Perancangan aktiviti pengajaran dan pembelajaran setiap Bidang Kegiatan mengikut Tahap 1 dan 2

PSV 3105 Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni Visual

PENGENALAN
Kursus PSV 3105 Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni Visual (Teaching and Learning of Visual Art Education) melibatkan teori dan amali dalam pengajaran dan pembelajaran. (Sila rujuk - Agihan Tajuk). Modul ini mengandungi dua tajuk iaitu Tajuk 1 – Perancangan aktiviti pengajaran dan pembelajaran setiap Bidang Kegiatan mengikut Tahap 1 dan 2 (Topik 2 teori dalam proforma), Tajuk 2 – Meneroka Alat dan Bahan mengikut tema (Topik 1 amali dalam proforma).
Modul ini juga disertakan aktiviti dan latihan untuk pengukuhan pembelajaran. Terdapat beberapa aktiviti dan latihan yang disediakan bagi setiap tajuk. Aktiviti dan latihan tersebut termasuk pemerhatian, penerokaan, pengalaman langsung dan apresiasi setiap bidang kegiatan mengikut tahap,
minat dan latar belakang. Tema, isi kandungan, alat dan bahan untuk setiap bidang kegiatan. Imaginasi dan ekspresi kanak-kanak. Mengumpul dan memproses maklumat sesuai dengan Tahap 1 dan Tahap 2. Mengubahsuai maklumat mengikut minat dan latar belakang murid. Membuat penilaian maklumat mengikut pengetahuan sedia ada murid. Meneroka tajuk dan isi kandungan mengikut tema alam persekitaran / sosiobudaya.
Setiap tajuk disertakan latihan bertulis berbentuk analisis dalam setiap topik yang dipelajari. Setiap ulasan tersebut akan dibimbing dengan persoalanpersoalan disusuli dengan sumber rujukan yang berkaitan.
Latihan ini harus disiapkan dalam jangkamasa yang ditetapkan. Hasil kerja pelajar yang telah disiapkan hendaklah dihantar kepada pensyarah secara e-mel atau bersemuka. Sebagai memantapkan lagi kefahaman setiap tajuk dalam kursus ini, pelajar dinasihatkan membuat banyak rujukan dan pembacaan. Pelajar juga digalakkan menghubungi pensyarah untuk mendapatkan maklumat lanjut yang berkaitan dengan topik-topik yang dipelajari.

Sinopsis
Kursus ini memberi pendedahan tentang pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual. Tumpuan diberi terhadap perancangan aktiviti pengajaran dan pembelajaran setiap bidang kegiatan mengikut tahap 1 dan 2, persediaan mengajar, serta aktiviti amali untuk meneroka alat, bahan, tajuk dan isi kandungan mengikut tema dalam menghasilkan karya bagi kesemua empat bidang tersebut.

Hasil Pembelajaran
Pada akhir tajuk ini anda seharusnya dapat;

1. Membanding beza pelbagai jenis aktiviti dalam empat bidan kegiatan iaitu Menggambar, Membuat Corak dan Rekaan, Membentuk dan Membuat Binaan serta Mengenal Kraf Tradisional

2. Menjana idea dengan menggunakan pelbagai alat, bahan, dan teknik serta mengaplikasikannya dalam penghasilan mengikut empat bidang kegiatan.

3. Menjalankan sesi apresiasi secara mudah

Kerangka konsep tajuk-tajuk modul ini


Kandungan
Pengenalan Bidang PSV SR
Tumpuan diberi terhadap perancangan aktiviti pengajaran dan pembelajaran empat bidang kegiatan PSV KBSR iaitu: Menggambar, Membuat Corak dan Rekaan, Membentuk dan Membuat Binaan serta Mengenal Kraf Tradisional.

Menggambar
Menggambar adalah salah satu daripada empat bidang kegiatan yang terdapat dalam Sukatan Pelajaran Pendidikan Seni Visual KBSR. Sub tajuk ini disediakan untuk membina pengetahuan dan kemahiran menggambar melalui penggunaan pelbagai alat, olahan bahan dan jenis aktiviti menggambar. Melalui asas-asas menggambar, anda seharusnya dapat menghasilkan pelbagai jenis aktiviti menggambar. Sub tajuk ini juga disediakan untuk anda memperolehi pengetahuan dan kemahiran mengenai media, proses dan teknik menggambar.

Definisi Menggambar

Menggambar adalah satu representasi visual sesuatu objek atau imej yang dihasilkan di atas permukaan rata.

Ia mengandungi komposisi artistik yang dihasilkan melalui aplikasi warna di atas permukaan rata. Sesuatu gambaran mental yang jelas dan pemberitahuan imej mental seseorang. Ilustrasi yang digunakan untuk menerangkan dengan lebih jelas tentang sesuatu objek. Gambar sebagai satu artifak yang menunjukkan satu kecenderungan terhadap sesuatu imej atau objek

Menggambar
Teknik Catan
Apabila seseorang mengecat, hasilnya ialah catan. Teknik catan ialah cara menghasilkan karya dengan menggunakan bahan mengecat seperti cat air, cat poster, cat emulsi, cat gloss dan lain-lain lagi. Berbagai jenis berus atau alat improvisasi lain boleh digunakan untuk menyapukan bahan cat di atas sesuatu permukaan.

Teknik Kolaj
Teknik kolaj ialah cara menghasilkan karya dengan menggunakan tampalan dari gubahan bahan-bahan seperti berbagai jenis kertas, bahan buatan manusia dan bahan alam semulajadi ke atas sesuatu permukaan seperti kertas atau plastik atau papan secara bebas dan boleh bertindih. Selalunya bahan yang berlainan sifat atau jalinan dapat memberi berbagai kesan kepada kandungan dan penyampaian
gambar.

Teknik Cetakan
Teknik cetakan ialah cara menghasilkan karya dengan mencetak. Pada asasnya cetakan menggunakan sifat timbul dan tenggelam pada sesuatu blok atau skrin. Terdapat berbagai-bagai jenis cara cetakan. Pelbagai media dan bahan cetakan boleh digunakan. Untuk jenis cetakan blok, imej pada blok cetakan disediakan dan warna atau dakwat cetakan dicetak ke atas permukaan kertas. Contoh bahan
cetakan lain adalah seperti cetakan lino, ‘strawboard’ dan ‘polyfoam’. Polyfoam adalah bahan yang mudah diukir. Cara gambar diukir dan sifat bahan yang diukir itu akan memberi kesan yang berlainan.

Teknik Resis
Teknik resis menggunakan bahan yang tidak bercampur antara satu sama lain. Warna air tidak akan bercampur dengan warna lilin ataupun ‘cow gum’. Dengan teknik ini, anda boleh menggunakan lilin cair ataupun pepejal. Lilin boleh digunakan untuk melukis atau memandamkan sesuatu kawasan permukaan melukis seperti kertas. Warna air boleh disapukan di atasnya. Krayon juga boleh digunakan di peringkat sekolah rendah.. Proses membuat batik adalah satu contoh teknik resis.

Teknik Gosokan
Anda boleh menggunakan krayon dan gosokkannya di atas kertas yang diletak di atas sesuatu permukaan yang kasar, misalnya atas objek dengan jalinan yang berlainan. Jalinan di atas objek akan memberi kesan kepada hasil gosokan. Anda boleh memilih berbagai jalinan yang berlainan dan susunkannya untuk mendapat gambar yang menarik. lubang itu memberi kesan kepada sifat garis luar rupa bentuk yang dihasilkan.

Teknik Stensilan
Untuk teknik stensil, rupa bentuk gambar dikeluarkan dari alat stensil dengan sesuatu cara supaya meninggalkan ruang kosong di atas alat stensil tersebut. Apabila bahan warna disapu atas stensil yang diletakan atas kertas, bahan warna akan melalui ruang yang kosong atau lubang di atas stensil dan diserap oleh kertas. Garis luar pada lubang itu memberi kesan kepada sifat garis luar rupa bentuk yang dihasilkan.

Teknik Percikan
Bahan warna boleh dipercik dari sesuatu alat. Misalnya warna air boleh dipercik dari berus. Hasilnya ialah jalinan bertitik-titik. Sesuatu objek atau kertas yang berubah bentuk boleh digunakan untuk menghalang percikan itu ke permukaan kertas. Objek atau kertas berubah bentuk itu boleh diubah kedudukannya supaya kesan tindihan berlaku apabila warna kedua dipercikan.

Teknik Gurisan
Untuk menghasilkan karya dengan teknik gurisan, anda boleh menggunakan sesuatu alat yang tajam untuk mengguris keluar sesuatu bahan yang lembut dari sesuatu permukaan. Permukaan kertas boleh disapu dengan warna krayon secara berlapis- lapis supaya bahan krayon yang tebal berlekat di atas kertas. Alat yang keras atau tajam seperti kayu, paku atau plastic boleh digunakan untuk menguris
pada krayon tebal itu supaya menghasilkan gambar. Berbagai jenis alat yang keras dan tajam itu akan memberi berbagai kesan yang berlainan pada garisan yang dihasilkan.

Teknik Mozek
Teknik mozek ialah cara menghasilkan karya dengan menyusun dan menambah bahan-bahan seperti kertas warna, plastik, kepingan jubin dan lain-lain ke atas sesuatu permukaan seperti kertas, plastik dan papan secara tersusun, bersebelahan dan tidak bertindih. Kepingan bahan yang diulang secara tidak bertindih memberi kesan khas pada mozek yang dihasilkan. Sempadan kepingan bahan yang ditampal itu memberi jalinan keseluruhan kepada gambar yang dihasilkan.

Membuat Corak dan Rekaan

Salah satu sebab M.C. Escher, artis grafik Belanda menjadi terkenal adalah kerana kebolehannya menghasilkan corak yang menarik sekali. Cuba anda perhati dengan teliti kain baju anda. Adakah anda boleh mengecam struktur susunan ulangan pada cetakan ataupun pada jalinan kain itu? Itulah yang dimaksudkan corak. Anda boleh menghasilkan corak melalui pelbagai teknik dan cara seperti
yang anda akan perhatikan nanti. Biasanya corak terdiri daripada motif tertentu yang disusun berulangan. Motif-motif pelbagai bentuk dan rupa ini boleh diperhatikan di alam sekeliling kita seperti:
 alam semulajadi seperti bunga, siput, kayu, serangga dan haiwan;
 bahan buatan manusia seperti kerusi, meja, rumah, paku dan gunting
 geometri seperti bulat, segitiga dan segiempat;
 abjad rumi, tulisan jawi, tulisan cina dan tamil serta angka; dan
 rupa barangan kraf tradisional seperti wau, gasing dan keris.

Terdapat pelbagai jenis susunan corak, antaranya adalah:

Membentuk Dan Membuat Binaan
Pada zaman kanak-kanak anda dahulu, anda pasti pernah melihat atau bermain dengan kapal ataupun kapal terbang yang dihasilkan dengan lipatan kertas. Ini merupakan satu jenis kegiatan membentuk yang anda mungkin pelajari sebelum masuk ke alam persekolahan.

Dalam bidang ini, anda akan mengetahui tentang bidang kegiatan membentuk dan membuat binaan yang murid anda akan pelajari. Topik ini akan menjelaskan tentang aktiviti-aktiviti membentuk yang ditujukan kepada pelajar sekolah rendah seperti menghasilkan arca timbul, asemblaj, mobail, stabail, model, diorama, boneka, topeng dan origami. Disini anda akan lihat bagaimana teknik, alat dan bahan, tema ditentukan dan juga tentang persembahan hasil kerja.
Bidang kegiatan ini menegaskan perkembangan persepsi pelajar terhadap aspek seni dari segi bentuk, ruang, struktur, imbangan dan kestabilan. Berpandukan aspek tersebut pelajar dapat memahami dengan lebih jelas bila mereka membentuk dan membina sesuatu model. Bidang kegiatan
membentuk dan membuat binaan juga mendedahkan pelajar dengan penggunaan pelbagai bahan, alat dan teknik penghasilan. Ini memberi peluang kepada murid berinteraksi secara kreatif dengan alat dan bahan, semasa menjalankan proses penghasilan seni.
Bidang kegiatan dan membentuk dan membuat binaan tiga dimensi merangkumi 9 aktiviti seperti berikut:
(a) Arca timbul (f) Model
(b) Arca asemblaj (g) Diorama
(c) Arca mobail (h) Boneka
(d) Arca stabail (i) Topeng
(e) Origami

Mengenal Kraf Tradisional
Kraf Tradisional boleh didefinisikan sebagai perusahaan atau kerja-kerja berunsurkan seni yang melibatkan kemahiran kerja-kerja tangan serta memerlukan daya cipta dan kreatif masyarakat yang diwarisi turun temurun mengikut kaum masing-masing.

Kraf tradisional terdiri daripada 8 jenis, iaitu:
(a) Alat Domestik    (e) Seni Tekat    (b) Alat Permainan    (f) Tembikar    (c) Alat Pertahanan Diri   (g) Seni Anyaman   (d) Batik     (h) Seni Ukiran Kayu

Alat domestik merupakan peralatan yang dicipta dan digunakan untuk memberi kemudahan dan digunakan sebagai peralatan harian kepada masyarakat tradisional pada ketika itu.
Alat Permainan seperti Wau adalah salah satu permainan tradisi yang dimainkan untuk mengisi lapang. Kebiasaannya wau dimainkan selepas menuai padi. Sehingga kini wau masih di mainkan di negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis, Pahang, Selangor dan Johor. Terdapat pelbagai nama wau di negara kita termasuklah Wau Barat dan Wau Bayan

Keris
Perubahan masa menyebabkan bentuk senjata berubah mengikut keperluan. Masyarakat melayu tradisional terutama di zaman kerajaan Melayu Melaka hingga kini masih menggunakan senjata seperti Keris, Pedang, Tombak, Tumbuk Lada, Lawi Ayam, Rencong Aceh, Sewar, Badik, Beladau, Jembiah Lading, Lembing dan Sumpit. Keris adalah senjata penting dalam masyarakat dan budaya melayu. Jenis-jenis keris yang boleh didapati adalah seperti Keris Jawa, Keris Semenanjung, Keris Sumatra, Keris Petani atau Pekaka, Keris Bali, Keris Sundang, Keris Majapahit, Keris Bugis dan Keris Picit. Keris pada masa kini masih digunakan untuk upacara-upacara tertentu seperti majlis
persandingan, perubatan dan keris menjadi lambang kebesaran institusi diraja.

Batik
Batik terkenal di seluruh gugusan kepulauan Melayu dan dianggap bidang kraf tangan tradisional yang unggul. Batik tradisi dan moden mempunyai corak yang sesuai dengan cita rasa dan perkembangan kesenian Malaysia. Batik tulis, batik lukis dan batik canting merupakan kaedah membuat batik yang kini diminati ramai. Pada peringkat awal kaedah ini hanya digunakan untuk
menghasilkan batik untuk hiasan dinding. Pada tahun 1970-an teknik ini telah diterapkan dalam kaedah membuat skaf, kain selendang dan baju kurung. Kini penggunaannya telah diperluaskan dalam bentuk dimensi baru. Batik semakin digemari oleh peminat fesyen kerana corak batik dapat dipadankan mengikut peredaran zaman.

Seni Tekat
Ia juga dikenali dengan nama suji timbul iaitu sulaman timbul atau tekat bersuji, tetapi suji sering dikaitkan dengan sulaman benang sutera. Sama ada ditekat, disulam atau disuji, ragam hiasnya semua dibentuk dalam keadaan timbul dari permukaan dasar kain kerana bahagian dalamnya diisi dengan mempulur. Asal-usul dan perkembangan seni tekat secara langsung dikaitkan kegunaan pakaian dan kelengkapan keluarga raja-raja atau istana. Seni tekat diperkenalkan pada kurun ke-15, iaitu di zaman kesultanan Melayu Melaka. Pada masa tersebut seni tekat dipakai oleh keturunan Baba Melaka. Mereka banyak menggunakan seni tekat ini pada pakaian. Negeri seperti Perak, Johor, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan merupakan negeri yang banyak mengusahakan kraf seni tekat timbul benang emas.

Tembikar
Seni tembikar telah wujud di Malaysia sejak beribu tahun dahulu berdasarkan penemuan barang tembikar lama seperti di Gua Cha, Kelantan dan di Sungai Perak. Terdapat pelbagai bentuk dan jenis tembikar yang dihasilkan di Malaysia. Hampir semua tembikar yang dihasilkan mempunyai ciri-ciri kegunaan harian. Beberapa buah negeri di Malaysia menghasilkan tembikar. Barangan tembikar
yang dihasilkan adalah berbeza dari segi bentuk, corak, dan teknik pembuatan kerana dipengaruhi oleh budaya dan latar belakang si pembuat. Bentuk tembikar tersebut hanya mempunyai persamaan dari segi susunan motif, ketebalan dan teknik pembakaran bersuhu rendah, dengan permukaan
berwarna coklat, hitam dan kelabu gelap. Tembikar tradisi Melayu menjadi lambang kesenian negara dan kini menjadi koleksi yang membanggakan.

Anyaman
Anyaman merupakan satu proses menjalin helaian daun pandan, mengkuang, bilah buluh, rotan, lidi, bertam, paku-pakis ribu-ribu atau bahan-bahan lain dengan menggunakan cara dan peraturan tertentu melalui teknik selang-seli helaian antara satu sama lain.
Kelarai ialah corak atau motif berbentuk dam pada anyaman yang melalui proses tranformasi idea daripada alam semulajadi. Anyaman yang tidak berkelarai disebut anyaman biasa atau ghadas. Anyaman yang lengkap harus dihiasi dengan kelarai. Dua jenis warna yang kontra digunakan bagi
menunjukkan kesan. Pembikinan kelarai adalah dirancang dengan menggunakan mata atau langkah yang betul dan tepat.

Kelarai ini diantaranya ialah:
(a) Kelarai berakar                     (f) Kelarai anak ikan
(b) Kelarai beras patah              (g) Kelarai kepala lalat
(c) Kelarai bunga cengkeh        (h) Kelarai mata punai
(d) Kelarai tampuk manggis      (i) Kelarai sisik kelah
(e) Kelarai bunga mempelas     (j) Kelarai tapak harimau

Ukiran Kayu
Seni ukiran kayu merupakan sejenis kraf tangan Melayu tradisional yang digunakan untuk menghiasi rumah kediaman yang menjadi kebanggaan masyarakat pada zaman dahulu. Ukiran kayu tradisional dianggap sebagai hasil kreativiti orang Melayu dalam bentuk tampak dan mendapat tempat yang istimewa di kalangan masyarakat di negara ini. Seni ukiran Melayu yang unik ini diperlihatkan melalui ukiran pada istana, masjid, rumah, makam, kepala sampan, perabot, senjata dan peralatan untuk kegunaan harian. Bangunan-bangunan lama yang masih mengekalkan seni ukiran sehingga hari
ini telah menjadi bahan rujukan generasi masa kini.

Pemerhatian, penerokaan, pengalaman langsung dan apresiasi setiap bidang kegiatan.

Chapman (1986) telah menggunakan empat aspek utama yang seumpama ini dalam pelajaran seni iaitu:
(i) pemerhatian
(ii) penerokaan
(iii) penghasilan (pembuatan)
(iv) apresiasi dan perlanjutan

Pemerhatian yang aktif
Aspek ini melibatkan sensitiviti deria. Semasa menyediakan aktiviti, perhatian perlu diberi kepada perkara berikut:
 pengetahuan sedia ada murid;
 benda yang konkrit;
 minat, kecenderongan dan latar belakang murid;
 bahan, bunyi, pergerakan, dan aksi; dan
 mencetus idea dan imaginasi.

Interaksi yang kritis dan kreatif dengan bahan
Aspek ini melibatkan penerokaan dan penghasilan atau pembuatan. Aktiviti penerokaan dijalankan sebelum aktiviti penghasilan. Semasa menyediakan aktiviti,anda perlu beri perhatian kepada perkara berikut:

Penerokaan
 aktiviti kecil mudah ringkas;
 cuba mencuba, suaikenal dengan bahan;
 penemuan oleh murid sendiri, uji menguji;
 mencari altenatif, variasi dan kemungkinan lain; bebas daripada jawapan tetap, murid senang dan ingin mencuba
 aktif melibatkan pelbagai kecerdasan; dan
 menggunakan kemahiran berfikir dan pengurusan grafik.

penghasilan / membuat / pengalaman
 penggunaan alat bahan dan teknik;
 tatacara, langkah dan proses membuat;
 amalan tertib kerja
 keselamatan semasa bekerja; dan
 penyampaian kandungan subjek, idea, halbenda dengan bentuk hasil

“Matlamat mata pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah adalah untuk melahirkan insan yang harmonis, kritis, kreatif dan produktif menerusi pemupukan asas seni visual. Kandungan kurikulum berupaya membantu murid meningkatkan rasa kesyukuran terhadap Tuhan, menghargai keindahan alam persekitaran, keindahan seni dan warisan bangsa serta dapat menyumbang ke arah pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara, selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.”
Daripada kenyataan di atas, apakah yang anda harapkan boleh berlaku dan menampakkan perubahan dari segi sikap dan sahsiah murid di sekolah anda?

Pengalaman Langsung

Kegiatan seni yang dijalankan berdasarkan empat bidang utama. Bidang-bidang tersebut ialah bidang menggambar, membuat corak dan rekaan, membentuk dan membuat binaan, dan mengenal kraf tradisional. Pengalaman seni ini adalah untuk memperkembang dan menyelaraskan persepsi dan konsepsi visual murid sebagai asas bagi menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif. Pengalaman ini juga selaras dengan perkembangan peringkat kesediaan dan penerimaan murid dari segi sosioemosi, psikomotor dan mental yang merangkumi perasaan, koordinasi, manipulasi dan persepsi visual. Dengan mempelajari Pendidikan Seni Visual di sekolah rendah, murid akan dapat menguasai beberapa pengetahuan dan kemahiran.

Pengetahuan yang dapat dimiliki murid ialah pengetahuan mengenai bahan, alat dan teknik yang digunakan dalam sebarang kegiatan seni. Murid juga akan mendapat pengetahuan mengenai sumber motif dalam persekitaran, kraf tradisional, unsur seni dan prinsip rekaan dalam pendidikan seni visual, proses pembuatan hasil seni, menyimpan maklumat atau dokumentasi, mengintegrasikan
maklumat dan aplikasi komputer dalam kerja seni visual. Sementara kemahiran yang akan diperolehi murid pula ialah kemahiran memanipulasi bahan, alat dan teknik, mengaplikasi disiplin seni visual, berfikir secara kritis dan kreatif, berkomunikasi secara berkesan, membuat pilihan, membuat interpretasi, menggunakan teknologi bahan dan perkakasan.
Pemerhatian secara aktif yang merangkumi kesedaran pemerhatian keseluruhan, berfokus dan terperinci dapat menajamkan persepsi murid. Secara tidak langsung memberikan pengalaman langsung kepada murid. Selain memperkembangkan deria penglihatan ia juga melibatkan pancaindera lain melalui kajian perbandingan. Kajian seperti ini membantu perkembangan emosi dan
imaginasi. Pemahaman tentang asas seni visual juga turut diperkembangkan melalui kegiatan pemerhatian ini.

Selain diberi pengalaman membuat apresiasi seni visual secara mudah, murid juga dipupuk nilai menyayangi dan menghargai segala aspek yang wujud dalam persekitaran dan kehidupan mereka. Ini termasuklah memelihara dan memulihara alam sekitar, nilai patriotisme, nilai kebersihan dan kepekaan. Dengan ini murid akan dapat membuat pertimbangan yang sewajarnya bila berdepan
dengan semua keadaan.
Semasa menggambar umpamanya, kanak-kanak dapat mengalami pengalaman langsung dengan derianya mengenai subjek atau hal benda yang digambarkan. Ini membantunya dalam memahami sesuatu idea dan menghubungkaitkan antara satu idea dengan idea yang lain atau dengan
pengetahuan dalam berbagai mata pelajaran. Kanak-kanak dapat membina idea baru dari benda konkrit.

Apresiasi
Apresiasi didefinisikan sebagai kajian mengenai pelukis-pelukis atau pandai tukang mengenai hasil-hasil seni mereka, faktor yang mempengaruhi mereka, cara mereka bekerja, bagaimana mereka memilih tema dan "subject matter" serta gaya dan stail tertentu mereka. Semuanya ini berkait rapat dengan aspek pemahaman mereka dari aspek-aspek kognitif.

Apresiasi seni melibatkan sepenuhnya deria rasa atau sentuh dan deria pandang. Karya seni seperti catan, lukisan, cetakan dipandang sementara arca dan binaan di sentuh. Apresiasi seni secara aktif melibatkan penggunaan bahasa untuk berkomunikasi dengan orang lain apa yang difikirkan dan dirasakan. Dalam konteks ini pengetahuan mengenai seni serta perbendaharaan kata yang cukup mengenai seni yang di perlukan. Aspek ini melibatkan penyataan dan unsur afektif, terdapat dua jenis utama aktiviti Apresiasi. Aktiviti yang dirancang khas untuk projek apresiasi dan aktiviti mudah yang dirancang di akhir setiap pelajaran. Semasa menyediakan aktiviti mudah, perhatian perlu diberi kepada perkara berikut:
 aspek bahasa yang berkaitan dengan istilah seni seperti sifat garisan, jalinan, warna, ton, rupabentuk dan bentuk;
 aspek bahasa yang berkaitan dengan kandungan dan hal benda;
 aspek bahasa yang berkaitan dengan manipulasi, alat bahan dan teknik;
 penghargaan hasil kerja dan menghormati pembuat karya;
 perasaan, penghargaan dan refleksi diri; dan
 penyerapan pengetahuan dan penerapan nilai yang berkaitan dengan kandungan.

Apresiasi seni visual memberi pengalaman kepada murid mengenali aspek pengetahuan seni visual dan kegunaannya dalam pelbagai kegiatan kehidupan dari segi keindahan dan fungsi. Murid terlibat dalam kajian perbandingan dan menyatakan apa yang dilihat dari aspek seni melalui hasil kerja.
Mengikut John A. Michael dalam bukunya 'Art and Adolescense' ada dua pendekatan dalam Apresiasi Seni iaitu:
(a) Pendekatan secara logik
(b) Pendekatan secara psikologi

Pendekatan Secara Logik
Pendekatan ini adalah yang berbentuk tradisional dan memerlukan pemahaman intelek semata-mata dan banyak berfaktakan kepada aspek andaian dan munasabah pada yang melihat sesuatu karya seni tersebut.


Pendekatan Secara Psikologi
Pendekatan ini merangkumi perkara-perkara yang lebih menjurus kepada perasaan peribadi, lebih bersifat emosi dan perasaan dalaman kepada penghasilan dan penghayatan sesuatu karya seni. Pendekatan ini akan dapat meninggalkan satu pengalaman yang amat berkesan dan mendalam. Secara
ini akan lebih realistik dan dapat menerima 'response' dan pendapat orang lain. Kesan tindakbalas akan lebih terserlah terhadap bahan serta alat yang digunakan.
Kaedah Apresiasi Seni
Kaedah-kaedah apresiasi seni terdiri daripada kaedah:
(a) Hedonistik        (c) Organistik      (e) Elektik       (b) Kontekstualistik      (d) Normistik

Kaedah Hedonistik
Kaedah ini hanya satu luahan perasaan secara spontan seperti kesukaan, pernyataan perasaan, gemar, menarik dan benci. Penilaian dibuat secara serta merta iaitu: suka,tidak suka, cantik,tidak cantik dll secara spontan. Kaedah ini tidak sealiran dengan isme pengkritik dan ahli psikologi menyatakan kaedah ini tidak diterjemahkan oleh otak (pemikiran) cuma berdasarkan maklumat kendiri. Ianya tidak dapat di ukur bilangan sebenar dan terdapat pelbagai citarasa.

Kaedah Konstekstualistik
Kaedah ini lebih praktikal di mana pemerhatian dibuat secara lebih ilmiah, sistematik dan kefahaman serta kejelasan. Ianya berkait dengan pengetahuan sejarah, falsafah dan prinsip rekaan. Lebih merujuk kepada perincian/spesifikasi dari aspek persoalan fahaman, rentak pengkaryaan, interaksi pemerhati, konsepsi, hujah dan penilai karya. Ianya akan menyediakan pengetahuan mantap dalam pengamatan karya, kefahaman konsep, kepelbagaian bandingan dan seni akan menjadi suatu pendekatan yang menarik oleh pemerhati.

Kaedah Organistik
Kaedah ini menjurus kepada aturan yang mempunyai satu system yang teratur dan terancang. Penilaian di buat serata melihat konteks seni secara harmoni, menyentuh intuisi dan menyenangkan. Penekanan kriteria kepada aspek tata letak, tata atur, ruang dan penataan cahaya. Ini akan dapat
membentuk kesatuan cara melihat sesuatu karya dari segi warna, jalinan, unsur-unsur seni, imbangan, perulangan, kesinambungan serta kepelbagaian.

Kaedah Normistik
Kaedah ini merujuk kepada kriteria dan norma sesuatu karya dari aspek nilai masyarakat, agama dan budaya. Ia seakan-akan ada kaitan dengan pendekatan diri kepada Allah, rasa takwa, tidak ada unsur sensasi. Contohnya lukisan agama Kristian yang berkaitan unsur ikonografi, naratif dan nilai-nilai
akhlak. Kaedah ini menolak peradaban moden dimana pelukis telah melampaui batas yang dibenar dalam budaya dan agama.

Kaedah Elektik
Kaedah ini lebih berbentuk cara bersepadu dan holistik, ianya adalah gabungan persepsi penilai seni tentang tanggapan positif dan negatif. Kriteria penilaian menekankan unsur asas prinsip, struktur organisasi dan alat dan bahan. Kaedah ini untuk pemerhatian secara rawak, tidak menjurus kepada aspek kronologinya. Wajaran hanya secara baik, sederhana dan kurang baik.

Proses Apresiasi Seni
Terdapat berbagai cadangan oleh beberapa pakar Pendidikan Seni mengenai proses apresiasi. Feldman (1967) dan Smith (1967) mencadangkan aktiviti-aktiviti aprisiasi seni, berasaskan kepada proses persepsi dan intelektual melalui empat tahap:
(a) Menggambarkan ( Description )
(b) Menganalisa ( Analysis )
(c) Tafsiran ( Intrepetation )
(d) Penilaian ( evaluation )

Menggambarkan
Mengamati hasil seni dengan cara menggambarkan hal benda dan sifat-sifat tampak/objek pada karya.Sebagai contoh :
Karya Latiff Maulan

Karya di atas menggambar sebuah seterika lama atau antic yang terletak di atas papan penggosok dan dilapik dengan kain batik berwarna merah. Disebelah seterika itu terdapat juga pelita minyak tanah.Terdapat kesan cahaya yang terpancar dari atas.

Menganalisa
(i) Menganalisa perhubungan sifat-sifat tampak dengan unsur-unsur seni, prinsip rekaan dan struktur.
(ii) Menganalisa kualiti ekspresif seperti mood dan suasana.
(iii) Menghuraikan stail, aliran dan gaya sesuatu karya.
(iv) Melihat teknik, alat dan bahan yang digunakan.

Tafsiran
(i) Mencari makna-makna yangtersurat dan tersirat pada karya tersebut. Begitu juga makna-makna yang terdapat pada sifat-sifat tampak seperti hal benda, simbol, unsur-unsur seni, prinsip, struktur corak dan bahan.
(ii) Mencari metafora-metafora (ibarat/kiasan) dan analogi-analogi (persamaan) untuk menjelaskan makna tersebut.
(iii) Mencari kaitan falsafah kehidupan manusia atau kaitan dengan cara hidup dan budaya masyarakat setempat.

Penilaian
Menilai hasil seni berdasarkan kepada pengertiannya ('significance') dari segi individu, sosial, keagamaan dan kepercayaan, sejarah serta keseniannya. Dengan itu proses apresiasi seni akan lebih mudah dan bermakna sekiranya pelajar telah dilengkapi dengan pengetahuan mengenai seni dan persepsi yang tajam.
Apakah pengetahuan seni yang diperlukan?
(a) Pengetahuan asas senireka dan prinsip-prinsip seni.
(b) Pengetahuan mengenai jenis seni, teknik, proses, alat dan bahan.
(c) Sejarah seni.
(d) Stail sesuatu zaman, budaya, aliran, kumpulan atau individu.
(e) Maklumat mengenai pelukis dan pandai tukang.




RUJUKAN :
Albert, G, Wolf, R. (1991) Basic Drawing Techniques. Cincinnati, Ohio: North Light

Bates, J, (2000). Becoming Art Teacher. USA: Wadworth.

Caroll, D. (1994). The State Of Teory: History, Art and Critical Discourse. London: Cambridge University Press.

Hargreaves, David J. ( 1987 ) Children And The Arts. Philadelphia: Open University Press

Herr, (2001) Creative Learning Activities For Young Children. USA: Delmar Learning

Jamalludin Harun & Zaidatun Tasir, (2006). Teknologi & Rekabentuk Grafik Digital, Kuala Lumpur: Venton Publishing.

Jemaah Nazir Sekolah.(2003). Pengurusan Pendidikan Seni Visual sekolah menengah dan rendah. KL:Kementerian Pendidikan Malaysia

Jemaah Nazir Sekolah. (2003). Standard kualiti pendidikan Malaysia. sekolah: Instrumen pemastian standard. KL:Kementerian Pendidikan Malaysia.

Jemaah Nazir Sekolah. (2004). Standard kualiti pendidikan Malaysia. Sekolah: Pernyataan standard. KL:Kementerian Pelajaran Malaysia

Kementerian Pendidikan Malaysia. (1985). Buku panduan khas Pendidikan Seni Visual, KBSR. K.L.: DBP.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (1998). Buku sumber guru Pendidikan Seni Visual, KBSR. K.L.: DBP.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (2000). Modul pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual,KBSR.K.L.: DBP.

Kementerian Pendidikan Malaysia. (1998). Modul pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni Visual,KBSR.K.L.: DBP.

Mazlan. M. (1997) Pendidikan Seni 1: Prinsip Pendidikan Seni. KL: Kumpulan Budiman Sdn. Bhd.






No comments: