Prosedur Penyelidikan Dalam Pendidikan

Dipetik daripada bahan Modul PSV3113

SINOPSIS
Bab ini menghidangkan aspek-aspek berkenaan dengan prosedur penyelidikan dalam pendidikan dengan memberi penekanan terhadap pendekatan kuantitatif. Antara prosedur penyelidikan yang akan anda pelajari ialah cara menyatakan masalah kajian, menetapkan objektif kajian, merancang reka bentuk kajian, menentukan prosedur persampelan, membina instrumen kajian, mengumpul data dan menganalisis dan menghurai data serta membincang dan melapor hasil kajian.

Pada akhir tajuk ini, anda akan dapat:
1. menulis pernyataan masalah
2. menulis objektif
3. menulis soalan kajian
3. menulis hipotesis kajian
4. melakukan tinjauan literatur
5. merancang reka bentuk kajian
6. menentukan prosedur persampelan
7. membina instrumen kajian
8. menerangkan kesahan dan kebolehpercayaan instrumen
9. menentukan prosedur pengumpulan data
10. menganalisis dan menghurai data

11. membincang dan melapor hasil kajian

Menyatakan Masalah Kajian

Sebelum Menyatakan Masalah
Jika anda merupakan penyelidik permulaan besar kemungkinan anda akan berasa gelisah apabila hendak memulakan penyelidikan. Keresahan tersebut harus ditangani sebaik mungkin demi menjayakan penyelidikan tersebut. Sebelum anda memulakan penyelidikan, anda mungkin perlu
mempertimbangkan perkara-perkara dibawah:
- bagaimana hendak memulakan kajian?
- apakah topik yang serasi dengan diri anda?
- apakah jenis responden kajian anda?
- berapa banyak data yang perlu anda memungut?
- apakah topik yang anda meminati?
- apakah anda mempunyai tahap pengetahuan yang memadai untuk topik yang ingin dikaji?

Selain perkara-perkara di atas, anda juga perlu melaksanakan tinjauan berkaitan dengan status dan latar belakang topik yang ingin dikaji; khususnya, anda perlu:
 membuat pembacaan berkaitan topik
 membuat percambahan idea dengan rakan berkaitan dengan topik
 mengkaji topik berdasarkan pembelajaran yang diperoleh daripada pengalaman sendiri atau daripada jurnal hasil pembacaan
 menentukan kebolehlaksanaan kajian
 memikirkan tentang nilai dapatan kajian yang dicadangkan (sama ada untuk penyelesaian masalah atau memperluaskan teori)

Semasa Merangka Pernyataan Masalah
Semasa anda merangka untuk menyatakan masalah, beberapa pertimbangan perlu dibuat, antaranya:
- apakah masalah atau isu?
- siapakah yang menyatakan itu satu isu?
- apakah data yang boleh membuktikan ia adalah suatu isu?

Setelah menjawab soalan-soalan di atas, anda perlu:
- membentuk masalah dengan tepat dan jelas
- mengambil kira apa yang hendak dikaji, bagaimana dan sejauh manakah ia perlu dikaji
- memikirkan definisi konseptual dan operasional
- menentukan cara untuk mengukur
- membuat keputusan menyatakan masalah sama ada dalam bentuk pernyataan ataupun soalan


Berikut adalah satu contoh Pernyataan Masalah:

Inquiry based learning has been advocated for many years as an effective way of engaging students in learning science and mathematics. Previous studies indicate that the most significant obstacle to introducing inquiry learning is the teacher’s conceptual understanding of the content. Previous research has shown that teachers’ lack of conceptual understanding results in low science or mathematics teaching self-efficacy. Low self-efficacy leads to transmissive modes of teaching. This study will explore the impact of a professional development initiative on teacher self-efficacy.

Menetapkan Objektif Kajian
Objektif kajian merupakan penyenaraian pernyataan tujuan spesifik kajian sebelum sesuatu kajian dilaksanakan. Ia mempermudah dari segi pengutipan data dan alat yang sesuai yang patut digunakan.

Contoh objektif kajian:
Objektif kajian ini adalah untuk menentukan sejauh manakah jantina mempengaruhi tahap kelesuan guru di Malaysia. Berikut adalah perkara yang perlu dipatuhi dalam penetapan objektif supaya dapatan kajian kelak dapat dibandingkan dengan objektif yang dibina:

- Berbentuk operasi, dan dapat menjelaskan tindakan secara spesifik, tempat dan tujuan
- Mengambilkira keadaan sebenarnya

- Penggunaan kata kerja yang spesifik dan boleh dibuat penilaian.

Membentuk Soalan Kajian
Soalan kajian merupakan soalan yang perlu dijawab dalam penyelidikan. Soalan yang dibina perlu berdasarkan objektif penyelidikan kita. Jawapan kepada soalan akan membantu kita dalam mencapai objektif dan tujuan kajian. Soalan kajian juga dianggap sebagai titik permulaan dalam kaedah
penyelidikan sains tulen maupun sains kemasyarakatan. Ia dapat membantu kita membina kerangka konseptual.

Contoh soalan kajian:
Adakah terdapat hubungan yang signifikan antara jantina dengan tahap kelesuan guru di Malaysia?
Pada umumnya, terdapat tiga jenis soalan kajian bagi penyelidikan dalam pendidikan:

(a) Persoalan deskriptif
Fokus kepada penerangan tentang keadaan yang sedia ada; contohnya, situasi sekolah yang sedia ada; sering kali ini dibandingkan dengan penanda piawai atau keadaan yang berlaku dalam institusi pendidikan yang lain.

(b) Persoalan korelasi
Fokus kepada pencarian kaitan antara pembolehubah.


(c) Persoalan penyebab sesuatu fenomena
Fokus kepada pengenalpastian faktor-faktor yang menyebabkan berlakunya sesuatu fenomena.

Membentuk Hipotesis Kajian
Hipotesis kajian merupakan andaian kita tentang sesuatu fenomena yang belum dibuktikan. Pernyataan ini menerangkan kemungkinan adanya perkaitan antara pembolehubah dengan masalah yang dikaji. Hipotesis merupakan lanjutan daripada soalan dan objektif kajian dan boleh membantu dalam menjelaskan perkara yang akan dikaji. Dalam penyelidikan kuantitatif, ia seharusnya boleh diuji secara statistik. Biasanya
dalam penyelidikan kuantitatif terdapat dua hipotesis, iaitu hipotesis nol dan hipotesis alternatif, bagi sesuatu pembolehubah.

Contoh hipotesis kajian:
Hipotesis nol: Tidak terdapat hubungan yang signifikan antara jantina dan tahap kelesuan guru di Malaysia
Hipotesis alternatif: Terdapat hubungan yang signifikan antara jantina dan tahap kelesuan guru di Malaysia
Hipotesis nol dan alternatif adalah berarah; ini bererti ramalan kita tentang perbezaan atau perkaitan antara pembolehubah memihak kepada arah tertentu, contohnya, ada hubungan atau tiada hubungan.

Bagi penyelidikan kualitatif, biasanya terdapat satu hipotesis saja bagi satu pembolehubah; juga hipotesisnya dinyatakan secara umum dan tidak berarah; hipotesis penyelidikan kualitatif tidak diuji secara statistik.

Melakukan Tinjauan Literatur
Menurut Creswell (2008), ulasan karya atau tinjauan literatur adalah ringkasan artikel bersumberkan jurnal, buku-buku dan dokumen berkaitan yang memperihal maklumat masa lalu dan kini. Tujuan meninjau literatur ialah untuk memahami bidang kajian dengan lebih mendalam. Proses tinjauan literatur menggarap sub-proses menjelaskan konsep-konsep penting, teori berkaitan, model-model dan prinsip-prinsip yang berkaitan dengan kajian. Menerusi tinjauan literatur, kita akan menemui dapatan terkini dan lepas, mengenalpasti persoalan-persoalan yang belum terjawab, serta alat-alat kajian, di mana semua ini akan memimpin kita untuk mereka bentuk ilmu baru.

Berikut merupakan beberapa garis panduan semasa membuat tinjauan literatur:
- kenalpasti kata kunci
- dapatkan sumber literatur yang pelbagai
- menilai pembacaan secara kritikal
- susun bahan literatur

- buat ulasan karya/tinjauan literatur

Merancang Reka Bentuk Kajian
Reka bentuk kajian merupakan strategi untuk menjalankan kajian dan ia merangkumi penetapan jenis penyelidikan sama ada kuantitatif, kualitatif atau gabungan antara kedua-dua jenis. Pertimbangan juga dibuat dalam pemilihan populasi, sampel, pembahagian sampel serta kaedah pengutipan data berdasarkan jenis data bersesuaian dengan kajian. Reka bentuk kajian menimbang faktor seperti pemilihan statistiks yang sesuai untuk menjawab soalan kajian, serta kaedah menganalisis data.
Rajah 1 menunjukkan bahawa terdapat 3 reka bentuk kajian utama iaitu reka bentuk kajian kuantitatif, reka bentuk kajian kualititatif dan gabungan antara kedua-dua jenis.


Reka Bentuk Kajian

Menentukan Prosedur Persampelan
Prosedur persampelan sangat penting dalam rancangan untuk menentukan bagaimana sampel dipilih. Dalam penyelidikan kuantitatif, prosedur pemilihan sampel adalah lebih ketat berbanding dengan penyelidikan kualitatif. Ini kerana dalam penyelidikan kuantitatif, keputusan kajian perlu digeneralisasi kepada populasi. Disebabkan itu, pemilihan sampel perlu tepat agar kita dapat membuat inferens mengenai populasi. Dalam penyelidikan kuantitatif, terdapat beberapa jenis sampel yang boleh dipilih. Berikut merupakan jenis-jenis sampel tersebut:

(a) Sampel rawak mudah
Ini merupakan cara termudah dan terbaik untuk memperoleh sampel daripada populasi. Setiap ahli dalam populasi mempunyai peluang yang sama untuk dipilih sebagai sampel.

(b)Sampel berstrata
Teknik ini membahagikan sampel mengikut kumpulan terlebih dahulu sebelum pemilihan sampel dibuat. Contoh kumpulan ialah tahap kecerdasan murid. Kaedah ini digunakan bagi memastikan sampel yang dipilih diwakili secukupnya oleh setiap golongan dalam populasi; contohnya, sampel mungkin mengandungi 20% murid lemah, 60% murid sederhana dan 20% murid cerdas; pemilihan murid lemah dibuat secara rawak hanya antara murid lemah sahaja; begitu juga dengan pemilihan
murid sederhana dan cerdas.

(c) Sampel sistematik
Persampelan ini memerlukan senarai kesemua calon yang berkemungkinan untuk dipilih. Pemilihan calon adalah dibuat dengan memilih setiap k sampel dari senarai tersebut (dimana k adalah: bilangan

calon dalam populasi bilangan sampel yang diperlukan).

(d) Sampel kelompok
Kaedah ini hampir serupa dengan pensampelan berstrata. Ia dapat menjimatkan wang dan masa bagi kawasan kajian yang kedudukan geografinya jauh antara satu sama lain. Dalam menentukan saiz sampel, harus diingat bahawa saiz sampel yang kecil tidak dapat memberi maklumat yang tepat berkenaan populasi; semakin besar saiz sampel semakin tepat data yang diperoleh dengan syarat tiada bias dalam pemilihan sampel; akan tetapi semakin besar saiz sampel semakin tinggi kos yang diperlukan.

Membina Instrumen Kajian
Anda mempunyai dua pilihan dalam menentukan kaedah mengumpul data. Satu opsyen adalah dengan mereka bentuk alat mengumpul data yang tersendiri dan yang satu lagi ialah dengan memilih instrumen yang piawai seperti Maslach Burnout Inventory. Sekiranya anda tersilap memilih instrumen, ada kemungkinan terdapat ralat pada kajian anda. Jika anda membuat keputusan untuk membina instrumen, anda harus akur kepada perkara yang disenarai di bawah. Langkah ini bertujuan supaya maklumat yang diperoleh adalah sah dan boleh dipercayai.

Berikut disenaraikan beberapa garis panduan asas dalam membina instrumen kajian:
- kenal pasti dan tentukan item-item untuk dimasukkan ke dalam instrumen
- jalankan ujian rintis bagi mendapatkan maklum balas terhadap instrumen
- taksirkan kesahan instrumen
- tentukan kebolehpercayaan instrumen (bagi penyelidikan kuantitatif)

Menyatakan Kesahan Dan Kebolehpercayaan Instrumen Kajian
Mengikut Lim (2007) kesahan bermaksud sejauh manakah sesuatu instrumen berjaya mengukur perkara yang diingin diukurnya; konsep kesahan berkait dengan interpretasi data, pengkonsepsian fenomena yang dikaji dan metodologi kajian. Menurut Linn dan Gronlund (2000, seperti dinyatakan dalam Lim, 2007) ciri-ciri kesahan termasuk yang berikut - merujuk kepada kemunasabahan interpretasi yang dibuat pada data
- wujud dalam bentuk darjah (tinggi, baik dsb)
- spesifik pada interpretasi dan kegunaan tertentu
- membabitkan penilaian secara menyeluruh berkenaan sejauh manakah bukti yang dikemukakan dalam dapatan kajian menyokong kesesuaian interpretasi atau inferens yang dibuat oleh penyelidik Mengikut Lim (2007) kebolehpercayaan boleh didefinisikan sebagai darjah
ketekalan (konsistensi) sesuatu instrumen kajian mengukur sesuatu pembolehubah kajian. Lebih konsisten pengukuran maka lebih tinggi kebolehpercayaan instrumen. Instrumen dikatakan mempunyai kebolehpercayaan 100% sekiranya setiap kali instrumen ditadbir, keputusan yang identikal diperoleh.

Menentukan Prosedur Pengumpulan Data
Pentingnya pengetahuan tentang prosedur pengutipan data adalah dari sudut memenuhi matlamat penganalisisan data serta dalam menyelesaikan hipotesis yang telah dibentuk. Pada umumnya terdapat dua sumber utama data iaitu sumber primer dan sumber sekunder. Data sekunder diperoleh
dari sumber sedia ada manakala data primer diperoleh dari sumber asal berkaitan pembolehubah yang dikenalpasti dalam kajian. Contohnya, dalam kajian menentukan tahap kelesuan guru-guru di Malaysia, kita boleh melihat laporan-laporan yang berkaitan atau kita boleh menemu bual beberapa orang guru. Laporan-laporan tersebut merupakan sumber sekunder manakala guru-guru merupkan sumber primer.

Mengumpul Data
Terdapat pelbagai alat kajian untuk mengutip data. Antaranya termasuk; ujian pencapaian, skor peperiksaan, soal selidik, inventori, senarai semak dan skedul cerapan. Soal selidik merupakan instrumen pengumpulan data yang lazim digunakan dalam penyelidikan kuantitatif. Ia digunakan untuk memungut data berkenaan fenomena yang tidak boleh diperhatikan secara terus oleh penyelidik seperti sikap, kepercayaan, pandangan, pengalaman, dan nilai. Soal selidik mengandaikan bahawa responden memahami item, responden mempunyai maklumat dan responden rela menjawab item dengan jujur.

Menganalisis Dan Menghurai Data
Analisis data bergantung kepada jenis data yang diperoleh. Data kuantitatif terdiri dari angka dan berkehendakkan analisis statistik. Pengujian statistik diperlukan jika analisis inferensi dibuat. Jenis statistik yang dipakai perlu akur dengan soalan kajian dan hipotesis.

Berikut adalah langkah-langkah analisis inferensi:
- pembentukan hipotesis
- memilih satu ujian statistik
- memilih tahap signifikan
- analisis data dengan pakej program komputer
- interpretasi output yang dihasilkan
- membuat keputusan
Bagi analisis kualitatif biasanya ia melibatkan analisis kandungan untuk mencari tema, pengkategorian data, pengekodan data, analisis grid dan pengenalpastian tema/corak dan makna. Kesemua ini akan diterangkan dalam kuliah berkaitan kajian tindakan.

Membincang Dan Melapor Hasil Kajian
Sekiranya seseorang itu ingin menulis dengan gaya yang jelas, lebih baik ia mempunyai pemikiran yang jelas juga; dan sekiranya seseorang itu ingin menulis dengan gaya yang terpuji, biarlah dirinya sendiri mempunyai pemikiran yang terpuji. (Johann Wolfgang von Goethe) Dalam membincangkan hasil kajian, kita wajib menyemak keputusan secara kritikal. Menurut Akhiar dan Shamsina (2011) kita juga harus menanya beberapa soalan kepada diri kita sendiri iaitu:

- Adakah kriteria yang telah dipilih menunjukkan kualiti isi kandungan yang sah? Adakah kita telah meninggalkan mana-mana kriteria penting atau telah memasukkan kriteria yang tidak berkenaan?

- Sekiranya kita menjalankan rawatan (treatment) dan membuat perbandingan antara kumpulan atau masa, maka soalan berikut perlu ditanyakan:

 Adakah terdapat perbezaan yang signifikan antara kumpulan, berkaitan isi kandungan sebelum dan selepas rawatan?

 Selain tindakan rawatan adakah syarat serupa bagi setiap kumpulan (contohnya, arahan, tahap keupayaan)?

 Adakah perkara lain telah berlaku selain rawatan yang dirancang, yang boleh mempengaruhi dapatan kajian?

 Adakah terdapat perbezaan motivasi antara kumpulan sebelum atau semasa kajian dijalankan?
Di Institut Pendidikan Guru (IPG), penulisan laporan penyelidikan akur dengan format/gaya mengikut American Psychological Association (APA).






No comments: