Teori Keperibadian Mulia

Teori Keperibadian Mulia



Teori ini berkait rapat dengan "kaedah sikap baik" dan sifat-sifat seorang insan moral. Persoalan yang ditekankan ialah "Apakah yang patut saya jadi?" dan bukan "Apakah yang patut saya lakukan?" Konsep keperibadian mulia bermula dengan masyarakat Yunani pada abad ke-4 SM dan salah seorang pelopornya ialah Aristotle.
Keperibadian mulia didefinisikan sebagai kualiti terbaik atau istimewa (excellence). Terdapat dua jenis keperibadian mulia iaitu keperibadian mulia intelektual dan keperibadian mulia moral.

Aristotle berpendapat keperibadian mulia intelektual adalah kebaikan atau keistimewaan akal seperti kebolehan memahami dan membuat taakulan yang baik. Aristotle menganggap bahawa sifat intelektual ini boleh dipelajari daripada seorang guru.

Aristotle juga menganggap, keperibadian mulia moral tidak terhasil dalam seorang individu secara semula jadi, iaitu seseorang itu tidak dilahirkan dengan sifat baik dan jahat. Mengikut Aristotle, keperibadian mulia mewajibkan kita bertingkah laku baik. Sifat-sfat ini tidak dipelajari melalui ajaran seorang guru tetapi menerusi latihan, tindakan-tindakan yang kerap diulang sehingga menjadi satu kebiasaan, menyenangkan serta menyeronokkan.

Oleh itu seseorang dianggap berkeperibadian mulia sekiranya mempunyai ciri-ciri berikut:
• Menyedari moral adalah satu kewajipan yang tidak boleh dipersoalkan
• Mempunyai keikhlasan dan kejujuran dari segi nilai
• Sentiasa berusaha bersungguh-sungguh melakukan kebaikan dan mengelakkan keburukan
• Berpegang kepada prinsip
• Tidak mengharapkan balasan atas apa yang dilakukan
• Sedia menerima dengan tenang sesuatu yang dianggap kesusahan dan kesengsaraan

Teori yang dianjurkan oleh Aristotle (384 BC – 322 BC) ini telah meletakkan moral sebagai sesuatu yang sederhana. Ini bermakna sesuatu yang bermoral adalah sesuatu yang tidak keterlaluan dan mengambil jalan tengah.

Bagi pandangan Aristotle, melakukan sesuatu dengan berlebihan atau berkurangan adalah jahat dan tercela. Islam dalam pada masa yang sama juga telah menegaskan bahawa umat Islam yang baik adalah umat Islam yang sederhana. Seperti firman Allah:

Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas.

(al-Baqarah: 190).

Selain itu, firmanNya lagi:
Dan demikianlah (seperti mana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) satu umat pertengahan (pilihan lagi adil), supaya kamu layak menjadi saksi kepada umat manusia (tentang benar dan salah) dan Rasul itu (Muhammad) pula akan menjadi saksi ke atas kamu. (al-Baqarah: 143).

Dalam isu-isu berkaitan dengan akal dan wahyu, dunia dan akhirat, material dan spiritual atau individu dan masyarakat, Islam telah menggariskan sesuatu yang sederhana dan hikmah.

Walau bagaimanapun, Islam tetap menyokong kritikan terhadap teori ini yang menyatakan bahawa kadar sederhana itu tidak boleh diaplikasikan dalam semua keadaan terutama sekali bagi kelakuan yang memang jelas tidak baik dan tercela.

No comments: