MODUL - PENGENALAN KONSEP DAN PRINSIP MEMBUAT CORAK DAN REKAAN TAHAP 1 DAN 2

Sinopsis
Tajuk bidang kegiatan ini memberi peluang kepada guru untuk menguasai dan memahami pelbagai cara untuk menghasilkan corak dan mengaplikasikannya menjadi suatu rekaan lain. Corak dan rekaan tersebut boleh juga dipadankan kepada mana-mana hasil daripada bidang kegiatan lain seperti bidang Menggambar, Membentuk dan Membuat Binaan, dan Mengenal Kraf Tradisional.

Bidang ini membolehkan kita mengenali dan mengkaji pelbagai corak dalam alam dan kehidupan seharian. Bahagian ini menegaskan kegiatan mengenal motif dan olahannya untuk menghasilkan rekaan corak tertentu. Aktiviti-aktiviti di dalam kegiatan ini memberi peluang kepada murid membuat rekaan corak tidak terancang, corak terancang dan juga corak tradisional dengan teknik tertentu. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Aktiviti-aktiviti di dalam
bidang kegiatan ini boleh dilakukan dengan mengaplikasikan pelbagai perisian komputer seperti Paint, Adobe Photoshop dan Corel Draw.

Hasil Pembelajaran
2.1.1 Menghasilkan karya mengikut bidang Membuat Corak dan Rekaan dengan mempertimbangkan           nilai estetik melalui proses kreativiti dan artistik.
2.1.2 Mengenalpasti prinsip, konsep, pengetahuan serta kemahiran dalam bidang Membuat Corak dan          Rekaan.
2.1.3 Mengaplikasikan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam proses penghasilan karya            Membuat Corak dan Rekaan.

Kerangka Konsep Tajuk-Tajuk Modul


BIDANG, JENIS AKTIVITI DAN KANDUNGAN
 Bidang - Bidang Membuat Corak dan Rekaan merupakan salah satu daripada empat bidang utama yang terdapat dalam Kursus Pendidikan Seni Visual KBSR. Membuat Corak dan Rekaan merupakan latihan berfikir, penonjolan kreativiti dan sebagainya. Bidang ini juga merupakan bahagian
ilmu pengetahuan dan lapangan atau jurusan tertentu.

 Jenis aktiviti - Antara aktiviti dalam bidang Membuat Corak dan Rekaan ialah Lukisan, Catan, Cetakan, Capan, Lipatan dan guntingan, Resis, Kolaj, Kaligrafi, Pualaman, Tiupan, Titisan, Ikatan dan celupan, Renjisan dan percikan.

 Kandungan - Mengandungi tema, tajuk dan aktiviti untuk dikendali dalam bidang Membuat Corak dan Rekaan mengikut tahap atau tahun. Guru merupakan anggota yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan kurikulum dan berperanan penting. Guru PSV memainkan peranan yang berkesan khususnya kemahiran mengajar dalam bidang Membuat Corak dan Rekaan. Kemahiran dan penilaian terhadap keberkesanan pengajaran seseorang guru PSV apabila mereka mahir mengajar dalam bidang seperti:

  Menguasai pengetahuan dan teori pembelajaran dan psikologi manusia dalam menjalankan aktiviti      Membuat Corak dan Rekaan.
 Mempunyai pengetahuan dan kemahiran yang lengkap dalam bidang aktiviti yang dijalankan                mengikut aras dan tahap murid.
 Mengguna kaedah dan teknik mengajar yang membolehkan pelajar menjalankan aktiviti                     pembelajaran secara sistematik dan menyeronokkan.
 Menunjukan sikap jujur dan komitmen yang dapat menggalakan pembelajaran serta mewujudkan       interaksi dalam pelbagai hala aktiviti.

ALAT DAN BAHAN
 Alat ditakrifkan sebagai barang yang diperlukan atau digunakan untuk menghasilkan sesuatu dan merupakan suatu kelengkapan untuk memenuhi keperluan mengajar untuk mencapai sesuatu maksud atau matlamat dalam pengajaran.
 Bahan ditakrifkan sebagai sesuatu atau beberapa benda yang digunakan untuk menghasilkan sesuatu atau untuk sesuatu tujuan yang dijadikan rujukan untuk tujuan pembelajaran. Bahan juga didifinisikan sebagai bahan perantaraan yang digunakan untuk penghasilan karya seni dalam
pengajaran dan pembelajaran.

JENIS - Jenis Membuat Corak dan Rekaan terbahagi kepada dua iaitu :-
 Corak Tidak Terancang - dihasilkan secara bebas tanpa mempunyai motif tertentu. Ia dihasilkan dengan cara seperti merenjis, meniup, mengayak, menggolek dan sebagainya.
 Corak Terancang - dibuat menggunakan motif yang disusun dengan teratur dan dalam susunan tetentu. Motif ini menghasilkan corak yang mempunyai pelbagai jenis susunan termasuk penggunaan garisan grid dalam penghasilan corak.

Membuat Corak dan Rekaan
 Corak ialah susunan motif sama ada secara teratur, terancang atau secara bebas. Oleh itu corak terdiri daripada Corak Terancang dan Corak Tidak Terancang. Corak juga boleh terbentuk daripada bukan motif secara bebas atau Corak Tidak Terancang.

 Motif-motif yang digunakan boleh didapati daripada :-
- Rupa atau bentuk alam ciptaan Ilahi seperti pokok, bunga, haiwan, serangga.
- Rupa atau bentuk buatan manusia seperti rumah, kasut, peralatan dapur.
- Rupa atau bentuk geometri seperti segitiga, bulat, selinder, kon, piramid.
- Rupa atau bentuk Abjad A hingga Z atau kaligrafi Khat, tulisan Cina,  tulisan Tamil.
- Rupa atau bentuk angka 0, 1, 2, 3, 4.....9.
- Rupa atau bentuk simbol
- Rupa atau bentuk tradisional.


Tujuan Membuat Corak dan Rekaan
Tujuan membuat corak dan rekaan ialah supaya pelajar dapat menguasai kemahiran kemahiran berikut:
 Kemahiran Perlakuan
 Kemahiran Persepsi
 Kemahiran Pengetahuan budaya.

Kemahiran Perlakuan
 Memilih, mencampur dan mengolah warna.
 Mengolah dan mengubahsuai penggunaan bahan.
 Membezakan jenis jenis corak tertentu.
 Menggunakan beraneka jenis bahan dan alat untuk membuat corak.
 Membuat penerokaan dan eksperimentasi motif dan warna dalam mencorak.
 Melatih untuk mencipta secara teratur dan terperinci terhadap ciptaan Tuhan.

Kemahiran Persepsi
 Menyedari prinsip rekaan seperti imbangan, harmoni, kadar banding, penegasan, kepelbagaian, kesatuan, kontra dalam penghasilan corak.
 Meningkatkan daya kreativiti dalam aktiviti Membuat Corak dan Rekaan.
 Menyedari dan memahami corak di dalam alam sekitar.
 Memahami konsep penyusunan motif dalam mencorak.
 Menyedari adanya corak dalam peralatan kegunaan harian.
 Memberi pertimbangan estetika terhadap karya mencorak.

Kemahiran Pengetahuan Budaya
 Membolehkan murid mengetahui dan mengekalkan unsur- unsur budaya.
 Mengenal dan membuat corak yang mudah.
 Mengenal, mengolah dan mengubahsuai serta menggunakan unsur corak Tradisional.
 Menghargai, mengembangkan dan mengekalkan unsur budaya Kebangsaan.
 Mengenal dan membuat pelbagai corak yang beunsurkan pelbagai corak tradisional.

Definisi Corak
Corak ialah susunan motif sama ada secara teratur, terancang atau secara bebas. Ianya didefinisikan sebagai suatu bentuk kreativiti artistik yang dapat memenuhi keperluan domain kognitif, psikomotor dan afektif. Rekacorak terancang dan tidak terancang mewujudkan kesan tampak yang berbeza tetapi memerlukan kemahiran, kesedaran dan pengetahuan seni bagi menghasilkannya. Ianya melibatkan proses latihan berfikir yang berhubung dengan asas rekaan dan prinsip rekaan. Terdapat dalam senibina, hiasan dalaman, lanskap, kraf dan sebagainya. Bidang ini membolehkan kita mengenali dan mengkaji pelbagai corak dalam alam dan kehidupan seharian. Bahagian ini menegaskan kegiatan mengenal motif dan olahannya untuk menghasilkan rekaan corak tertentu. Kegiatan ini memberi peluang kepada murid membuat rekaan corak tidak terancang, corak terancang dan juga corak tradisional dengan teknik tertentu. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran. Kegiatan ini boleh dilakukan dalam pelbagai cara seperti pergerakan, peragaan dan lakonan.

Kepentingan Membuat Corak
Membuat corak merupakan aktiviti yang sangat menarik dan menyeronokkan apabila seorang guru dapat melaksanakan aktiviti ini secara tersusun dan kreatif. Aktiviti ini dapat memberi kesan keindahan sesuatu bahagian atau permukaan sesuatu objek. Corak ini juga dijadikan sebagai elemen hiasan dan nilai estetik.

