PENGARUH NGAYAU ATAU HEADHUNTING DALAM PENCIPTAAN MOTIF-MOTIF TEKSTIL PUA KUMBU MASYARAKAT IBAN DI SARAWAK







Dipetik dari Jurnal Melayu (7) 2011: 303 - 316

Hasil kajian:
ANNA DURIN
ZARINA MOHD. SHAH
BERNICE HELENA
MOHD. GHAZALI ABDULLAH

Semoga dengan perkongsian ilmu ini dapat meningkatkan kefahaman kita terhadap adat dan budaya sesebuah masyarakat dengan lebih mendalam agar wujud rasa saling memahami dan hormat menghormati dalam masyarakat pelbagai kaum.

ABSTRAK
Makalah ini meninjau konsep motif yang dicipta melalui pengaruh ngayau atau headhunting. Konsep yang dimaksudkan ialah konsep ngayau atau headhunting dan juga konsep pua kumbu. Selain itu, makalah ini meneliti pandangan masyarakat Iban mengenai kaedah yang terbaik untuk memelihara dan seterusnya boleh memperkembangkan motif-motif berkenaan. Oleh itu, dapatan penyelidikan nanti boleh membantu program yang sedia ada dalam bidang pemeliharaan pua kumbu yang dijalankan oleh pertubuhan-pertubuhan yang sedia ada misalnya Tun Jugah Foundation. Maklumat-maklumat dikutip melalui penyelidikan keperpustakaan dan penyelidikan lapangan. Lokasi penyelidikan adalah di beberapa buah rumah panjang di Bahagian Betong dan juga di Kuching seperti di Tun Jugah Foundation dan penyelidikan ini masih dijalankan.
Kata Kunci: Iban, tenun, pua kumbu, motif, headhunting, dewa
Jurnal Melayu (7) 2011: 303 - 316


Pengenalan
Masyarakat Iban tinggal di Pulau Borneo dan kebanyakan mereka terdapat di negeri Sarawak iaitu di Bahagian Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Kapit, dan Kanowit (Christensen, 2003:23) Masyarakat Iban sebahagian daripada masyarakat bumiputera Sarawak yang terkenal dengan penempatan di rumah panjang. Pada zaman dahulu, rumah panjang masyarakat Iban biasanya dibina di tebing sungai kerana sungai merupakan perhubungan dan pengangkutan utama di kawasan pedalamam terutamanya di negeri Sarawak. Pada masa kini, ramai juga di antara mereka yang telah bekerja dan terus menetap di bandar-bandar seperti Kuching dan Miri.
Masyarakat Iban memiliki bahasa yang sama dan mereka dibezakan melalui dialek. Perbezaan dialek yang ketara ialah dari sudut sebutan atau slanga dan contoh-contoh dialek itu seperti Saribas, Skrang, Rejang, Balau, Undop, Batang Ai dan Sebuyau (Ngadi, 1988:2-3). Setelah masyarakat Iban bertembung dengan masyarakat lain misalnya China dan Melayu maka berlakulah proses peminjaman bahasa. Peminjaman bahasa daripada bangsa Melayu dan China telah memperkayakan lagi bahasa Iban (Howell, 1992 :16-17). Masyarakat Iban seperti juga masyarakat Melayu dan China iaitu memiliki seni rupa tersendiri misalnya seni tenunan. Dalam seni tenunan mereka telah mencipta beberapa alat-alat tenunan seperti sarong, dan pua kumbu. Untuk menghias kain tenunan pua kumbu, mereka menggunakan motif-motif yang cantik dan terdapat daripada motif tersebut dicipta melalui pengaruh ngayau atau headhunting.

Konsep Headhunting atau Ngayau
Headhunting atau ngayau merujuk kepada pemenggalan kepala musuh sebagai membalas dendam akibat keluarga mereka dibunuh oleh pihak lawan pada zaman tradisi dan selain itu ia juga boleh dirujuk kepada menyerang musuh seperti kayau besai dan kayau anak. Kayau besai adalah menyerang musuh secara beramai-ramai dan kayau anak adalah serangan hendap kepada musuh yang dilakukan beberapa orang sahaja misalnya seorang, dua atau tiga orang sahaja.

Ngayau is one of the expedition attacks perpetrated in Tradition Traditional Tribal Dayak Iban at a time. At the start of  "Ngayau" done or started from the origin ''Mengayau'' Dayak Tribe, one of the ancestral tribe living in Kalimantan Barat, Indonesia.
The meaning of the word is meant Ngayau: An expedition of a group of people who go and attack villages or longhouses others where it is known as "Kayau Serang" (Kayau Besai) the head hunt attack. And another type of attack made with a small amount of his followers and it is known as "Kayau Anak". "Kayau Anak" is an attack that is feared by all the people in days of old.
The meaning " Kayau Serang " is a large group of men gathered and assembled to make a large batch having been summoned by a chief and plans to organize an attack against the enemy where they are coming in droves from different longhouses to attack the enemy by word word order of their leader known as "Tuai Kayau " or "Tuai Serang".
Pada zaman tradisi, sejak dari kecil lagi anak lelaki Iban telah diajar oleh ibu atau nenek mereka bersikap berani untuk membalas dendam seperti membunuh dengan cara memenggal kepala musuh yang telah membunuh ahli keluarga mereka. Cara orang tua menanamkan sifat berani kepada anak kecil itu melalui nyanyian semasa mendodoikan anak dan kadang-kadang bercerita secara lisan tentang mitos yang berkaitan dengan dewa-dewa perang yang selalu mendapat kepala musuh dengan banyak semasa pergi berperang atau ngayau. Selain itu, para gadis juga tidak kurang memberi galakan kepada pemuda supaya pergi ngayau dan membawa balik kepala musuh kerana sekiranya anak muda belum berbuat demikian maka si gadis tidak mahu berkahwin dengan pemuda berkenaan. Sekiranya seorang pemuda telah mendapatkan kepala musuh maka dia akan menjadi kebanggaan keluarganya dan mendapat gelaran dan status Bujang Berani. Status Bujang Berani sangat disanjung tinggi oleh masyarakat Iban pada zaman dahulu (Anonymous, 1992:123).

Kaum perempuan masyarakat mempunyai peranan yang penting juga dalam masyarakat tersebut dan salah satu daripada peranan itu ialah melibatkan diri dalam seni rupa tradisi seperti menganyam dan bertenun. Selepas musim menuai padi mereka mempunyai masa lapang untuk melakukan aktiviti menganyam dan bertenun dan alat-alat yang dianyam adalah seperti bakul dan tikar. Terdapat juga daripada alat-alat anyaman tersebut dicipta untuk tujuan ritual seperti yang dipersembahkan kepada roh moyang semasa ritual Gawai Antu. Mereka yang boleh menganyam, bertenun dan seterusnya mempunyai kepakaran dalam mencampurkan warna asli untuk tenunan ikat sangat disanjung tinggi dan mereka itu diberi status tinggi dengan gelaran Indu Takar. Pada zaman tradisi status Indu Takar ini adalah sangat berprestij dan mereka dikategorikan dengan status Bujang Berani kaum lelaki kerana untuk mendapatkan status Indu Takar itu kaum wanita mesti mengadakan ritual Kayau Indu atau Gawai Engkuni iaitu suatu ritual khas berkaitan dengan seni tenunan pua kumbu (Linggi, 2001:2). Ritual tersebut tidak boleh dilakukan sembarangan kecuali wanita yang telah mendapat petunjuk seperti telah disuruh oleh dewi Kumang atau Indai Abang melalui mimpi.

Konsep Pua Kumbu
Istilah Pua secara tersurat bermaksud selimut dan kumbu pula kain untuk bertudung atau berlindung dari sejuk atau panas tetapi dalam konteks budaya Iban pua kumbu sebenarnya kain tenunan yang diguna khusus untuk tujuan ritual seperti ritual mandi untuk bayi, upacara perkahwinan, ritual-ritual yang berkaitan dengan ngayau, ritual kematian (Linggi, 2001:69) sehingga ritual berkaitan dengan roh orang Iban yang telah meninggal dunia yang dipercayai tinggal di menua sebayan atau alam mati.

Pada masa kini, seni tenunan pua kumbu mula diminati terutamanya oleh masyarakat Iban sama ada yang tinggal di pedalaman atau pun di bandar. Ini adalah satu perubahan yang positif sebab pada suatu ketika dahulu seni tenunan ini telah mengalami masalah kepinggiran dan dengan perkembangan yang baru dan positif ini maka terdapat pertubuhan persatuan di kalangan masyarakat Iban seperti Sarakup Indu Dayak Sarawak (SIDS) yang diketuai oleh Puan Sri Empiang Jabu untuk menggalakkan generasi baru dalam bidang pemeliharaan dan promosi seni tenunan pua kumbu dan juga seni rupa masyarakat Iban yang lain (Linggi, 2001:71).
Seperti yang telah dinyatakan dalam tajuk di atas iaitu fokus kajian ialah mengenai motif-motif seni tenun Pua Kumbu yang dipercayai dicipta kerana pengaruh ngayau maka dengan itu motif-motif yang dibincangkan adalah yang menggunakan nama-nama berkaitan sama ada dengan dewa-dewa dalam cerita mitos Iban yang menjadi watak-watak berkaitan dengan hal ngayau atau pun motif-motif yang menggunakan nama ritual-ritual yang berkaitan dengan ritual-ritual yang dilakukan kerana kaitannya dengan ngayau. Oleh kerana penyelidikan ini masih dijalankan maka motif-motif yang dibincangkan dalam kertas kerja ini sebahagian sahaja yang dikaji daripada motif-motif yang dikaji kerana dipercayai masih banyak lagi motif-motif berkaitan dengan ngayau akan dikaji oleh penulis yang sama.

Motif-Motif Pua Kumbu
Terdapat beberapa motif seni tenunan pua kumbu telah dikenalpasti iaitu dicipta melalui pengaruh ngayau dan kaedah yang telah digunakan dalam mendapatkan motif-motif itu ialah melalui penyelidikan keperpustakaan dan penyelidikan lapangan iaitu menemu-bual responden yang pakar seperti Pn Siah ak Jugah di Tun Jugah Foundation di Kuching. Melalui kedua-dua kaedah itu, didapati motif-motif yang dipamerkan dalam buku pengkaji lampau seperti yang ditulis oleh Datin Margaret Linggi (2001) yang berjudul Ties That Bind memang ada mempamerkan motif-motif berkenaan. Sekiranya kita lihat dari segi bentuk rupa motif-motif tersebut maka kita agak susah mengecam secara jelas mengenai nama-nama motif kerana semua motif tersebut ditenun dalam bentuk abstrak dan untuk memberi nama kepada motif-motif itu bergantung kepada inspirasi yang diterima oleh penenun. Oleh itu, orang yang bukan penenun atau yang tidak mengenal budaya penenun memanglah susah untuk meneka atau memahami maksud yang tersimpan dalam motif berkenaan. Bagi menyelesaikan masalah tersebut maka penyelidikan ini dijalankan secara menemu bual beberapa orang responden untuk mendapat maklumat berkaitan dengan simbolisme budaya ngayau.
Kaedah keperpustakaan telah dijalankan dan ia sangat membantu mendapatkan motif seni tenunan pua kumbu yang telah dikenalpasti dicipta melalui pengaruh head hunting atau ngayau. Motif-motif itu ialah motif Lelanjang Bungai Nuing, Gumbang Besimpan, Ringka Antu Pala, Lang Tuai, Sepit Api,dan motif Gajah Meram. Sumber motif yang dipilih dalam kertas kerja ini berdasarkan buku yang ditulis oleh Datin Margaret Linggi (2001) yang berjudul Ties That Bind: Iban Ikat Weaving.

Motif Lanjang Bungai Nuing (Linggi, 2001:79)
Motif Lelanjang Bungai Nuing dicipta dan diberi nama daripada pengaruh dewa perang yang dipercayai tinggal di alam ghaib dan tempat tinggal itu dinamakan oleh masyarakat Iban Panggau Libau Gegiau Takang Isang. Secara tersurat maksud lelanjang Bungai Nuing bermaksud alat perhiasan kepala dewa Bungai Nuing. Menurut sastera lisan atau cerita mitos masyarakat Iban, Bungai Nuing adalah seorang dewa perang yang gagah, berani dan suka bercakap besar. Selain itu, dia juga selalu suka mendahului dewa-dewa yang lain apabila pergi berperang atau ngayau dan dipercayai juga Bungai Nuing telah mendapat banyak kepala musuh. Selain daripada gagah dan berani menewaskan musuh dia juga boleh menjelma dan membantu orang Iban yang memerlukannnya sekiranya dipuja dengan cara miring. Miring bermaksud satu upacara ritual yang digunakan sama ada untuk memuja dewa-dewi, atau pun untuk mententeramkan hantu semangat. Bungai Nuing dipercayai boleh memberi azimat atau tangkal supaya orang yang memakainya menjadi berani, kuat dan senang menewaskan lawannya dan tangkal atau azimat itu akan diterima biasanya melalui mimpi misalnya dalam mimpi orang berkenaan bertemu dengan Bungai Nuing dan Bungai Nuing akan mengarahkannya ke tempat-tempat tertentu untuk mengambil azimat dan juga mengajar orang berkenaan bagaimana menggunakan azimat tersebut supaya berkesan. Oleh kerana penenun-penenun itu sangat percaya kepada kehebatan dewa Bungai Nuing maka motif kompleks itu diberi nama bersempena dengan nama dewa berkenaan.

Motif Gumbang Besimpan (Linggi, 2001:83)
Motif Gumbang Besimpan juga mempunyai maksud yang sangat mendalam tetapi elok juga dijelaskan terlebih dahulu mengenai maksud tersuratnya. Gumbang bermaksud gelombang dan besimpan bermaksud alunan kuat gelombang yang boleh menenggelamkan orang, kapal dan lain-lain. Motif ini mempunyai nama khas atau praise name iaitu Pasang Nyegang Gumbang Besimpan Mangka Ka Tandan Apung Berayah. Maksud tersurat nama khas itu ialah ombak besar yang menghempaskan tandan nipah dan oleh kerana hempasan ombak itu sangat kuat maka tandan nipah berkenaan pun bergoyang-goyang. Keadaan tandan yang bergoyang itu diibaratkan seperti tarian ritual yang dipersembahkan untuk memuja dewa-dewi yang dinamakan berayah.
Namun erti tersirat motif tersebut ialah berkait-rapat dengan head hunting kerana perkara yang digambarkan dalam motif pua kumbu yang digunakan bagi menyambut kepala musuh yang baru dibawa masuk ke rumah panjang. Sebenarnya pua kumbu itu digunakan untuk mengendung atau nyandik (dalam bahasa Iban) kepala atau antu pala (bahasa Iban). Seorang wanita yang membawa kepala itu akan melakukan tarian nyangkah iaitu sejenis tarian ritual khusus untuk kepala yang telah dipenggal. Selain daripada nyangkah untuk membawa masuk kepala ke rumah panjang, nyangkah juga dilakukan apabila masyarakat Iban mempersembahkan ritual Gawai Burung yang berkaitan dengan roh kepala musuh atau trophy head, misalnya roh itu menjelma dalam mimpi dan menyuruh orang yang memilikinya memberinya makan.

Motif Ringka Antu Pala (Linggi, 2001: 85)
Motif Ringka Antu Pala sama juga seperti motif Gumbang Besimpan iaitu dicipta melalui pengaruh kepala musuh atau trofi kepala musuh kerana maksud ringka di dalam motif itu ialah satu bekas yang dianyam daripada rotan untuk meletakkan kepala musuh dan dengan bekas tersebut kepala itu digantung di siling di ruai rumah panjang sebagai dekorasi dan juga untuk memberitahu umum bahawa mereka yang menyimpan kepala itu adalah orang atau nenek moyang mereka terdahulu adalah orang berani kerana telah berjaya menewaskan musuh mereka. Selain itu, motif ini juga mempunyai nama khas atau praise name iaitu Ringka Antu Pala Nyabak Lelega Duduk Atas Bedilang. Maksud tersurat nama khas itu ialah bekas kepala itu menangis di atas dapur khas yang digunakan untuk menyalai kepala itu. Maksud sebenarnya melambangkan roh kepala musuh yang telah dipenggal itu berasa sedih dan menangis mengenangkan nasibnya yang telah tewas dan oleh itu rohnya akan menjadi hamba kepada pemiliknya.


Motif Lang Tuai (Linggi, 2001: 88)
Motif Lang Tuai adalah sejenis motif yang dicipta melalui nama dewa perang Aki Lang Singalang Burung dan menurut kepercayaan Iban dewa perang ini sangat gagah dan memiliki ilmu sakti yang sangat tinggi. Oleh kerana dia sangat gagah maka masyarakat Iban yang mengadakan ritual berkaitan head hunting akan memuja dewa tersebut dan dipercayai dewa ini bersimbolkan burung helang. Oleh kerana masyarakat Iban percaya bahawa burung helang adalah simbol dewa Aki Lang Singalang Burung maka sesuatu motif yang menggunakan nama burung helang adalah simbol dewa berkenaan, dikategorikan dalam motif kelas tinggi dan tidak boleh ditenun sembarangan wanita kecuali yang mempunyai azimat pelindung atau ubat enda layu sahaja dan mereka ini adalah tergolong dalam status Indu Takar.

