KREATIVITI, ESTETIKA DAN EKSPRESI VISUAL



TAJUK 4
KREATIVITI,  ESTETIKA  DAN  EKSPRESI  VISUAL


Sinopsis

Tajuk ini memberi pendedahan tentang huraian konsep-konsep kreativiti, estetika,
ekspresi visual kanak-kanak dari beberapa tokoh dan pengkaji lukisan kanak-kanak. Perhatian diberi kepada aspek kajian kepada konsep-konsep yang diketengahkan.

Hasil Pembelajaran

1. Menjelaskan konsep, kreativiti, estetika dan ekspresi visual
2. Menerang dan menghuraikan ciri-ciri kreativiti, estetika dan ekspresi visual.
3. Menerangkan proses pelaksanaan kreativiti dan artistik.
4. Menjelaskan dan menghuraikan pendapat tokoh-tokoh tentang kreativiti, estetika dan ekspresi visual.      

Kerangka konsep tajuk modul ini.


















Pengenalan

Tajuk Kreativiti, Estetika dan Ekspresi Visual merupakan kesinambungan dari tajuk Imaginasi dan Kreativiti kanak-Kanak.  Semasa sesi interaksi bersemuka, anda telah didedahkan dengan pelbagai ragam gaya lukisan  kanak-kanak merangkumi ciri lukisan kanak-kanak, watak-watak dan  gaya bahasa kanak-kanak menerusi analisis lukisan yang telah anda laksanakan. Apa yang anda perolehi  itu kesemuanya adalah petunjuk kepada ekspresi visual kanak-kanak berdasarkan  imaginasi serta daya kreativiti kanak-kanak. Hasil lukisan kanak-kanak itu mempunyai nilai estetiknya tersendiri. Kesinambungan daripada tajuk itu kita akan menumpu secara lebih spesifik kepada konsep seperti kreativiti, estetika dan ekspresi visual seperti yang dinyatakan.


Kreativiti

(Senario Guru di Sekolah Pendalaman) :
               Dalam sebuah artikel mengatakan; Ada sebuah sekolah di pendalaman negeri Sabah, guru menggunakan daun keladi sebagai menggantikan kertas lukisan semasa menjalankan kelas seni . Ini berikutan kesukaran guru mendapatkan sumber bekalan kertas lukisan kerana kedudukan sekolah agak jauh dari pekan. Guru berkenaan terpaksa berkorban masa saban minggu untuk mengumpul helaian daun keladi di sekitar kampung untuk dibawa ke sekolah.
                Merujuk kepada senario di atas, adakah anda pernah mengambil tindakan yang serupa bila berhadapan dengan masalah tersebut ? Bolehkah kita mengatakan guru berkenaan sebagai guru yang kreatif ?  Bagaimana pula jika anda mendapati pelajar di sekolah anda suka mencipta roket kertas ? Bolehkah anda mengatakan pelajar anda pelajar yang kreatif ?
              Terminologi kreatif berasal dari perkataan Latin ‘creare’ yang bermaksud  “membuat/ mencipta/ mereka cipta”. Manakala Greek  “creare” bermaksud “memenuhi”.  Sehubungan itu dapat dirumuskan bahawa kreativiti melibatkan daya berfikir dan kemahiran berfikir yang menerbitkan idea manakala pemikiran kritis adalah pemikiran yang menilai ke atas sesuatu idea. Oleh itu pemikiran kreatif mestilah berasaskan manipulasi dari pengalaman serta pengetahuan yang sedia ada bagi membolehkan seseorang itu dapat mencetuskan idea atau hasil ciptaan yang baru dan lebih baik daripada yang sebelumnya.








         



Kreativiti  bersangkut dengan pemikiran kreatif. Berfikiran kreatif bermaksud berfikir di luar kotak. Ia juga berkait dengan keupayaan seseorang menyelesaikan masalah. Kathy Goff, dalam. http://www.creativitycentre.com/Ret.2001, mengatakan pemikiran kreatif itu melewati imaginasi kita untuk mencipta idea-idea baru. Ia adalah gaya hidup, sifat personaliti seseorang, cara melihat dunia dan cara kita berinteraksi dengan sesuatu. Dalam sebuah laporan 'All our futures: Creativity, Culture and Education', the National Advisory Committee's report (DfEE, 1999). Definisi kreativiti dirungkaikan kepada empat ciri ; pertama yang melibatkan pemikiran dan tingkahlaku imaginatif. Kedua ialah aktiviti  imaginatif (penghayalan) yang bertujuan, iaitu terarah bagi mencapai satu-satu objektif. Ketiga proses ini mesti menjana sesuatu yang asli (original). Keempat ialah nilai yang berkait dengan objektif yang dikhayalkan itu. Laporan ini juga mengatakan bahawa darjah kreativiti  seseorang  boleh jadi berkurang atau lebih jika diberi peluang.      

