Program Pensiswazahan Guru KPM
SINOPSIS
Apabila pemahaman tentang konsep dapat didalami dengan betul, maka fungsi ’pengujian dan penilaian’ sebagai indikator pencapaian atau penguasaan pelajar dalam sesuatu kemahiran, akan memberi maklum balas atau gambaran yang sebenar tentang keupayaan pelajar. Seterusnya dapat meningkatkan lagi kualiti pengajaran guru itu sendiri.
Modul ini memperkenalkan konsep dan kaedah pengujian, pengukuran dan penilaian di sekolah rendah. Modul ini juga meliputi ciri-ciri utama ujian, bentuk-bentuk penilaian dan membezakan di antara penilaian berasaskan norma dan kriteria.
HASIL PEMBELAJARAN
Pada akhir modul ini, peserta kursus akan dapat;
1. Menjelaskan konsep dan matlamat pengujian, pengukuran dan penilaian dalam pendidikan;
2. Menjelaskan konsep kesahan, kebolehpercayaan, keobjektifan, kebolehtadbiran dan kemudahtafsiran;
3. Membezakan bentuk penilaian formatif, sumatif, pra kelayakan dan diagnostik serta penilaian alternatif.
Pengertian dan Tujuan Pengajaran dan Penilaian
Penilaian memainkan peranan penting dalam pendidikan. Penilaian dilakukan dalam semua aspek pendidikan bagi mengenal pasti status semasa dan seterusnya bagi tujuan perancangan program penambahbaikan pendidikan. Dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, penilaian dilakukan bagi mengetahui sama ada guru ‘mengajar’ dan pelajar ‘belajar’.
Justeru itu, penilaian pengajaran dan pembelajaran perlu dilakukan dengan sempurna dan berkesan. Bukti-bukti empirikal tentang sesuatu pengajaran dan pembelajaran yang diperoleh menggunakan pengukuran perlu dianalisis. Memandangkan pengukuran di bilik darjah sering menggunakan ujian, pengujian merupakan salah satu aspek utama dalam bidang penilaian pengajaran.
Seseorang guru biasanya merangka objektif dan kandungan pelajaran yang hendak diajar sebelum merancang strategi dan kaedah pengajaran tajuk berkenaan. Kemudian, beliau akan menyediakan soalan sama ada untuk kuiz, ujian atau peperiksaan. Dalam merancang dan membina soalan, adalah penting agar soalan-soalan tersebut relevan, sesuai dan menepati objektif tajuk pembelajaran yang dirancang serta kandungan yang diajar.
Seterusnya, kertas jawapan pelajar perlu diperiksa, diskor, dianalisis dan ditafsir bukan sahaja untuk membuat penilaian yang adil terhadap penguasaan pelajar dalam kursus yang diajar, malah bagi mengenal pasti kekuatan dan kelemahan soalan dan seterusnya pengajaran pensyarah. Justeru pemahaman terhadap konsep penilaian, pengukuran dan pengujian, ciri-ciri utama soalan ujian, matlamat mereka bentuk soalan formatif, sumatif, pra kelayakan dan diagnostik serta norma dan kriteria sangat penting bagi seseorang pensyarah bagi memastikan pengajaran dan penilaiannya bermutu dan adil.
Konsep Pentaksiran
Pentaksiran merupakan satu episod dalam proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti mengumpul, merekod, memberi skor, menginterpretasi, menghurai maklumat tentang pembelajaran seseorang bagi tujuan tertentu.
Definisi Pentaksiran
Satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman tentang produk sesuatu proses pendidikan.
Tujuan pentaksiran
• Proses mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran
• Menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran
• Mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran
• Memperbaiki pengajaran dan pembelajaran
Prinsip Pentaksiran
Pentaksiran Dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
Pentaksiran dibilik darjah penting bagi mengetahui tahap penguasaan dan pemahaman murid tentang apa yang telah dipelajari. Pentaksiran boleh dijalankan secara formatif dan sumatif. Maklumat yang diperolehi akan membantu guru untuk menambah baik kaedah pengajaran dan hasil pentaksiran dibilik darjah juga dapat memberi maklum balas awal kepada guru untuk merancang tindakan susulan dan penyediaan RPI bagi meningkatkan lagi penguasaan dan pemahaman murid.