Motif Sepit Api (Linggi, 2001: 98)
Motif Sepit Api dicipta daripada pengaruh kepercayaan tradisi berkait dengan dewa perang dan boleh membantu masyarakat Iban masa head hunting dan dia juga dipercayai tinggal di Panggau Libau. Selain itu dia juga dipercayai bapa kepada dewa Keling dan nama gelarannya ialah Sepit Api Ketam Bejamang dan isterinya bergelar Indai Karung Besi. Maksud tersurat sepit api ialah penyepit yang digunakan untuk menyepit bara api dan ketam bejamang ialah seekor ketam yang mempunyai sepit yang sangat kuat. Oleh itu, maksud tersirat nama khas tersebut menggambarkan dewa berkenaan seorang yang sangat gagah dan tidak gentar kepada musuh atau lawannya dan dia juga berupaya menewaskan lawannya seperti sepit api itu yang boleh menyepit bara api sampai bara itu padam. Dalam cerita mitos masyarakat Iban dewa Sepit Api ini adalah dewa yang sangat gagah, berani dan memiliki ilmu sakti yang tinggi. Masyarakat Iban tradisi juga percaya dewa ini boleh membantu mereka menewaskan musuh dan dipercayai dewa yang paling kuat, paling gagah dan paling bijak di antara dewa-dewa yang lain iaitu mereka yang tinggal di Panggau Liban Gegiau Takang Isang.

Motif Gajah Meram (Linggi,2001:102)
Motif Gajah Meram dicipta melalui nama ritual khas kaum lelaki Iban yang hendak pergi menyerang musuh iaitu Ritual Gajam Meram. Secara tersurat maksudnya ialah seekor gajah betina yang sedang menjaga anaknya. Maksud tersiratnya pula ialah seorang wira yang yang menjaga kepala musuh yang baru saja dipenggalnya dengan baik dan tidak akan meninggalkan kepala itu sampai ia dibawa pulang ke rumah panjangnya nanti. Selain itu nama motif Gajam Meram juga ada pengaruh ritual Bujang Berani iaitu Ritual Gajah Meram dan ritual itu dilakukan sebelum para wira pergi berperang dan tujuan ritual berkenaan adalah untuk memuja dewa perang seperti Aki Lang Singalang Burung yang dipercayai tinggal di langit dan juga dewa Sepit Api dan anaknya Keling Gerasi Nading, Bujang berani Kempang dan dewa-dewa lain seperti Laja Lau Mua, Bungai Nuing dan lain-lain.

Kesimpulan
Seperti yang telah dinyatakan di atas, kajian ini masih dijalankan maka oleh itu perkara yang dibentangkan di dalam kertas ini hanya menjelaskan istilah konsep dan maksud yang berkaitan dengan amalan masyarakat Iban berkenaan headhunting atau ngayau. Setakat ini, kajian telah mendapati bahawa sebahagian daripada motif-motif pua kumbu seperti yang dinyatakan di atas dicipta dan juga diberi nama melalui pengaruh ngayau. Budaya tradisi ngayau juga telah memberi ilham kepada penenun-penunan untuk mencipta motif-motif berkenaan. Kajian lanjutan akan diteruskan lagi untuk melengkapkan dapatan kajian dalam memelihara dan mengembangkan motif-motif tekstil kain pua kumbu.

Rujukan
Anonymous. 1992. Head Hunting in Borneo. The Sea Dyaks and Other Races of Sarawak. Kementerian Pendidikan Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Christensen, Hanne. 2002. Ethnobotany of the Iban & Kelabit. Forest Department Sarawak. Malaysia. Denmark: University of Aarhus, Denmark.

Edric Ong. 1986. Pua: Iban Weaving of Sarawak. Kuching, Society Atellier Sarawak. Gavin, Traude. 2004. Iban Ritual Textiles. Singapore: Singapore University Press.

Howell, William, Hose, C., McDougall, William. 1992. The Sea Dyaks and Other Races of Sarawak. Guildford: St Thomas’s Trust.

Linggi, Margaret Linggi. 2001. Ties That Bind: Iban Ikat Weaving. In cooperation with the Borneo research Council. Kuching. The Tun Jugah Foundation.

Mashman, Valerie. 1986. Warriors and Weavers: A Study of Gender Relation Among the Iban Of Sarawak. M. A. Social Anthropology, University of Canterbury.

Munan, Heidi. 1989. Sarawak Crafts. Methods, Material and Motifs. Singapore Oxford: University Press.

Ngadi, Henry Gana Ngadi. 1988. Iban Rites of Passage and Some Related Ritual Acts. A description of Forms and Functions. Kuala Lumpur: Dewan Bahasadan Pustaka.

No comments: