Oleh Sharifah Hunaini Syed Ismail
TUMPAT, 17 April (Bernama) -- Keputusan nekad Azizi Ali, 36, menceburi bidang pertanian ternyata tepat kerana beliau kini boleh tersenyum lebar atas hasil titik peluhnya yang memberi pulangan lumayan.
Setelah hampir lima tahun gagal mencari pekerjaan tetap yang bersesuaian dengan kelulusan dan minat, anak muda dari Kota Baharu ini nekad menceburi bidang pertanian sebagai punca mata pencarian.
Berbekalkan modal RM50,000 dan dibantu seorang rakan kongsi, Azizi memulakan projek tanaman pisang jenis 'Musa Sp' atau lebih dikenali sebagai pisang berangan di tanah seluas 4 hektar yang disewanya di Kampung Bendang Luas, di sini.
Azizi, lulusan Sains Bio Industri dari Universiti Putra Malaysia, ketika ditemui Bernama berkata untuk musim pertama yang dimulakan pertengahan tahun lepas, hasil pisang yang diusahakannya mencatatkan jualan kira-kira 300 kilogram yang nilainya ialah RM30,000.
"Satu musim bersamaan enam bulan, kini musim kedua pisang yang ditanam juga sudah hampir boleh dikutip hasilnya dan dijangka dapat dipasarkan bulan depan," katanya baru-baru ini.
AMALAN TANAMAN INTEGRASI
Azizi berkata, beliau menggunakan khidmat empat pekerja terutama untuk membaja dan menyiram pokok.
Beliau, yang mengamalkan tanaman integrasi, turut menanam pokok betik dan tembikai di ladang berkenaan.
Di samping itu, serai, halia, lengkuas dan kunyit ditanam kerana harganya yang tinggi di pasaran.
Untuk memperluaskan aktivitinya itu, Azizi menyewa kira-kira 4 hektar lagi tanah bersebelahan ladang pisangnya untuk memulakan projek tanaman jagung.
Katanya, beliau tidak menghadapi masalah dari segi memasarkan hasil buah-buahan, yang menurutnya mempunyai permintaan tinggi di pasaran.
"Hasil keluaran ladang saya masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan pasaran di Kelantan sendiri.
Insya-Allah, sekiranya keluaran semakin bertambah pada masa hadapan, saya memang berhasrat untuk memasarkannya di seluruh negara," katanya.
AGENSI KERAJAAN BIMBING
Mengulas lanjut pengibatannya dalam bidang pertanian, Azizi berkata, sejak menamatkan pengajian di universiti pada 2002 beliau mencari pekerjaan tetap yang bersesuaian dengan kelulusannya.
Jelasnya, sebelum memulakan projek penanaman pisang, beliau menjadi penternak dan petani secara kecil-kecilan.
"Bagaimanapun, melihat potensi dan minat yang mendalam untuk pertanian menyebabkan saya berkecimpung secara serius dalam bidang ini.
"Lagipun, saya tidak kisah terpaksa bekerja dalam suasana panas terik, kotor dan penat kerana hasil yang saya dapat, lumayan," katanya dengan senyuman.
Malah, katanya, timbul pula rasa menyesal dalam diri kerana terlalu lambat untuk memberanikan diri menceburi bidang yang sememangnya tidak mengecewakan ini.
"Jangan takut ceburi bidang pertanian atau penternakan. Kalau tak ada pengetahuan, banyak agensi kerajaan yang boleh membimbing dan membantu kita.
"Asal ada kemahuan apa saja yang kita ceburi, Insya-Allah akan berjaya. Saya sangat berharap siswazah yang masih menganggur tidak membuang masa begitu saja," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment