Alam Fauna dan Flora

Fenomena Alam

EDUP3053 Teknologi Pengajaran & Pembelajaran

Sudut Agama dan Moral

Halaman Kesihatan

Halaman Pertanian

Halaman Pendidikan Seni Visual

Sudut Hiburan & Rekreasi

Wednesday, 1 March 2017

Daun jarum tujuh bilah








Pereskia saecnarosa

ARKIB : 05/12/2004
DI MALAYSIA, terdapat lebih 15,000 spesies tumbuhan kelas atas dan lebih kurang 1,200 daripadanya telah dilaporkan mempunyai nilai farmaseutikal dan neutraseutikal dan ada yang telah digunakan dalam perubatan herba. Satu daripada tumbuhan yang menarik perhatian penyelidik ialah Pereskia saecnarosa. Tumbuhan ini lebih dikenali dengan nama jarum tujuh bilah di Malaysia dan digunakan secara tradisional untuk mencegah pelbagai jenis barah. Tumbuhan in juga popular di kalangan masyarakat Cina di Malaysia dan juga dikenali dengan nama pokok 1,001 khasiat. Selain digunakan untuk mencegah barah, daun jarum tujuh bilah juga digunakan menghilangkan sakit kepala dan juga untuk menyegarkan badan. Herba ini mudah ditanam dan senang ditemui di Malaysia.

Pereskia saecnarosa atau jarum tujuh bilah
Terdapat banyak jenis spesies Pereskia di dunia ini iaitu lebih kurang 15 hingga 20 spesies. Pereskia saecnarosa atau jarum tujuh bilah, tergolong dalam kumpulan kaktus yang merupakan pokok kecil yang boleh mencecah ketinggian 3 hingga 6 meter. Mempunyai bunga yang berwarna oren. Pokok ini dipercayai berasal dari Brazil, Paraguay, Uruguay dan Argentina. Pokok ini mempunyai daun yang pendek (lebih kurang 4 inci atau 10sm) dan mempunyai jarum yang sangat tajam pada batangnya (sama seperti kaktus). Yang menariknya, jarum yang terdapat pada sepanjang batang berjumlah tujuh bilah, yang menerangkan dengan jelas perkaitan di antara nama dan sifat fizikal pokok ini.

Secara tradisionalnya, untuk mendapatkan khasiat jarum tujuh bilah ini, daunnya yang matang dipetik (satu atau dua helai daun) dan dimakan sebagai ulam bersama-sama dengan nasi atau makan secara mentah. Daun jarum tujuh bilah ini mengandungi lendir, tetapi lendir ini tidak pahit. Jika diamalkan daun ini secara berterusan, ia mungkin boleh melindungi badan daripada pelbagai jenis barah.


Terdapat lebih kurang 15 hingga 20
spesies di seluruh dunia.
Daripada kajian makmal yang dilakukan oleh pihak Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), daun jarum tujuh bilah menunjukkan jumlah aktiviti antioksidan (total antioksidan activity) yang tinggi. Walaupun nilai jumlah aktiviti antioksidannya tidak setinggi vitamin C (asid askorbik) dan vitamin E (alfa-tokoferol), tetapi nilainya masih dianggap tinggi dan sesuai untuk dimakan sebagai ulam bagi meningkatkan paras aktiviti antioksidan di dalam tubuh seseorang. Daun jarum tujuh bilah ini juga mengandungi sebatian fenolik yang sederhana tinggi. Sebatian fenolik memang telah diketahui menunjukkan aktiviti antioksidan di samping menghapuskan radikal bebas.

Pereskia grandiflora
Bagi membuktikan sama ada jarum tujuh bilah mampu untuk mengubati atau mencegah barah, kajian praklinikal telah dijalankan untuk menilai keberkesanan ekstrak daun jarum tujuh bilah secara in vitro (kultur tisu) dan juga secara in vivo (kajian haiwan). Bagi kajian kultur tisu, ekstrak daun jarum tujuh bilah bertindak secara efektif untuk merencatkan pertumbuhan sel kanser buah dada dan juga sel kanser ovari. Bagi kajian haiwan pula, ekstrak daun jarum tujuh bilah pada kepekatan 10% (100g daun jarum tujuh bilah dikisar dengan 1,000ml air) telah diuji keberkesanannya terhadap tikus yang diaruh kanser hati. Keputusannya menunjukkan bahawa ekstrak daun jarum tujuh bilah mampu untuk mengurangkan keterukan kanser hati dengan menurunkan paras enzim penanda kanser. Walau bagaimanapun, penurunan paras enzim penanda kanser tidak sampai ke paras normal yang menunjukkan bahawa ekstrak daun jarum tujuh bilah hanya mampu untuk mengurangkan keterukan kanser hati, tetapi bukannya mengubati kanser hati secara keseluruhan.

Kajian secara in vitro (kultur tisu) dan juga secara in vivo (kajian haiwan) menunjukkan bahawa daun jarum tujuh bilah tidak menunjukkan kesan toksik atau kesan sampingan yang buruk kepada sel yang normal atau tikus yang normal.

Kesimpulannya, daun jarum tujuh bilah mempunyai kesan untuk melawan atau mengubati barah, tetapi kajian lanjut masih amat diperlukan untuk menilai keberkesanannya terhadap pesakit barah atau kanser. Tiada kesan toksik dilaporkan pada sel yang normal atau tikus yang normal yang menunjukkan ia selamat untuk dimakan dalam kuantiti yang sederhana. Diharap dengan penemuan kajian ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak dan mempromosikan pemakanan ulam-ulaman tempatan bukan sahaja di Malaysia, malahan di seluruh dunia. - Profesor Madya Dr. Asmah Rahmat, (UPM).

No comments:

Post a Comment