PROF. DR. MULYADI MAHAMOOD
Pengenalan
Secara umum, Renaisan (Renaissance) bermaksud ‘kelahiran semula’. Dalam konteks seni lukis, renaisan merujuk kepada kelahiran dan kebangkitan semula seni klasik, iaitu seni silam Yunani dan Rumawi yang mula berlaku di Itali dari sekitar 1400-1600M. disamping kebangkitan minat terhadap seni klasik, ia juga merupakan reaksi terhadap seni Medieval.
Di Itali, Giotto dianggap sebagi seniman yang mengilham serta memberi laluan kepada kebangkitan seni tersebut. Pada abad ke – 15, orang-orang Itali mula sedar bahawa Itali di mana Rom menjadi kotanya suatu ketika dahulu merupakan kota serta pusat ketamadunan dunia dan budaya. Lantas, kebangkitan semula itu berkaitan dengan kebangkitan Rom serta kebesarannya. Masyarakat Itali menganggap bahawa zaman pertengahan (Middle Ages atau Dark Ages) merupakan satu zaman yang mengganggu diantara keagungan zaman silam dengan zaman kini. Mereka percaya bahawa seni dan sains yang wujud di zaman silam serta zaman keagungan Empayar Rumawi telah dimusnahkan oleh Barbarians pada zaman pertengahan. Lalu, mereka merasakan amat perlu dan bertanggungjawab untuk membangunkan semula keagungan silam dan membawa era baru yang gemilang.
Florence, sebuah kota perdagangan di Itali ketika itu merupakan pusat dimana bermulanya gaya seni Renaisan. Bandar tersebut menjadi salah satu pusat seni budaya yang penting di Eropah di samping Flanders dengan golongan bangsawan serta pensyarikatan kerja yang menaungi kerja-kerja seni. Seperti Itali, banyak bandar-bandar perdagangan yang lahir di Eropah Utara dan menjadi pusat seni Renaisan, misalnya, Bruges, Ghent, Paris dan London.
Renaisan Eropah, atau disebut ramai sejarawan Barat sebagai Early Modern (Zaman Moden Awal) atau An Ages Of Discovery (Zaman Penemuan) itu mengubah pandangan masyarakat terhadap alam semulajadi yang semata-mata bersifat keagamaan secara dramatik kepada pemikiran yang bersifat sekular dan kemanusiaan. Ini disifatkan sebagai salah satu aspek besar yang membezakan Zaman Pertengahan dengan era Renaisan.
Struktur Masyarakat
Era Renaisan menyaksikan kemunculan kuasa-kuasa bandar yang kukuh serta berkembangnya perhubungan Eropah dengan dunia luar seperti Afrika, dan ini telah mempertingkatkan hubungan perdagangan serta pertembungan budaya. Perhubungan dengan dunia luar juga membolehkan bahan-bahan logam seperti emas dan perak masuk ke Eropah justeru mempengaruhi penghasilan seni.
Era Renaisan juga melihat penemuan-penemuan sains berlaku, seperti Nicholaus Copernicus dengan teori sistem solarnya yang menjadi pemangkin kepada sains empirical. Ketaksuban kepada agama semata-mata diganti dengan keinginan untuk mempelajari budaya dan tamadun luar, lantas menelurkan tanggapan bahawa Renaisan itu sebagai An Age Of Discovery (Zaman Penemuan).
Seni dan seniman
Seniman (pelukis dan pereka) menurut sejarawan merupakan antara penyumbang-penyumbang terpenting Renaisan. Hasil seni lukis adalah yang paling utama. Meskipun era Renaisan juga dilihat daripada sumbangan-sumbangan bidang seperti sastera, falsafah dan sains, cabang-cabang kreativiti ini kurang menyerlah, lengkap, ataupun berkembang seperti seni lukis. Namun begitu, bidang-bidang ini juga saling berhubungan, sebagaimana seni lukis dengan matematik yang diterjemahkan oleh para pelukis menerusi karya-karya mereka. Ini menunjukkan perhubungan seni,sain dan matematik.Raphael dalam catannya”The School Of Athens”meletakkan potretnyan dan potret-potret temannya di antara ahli-ahli matematik dan falsafah sebagai kiasan ketinggian kedudukan pelukis dan seni lukis.
Model renaisan adalah manusia yang bijak. Justeru itu, mereka menceduk inspirasi daripada wira-wira klasik. Malahan,pada abad ke-15 dan ke-16 itu ,kehidupan para cendekia dan tokoh-tokoh sezaman menjadi contoh. Biografi orang-orang ternama ditulis,dan wajah-wajah mereka dilukis,bukan hanya wira-wira klasik. Ini semangat era baru dan moden, sebagaimana ditulis oleh Aberti dalam On Painting, yang memuji dan menyanjungi pencapaian – pencapaian generasinya. Dia menjelaskan tentang kemodenan yang melewati pencapaian – pencapaian klasik,tanpa melupakan contoh – contoh klasik sebagai rujukan dan titik tolak.
Renaisan mengutamakan individu :kecemerlangan individu. Pada era Medieval manusia menganggap diri mereka rendahdan Cuma boleh melakukansesuatu dengan keizina Tuhan . tetapi pandangan hidup era Renaisan tidak begitu:manusia adalah rujukan yang sempurna dan mereka boleh mencipta diri mereka sendiri.
Dalam era Renaisan, konsep Medieval yang membezakan seni dan sains berubah kepada pandangan bahawa kedua-duanya saling berhubungan. Albrecht Durer menegaskan bahawa seni lukis tanpa sains , iaitu teknik tanpa satu teori yang menghubungkan kebolehan pelukis dengan pengamatan adalah sia-sia. Pengalaman teliti terhadap dunia optikal oleh para seniman Renaisan serta integrasinya dengan sistem matematik seperti perspektif menyarankan satu pembentukan kefahaman sains. Malah ,pemikir Barat seperti Afred North Whitehead menganggap bahawa penerokaan sistematik para seniman Renaisan yang membawa kepada pengalaman visual telah mendahului analisis saintifik tentang apa yang tersirat akan apa-apa yang kita lihat. Justeru itu ,mereka beranggapan bahawa seni Renaisan sebagai monumen pertama Barat dalam pencarian aturan dalam alam.
Pencarian aturan dalam alam berterusan dalam abad ke-17 dan awal abad ke-18 dengan penemuan-penemuan dan kejayaan-kejayaan dalam bidang sains menerusi kelahiran teori-teori bersifat revolusi oleh Galileo ,kepler, dan Newton,iitu teori-teori tentang aturan alam fizikal. Dalam sejarah cendekia manusia, periode ini dikenali sebagai the Age Of Reason atau the Enlightment. Pada periode ini, persoalan lama tentang struktur dan sebab alam diselesaikan bukan semata-mata dari sudut keagamaan ,tapi dari sudut percubaan-percubaan sains.(Ibid:619-623).
Seni Catan
`The Medici’ (penaung dan pelindung seni) serta keluarga-keluarga hartawan membiayai catan untuk hiasan gereja ,bangunan awam serta rumah mereka. Subjek-subjek catan dipetik dari kisah-kisah keagamaan ,potret dan mitologi. Catan dinding amat penting disamping panel yang dibuat dari tempera dan terhasil dalam bentuk bulat (tondos) untuk hiasan rumah.
Ciri-ciri catan
1. Penggunaan ‘linear perspective’ (perspektif garisan) yang betul telah diperkenalkan oleh Brunelleschi. Dalam kaedah ini, kesan daripada tiga dimensi dalam catan dicapai menerusi penggunaan garisan yang tersirat dan tersurat.
2. ‘Aerial perspective’ (perspektif atmosfera atau perspektif warna) dapat menunjukkan kesan tiga dimensi apabila pelukis mengambil kira kesan atmosfera ke atas objek yang mereka lihat. Misalnya, objek yang jauh akan menjadi lebih kabur. Kesan ruang dicapai menerusi penggunaan terang gelap warna.
3. Representasi anatomi yang betul.
4. Skala atau ukuran figura yang bersesuaian dengan persekitaran : penamatan kaedah ‘hierarchic scaling’ atau skala hiraki.
5. Karya berlatarbelakangkan landskap, dan kebanyakannya dengan seni bina.
6. Halo masih digunakan.
7. Figura disusun dalam komposisi tiga segi.
8. Kesan cahaya yang tetap datang dari satu arah di luar karya.
9. Potret tidak sahaja dipersembahkan secara ‘profile’ atau pandangan sisi atau sebelah, tetapi juga dari suku sudut pandangan.
Seni arca
Arca timbulan dan arca berdiri bebas berkembang maju dalam abad ke-15 di Itali. Figura ‘life size’ (ukuran benar) menjadi popular dan ‘nude figures’ (figura bogel) muncul kembali. Arca dibiayai oleh orang perseorangan serta persyarikatan sebagai satu bentuk peringatan. Potret juga digambarkan realisitik dan bertepatan. Figura serta arca timbulan yang bersubjekkan keagamaan digunakan untuk menghiasi gereja serta bangunan-bangunan awam. Sementara itu, figura-figura yang menggambarkan subjek mitologi dan agama juga digunakan untuk menghiasi rumah-rumah persendirian. Tokoh-tokoh dan orang-orang kenamaan dirakamkan dalam bentuk figura berkuda (equestrian figures) dan digunakan juga untuk menghiasi pusara.
Ketepatan wajah dan tubuh manusia dalam arca renaisan adalah kesinambungan yang diperhalusi dan disempurnakan daripada arca-arca Romanes dan Gotik. Seni Renaisan dianggap menyempurnakan pandangan kemanusiaan Barat : suatu fenomena menyamai seni Yunani abad ke-5 dan ke-6 Sebelum Masihi.
Media dan teknik.
1. Gangsa digunakan dalam figura ‘life size’, ‘equestrian statues’ serta arca timbulan.
2. Batu dan marmar diukir.
3. Terracotta juga digunakan untuk membentuk figura ukuran benar dan arca timbulan.
4. Kayu untuk ukiran.
Reka bentuk
1. ‘contrapposto’ yang betul. Iaitu satu posisi di mana keberatan figura tertumpu pada sebelah kaki, sementara yang sebelah lagi kelihatan selesa.
2. Figura yang berisi, dirakamkan bentuk otot-ototnya secepat mungkin.
3. Kain dan pakaian dibentuk bersesuaian dengan gerakan badan.
4. Figura tidak lagi bergantung kepada struktur seni bina.
5. Komposisi serta aksi yang dinamik semakin popular.
6. Ciri-ciri tiga dimensi dicapai dalam arca timbulan.
7. Ukiran figura dalam arca timbulan disesuaikan dengan keadaan disekelilingnya.
8. Realisme, terutamanya dalam potret ditekankan.
9. Ciri-ciri psikologi dapat dilihat dalam figura.
Seni bina
Seni bina di Itali memperlihatkan pengaruh-pengaruh Rumawi dan zaman-zaman selepasnya. Di Eropah Utara, seni binanya meneruskan gaya Gotik. Di Itali, Filipino Brunelleschi (seorang pengarca dan arkitek di awal abad ke-15) tertarik dengan reka bentuk yang berdasarkan logik dan peraturan matematik. Reka bentuk yang baru mewujudkan suasana tenang dan terang di dalam bangunan-bangunan Renaisan.
Filipino Brunelleschi (1377-1446 M) juga merupakan orang yang bertanggungjawab memperkenalkan system matematik dalam menunjukkan ruang di dalam catan yang bersifat dua dimensi. Penggunaan perspektif itu kemudiannya mempertingkatkan ilusi reality di dalam catan.
Di samping pihak gereja, hartawan, persyarikatan serta cukai yang dikenakan kepad masyarakat umum membiayai pembinaan bangunan-bangunan baru seperti hospital, istana dan lain-lain lagi.
Di antara media dan teknik yang digunakan dalam pembinaan gereja termasuklah batu untuk dinding dan asas bangunan, marmar untuk dekorasi dan permukaan dinding, plaster untuk dinding dalaman, kaca lutsinar atau cerah serta stained glass untuk tingkap (lebih kecil di Itali dari utara Eropah kerana panas), tile (jubin) untuk bumbung dan akhir sekali konstruksi ‘post lintel’ (tiang dan ambang) digunakan bersama dom dan relung.
Pandangan dalaman seni bina gereja Renaisan kelihatan tenang dan tidak sesak. Di samping meminjam ciri-ciri Rumawi, seni bina itu juga menggabungkan elemen-elemen seni bina medieval. Bangunan-bangunan yang secular juga mempunyai prinsip pembinaan yang serupa dengan gereja, tetapi rumah-rumah persendirian kelihatan lebih berat dan dengan bentuk luaran kota berkubu. Ruang dalamannya dihias dengan mewah, sementara luarnya dibiarkan sederhana.
Contoh-contoh karya
1. Masaccio, ‘The Tribute Money’ (fresco, Brancacci chapel) (1427 M)
2. Masaccio, ‘Expulsion from Eden’, (1425 M)
3. Paolo Uccello, ‘Battle of San Romano’ (s. 1455 M)
4. Andrea del Castagno, ‘Last Supper’ (1455 M)
5. Piero della Francesca, ‘Annunciation’ (1455 M)
6. Fra Angelico, ‘Descent from the Cross’ (1434 M)
7. Fra Lippi, ‘Madonna Enthroned’ (1437 M)
8. Antonio Pollauolo, ‘Apollo and Daphne’ (1475 M)
9. Domenico Ghirlandaio, ‘Old Man and His Grandson’ (1480 M)
10. Sandro Botticelli, ‘ Birth of Venus’ (1482 M)
11. Andrea Mantegna, ‘St. Sebastian’ (1455-60 M)
12. Antonello da Messina, ‘St. Jerome in His Study’ (s. 1450-55 M)
Seni arca
1. Donatello ‘St. Mark’, Florence (1411-13 M)
2. Donatello, ‘David’ (s.1430-32 M)
3. Andrea Verrocchio ‘David’ (s. 1465 M)
4. Antonio Pollaiuolo, ‘Herackles and Antaios’ (s.1475 M)
5. Brunelleschi, ‘The Sacrifice of Isaac’ (1401-2M)
6. Lorenzo Ghiberti ‘ The Sacrifice of Isaac’ (1401-2M)
Seni Bina Gereja
1. Filipino Brunelleschi, ‘San Lorenzo’, Florence (1421-69 M)
2. Filipino Brunelleschi, ‘San Spirito’, Florence (1428 M)
3. Leon Battista Alberti, ‘San Andrea’, Mantua (1470 M)
Seni Bina Sekular
1. Filipino Brunelleschi, ‘Founding Hospital’, Florence (1419-24M)
2. Alberti, ‘Palazzo Rucellai’, Florence (1446-51 M)
No comments:
Post a Comment