Oleh: Nuur Affila Binti Jeni
Menurut Kamus Pelajar Bahasa Malaysia, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka(1988), seni bermaksud kecil sekali, halus, molek atau elok, kecekapan atau kepandaian membuat sesuatu yang indah-indah. Visual pula menurut Kamus Pelajar Edisi Kedua membawa maksud sesuatu yang berdasarkan penglihatan dan dapat dilihat. Di sini bermaksud seni visual adalah satu bentuk seni yang menumpukan kepada hasil penciptaan yang berbentuk visual seperti lukisan, fotografi, grafik dan filem. Setiap hasil kerja seni dalam penghasilan seni visual dapat dilihat melalui penglihatan mata. Oleh itu, definisi seni amat meluas. Menurut Ibnu Khaldun, seni itu suatu kebenaran, keindahan dan kebaikan. Seni ini sungguh meluas dan dapat dikaitkan dengan pelbagai kepentingan.
Seni visual penting kepada individu. Contohnya, seni visual mampu meningkatkan pengetahuan dan kefahaman. Seni juga sebagai alat komunikasi, Selain itu, seni visual mampu menajamkan kepekaan dan pengamatan. Seseorang yang mendalami seni visual lebih peka dan dapat melakukan apresiasi dan kritikan seni dengan baik. Pengamatan yang dilakukan adalah secara teliti yang diiringi pertimbangan dan kesedaran estetik yang tinggi. Di samping itu, seni visual bukan sekadar penting atau bergantung kepada kemahiran sahaja namun ia penting kepada kreativiti. Kamus Dewan (1993) memberikan maksud kreativiti sebagai kemampuan mencipta daya kreatif, kekreatifan. Seni visual dan kreativiti saling berkait rapat bagi melahirkan hasil seni baru. Bagi melahirkan hasil seni yang baru dan inovatif kreativiti penting dalam seni visual kerana menurut Taylor(1976), antara jenis kreativiti ialah ‘Kreativiti inovatif’. Dengan menggunakan kreativiti, sesuatu penghasilan seni dapat diperbaharui.
Kepentingan seni visual ini dapat memberi sumbangan kepada pembangunan manusia secara langsung. Seni dan masyarakat berkait rapat. Melalui seni visual, manusia dapat meningkatkan daya kreativiti dan inovasi serta melahirkan tenaga mahir. Malahan manusia dapat membentuk jati diri. Contohya dalam adat dan budaya sesuatu bangsa itu memiliki nilai kesenian tersendiri jadi manusia akan mementingkan penggunaan peralatan seni tersebut dalam menyempurnakan adat dan kepercayaan.
Kata Kunci : seni visual, kepentingan
Pendahuluan
Seni di Malaysia lebih dikenali dengan hasil kraf tangan. Seni Visual atau seni Tampak kurang dititik beratkan. Nilai estetik sesuatu karya kurang dihargai di mata masyarakat. Kelemahan ini jelas kelihatan di Malaysia berbanding negara luar. Bidang apresiasi dan kritikan seni juga amat jarang diperkatakan di Malaysia. Kepentingan seni visual sebenarnya meluas dalam pelbagai bidanga. Tanpa disedari, seni visual banyak menyumbang kepada ekonomi negara.
Jika dilihat kepada Industri kreatif Malaysia, Industri kreatif telah memberikan sumbangan sebanyak RM9.4 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2008 berbanding USD$3 trilion kepada KDNK di Amerika Syarikat. Perbadanan Kraftangan Malaysia telah ditubuhkan pada 1 Oktober 1979 dengan misi untuk membantu mengkomersialkan produk seni kraf melalui pembangunan pasaran, produk dan usahawan. Di sini dapat dilihat pentingnya kepentingan Seni Visual kepada beberapa aspek. Terdapat lapan kepentingan akan saya nyatakan di sini.
Kepentingan seni Visual sebagai Alat Komunikasi
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, komunikasi ialah komunikasi atau perhubungan dengan atau yang sampai kepada orang ramai amnya. Di sini bermaksud komunikasi ialah alat untuk menyampaikan sesuatu kepada orang ramai. Melalui seni visual, mesej yang hendak disampaikan dapat disampaikan melalui karya. Contohnya, karya yang mempunyai tema kemasyarakatan bagi menyampaikan mesej semangat kejiranan kepada masyarakat. Seterusnya,
Kepentingan seni visualsebagai Ekspresi
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, ekspresi bermaksud pelahiran maksud dengan kata-kata (gerak-geri). Seni dalam pendidikan menyarankan pelbagai aktiviti melalui perasaan, pernyataan emosi, idea dan manifestasi pemikiran. Seni Visual di sini berperanan sebagai alat penyataan diri. Seni Visual merupakan cara bagi pengakarya meluahkan perasaan dan emosi. Contohnya, karya abstrak ekspresionisme. Seni visual juga dilihat sebagai salah satu langkah mengurangkan stres dari sudut kepentingan ini.
Kepentingan seni visual sebagai Kemahiran
Pelbagai kemahiran dapat diperoleh apabila seseorang mempelajari seni visual. Seni visual tidak hanya bertumpu pada satu bidang sahaja. Namun, pelbagai kemahiran seperti kemahiran membatik, kemahiran membuat tembikar, kemahiran mengukir, kemahiran menenun, kemahiran dalam bidang kefileman dan penghasilan video bermutu dan kemahiran mengambil gambar dapat diperolehi. Di sini dapat dilihat, seni visual merangkumi semua hasil seni yang dapat dilihat. Menurut John Dewey, seni itu sejenis pengalaman. Beliau juga menyatakan seni adalah komoditi. Dengan mengusasai kemahiran ini, seseorang individu bukan sahaja dapat menghasilkan karya seni malah mampu menjana ekonomi.
Kepentingan seni visual sebagai Pengetahuan dan Kefahaman
Pengetahuan dan Kefahaman dalam seni visual boleh didapati melalui pacaindera yang ada pada manusia seperti rasa, sentuhan, bau, penglihatan, pendengaran. Pengalaman seni memerlukan kepekaan terhadap pengamatan semasa menghasilkan karya. Oleh itu, seni visual penting sebagai pengetahuan dan kefahaman kerana pengkarya perlu memberi perhatian dan pengamatan kepada objek yang difokuskan, jadi pengetahuan yang ada pada seni visual dapat
membantu kefahaman pengkarya dalam menghasilkan karya.
Kepentingan seni visual sebagai Kreativiti.
Menurut Viktor Lowenfeld (1975), kreativiti adalah suatu naluri semula jadi sejak lahir yang dimiliki oleh setiap orang. Setiap orang mempunyai potensi untuk menjadi lebih kreatif dan produktif, tetapi ianya bukanlah merupakan hak mutlak akan terjadi kepada semua orang. Ianya berkait rapat dengan idea, perasaan, pemikiran, pengalaman dan keinginan seseorang.
Jadi apa yang dapat dikaitkan di sini ialah kreativiti dapat dijana dan dirangsang dengan aktiviti seni. Dalam tiga proses kreativiti Lowenfeld, beliau turut menyatakan bahawa manusia lebih suka belajar denagn kaedah iaitu kegiatan-kegiatan kreatif. Oleh itu, di sini pentingnya seni visual kepada kreativiti kerana seni visual merupakan tapak bagi seseorang melahirkan idea atau imaginasi.
Kepentingan seni visual sebagai Pertimbangan dan Kesedaran estetik
Perkataan estetika dalam bahasa Yunani ialah aesthesis yang membawa maksud hal-hal yang dapat diserapkan oleh pancaindera atau lebih khusus lagi ialah ‘kepekaan’ manusia. Estetika sebagai pengalaman itu adalah perasaan yang timbul kepada seseorang ketika memandangsesuatu yang indah pada alam atau karya seni. Di sini memperlihatkan, seni visual penting dalam menimbulkan kesedaran terhadap estetika seperti alam sekitar. Seseorang mampu membuat pertimbangan dalam seni visual dengan adanya kesedaran estetik.
Kepentingan seni visual sebagai Pembangunan Manusia.
Dalam membantu perkembangan manusia dan memastikan manusia membangun dan berkembang seni visual membantu dalam perkembangan manusia. Sejak zaman Prasejarah, seni sudah diciptakan di gua-gua,tempat pemujaan, candi, kuburan dan sebagainya. Seni visual pada masa kini dapat dilihat pada mural, arca moden, fotografi, dekoratif batik dan seni bina moden. Seni visual penting dalam pembangunan manusia kerana manusia belajar cara belajar dan aplikasi informasi secara berkesan. Melalui seni juga, manusia dapat mempelajari cara orang lain berfikir, bekerja dan mengekspresi kendiri. Seterusnya dapat mengaplikasikan pengetahuan seni dalam kehidupan seharian.
Rumusan
Setiap kepentingan seni visual haruslah dititik beratkan oleh setiap lapisan masyarakat. Kepentingan seni visual haruslah disedari dengan lebih mendalam oleh rakyat Malaysia agar martabat seni tempatan mampu bersaing dengan luar. Pemikiran bahawa seni visual hanya untuk hobi atau tidak penting harus dibuang jauh-jauh. Seseorang individu seharusnya melihat kepentingan seni visual dari pelbagai aspek. Selain dari kebaikan kepada individu dalam melahirkan individu berkemahiran, kreatif, inovasi, mempunyai kesedaran estetik, dapat menajamkan kepekaan dan pengamatan, seni visual juga penting dalam pembangunan manusia sejak dahulu lagi.
Bibiliografi
Kamus Pelajar Bahasa Malaysia(1988). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Kamus Dewan Edisi Keempat (2010). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Md. Nasir Ibrahim & Prof Madya Iberahim Hassan (2003). Pendidikan Seni Untuk
Maktab & Universiti. Kuala Lumpur: Percetakan Cergas (M) SDN.BHD
Mohd Johari Ab. Hamid (2004). Pendidikan Seni Visual Dan Muzik. Tanjong Malim: Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Munah Musa (2009). HBAE4203 Pendidikan Seni Visual Peringkat Tinggi. Open University Malaysia. Selagor Darul Ehsan: Meteor Doc. Sdn. Bhd
Ariza Afzan (2009). Sumbangan Pendidikan Seni Visual Dalam Pendidikan. http://arizaafzan.blogspot.com/2009/07/sumbangan-pendidikan-seni-visual-d alam.ht ml diakses pada 12 Ogos 2015
Melisa Amirullah (2013). Pertimbangan dan kesedaran estetik. http://www.slideshare.net/momon08/pertimbangan-dan-kesedaran-estetik diakses pada 12 Ogos 2015
Mohd Asri Husain (2013). Kraf Menjana Ekonomi Rakyat. https://usim.academia.edu/mohdasrihusain diakses pada 12 Ogos 2015
No comments:
Post a Comment