Antara kaedah pentaksiran dalam bilik darjah yang boleh dijalankan termasuklah:
• Pemerhatian:
Kaedah ini sesuai untuk menilai individu dari aspek kemahiran, sikap dan nilai murni. Pentaksiran secara pemerhatian hendaklah disertakan dengan senarai semak.
• Ujian/Kuiz:
Ujian ini boleh dijalankan dalam bentuk kertas, pensil atau lisan. Ujian kertas pensel boleh disediakan dalam bentuk soalan objektif atau subjektif manakala kuiz boleh dijalankan dalam bentuk lisan.
• Persembahan secara lisan:
Persembahan secara lisan adalah penting untuk menilai kemahiran bertutur, keyakinan diri dan pengetahuan murid tentang konten yang dipelajari.
• Senarai semak:
kaedah ini merupakan laporan individu tentang penguasaan pengetahuan, kemahiran , sikap dan nilai murni.
• Folio:
Folio adalah kompilasi hasil kerja murid secara individu atau kumpulan. Contoh folio adalah buku skrap dan laporan.
• Esei:
Esei mempamerkan tentang kemahiran murid untuk menyampaikan maklumat secara saintifik.
Pengertian Pengujian
Pengujian merupakan proses mengaturkan satu siri tugasan untuk diselesaikan supaya pemerhatian tepat dibuat tentang penguasaan pelajar dalam sesuatu bidang atau mata pelajaran. Ujian adalah alat ukur. bagi mengukur ‘penguasaan’ pelajar dalam sesuatu kursus. Ujian mengandungi satu set tugasan (dalam bentuk tugasan) yang berdasarkan sesuatu kursus bagi merangsang pelajar untuk ‘menunjukkan’ tahap penguasaan mereka dalam kursus berkenaan. Tahap penguasaan pelajar biasanya dikuantifikasikan dengan memberi skor kepada jawapan yang diberi.
Memandangkan ujian merupakan alat ukur yang sering digunakan untuk mendapatkan bukti empirik bagi tujuan penilaian pengajaran dan pembelajaran di sekolah, tumpuan perlu diberi bagi membina ujian yang bermutu, mentadbir ujian berkenaan dengan betul dan mentafsir dapatannya dengan tepat. Kita perlu memastikan penilaian terhadap keberkesanan pengajaran dan pembelajaran dapat dilakukan dengan sempurna dan boleh dipertahankan. Satu daripada cara-cara memastikan ini berlaku ialah dengan menjalankan pengujian yang berkualiti.
Tujuan Pengujian Pengajaran dan Pembelajaran
Tujuan utama pengujian ialah untuk menghasilkan bukti yang boleh digunakan bagi membuat penilaian terhadap pengajaran dan pembelajaran. Penilaian di bilik darjah boleh membantu para guru menambah baik pengajaran mereka dan pembelajaran pelajar. Selain matlamat diagnosis pengajaran dan pembelajaran, skor ujian digunakan sebagai asas bagi pengredan, pemilihan, penempatan, kaunseling dan bimbingan pelajar.
• Diagnosis
Satu daripada tujuan pengujian ialah untuk mendiagnos kesukaran yang dihadapi dalam pengajaran dan pembelajaran. Diagnosis pengajaran diperlukan bagi mengesan sejauhmana pengajaran guru berkesan. Sekiranya berkesan, guru akan lebih yakin untuk meneruskan strategi dan kaedah pengajarannya. Sekiranya tidak berkesan, guru boleh menganalisis dan mengesan kelemahan yang ada supaya strategi dan kaedah pengajaran guru boleh diubahsuai, diperbaiki dan dipertingkatkan.
• Pengredan
Pengujian juga dilakukan bagi tujuan pengredan pelajar. Guru boleh mengred pencapaian pelajar kepada kategori ‘lulus’ atau ‘gagal’, ‘lemah’, ‘sederhana’ atau ‘cemerlang’ atau gred ‘A’, ‘B’ ‘C’, ‘D’ atau ‘E’. Melalui pengredan pelajar, kita boleh memberitahu ibu bapa dan pihak berkaitan tentang prestasi akademik pelajar khususnya berbanding dengan prestasi pelajar lain.
Dengan adanya maklumat gred, guru dan ibu bapa boleh memainkan peranan membantu dan seterusnya melibatkan diri dalam proses pendidikan pelajar. Rangsangan luaran seperti penghargaan, nasihat, sokongan, bantuan dan kerjasama dari pihak-pihak yang terbabit dengan pendidikan pelajar khususnya ibu bapa sangat penting bagi meransang kemajuan dan pembangunan pelajar di sekolah.
• Pemilihan dan Penempatan
Seringkali juga skor dan keputusan ujian digunakan sebagai asas bagi pemilihan dan penempatan pelajar. Sebagai contoh pelajar yang cemerlang dalam sesuatu mata pelajaran sains mungkin dipilih untuk mewakili sekolah. Skor dan keputusan ujian juga digunakan bagi pemilihan pelajar untuk mengikuti kursus tumpuan bidang tertentu.
• Kaunseling dan Bimbingan
Keputusan dan skor ujian boleh digunakan untuk membantu pelajar supaya berdaya maju. Berasaskan keputusan ujian, para guru dan kaunselor boleh membantu pelajar mengenal pasti kelemahan dan kekuatan masing-masing supaya program dan tindakan intervensi dilakukan bagi memperbaiki keadaan pelajar. Keputusan ujian juga membantu para guru dan kaunselor untuk memberi khidmat bimbingan misalnya bagi memandu pelajar menceburi bidang kerjaya yang diminati.
Konsep Penilaian
Penilaian merupakan satu proses memperolehi maklumat kuantitatif bagi menentukan perubahan tingkah laku dan membuat pertimbangan menilai.
Proses menilai dapat memberi maklumat tentang pencapaian objektif pelajaran, kaedah mengajar seorang guru dan keberkesanan kurikulum.
Dijalankan sebelum, semasa atau selepas satu sesi pengajaran guru berdasarkan sesuatu pembelajaran spesifik atau keseluruhan kurikulum.
Tujuan Penilaian
• Mengetahui keupayaan, kemahiran atau pengetahuan asas yang sedia ada pada pelajar dalam perkara yang hendak diajar.
• Menolong guru mengetahui sejauh manakah pelajar mereka telah dapat menguasai atau mempelajari perkara yang telah disampaikan.
• Membandingkan pencapaian pelajar dengan teman-teman sekelasnya atau dengan peringkat kelas yang sama di sekolah.
• Menentukan pelajar yang tinggi keupayaan dan yang amat lemah dalam pencapaian mereka.
• Membolehkan guru menilai bahan-bahan dan teknik serta kaedah pengajaran mereka.
• Membolehkan pelajar mengetahui kelemahan-kelemahan mereka dalam sesuatu kemahiran atau bidang dan mengambil tindakan segera untuk memperbaikinya.
Jenis-Jenis Penilaian
Banyak cara kita boleh mengkelaskan penilaian. Penilaian yang dibuat berasaskan tujuan dan masa boleh dikelaskan kepada penilaian formatif, sumatif, pra kelayakan, diagnostik dan alternatif. Penilaian pengajaran juga boleh dilakukan melalui pelbagai hasil pembelajaran pelajar seperti disertasi, projek, kajian kes, portfolio, bengkel, seminar dan oral pelajar. Justeru ujian yang dibina perlu mencerminkan tujuan dan masa sesuatu penilaian dilakukan. Terdapat dua jenis penilaian berdasarkan kepada masa dan tujuan pelaksanaan penilaian iaitu penilaian formatif dan sumatif.
• Penilaian Formatif
Penilaian formatif digunakan untuk mengesan kemajuan yang dicapai oleh pelajar dalam unit-unit pelajaran yang diajar. Penilaian formatif dilakukan bagi memastikan pelajar telah menguasai setiap unit pelajaran sebelum mereka diperkenalkan dengan unit pelajaran baharu seterusnya. Penilaian formatif sangat berguna bagi tujuan diagnosis. melalui penilaian formatif punca-punca kelemahan pelajar dapat dikesan.
Penilaian formatif dapat menentukan samada pelajar telah bersedia untuk mengikuti pelajaran yang lebih tinggi dan rumit. Penilaian formatif juga boleh meningkatkan motivasi pelajar untuk belajar. Penggunaan penilaian formatif sangat ditekankan di sekolah.
Memandangkan laporan penilaian formatif adalah untuk tujuan diagnosis kelemahan pelajar dalam unit-unit pelajaran, pelaporan penilaian formatif amat sesuai dirumuskan sebagai “menguasai” atau “tidak menguasai” sesuatu isi unit pelajaran. Pencapaian ujian formatif tidak sesuai digredkan.
b. Penilaian Sumatif
Penilaian sumatif pula digunakan bagi menentukan tahap penguasaan pelajar dalam keseluruhan kursus. Penilaian sumatif biasanya dilakukan pada akhir sesi kursus. Contoh penilaian sumatif ialah ujian akhir semester. Memandangkan penilaian sumatif dibuat pada akhir kursus, skor-skor dari penilaian sumatif biasanya lebih berguna untuk tujuan melaporkan kemajuan pelajar daripada memperbaiki kelemahan awal pengajaran pensyarah dan pembelajaran pelajar. Skor penilaian sumatif banyak digunakan bagi tujuan pemilihan dan penempatan pelajar ke alam pembelajaran yang lebih tinggi.
• Penilaian Pra Kelayakan dan Diagnostik
Penilaian pra kelayakan digunakan sebagai petunjuk sama ada pelajar berpotensi, bersedia dan mempunyai kecerdasan, bakat dan minat terhadap sesuatu bidang yang ingin beliau ceburi. Penilaian diagnostik pula dilakukan sebagai cara untuk mengesan sama ada pelajar sudah bersedia untuk mengikuti pelajaran seterusnya. Sekiranya pelajar belum bersedia, guru dapat mengesan kelemahan dan kekuatan pelajar agar pembetulan serta penambahbaikan yang berkaitan boleh lakukan.
Ujian Pencapaian
Ujian pencapaian mengukur secara khusus sejauh mana pelajar telah menguasai isi sesuatu kursus yang diajar. Ujian pencapaian mempersoalkan apa yang pelajar telah belajar.Seringkali ujian pencapaian merujuk kepada ujian bagi mengukur tingkah laku pengajaran dan pembelajaran kognitif, afektif dan psikomotor.
Ujian Kecerdasan
Ujian kecerdasan adalah ujian yang direka khusus untuk mensampel secara luas pelbagai fungsi mental (pemikiran) supaya dapat menganggarkan tahap intelektual am seseorang individu.
Ujian Prestasi
Ujian prestasi adalah ujian yang memerlukan pelajar menunjukkan pemahaman dan kemahiran mereka dalam melakukan aktiviti atau siri aktiviti seharian. Ujian prestasi memberi rangsangan kepada pelajar untuk memperkenal dan mengembangkan aktiviti pemikiran dan penaakulan mereka berasaskan kepada kurikulum yang diajar. Di antara teknik yang digunakan dalam ujian prestasi ialah menghendaki pelajar merakam sebahagian aktiviti, menemubual pelajar bagi mengesahkan kebolehan, kefahaman dan pemikiran mereka. Teknik portfolio juga sering digunakan bagi memeriksa hasil kerja pelajar. Melalui teknik portfolio guru boleh menentukan sama ada kerja yang dilakukan memenuhi kehendak soalan ujian.
• Penilaian Alternatif
Penilaian prestasi yang menegaskan bahawa kaedah penilaian ini memberi satu alternatif kepada pengujian kertas dan pensil tradisional. Penilaian pengajaran di sekolah sering melibatkan penilaian berdasarkan hasil pembelajaran yang ditunjukkan oleh pelajar. Antara penilaian alternatif ini adalah penilaian terhadap disertasi, projek, kajian kes, portfolio, seminar, bengkel dan oral pelajar.
No comments:
Post a Comment