Pisang Sabah kini mula tembusi pasaran di Semenanjung Malaysia

Dipetik dari Sabah Times
4th April, 2012

Pisang Sabah
KOTA KINABALU: Pisang Sabah yang sebelum ini yang kebiasaannya hanya dipasarkan secara domestik untuk kegunaan di negeri sahaja, kini mula menembusi pasaran di Semenanjung Malaysia.

Pisang Sabah atau juga dikenali sebagai Pisang Abu/Nipah/ Saba dan Kepok kini sudah mendapat permintaan di pasaran Semenanjung Malaysia kerana berlakunya kekurangan bekalan pisang terbabit yang tidak dapat memenuhi permintaan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Hussin, berkata kekurangan bekalan pisang Sabah di Semenanjung akibat terdapat isu-isu di peringkat pengeluaran yang menyebabkan bekalan Pisang Sabah semakin berkurangan di Semenanjung.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Industri Makanan berkata demikian ketika berucap pada majlis menandatangani Perjanjian Jual Beli Pisang Sabah antara peserta Ladang Kontrak dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) Sabah di Kompleks Pemasaran Fama, di Taman Perindustrian Kota Kinabalu(KKIP) dekat sini, kelmarin.

Katanya, bagi merintis permintaan pasaran Pisang Sabah di pasaran Semenanjung Malaysia, beliau dimaklumkan terdapat dua hantaran percubaan Pisang Sabah telah dibuat oleh pihak Fama pada akhir tahun 2010 dan pada awal 2011.

“Pelbagai masalah diperolehi dan dipelajari oleh Fama Sabah daripada hantaran percubaan itu,” jelasnya.

Menurutnya, hasil daripada hantaran percubaan terbabit, bermula pada bulan Mac lalu, pihak Fama Sabah sudahpun mendapat permintaan untuk meneruskan penghantaran Pisang Sabah khususnya ke Johor dan negeri-negeri di Selatan Semenanjung Malaysia.

Oleh itu, katanya, adalah tepat pada masanya Negeri Sabah meneroka dan mengisi permintaan Pisang Sabah di negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

Yahya berkata, pada awal penerokaan pasaran Pisang Sabah yang dimulakan pada bulan Mac lalu, beliau dimaklumkan oleh Fama bahawa sebanyak tiga kontena Pisang Sabah telah berjaya dieksport ke Semenanjung Malaysia.

Setiap kontena katanya, mampu memuatkan sebanyak 1,100 tandan hingga 1,200 tandan Pisang Sabah dengan kuantiti keseluruhan yang berjaya dieksport pada bulan Mac tahun ini iaitu sebanyak 3,600 tandan atau sebanyak 55 tan metrik.

Anggaran kos belian yang terlibat pada awam penerokaan pasaran pisang ini untuk pasaran Semenanjung Malaysia ialah sebanyak RM22,000 dan proses perolehan Pisang Sabah itu telah memberi manfaat langsung kepada seramai 45 petani dari daerah Tenom, Kudat dan Kota Marudu.

Pada masa ini, katanya, keperluan permintaan yang telah diterima Fama ialah sebanyak 144 tan metrik sebulan atau sebanyak 10,000 tandan sebulan dengan anggaran penghantaran sebanyak 2,500 tandan seminggu melibatkan kos belian sebanyak RM60,000.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan para petani di negeri ini harus merebut peluang ini supaya Sabah menjadi pembekal utama Pisang Sabah untuk pasaran di Semenanjung Malaysia. Turut hadir pada majlis itu, Pengarah Fama Sabah, Ribin Haji Wahid.

No comments: