Konsep 5P dalam Pengajaran dan Pembelajaran PSV

Konsep 5P merupakan aspek yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran kerana melalui proses ini pelajar dapat menyesuaikan maklumat dalam rangsangan serta menghasilkan satu pelajaran yang bersepadu dan menyeluruh serta mengelakkan kebosanan dalam kalangan murid.
Konsep 5P terdiri daripada 5 proses iaitu:

  • Penggabungjalinan kemahiran,
  • Penyerapan pengetahuan,
  • Penerapan nilai,
  • Pemulihan 
  • Pengayaan


Penggabungjalinan
Penggabungjalinan ialan satu proses yang menggabungjalinkan  pelbagai bidang kemahiran dalam satu pengajaran dan pembelajaran bagi mewujudkan satu pelajaran yang integratif dan menyeluruh. Pengabungjalinan ini bertujuan membantu murid dalam penguasaan pelbagai kemahiran secara serentakdalam satu proses pengajaran dan pembelajaran.Ianya dapat meningkatkan keberkesanan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran,lebih menarik minat pelajara terhadap pengajaran dan pembelajaran,menjadikan proses pengajaran dan pembelajaran lebih bermakna kepada murid-murid dan memberi ruang serta peluang bagi pertumbuhan dan perkembangan murid-murid secara seimbanga dan menyeluruh.

Terdapat tiga bentuk penggabungjalinan:
  1. penggabungjalinan pelbagai kemahiran dalam satu mata pelajaran,
  2. penggabungjalinan kemahiran daripada mata pelajaran lain 
  3. penggabungjalinan merentas kurikulum.
Penggabungjalinan pelbagai kemahiran melibatkan kemahiran lisan atau pertuturan, membaca,menulis,mengira,berfikir,melukis,mewarna dan lain-lain. Contohnya guru meminta pelajar melukis lima buah -buahan tempatan, kemudian mewarna buah-buahan tersebut. Oleh itu pelbagai kemahiran dapat diterapkan dalam aktiviti tersebut antaranya ialah kemahiran berfikir,melukis dan mewarna. Kemahiran utama yang guru tersebut perlu fokuskan ialah kemahiran melukis iaitu objektif utama pengajaran dan pembelajaran manakala kemahiran yang digabungjalinkan dengan kemahiran utama ialah mewarna dan berfikir.

Bentuk penggabungjalinan seterusnya ialah penggabungjalinan kemahiran daripada mata pelajaran lain. Penggabungjalinan bentuk ini amat penting untuk meningkatkan kemahiran murid. Contohnya bagi mata pelajaran Kajian Tempatan pelajar perlu mengenali peta Malaysia. Oleh itu pelajar perlu melukis dan mewarna peta Malaysia mengikut nama-nama negeri yang terdapat dalam Malaysia. Kemahiran dalam PSV seperti melukis dan mewarna digabungjalinkan dalam mata pelajaran Kajian Tempatan.

Akhir sekali, bentuk penggabungjalinan merentas kurikulum. Penggabungjalinan ini melibatkan kemahiran belajar untuk belajar, kemahiran berfikir secara kreatif dan kritis, kemahiran menyelesaikan masalah, kemahiran pelbagai kecerdasan dan kemahiran generik. Penggabungjalinan merentas kurikulum bermaksud penggabungjalinan kemahiran di luar pembelajaran. Contohnya dalam menghasilkan kraf tangan,pelajar haruslah berfikir secara kreatif dankritis bagaimana hendak menghasilkan kraf yang menarik.

Penyerapan
Penyerapan pengetahuan pula adalah proses menyebatikan dan menyatupadukan pengatahuan atau unsur isi pengetahuan daripada satu mata pelajaran lain ke dalam isi pelajaran yang diajar. Penyerapan pengetahuan melibatkan unsur pengetahuan dan bukan kemahiran. Antara kelebihan penyerapan pengetahuan dalam PSV ialah aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih menarik walaupun tajuk yang hendak dipelajari pada asalnya bersifat sebaliknya. Selain itu,aktiviti pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih produktif dan efektif. Seterusnya dengan pemilihan isi pengetahuan yang menarik daripada mata pelajaran lain akan menjadikan murid lebih ceria,bersemangat dan progresif. Akhir sekali,murid-murid menjadi lebih faham dengan sesuatu yang dipelajarinya dengan penyerapan,hubungkait dengan pengetahuan daripada mata pelajaran lain. Dalam mata pelajaran PSV,guru boleh menambahkan ilmu pengetahuan dari mata pelajaran lain dengan mnceritakan serba sedikit tentang sejarah Seni Visual serta tokoh-tokoh terkenal dalam esei. Oleh itu,guru tidaklah semata-mata mengajar kemahiran-kemahiran mewarna dan melukis sahaja.

Penerapan nilai-nilai murni
Penerapan nilai-nilai murni ialah proses menerapkan nilai-nilai dalam pelaksanaan kurikulum dan gerak kerja kokurikulum. Penyerapan nilai-nilai murni berlangsung melalui dua pendekatan iaitu pendekatan implisit dan pendekatan eksplisit. Melalui pendekatan implisit,guru-guru secara tidak langsung menerapkan sesuatu  nilai .Contohnya guru berpakaian bersih dan kemas menjadi contoh kepada para pelajar. Pendekatan secara eksplisit pula ialah mengadakan suatu peraturan,arahan dan sebagainya yang bertulis tentang sesuatu perkara yang diharapkan. Penerapan secara eksplisit adalah lebih terancang,dengan matlamat dan cara pelaksanaan serta  penilaian yang jelas. Dalam konteks PSV, guru tersebut boleh meminta sekumpulan pelajar mengemas bilik seni sekolah. Secara tidak langsung ini dapat menerapkan nilai-nilai murni seperti kerjasama, ambil berat dan sikap toleransi.

Pengayaan
Pengayaan ialah satu aktiviti  yang lebih mencabar kebolehan pelajar di samping menambah minat dan pengalaman pelajar yang seterusnya dapat membantu pelajar ke arah perkembangan dan bakat diri. Pengayaan juga dapat membuat pelajar berminat untuk belajar sendiri dan mempunyai sikap berdikari bagi membolehkan mereka meneruskan pembelajaran seumur hidup serta melahirkan daya keativiti menerusi pemikiran dan kebolehan untuk menilai kerja mereka sendiri. Aktiviti pengayaan juga dapat membuka peluang untuk pelajar mengembangkan minat, daya kreativiti, sifat ingin tahu, kepimpinan serta daapat melibatkan diri dalam membuat keputusan untuk diri,kumpulan dan juga masyarakat. Dalam mata pelajaran PSV, guru boleh mempelbagaikan aktiviti pembelajaran mengikut bidang-bidang tertentu untuk meningkatkan minat pelajar dalam mata pelajaran PSV. Aktiviti tersebut haruslah mencabar serta menguji kemahiran pelajar supaya pelajar dapat melahirkan daya kreativiti tersendiri.
       
Pemulihan 
Pemulihan  pula bertujuan untuk membaiki kelemahan pembelajaran. Melalui pendidikan  pemulihan pelajar yang lemah dapat diasuh dan diberi tumpuan yang lebih berbanding pelajar-pelajar lain. Contohnya dalam PSV pelajar yang kurang berkemahiran dalam melukis akan diajar mengikut teknik-teknik yang sesuai secara berulang kali. Pelajar juga turut diberikan peluang untuk mencuba mengembangkan potensi diri mereka dalam pelajaran dan minat untuk mencuba sehingga ke tahap yang lebih maju.

No comments: