:
Saya (iaitu Ibnu Hajar) katakan bahawa seluruh dalil menunjukkan bahawa solat dua rakaat sebelum (Qabliyah) Maghrib dilaksanakan secara ringkas (ringan) seperti solat sunat Fajar. Hikmah dianjurkan solat sunat dua rakaat tersebut adalah sebagai harapan agar doanya dimakbulkan, sebab doa di antara azan dan iqamah tidak ditolak (mustajab). Apabila suatu waktu itu lebih mulia, maka pahala ibadah yang dikerjakan pada waktu tersebut akan lebih banyak – al-Hafidz Ibnu Hajar al-‘Asqalani, Fathul Baari, jilid 4, ms. 89
No comments:
Post a Comment