- Motif
Sama ada rupa atau bentuk asas dalam rekaan atau gubahan. Motif boleh didapati daripada alam flora, fauna, geometrik atau organik.

- Corak Tradisional
Corak mempunyai motifnya tersendiri dan mempunyai nama-nama tertentu yang berunsur tradisional seperti Corak bunga buluh , Corak pucuk rebung, Corak bunga kiambang dan sebagainya.

- Jenis Corak
Corak penuh, Corak berulang, Corak bertindih, Corak jidar dan Corak bertimbal. Corak boleh dihasilkan melalui aktiviti seperti ikatan dan celupan, lipatan dan guntingan, kolaj, capan, cetakan, lukisan, catan, tiupan

Jenis-Jenis Susunan dalam Corak dan Rekaan

 Susunan ulang sekata
Motif diulang berurutan dalam baris dan lajur yang sama untuk menghasilkan corak yang menarik. Garisan grid digunakan sebagai panduan.

 Susunan berselang seli
Motif disusun secara berselang-seli antara ruangan kosong. Garisan grid membantu menghasilkan corak yang menarik dan teratur.

 Susunan batu-bata
Motif disusun berurutan pada barisan atau lajur yang sama. Motif seterusnya disusun antara pertemuan dua motif yang sebelumnya

 Susunan bertimbal
Motif diwujudkan secara cerminan. Motif kelihatan dalam posisi yang bertentangan.

 Susunan bertindih
Motif yang sama disusun bertindih atau bertindan sehingga membentuk corak yang menarik.

 Susunan beralun
Motif kelihatan berombak dalam bentuk garisan yang sekata dan tidak sekata. Motif terdiri daripada motif yang sama atau berbeza.

 Susunan berpusat
Motif berpunca daripada satu titik tengah yang dikembangkan. Motif dihasilkan dalam bentuk bulatan, segi empat hexagon dan oktagon.

Motif dan Susunan
Motif dan susunan dalam membuat corak dan rekaan boleh didapati daripada:
1. Rupa atau bentuk ciptaan ilahi
2. Rupa atau bentuk asas seperti persegi, bulat, bujur, segitiga dan rupa gometrik yang lain.
3. Rupa atau bentuk dari bahan buatan manusia.

Jenis susunan
 Susunan ulang sekata
 Susunan separa jatuh
 Susunan batu bata
 Susunan berpusat
 Susunan selang seli
 Susunan cerminan atau bertimbal
 Susunan ogee

Kaedah Kreatif untuk Menjana Motif dan Susunan
Definisi kreatif ialah cara bagaimana menyelesaikan masalah supaya aktiviti mencorak dapat memperolehi hasil yang baru, baik dan bermutu. Kaedah tersebut merangkumi pelbagai aspek termasuk daya kreativiti untuk menghasilkan rekaan corak seperti :
 Olahan idea atau berfikir
 Penglibatan
 Persembahan
 Kreatif dalam penggunaan alat, bahan dan teknik
 Kreatif dalam mengaplikasikan nilai nilai murni.

Pengenalan Aktiviti dalam Bidang Membuat Corak
Cetakan
 Cetakan ialah proses terapan blok ke atas sesuatu permukaan.
 Keistimewaan cetakan ini ialah mampu menghasilkan banyak keping karya yang serupa dan semua hasil karya cetakan itu dianggap asli.
 Cetakan kayu mula dihasilkan di negeri China.
 Redza Piyadasa, Juhari Muhammad Said, Chew Teng Beng dikenali sebagai artis seni cetak di Malaysia.
 Cetakan timbulan, cetakan stensil, cetakan lithografi dan cetakan intaglio adalah jenis cetakan yang biasa dihasilkan oleh artis.
 Kaedah dalam cetakan terdiri daripada kaedah turisan, gurisan asid, akuantin
dan mesotin.

Contoh karya  cetakan

Resis
 Reka corak resis didefinisikan sebagai suatu bentuk kreativiti artistik yang berkait rapat dengan penggunaan media berasaskan air dan minyak.
 Reka corak resis boleh menghasilkan corak terancang dan corak tidak terancang.
 Reka corak resis memerlukan kemahiran, kesedaran dan pengetahuan seni untuk menghasilkannya.
 Mencipta reka corak resis melibatkan proses latihan berfikir yang berhubung dengan asas rekaan dan prinsip rekaan
 Teknik mencanting dalam batik adalah satu kaedah membuat corak resis.

Ikatan dan Celupan
 Teknik ikat dan celup yang digunakan ialah simpulan, ikatan, lipatan dan Jahitan.
 Celupan yang terlalu dalam menghasilkan corak yang besar, sebaliknya jika dicelup cetek, coraknya yang terhasil adalah kecil.
 Teknik ikat dan celup dalam batik juga dikenali sebagai batik pelangi
 Haji Che Su bin Ishak adalah antara tokoh batik yang terkenal di Malaysia.
 Garam digunakan sebagai bahan penyerapan
 Jenis kain yang biasa digunakan ialah kain kapas, sutera dan organza.

Contoh ikatan dan celupan


Lukisan
 Lukisan merupakan bentuk seni halus yang tertua sekali.
 Manusia melukis sebelum menulis.
 Terdapat tiga asas teknik melukis iaitu teknik lorekan ton, melakar garisan, titikan dan gosokan.
 Corak dalam lukisan berkait dengan minda, emosi dan perwatakan.
 Leonardo da Vinci adalah pelukis terkenal zaman Renaissance di Itali.
 Teknik lukisan memberi kesan terhadap lukisan yang dihasilkan.

Anyaman
 Anyaman adalah kraf tradisional bermotif yang bersumberkan bahan tumbuhan.
 Anyaman kontemporari boleh dihasilkan daripada pelbagai bahan alternatif dengan motif yang lebih bebas.
 Pilih, layur, jangka, lurut dan rendam adalah proses penyediaan bahan dalam anyaman berasaskan pandan / mengkuang.
 Terdapat dua bentuk anyaman iaitu 2D dalam bentuk hamparan dan 3D

Anyaman
Pualaman
 Pualaman adalah satu penghasilan corak tidak sengaja di mana warna dimendapkan daripada cairan yang bergelatin dan melekit
 Ia merupakan sejenis aktiviti yang tidak bersatu antara air dan minyak. Bahan yang berasaskan minyak akan terapung di atas permukaan air dalam semua arah mengikut aliran bahan tersebut
 Corak pualaman boleh digunakan sebagai penghias kulit buku.

Mozek
 Aktiviti mozek adalah satu bentuk kreativiti artistik yang dapat menghasilkan corak yang menarik.
 Reka corak mozek boleh diaplikasikan sebagai hiasan dalaman dan lanskap

Catan
 Catan adalah suatu medium yang membolehkan pelukis meluahkan perasaannya, membuat interpretasi pandangannya ataupun merakamkan gambaran yang dirasai atau dilihatnya dalam bentuk imej visual.
 Corak Mesir purba adalah rekaan corak yang mempunyai corak tersendiri tentang kepercayaan dan agama.
 Corak menggunakan teknik catan boleh terbentuk secara terancang dan tidak terancang.
 Corak dalam catan terbentuk hasil daripada kemahiran artis menggunakanmedia dan teknik.

Renjisan dan Percikan
 Reka corak renjis didefinisikan sebagai suatu teknik dalam menghasilkan corak terancang atau tidak terancang dengan cara semburan, percikan atau tiupan
 Bentuk renjisan atau percikan bergantung kepada daya kreativiti artistik yang dapat memenuhi keperluan domain kognitif, psikomotor dan afektif.

Rekaan
 Rekaan dalam bidang Membuat Corak merupakan aktiviti rekaan susulan selepas penghasilan membuat corak. Hasil rekaan boleh dibuat dalam bentuk dua dimensi atau tiga dimensi dengan mengambilkira kepentingan pengaplikasian Asas Seni Reka.
 Memperkembangkan daya konsepsi visual secara kritis dan kreatif melalui penerokaan dan eksperimentasi pelbagai media, bahan, dan teknik.
 Menyampaikan maksud menerusi hasil Seni Visual dalam bidang tertentu seperti batik, anyaman, ukiran dan menghasilkan karya Seni Visual yang kreatif serta bermutu.

Rumusan
Bidang Membuat Corak dan Rekaan membolehkan guru dan murid mengenali dan mengkaji pelbagai corak yang terdapat dalam alam sekeliling dan kehidupan seharian. Topik ini menegaskan aktiviti mengenai olahan motif dan susunan untuk menghasilkan pelbagai jenis corak mengikut proses, jenis dan aktiviti. Bidang ini memberi peluang kepada guru dan murid untuk menghasilkan pelbagai jenis corak dengan menggunakan daya kreativiti dalam mengolah alat dan bahan serta pengaplikasian perisian komputer yang sesuai. Aspek apresiasi juga diberi penekanan sebagai satu proses untuk memahami dan menghayati hasil kerja murid. Menerusi aktiviti dalam bidang ini, guru dan murid seharusnya dapat memahami, mengenal pasti, mengkaji, meneroka dan mengaplikasi kepelbagaian corak dan rekaan dalam alam, persekitaran, dan kehidupan seharian.












No comments: