SENI ABAD KE-19
Pengenalan
Abad ke-19 dianggap sebagai salah satu abad penting dalam perkembangan seni lukis kerana ia disifatkan sebagai satu era peralihan daripada budaya tradisi kepada moden. Ini lebih jelas bila kita melihat kepada perkembangan seni pada separuh kedua abad itu, dengan kemunculan aliran-aliran seni baru seperti Impresionesme dan Post-Impresionisme yang menentang pendekatan-pendekatan konvensional seni. Abad ke-19 juga menyaksikan kelahiran banyak aliran seni lain, justeru itu kelihatan lebih kompleks jika dibandingkan dengan abad-abad sebelumnya. Kalau sebelum ini stail seni lazimnya dikelompokkan dalam satu abad, seperti Renaisan bagi abad ke-15 dan 16, ataupun Baroque bagi abad ke-17 dan Rococo bagi abad ke-18, seni abad ke-19 dan seterusnya perlu diamati menerusi pelbagai aliran dan pergerakan seni lukis. Abad ke-19 juga disifatkan sebagai periode yang penting kerana aliran-aliran seni pada akhir abad itu, khususnya Post-Impresionisme banyak mempengaruhi pembentukan stail seni pada abad ke-20.
Seni catan
Lima pergerakan catan yang utama pada abad ke-19 adalah:
Neo-Classicicsme atau Neo-Klasik (s.1770-1820)
Romanticism (s. 1800-1850)
Realism (s.1850-1880)
Impresionisme (s.1870-1888)
Post-Impresionisme (s.1880-1905)
Neo-Classicisme atau Neo-Klasik
Ia adalah aliran utama seni lukis dan seni bina Eropah akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19. Neo-Classicisme dikenali menerusi kecenderungan untuk mewujudkan kembali semangat kekukuhan dan unsur-unsur dekoratif seni Yunani dan Rumawi dalam kehidupan harian. Neo-Classicisme berusaha untuk mempertingkatkan moral, menyemarakkan sikap patriotic yang sudahnya menggalakkan Revolusi Perancis dan Amerika. Subjek sejarah, hikayat Rumawi dan Yunani serta peristiwa semasa menjadi popular. Dua pelukis pentingnya ialah Jacques-Louis David dan J. A. D. Ingres.
Contoh-contoh karya
Jacques-Louis David
‘Oath of the Horattii’ (1784)
‘Death of Marat’ (1793)
‘Rape of the Sabines’ (1799)
‘The Consecration of Napoleon’ (1806-07)
J. A. D. Ingres
‘Oedipus and the Sphinx’ (1808)
‘Grande Odalisque’ (1814)
Romanticisme
Aliran seni ini berkembang sekitar akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19. Manifestasinya pelbagai, justeru itu satu definisi khusus sukar dicapai. Namun begitu, pokok prinsip utamanya ialah “suatu kepercayaan terhadap nilai-nilai pengalaman individu”.
Seniman-seniman romantic meneroka nilai-nilai intuisi atau dalaman, serta menukar kecenderungan public daripada Neo-Klasik yang umum, kepada suatu ekspresi yang lebih bersifat peribadi. Menurut ahli falsafah Jerman G. W. F. Hegel dalam lectures on Aesthetics, “dalam seni romantic, bentuk ditentukan oleh idea dalaman atau inti makna yang mewakili seni itu”.
Romanticism lebih cenderung kepada sesuatu yang ideal, bukannya real. Ia menyokong konsep kesucian, kebesaran, kebaikan dan kelebihan kuasa. Justeru itu, sebagaimana Neo-Classicisme, ia mengagungkan Revolusi dan Napoleon. Subjeknya dipetik dari sastera, sejarah, peristiwa semasa, patriotism dan keperwiraan. Di antara pelukis-pelukis utama Romanticisme ialah Francisco Goya di Sepanyol, Theodore Gericault dan Eugene Delacroix di Perancis.
Contoh-contoh karya
Francisco Goya
‘The Parasol’ (1777)
‘The Family of Charles IV’ (1800)
‘The Third of May’ (1814-15)
Theodore Gericault
‘The Raft of the Medusa’ (1818-19)
Eugene Delacroix
‘The Massacre at Chios’ (1822-24)
‘Liberty Guiding the People’ (1830)
Realisme
Pelukis-pelukis realis menentang prinsip-prinsip Neo-Classicisme dan Romanticisme. Mereka ingin menggambarkan subjek-subjek yang sebenar dan betul dalam kehidupan, seperti kepayahan hidup masyarakat kelas bawahan. Dalam konteks ini, karya-karya mereka bersifat satira dan kritikan. Landskap dan kehidupan harian (catan-catan genre) penting bagi mereka. Di antara pelukis-pelukis Realisme yang utama ialah Corot, Millet, Daumier dan Courbet.
Di antara pelukis-pelukis ini, karya-karya Daumier agak tersendiri dan berlainan kerana penampilan unsur-unsur kartun dan karikatur yang kuat. Menerusi pendekatan sedemikian, Daumier mengkritik kelas atasan yang tidak mempedulikan kehidupan golongan bawahan yang miskin lagi melarat. Selain catan, lukisan, dan cetakan, Daumier turut menghasilkan arca-arca karikatur tokoh-tokoh bangsawan sebagai media sindiran, kritikan dan jenaka. Tidak hairanlah jika Daumier juga boleh dihubungkan dengan beberapa karikaturis terdahulu yang turut menjadikan karya mereka sebagai senjata kritikan, seperti Charles Philipon dengan karya berjudul ‘King Louis Philippe as a Pear’ (1831).
Contoh-contoh karya
Jean Baptiste Camille Corot
‘Papigno’ (1826)
Jean Francois Millet
‘The Sower’ (1850)
‘The Gleaners’ (1857)
Honore Daumier
‘Third Class Carriage’ (1862)
‘Bust of Jean Fulchiron’ (1830-2)
‘Past, Present and Future : Louis- Phillipe as a Pear’ (1834)
Gustave Coubet
‘The Stone Breakers’ (1849)
‘Woman Winnowing Corn’ (1853)
‘The Artist’s Studio’ (1855)
Impresionisme
Impresionisme merupakan salah satu aliran seni terpenting menjelang abad ke-19 dan disifatkan ramai sebagai perintis kerana kaedah mereka berkarya berbeza daripada pendekatan konvensional seni lukis. Pada mulanya, karya-karya Impresionisme ditolak Salon, dan disifatkan sebagai karya-karya yang belum siap. Ini ekoran daripada pendekatan sapuan berus mereka yang begitu spontan dalam merakamkan subjek-subjek mereka, sama ada figura mahupun landskap. Kerana perbezaan stail dengan stail akademik dan konvensional yang disanjungi Salon, maka karya-karya impresionis itu disifatkan sebagai sati Revolusi dalam seni.
Istilah Impresionisme terbit sebagai suatu istilah bagi menamakan sekumpulan pelukis itu yang berkarya dengan menggunakan stail yang sama di kota Paris sekitar tahun 1872-1882. Umumnya, kecenderungan para pelukis ini adalah merakam impresi dan kesan tampak yang bersifat sementara. Subjek mereka adalah warna dan cahaya. Mereka mengkaji bagaimana warna berubah mengikut masa pada satu-satu masa dan suasana, serta bagaimana cahaya mengubah permukaan dan ruang. Seni foto dan seni cetakpotongan kayu Jepun adalah di antara pengaruh-pengaruh luar yang wujud dalam Impresionisme. Kecenderungan terhadap cetakan kayu Jepun (Ukiyo-e) serta budaya Jepun secara umumnya dikenali sebagai Japonisme.
Karya-karya impresionis umumnya merakamkan landskap dan figura manusia. Agak berbeza daripada seni lukis sebelum mereka, landskap-landskap impresionis banyak menggambarkan gaya hidup moden seperti suasana kota, stesyen keretapi, jalan raya, pelabuhan serta suasana perkelahan. Kecenderungan ini mencerminkan minat baru dalam seni yang seolah-olah mencerminkan suatu keghairahan terhadap dunia dan budaya moden serta kemajuan industri. Factor ini menjadi sebahagian daripada hujahan bahawa Impresionisme sebagai perintis seni moden. Di antara pelukis-pelukis utama Impresionisme ialah Manet, Monet, Degas, Renoir, Caillebotte dan Pissarro.
Contoh-contoh karya
Edouard Manet
‘In the Boat’ (1874)
Claude Monet
‘Impression Sunrise’ (1872)
‘Snow Effect at Vetheuil’ (1878)
‘The Lily Pond’ (1899)
Camille Pisarro
‘Place Du Theatre Francais’ (1895)
‘Approach To The Village’ (1872)
Pierre Auguste Renoir
‘La Moulin De La Gallette’ (1876)
‘Le Pont Neuf’ (1872)
‘Young Man In The Forest At Fountainblue’ (1886)
Edgar Degas
‘The Ballet Rehearsal’ (1876)
‘After The Bath’ (1889-90)
‘Café Concert : At Les Ambassadeurs’ (1876-77)
Gustave Caillebotte
‘Paris: A Rainy Day’ (1877)
Post- Impresionisme
Post- Impresionisme bukanlah sebuah kumpulan seni lukis yang terancang, tetapi merupakan satu istilah yang digunakan untuk menamakan sekumpulan pelukis yang aktif berkarya pada abad ke-19 di Paris. Pada dasarnya, mereka itu merupakan pelukis-pelukis impresionis, tetapi kemudiannya merasakan prinsip-prinsip Impresionisme terlalu sempit dan terhad. Lantas, mereka menolak Impresionisme dan membentuk prinsip-prinsip tersendiri yang baru. Antaranya :
Minit terhadap kekukuhan bentuk, sebagaimana yang terdapat dalam karya-karya Cezanne dan Seurat. Ini mempengaruhi banyak aliran dan gaya seni pada abad ke-20 seperti kubisme, De Stijl dan Seni Abstrak.
Minat untuk menggunakan warna, garisan dan corak secara ekspresif dan simbolik seperti dalam karya-karya Van Gogh dan Gaugin. Ini melahirkan Ekspresionisme dan Surealisme.
Istilah Post-Impresionisme telah diberikan oleh pelukis dan pengkritik seni Inggeris Roger Fry pada 1910. Fry telah ke Perancis mengumpulkan karya-karya Cezanne, Gaugin, Van Gogh, Seurat dan Matisse untuk dipamerkan di galeri seni di London. Beliau menamakan pameran tersebut Post-Impresionisme. Selain bermaksud pelukis-pelukis yang datang selepas Impresionisme, Fry dalam catalog pameran menjelaskan yang Post-Impresionis adalah “pelukis yang tidak meniru bentuk; tidak meniru sesuatu yang hidup , tetapi mencari persamaan (seni) kepada yang hidup. Mereka membuat imej secara logic dan bernas, berupaya menarik daya imaginasi dan pengamatan kita, seperti juga benda-benda dari kehidupan yang sebenar mempengaruhi aktiviti kita”.
Pelukis-pelukis Post-Impresionisme
Paul Cezanne
Cezanne menegaskan bahawa kesemua bentuk terbahagi kepada tiga kategori asas iaitu kun, silinder dan sfera. Dalam karya-karyanya, tidak kira landskap, figura mahupun alam benda, Cezanne memberi tumpuan kepada persoalan bentuk. Justeru itu, imej-imej figuranya kelihatan padu dan berstruktur bagaikan arca. Kesan ini dicapai menerusi sapuan-sapuan warnanya yang tebal menerusi teknik Impasto.
Pegangan Cezanne terhadap persoalan bentuk lebih ketara dalam catan-catan alam bendanya. Di samping itu, dalam lanskap seperti siri ‘Mt. St. Victoire’, para penghayat dapat mengesan perubahan stail yang agak naturalistic kepada yang bersifat semi-mujarad. Bentuk-bentuk bersegi-segi (geometrik) terjelma dan ini telah memberi ilham kepada tercetusnya aliran Kubisme yang dipelopori Picasso dan Braque pada awal abad ke-20.
Contoh-contoh karya
‘Self- Portrait’ (1879)
‘Mont St. Victoire’ (1886-88)
‘Still Life With Apples And Oranges’ (1895-1900)
‘The Bathers’ (1898-1905)
Georges Seurat
Seurat menghasilkan karyanya dengan mengkaji teori-teori warna secara saintifik. Beliau menggunakan sapuan-sapuan berus yang halus seperti titik warna yang ditindan-tindan dan diatur sebelah menyebelah. Gaya ini dikenali juga sebagai Neo-Impresionisme, Divisionisme atau Pointilisme. Seperti para impresionis yang menggambarkan landskap seperti serta panorama kehidupan kota, Seurat juga banyak merakamkan suasana sedemikian, seperti gaya hidup golongan pertengahan di Paris yang bersiar-siar di pantai pada hujung minggu. Ini secara tidak langsung menggambarkan subjek-subjek baru serta kecenderungan terhadap kemodenan menjelang abad baru.
Contoh-contoh karya
‘Bathers’ (1884-85)
‘Sunday Afternoon On The Island Of La Grande Jatte’ (1884-1886)
‘The Eiffel Tower’ (1889)
Paul Gauguin
Gauguin banyak menimba aspirasi daripada kesenian oriental dan seni masyarakat peribumi. Bentuk-bentuk dalam karyanya bersifat papar dengan penggunaan warna yang dekoratif sebagai suatu kaedah meluahkan emosi.
Contoh-contoh karya
‘Vision After The Sermon’ (1888)
‘The Spirit Of The Dead Watching’ (1892)
Van Gogh
Seperti Gauguin, beliau ingin meluahkan emosi menerusi seni lukis. Ini dihasilkan menerusi warna yang simbolik dan sapuan berus yang tertentu. Karya-karya Van Gogh, terutamanya potret diri seakan-akan menjelmakan nilai-nilai psikologi yang kuat. Unsur-unsur kecemasan malah kesunyian terjelma menerusi ekspresi wajah serta sapuan-sapuan berus yang berlingkaran dan berpusaran. Gauguin dan Van Gogh bnayak memberi inspirasi hingga tercetusnya Ekpresionisme.
Contoh-contoh karya
‘Sunflowers’ (1886)
‘Self-Portrait’ (1889)
‘Starry Night’ (1889)
‘Corn Field And Cypress Trees’ (1889)
Henri De Toulousse-Lautrec
Lautrec banyak menggambarkan suasana kelab malam, teater, café, restoran, dan rumah pelacuran dalam karya-karyanya. Di antara cirri-ciri utama dalam karya-karya beliau itu ialah penggunaan garis luaran yang kuat serta warna papar dalam pembentukan imej serta figuradan suasana persekitaran. Karya-karya Lautrec mengingatkan penghayat kepada seni grafik khususnya seni poster, serta menjelmakan pengaruh seni cetakan kayu Jepun (Ukiyo-e) yang kuat. Dalam kesenian Jepun itu, garis luaran memberi kekukuhan pada imej yang lazimnya melukiskan gambaran kehidupan kota masyarakat Jepun, seperti para geisha, pelakon teater dan drama.
Contoh-contoh karya
‘At The Moulin Rouge’(1892)
‘Yvette Guilbert Taking A Curtain Call’ (1894)
Edvard Munch
Seorang pelukis berbangsa Norway, cirri-ciri ketegangan, ketakutan dan hysteria diadunnya dalam karya-karya yang berkaitan dengan persoalan-persoalan seks, kematian dan kesunyian. Munch terpengaruh dengan karya-karya Van Gogh, Gauguin dan Lautrec. Warna digunakannya untuk meluahkan perasaan dan gayanya itu kemudiannya mempengaruhi pelukis-pelukis ekspresionis Jerman pada abad ke-20.
Contoh-contoh karya
‘the scream’ (1893)
‘the dance of life’ (1899)
Seni arca
Dalam separuh pertama abad ke-19, seni arca Barat lebih merupakan tugu-tugu yang merakamkan peristiwa bersejarah atau perwira. Justeru itu, ia dianggap oleh ramai sebagai seni yang yang tidak sehebat catan. Namun demikian, menjelang akhir abad ke-19 itu, pengarca Perancis Auguste Rodin muncul dengan karya-karya arca figuratif yang begitu ekpresif lagi bertenaga. Kemunculan Rodin seolah-olah memberi nafas baru kepada seni arca yang sekian lama diselindungi oleh kehebatan dan kerancakkan perkembangan catan. Rodin memberikan pendekatan baru terhadap bentuk dengan menghasilkan arca-arca figura manusia lengkap dan separuh lengkap. Dia membangkitkan kehebatan seni klasik dan Renaisan sewaktu para seniman catan ghairah membicarakan soal kemodenan dalam seni. Stail Rodin kemudiannya mempengaruhi para pengarca pada abad ke-20, terutamanya mereka yang berkarya dalam pendekatan yang konvensional.
Contoh-contoh karya
‘The Man With A Broken Nose’ (1864)
‘The Thinker’(1880)
‘The Age Of Bronze’ (1875)
‘Bust Of Clemenceau’ (1911)
No comments:
Post a Comment