Alam Fauna dan Flora

Fenomena Alam

EDUP3053 Teknologi Pengajaran & Pembelajaran

Sudut Agama dan Moral

Halaman Kesihatan

Halaman Pertanian

Halaman Pendidikan Seni Visual

Sudut Hiburan & Rekreasi

Thursday, 5 September 2013

MODUL SEJARAH DAN APRESIASI SENI - Pengenalan Seni Alam Melayu


PENGENALAN SENI ALAM MELAYU

1.1 Sinopsis

Pengenalan Seni Alam Melayu menerangkan tentang seni tampak masyarakat di Alam Melayu khususnya di Malaysia. Seni tampak yang dimulai dengan lukisan-lukisan gua di Semenanjung Malaysia dan Sarawak. Seterusnya tentang artifak-artifak peninggalan zaman prasejarah. Seni kaum peribumi seperti kaum Jah Hut, Mah meri dan tenunan pua kumbu oleh kaum Iban juga dibincang untuk lebih mengenali seni Alam Melayu. Simbol-simbol  yang digunakan pada karya seni mereka dan maknanya dikaji untuk mentafsirkan mesej yang ingin disampaikan

Pengenalan Seni Alam Melayu
Lukisan Gua
Artifak

Seni Pribumi
Kaum Jah-hut
Kaum Mah meri
Pua Kumbu

Pengenalan

Seni di Alam Melayu telah lama wujud. Kewujudannya dibuktikan dengan penemuan-penemuan pelbagai artifak sejarah khususnya artifak seni  di beberapa tapak arkeologi di seluruh negara. Artifak-artifak sejarah meliputi hasil seni seperti artifak peninggalan  Zaman Logam. 

Selain artifak-artifak, lukisan-lukisan di gua juga merupakan manisfestasi manusia terhadap kehidupan mereka dan membuktikan bahawa manusia di zaman dahulu telah mempunyai cara untuk mengekspresi perasaan mereka seperti lukisan-lukisan gua yang terdapat di Bukit Tambun, Perak, Gua Balambangan, Sabah dan Gua Niah, Sarawak.

Lakaran pada dinding-dinding gua menunjukkan hubungkait yang sangat rapat antara kehidupan dan alam sekitar. Lakaran-lakaran yang dihasilkan kelihatan tidak bertindih di antara satu sama lain. Penceritaan tentang sesuatu peristiwa itu sangat  signifikan dan istimewa seolah-olah dirancang. 

Pada asalnya seni tampak di Alam Melayu lahir kerana keinginan manusia untuk menghasilkan peralatan bagi memudahkan urusan atau kehidupan seharian mereka. Penghasilan peralatan seperti peralatan memburu dan pertanian telah membuktikannya. Penghasilan patung-patung dikalangan kaum pribumi bukan untuk tujuan beribadat atau untuk disembah. Kaum-kaum pribumi yang masih kuat pegangan animisnya menganggap ukiran-ukiran ini sebagai satu cara untuk berhubung dengan dunia roh yang mereka percayai wujud di dalam alam semulajadi.

Manusia zaman dahulu juga ingin mengekpresikan hubungan antara alam dan kehidupan mereka. Semangat alam diadun dengan kepercayaan dan disebatikan dalam kehidupan. Kepercayaan mereka terhadap alam telah melahirkan beberapa pantang larang dalam transformasi bentuk alam ke bentuk tampak. Motif-motif pada pua kumbu misalnya, tidak akan dihasilkan sewenang-wenang oleh penenunnya. Pelbagai pantang larang masih dipegang untuk menghindarkan penenun daripada ditimpa pelbagai musibah.

1.5 Lukisan Gua
Lukisan awal telah ditemui di dinding-dinding gua yang dihasilkan oleh manusia purba. Lukisan tersebut berkisar tentang aktiviti kehidupan seharian seperti perburuan dan pengembaraan. Di Malaysia, lukisan gua telah dijumpai di Gua Tambun di Perak, Gua Niah di Sarawak dan Gua Balambangan di Sabah. Kebanyakan karya lukisan di dinding gua menggunakan gaya yang sama, iaitu imej binatang digambarkan dengan pelbagai kualiti garisan ringkas dengan komposisi yang hampir sama, iaitu memanjang dan berkumpulan serta menggambarkan pelbagai binatang yang mungkin menjadi hasil buruan untuk makanan mereka pada zaman dulu.

Menurut M. Matthews, seorang penulis yang menulis di dalam terbitan isu ‘Malaya Dalam Sejarah – Majalah Persatuan Sejarah Malaya’ pada bulan November 1959 berkata, “Lukisan di Gua Tambun menggunakan satu warna – tidak jelas. Dalam sesetengah kumpulan, warnanya unggu pekat dan dalam kumpulan lain, warnanya merah pudar. Banyak lukisan ini memaparkan individu-individu lelaki yang dilukis kasar. Ada di antara haiwan yang dilukis ini mudah untuk dikenalpasti tetapi ada juga yang kurang jelas dan imaginasi diperlukan untuk membayangkan apa sebenarnya yang cuba digambarkan oleh pelukis tersebut.” 
Tetapi kebanyakan lukisan di sini agak jelas di lihat dan memaparkan haiwan seperti dugong, tapir, dan rusa. Rusa yang dilukis di sini amat menarik kerana kesemuanya kelihatan seperti rusa betina yang sedang bunting dan salah satu darinya juga mempunyai bayangan anak rusa di dalam perutnya! Pada suatu masa dahulu, lukisan yang membentuk galeri gambar ini terpampang sepanjang lebih dari seratus kaki, tetapi masa dan cuaca telah menghapuskan sebahagian besar lukisan ini. 

Sesetengah kajian mengatakan bahawa hematit (bahan yang menghasilkan warna merah) telah digunakan untuk menghasilkan lukisan-lukisan gua di Gua Tambun. Kebanyakkan pengkaji percaya bahawa ia telah dilukis oleh masyarakat Zaman Noelitik.

Selain itu, terdapat juga lukisan lain di gua tersebut yang dipercayai dilukis oleh masyarakat awal orang asli seperti yang terdapat di Lenggong, Sungai Siput, Perak, di Hulu Kelantan, di Pahang dan juga di Kedah. Lukisan-lukisan tersebut boleh dikelompokkan ke dalam beberapa bentuk iaitu bentuk manusia, haiwan, geometrik, sampan, unsur alam dan juga bentuk abstrak. Ia dihasilkan dengan menggunakan arang.

Pada bahagian lain di Gua Kain Hitam, yang terletak berdekatan dengan Gua Niah, lukisan dinding sepanjang 200 kaki  telah dijumpai. Garisan-garisan pada lukisan tersebut adalah tebal dan menggambarkan sebuah bot panjang dan susunan manusia yang menari. Turut dijumpai di Gua Kain Hitam tersebut adalah bot-bot lama, tembikar China dan manik kaca. Lukisan-lukisan ini dilukis menggunakan tanah atau batu merah yang berada tidak jauh dari gua tersebut.

Manakala lukisan di dinding Gua Balambangan, Sabah menggambarkan cantuman bentuk laktis ( oval berjalur) dengan garisan memanjang.  Bentuk-bentuk sebegitu mungkin satu bentuk abstrak yang menggambarkan satu fenomena di ketika itu. Di Gua Tasob Madai pula terdapat lukisan gua yang mewakili lukisan gua Zaman Neolitik. Lukisan ini menggunakan arang dengan gambaran motifmanusia, unsur alam, haiwan, sampan dan abstrak. Motif-motif ini menjadi bukti tentang aktiviti manusia di ketika dahulu.

Artifak

Artifak bermaksud barang-barang buatan manusia  (terutama alat perkakas dan senjata) yang merupakan peninggalan sesuatu zaman. Tempoh prasejarah negara Malaysia bermula daripada kesan-kesan terawal penempatan manusia yang diketahui iaitu di sekitar 40 ribu tahun dahulu dan berlanjutan sehingga terbentuknya Kesultanan Melaka di sekitar tahun 1400.

Faktor cuaca banyak memberi kesan pada artifak-artifak prasejarah termasuk  barangan tembikar tanah dan perkakas-perkakas yang diperbuat daripada batu dan besi. Kebanyakan artifak, termasuk kawasan perkuburan, telah ditemui di ruang yang terlindung di dalam gua-gua. Satu-satunya peninggalan binaan yang masih boleh dilihat adalah batu-batu asas bangunan yang dibina semasa era kerajaan purba di Kedah dan di Santubong, Sarawak di sekitar abad ke-5 sehingga abad ke-13.

Cara hidup berburu dan mengumpul makanan telah berubah dengan begitu dramatik sekali di sekitar 5,000 tahun dahulu berikutan dengan penemuan kaedah bagi menghasilkan perkakas batu yang digilap dan barangan tembikar tanah. Bukti-bukti penghidupan dari zaman Neolitik boleh ditemui di kawasannya sendiri, atau di kawasan-kawasan Mesolitik, termasuklah di Gua Niah di Sarawak, Gua Cha di Kelantan dan Gua Kechil di Pahang.

Kawasan-kawasan dari Zaman Logam di Semenanjung juga tertumpu di bahagian utara, melainkan penemuan sebuah loceng yang diperbuat dari gangsa di Muar, Johor. Penemuan-penemuan di bahagian pantai timur pula tertumpu di kawasan-kawasan yang mempunyai sumber emas, manakala di pantai barat pula adalah berdekatan kawasan sumber bijih timah. Kehidupan di Zaman Logam juga dapat dilihat melalui pelbagai barangan yang diperbuat daripada besi seperti sebuah alat berbentuk batang yang panjang yang dikenali dalam kalangan orang Melayu sebagai tulang mawas dan hanya ditemui di Semenanjung Malaysia.

Seni Pribumi
Di kalangan masyarakat Asli tempatan seperti kaum Mah Meri di Pulau Carey dan Jah Hut di Pahang, topeng adalah tunggak budaya mereka. Pelbagai jenis topeng yang terdapat dalam masyarakat Asli serta diberi nama tertentu seperti Roh, Poyang, Moyang, Bes, dan Hantu. Kaum asli ini membuat topeng untuk tujuan penyembahan dan perubatan. Topeng-topeng ini pada mulanya diukir oleh bomoh atau batin.



Kaum Jah-hut
Suku kaum Jah-hut adalah suku bangsa Senoi yang mendiami negeri Pahang. Kaum ini terkenal dengan hasil anyaman dari mengkuang dan pandan, bertam, buluh dan rotan.  Selain hasil anyaman, kaum Jah-hut juga sememangnya sinonim dengan pengukiran kayu terutama penghasilan arca dan merupakan lanjutan untuk kepercayaan keagamaan mereka. 

Pengukiran kayu merupakan salah satu sumber pendapatan kaum Jah-hut. Segala ciptaan dari ukiran kayu adalah berasaskan kepada imaginasi dan mimpi yang menggambarkan kuasa baik atau jahat yang ada perkaitan dengan sistem kepercayaan dan kehidupan mereka. Setiap ukiran mempunyai pelbagai maksud dari segi kepercayaan, mistik, keagamaan, lagenda serta gambaran kehidupan mereka.

Kaum Mah meri

Mah Meri merupakan salah satu daripada 18 suku kaum Orang Asli yang tinggal di Malaysia dan tergolong di dalam kumpulan besar yang digelar orang Senoi. "Mahmeri" bermaksud orang hutan manakala dalam istilah, Mahmeri memberi maksud bersisik. Mereka juga dikenali sebagai orang laut, sesuai dengan lokasi penempatan mereka yang berhampiran dengan laut iaitu di sepanjang pantai Negeri Selangor dan Pulau Carey.

Moyang Harimau Berantai
Kaum Mah Meri terkenal dengan hasil ukiran topeng kayu serta ukiran yang digunakan di dalam amalan kerohanian tradisi mereka.  Kreativiti mengukir patung-patung berbentuk dewa-dewa, figura manusia, alam flora dan fauna amat menakjubkan. Ukiran kayu Mah Meri bukan dicipta untuk tujuan beribadat atau untuk disembah. Kaum Mah Meri yang kuat pegangan animisnya menganggap ukiran-ukiran ini sebagai satu cara untuk berhubung dengan dunia roh yang mereka percayai wujud di dalam alam semulajadi. Ukiran kayu kaum Mah Meri melambangkan roh atau semangat yang wujud dan mempunyai pengaruh ke atas pelbagai aspek kehidupan mereka sama ada secara positif atau pun negatif. 
Ukiran yang dinamakan Moyang Sauh dipercayai berpengaruh ke atas keselamatan para nelayan ketika mereka turun ke laut. Moyang Sauh yang digambarkan dalam ukiran Mah Meri mempunyai bentuk seakan-akan seekor ikan atau naga laut menjadikannya sebuah ukiran yang kelihatan menyeramkan namun sangat indah pada masa yang sama. Untuk memastikan para nelayan selamat pulang, bomoh Mah Meri akan menghasilkan ukiran Moyang Sauh dan mengadakan satu upacara di tepi pantai dengan menyediakan pulut kuning dan makanan yang lain sambil meminta pertolongan Moyang Sauh agar nelayan mereka selamat di laut hinggalah mereka pulang ke darat. Ukiran serta makanan tersebut kemudiannya ditinggalkan di tepi laut setelah upacara tersebut selesai.
                       
  Moyang Jantung       Moyang Sauh    Moyang Naga
Ukiran Mah Meri juga memainkan peranan yang penting dalam usaha mereka untuk menyembuhkan penyakit seperti demam, sakit perut dan penyakit yang berkaitan dengan pembuangan air kecil. Untuk mengubati pesakit, salah seorang ahli keluarga pesakit tersebut perlu menghasilkan ukiran kayu yang melambangkan roh atau semangat yang dipercayai berpengaruh ke atas penyakit tersebut. Ukiran ini kemudian diberikan kepada bomoh mereka yang akan menjalankan upacara bagi ‘mengalihkan’ penyakit tersebut dari pesakit kepada ukiran kayu itu dan kemudian membuangnya ke laut atau ke dalam hutan, lalu secara simboliknya ‘mengeluarkan’ penyakit itu dari badan pesakit. 
Nama topeng dalam masyarakat Mah Meri berdasarkan cerita dan kepercayaan masyarakat untuk tujuan perubatan, penyembahan dan hiburan. Nama seperti Moyang Tetek Lanjut, Moyang Labi-Labi dan Moyang Katak Kala, sentiasa menjadi sebutan. Selalunya topeng ini dipakai oleh batin dan bomoh sebagai perantara alam metalizik dan realiti. Bentuk-bentuk topeng masyarakat Asli ini tidak menggunakan warna tetapi rupa topeng dibezakan melalui corak, gaya dan piuhan.
Terdapat topeng yang dipiuhkan untuk menimbulkan imejan yang menggerun, menakut serta melucukan. Terutamanya topeng untuk tujuan penyembuhan penyakit. Kebanyakan bomoh di kalangan masyarakat Asli berperanan sebagai tabib dan hakim, maka topeng menjadi mekanisme penjelmaan mereka dari manusia kepada makhluk magis.           
                    
  Ukiran topeng Kaum Mah meri

Jenis kayu yang paling digemari untuk dibuat ukiran adalah kayu nyireh batu. Keindahan ukiran ini terserlah bukan sahaja pada alunan urat kayu nyireh yang indah atau warna kayu yang menarik tetapi juga pada rekabentuk ukiran itu sendiri yang ringkas tetapi sungguh anggun serta membawa makna di dalam budaya kaum Mah Meri. 

Oleh sebab ini, setiap ukiran yang dihasilkan adalah seunik urat-urat kayu nyireh batu yang membentuk ukiran itu sendiri. Setiap ukiran tertakluk kepada tafsiran pengukir yang menghasilkannya, kepakaran pengukir untuk membentuk kayu ini serta keunikan mutu kerja pengukir tersebut. Ukiran berukuran satu kaki tinggi memakan masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan. 

Selain daripada ukiran kayu, hasil anyaman juga memainkan peranan yang penting dalam budaya Mah Meri lebih-lebih lagi bagi kaum wanita Mah Meri. Sebelum mereka dianggap layak untuk berkahwin, seorang wanita kaum Mah Meri perlu menguasai kemahiran menganyam pelbagai jenis barangan seperti bakul  memburu, bekas simpanan, tikar serta perhiasan upacara. 


Pua Kumbu

Pua Kumbu merupakan salah satu jenis kain pua yang popular di kalangan masyarakat Sarawak. Kain tenunan ini berwarna kemerah-merahan atau coklat tua. Pua kumbu ditenun oleh wanita kaum Iban yang sudah mahir menenun kerana pua jenis ini adalah paling rumit untuk ditenun. Pua kumbu menjadi kemegahan di kalangan wanita kaum Iban dan jika dilihat dengan teliti, ia turut memaparkan corak kehidupan seharian masyarakat Iban.

Bagaimanapun, motif-motif itu kerap dikaitkan dengan kepercayaan dan pantang larang mereka. Antara motif-motif yang digunakan:

Motif
Penerangan
Kepercayaan
Engkeramba
Merupakan gambaran figura roh.

Dipercayai berkuasa menghalang bencana atau kuasa jahat daripada menyerang tanam-tanaman dan penghuni rumah panjang
Biasanya, motif ini hanya boleh ditenun oleh anak dan isteri ketua rumah panjang
Fauna
Buaya
mempunyai kuasa untuk menjaga tempat berhuma (tanaman padi).
Mempercayai bahawa buaya adalah jelmaan saudara-mara mereka.
Ular
membawa petanda buruk dimana kemunculan ular dikaitkan dengan kuasa jahat atau hantu dantidak ditenun dengan sewenang-wenangnya
Katak
ditenun dengan gaya seperti manusia.
menurut kepercayaan kaum Iban, selampai iaitu roh perempuan sering menjelma sebagai katak dan dikatakan mempunyai kuasa untuk mencipta bayi
Harimau dan tikus kasturi
sering dikarang dalam bentuk abstrak
Dipercayai orang yang memakai kain tenunan ini dianugerahkan keberanian.
Burung
pembawa alamat baik
kain yang mempunyai motif burung dipercayai boleh menyembuhkan penyakit dan mendatangkan kekayaan dalam apa pekerjaan.
Rusa
mendatangkan kejayaan atau tuah semasa berburu
Serangga
labah-labah, kunang-kunang, kala jengking dan lipan
Flora
rotan, pucuk paku, pucuk rebung, buah-buahan, biji benih dan bungha-bungaan.

Alam & Alatan
bulan, awan larat, alat tenun



Mengikut kepercayaan,  jika seseorang itu berkeras untuk menghasilkan motif atau corak pua kumbu di luar kemampuannya, ia dipercayai akan 'memakan diri' dan kain tersebut tidak dapat dihasilkan. Maksud memakan diri itu pula adalah pembuat itu akan jatuh sakit dan ada sahaja perkara lain yang menghalangnya untuk menyiapkan tenunan tersebut.

Penenun yang mahir biasanya memperoleh motif serta corak menerusi mimpi yang kemudiannya diterjemahkan dalam tenunan pua kumbu. Apabila selesai setiap pua kumbu dihasilkan, penenun akan membuat sebuah tatu di tangan yang bermakna penenun tersebut adalah pakar atau telah ditauliahkan.

Penenun yang mencapai tahap tertinggi boleh dikenali dengan tatu di badan mereka. Mereka akan mempunyai tatu di beberapa tempat di anggota badannya termasuk di bahagian leher. Pua kumbu pada zaman dahulu sering digunakan dalam upacara kelahiran, perkahwinan, pengkebumian, perubatan, menyambut kepala (selepas ngayau/memenggal kepala) dan upacara bercucuk tanam.

Kemahiran menghasil kain tenunan merupakan satu kemestian bagi wanita suku kaum Iban, malah kebolehan itu juga pernah menjadi faktor tarikan utama kaum lelaki suatu ketika dulu. Bagi masyarakat Iban, seni tangan itu bukan sahaja menggambarkan kerajinan dan ketekunan malah sikap bertanggungjawab di dalam rumahtangga. Dahulu jika seseorang wanita Iban yang tidak mempunyai kepandaian menenun kain, dia tidak akan dipilih sebagai calon isteri dan lambat bertemu jodoh.

Kini sebahagian kecil sahaja masyarakat Iban yang memiliki kemahiran menenun pua. Walaubagaimanapun, pua yang dihasilkan adalah antara yang terbaik di kalangan suku kaum Dayak.


Rumusan
Seni di Alam Melayu sangat unik. Ia menggambarkan hubungan antara manusia dan alam secara rohaniah. Penggunaan motif atau simbol boleh dikaitkan dengan kepercayaan dan budaya hidup masyarakat di alam Melayu






SENI PROTO-RENAISAN DI ITALI
(s. 1250-1350M)

PROF. DR. MULYADI MAHAMOOD

Dapatkan koleksi buku-buku yang ditulis oleh PROF. DR. MULYADI MAHAMOOD untuk pengetahuan yang lebih mendalam tentang perkembangan sejarah seni tanah air  dan luar negara.

Pengenalan
Para sejarawan mencipta istilah proto-renaisan bagi menghuraikan gaya seni di Itali yang berkembang di sekitar Florence pada akhir abad ke-13 dan awal abad ke-14. Gaya seni ini, terutamanya catan menampilkan unsur-unsur seni klasik dan disifatkan sebagai gaya bagi era sebelum datangnya Renaisan.
Seni catan
Catan merupakan bentuk seni Proto-Renaisan yang terpenting. Catan dinding dan panel dihasilkan dalam gaya Proto-Renaisan di mana figura-figuranya ditindankan untuk menunjukkan jarak dan ruang, komposisinya dipermudahkan, penekanan yang lebih diberikan kepada unsur-unsur naratif daripada simbolisme sementara penyampaian emosi disalurkan menerusi ekspresi muka dan gerak tangan. Jarak serta ruang juga disalurkan menerusi pengolahan cahaya dan bayang. Bentuk pakaian dapat memberi gambaran terhadap bentuk tubuh badan manusia sementara catan landskap pula menggambarkan tempat asal yang wujud, bukan fantasi. Seniman-seniman Proto-Renaisan membuat pengamatan yang terus dan secara langsung terhadap alam.
Catan masih digunakan untuk menghiasi gereja di samping bangunan-bangunan awam. Golongan pedagang yang kaya menjadi penaung kerja-kerja seni. Subjek keagamaan dan sekular juga menjadi penting. Subjek-subjek keagamaan dipetik daripada beberapa sumber utama seperti:
1. Bible
2. The Apocrypha ; sekumpulan cerita yang dulu pernah dimuatkan didalam Bible, tapi kemudiannya dibuang kerana tidak asli.
3. The Golden Legend; koleksi cerita mengenai kehiduoan pengikut suci kristian yang ditulis oleh Japaco de Voragine, Archbishop Genoa dalam abad ke-13.
4. Mirror of man’s salvation : Kisah kehidupan Nabi Isa.
Subjek sekular atau bukan keagamaan seringkali berkaitan dengan politik dan pemerintah.
Terdapat empat aliran catan yang utama pada era Proto-Renaisan, iaitu :
1. Sieniese School : pelukis-pelukisnya seperti Duccio dan Lorenzetti.
2. Roman School : pelukisnya Pietro Cavallini.
3. Florentine School : pelukis-pelukisnya seperti Cimabue dan Giotto.
4. Pisan School : pelukisnya Francesco Traini.

Seni Arca
Arca pada peringkat Proto-Renaisan kebanyakannya merupakan ukiran timbulan yang digunakan untuk menghiasi mimbar serta pintu gereja. Seperti catan, subjek-subjeknya dipetik dari Bible.
Media Dan Teknik
1. Batu marmar digunakan untuk arca timbulan serta arca berdiri bebas kerana ia mudah didapati di Itali. Ia digabungkan dengan bahan-bahan lain seperti granit dan batu-batu lain.
2. Gangsa juga digunakan.
Dua gaya arca di Itali dalam abad ke-14 itu adalah :
1. Gaya klasik
Punyai cirri-ciri Rumawi seperti dalam figura, pakaian serta struktur seni bina. Pengarca utama ialah Nicola Pisano.
2. Gaya gotik
Diilhamkan dari Perancis. Pengarcanya Giovanni Pisanno. Figura-figuranya dipersembahkan dalam aksi serta emosi yang bertenaga.


Contoh-contoh karya
Seni catan
1. Duccio, “The Calling of the Apostles”, (1309-1311 M).
2. Duccio, “Virgin and Child Enthroned with Saints”, (1308-1311 M).
3. Cimabue, “Virgin and Child Enthroned with Angels And Prophets”, (1280-1290M).
4. Giotto, “Madonna Enthroned”, (s.1310M)
5. Giotto, “The Arena Chapel Frescoes”, (1305M)
Seni arca
1. Nicola Pisano “Pulpit, Pisa Baptistry”, (1259-60M)
2. Giovanni Pisanno, “Pulpit, St. Andrea, Pistoia” (1301M)

No comments:

Post a Comment