Aktiviti 1 :



Beri satu contoh anda berfikir di luar kotak bila mana sesuatu masalah tidak dapat diselesaikan di bilik darjah ?
                                                                                               ( 30 minit )

               Menurut Muhamad Tamyez Bajuri (1996), kreativiti adalah berkait dengan aspek penerokaan, sama ada melalui mental atau fizikal. Daya inilah yang  membawa kita kepada satu cara pemikiran di luar pemikiran biasa (berfikir diluar kotak). Sesungguhnya kreativiti melibatkan daya berfikir dan kemahiran berfikir seseorang , maka itu ia dapat dibentuk, dilatih menerusi ransangan tertentu.



Aktiviti 2 :










Uji pemikiran kreatif anda, cuba sambungkan kesemua sembilan  titik hitam yang terdapat dalam rajah di bawah ini dengan tidak melebihi empat garis lurus tanpa mengangkat pensil.                                
                                                                                                ( 30 minit )










Setelah anda menyambung titik tersebut , adakah anda menyedari tindakan kreatif anda itu? Tahukah anda apakah ciri-ciri individu kreatif tersebut ?

Berikut adalah antara ciri-ciri individu kreatif.

Bersifat fleksibel
Seseorang yang kreatif berupaya untuk menyesuaikan dirinya dalam apa-apa keadaan.


Sensitif dan peka
Sensitif menggunakan deria dan alam sekeliling

Idea asli / Tulen
Cetusan idea yang asli , membuat kerja mengikut cetusan rasa bukan cedokan.


Bersifat terbuka
Mengambil perhatian, membuat pertimbangan, menganalisis, menerima pandangan dan pendapat orang lain.

Logik
Berfikir secara logik dan rasional.

Berfikiran bebas
Mempunyai daya fikir yang tidak terkongkong

Bandingkan idea / pandangan pakar-pakar berikut mengenai kreativiti ;

E. Paul Torrance
Pencipta kepada “Torrence Test of Creative Thinking” iaitu satu kaedah penanda aras dalam mengukur tahap kreativiti seseorang.
Menganjurkan tujuh kaedah utama dalam proses penjanaan kreativiti seseorang individu : Penyoalan, Penemuan, Pemerhatian, Percubaan,
Penerokaan, Memanipulasi, Aktiviti bermain


June King McFee
Melihat bahawa kreativiti seseorang mampu dirobah bagi melahirkan satu idea yang baru.


Carl Rogers

Melihat bahawa faktor kesihatan adalah menjadi asas kepada menjadi manusia kreatif: keterbukaan kepada pengalaman, menikmati keindahan, Menghargai diri, Mengamalkan kebebasan


Victor Lowenfeld
Pakar ini percaya bahawa setiap kanak-kanak dilahirkan kreatif.
Melihat kreativiti pada seorang murid boleh diukur melalui empat komponen utama iaitu kelancaran, fleksibel, keaslian dan kepekaan


Guilford


Pengatur kepada Teori Struktur  Intelek (SI) terdiri daripada 180 kebolehan (termasuk kreativiti) dalam dimensi operasi, kandungan dan hasilan
http://www.en.wikipedia.org/wiki/jpguildford#bibliography


Alexander Osborne



Pengasas kepada Creative Problem Solving (CPS). Banyak mengutarakan model-model pemikiran produktif. Menganjurkan sesuatu masalah boleh diselesaikan secara kreatif melalui model CPS.  Perluasan Kaedah kreatif: Membesarkan, mengecilkan, membanyakkan, mengurangkan,mengubahsuaikan menukar kedudukan. Kaedah kreatif Alexander Osborne akan disentuh dengan lebih terperinci dalam kursus yang akan datang


Aktiviti 3 :


Pada pandangan anda apakah yang menjadi penghalang kepada kreativiti kanak-kanak ?
                                                                                                   ( 30 minit )

Meransang Kreativiti
Cuba anda ikuti keterangan di bawah :  Antara  strategi yang dapat dilakukan untuk merangsang ke arah pemikiran kreatif ialah melalui kaedah sumbangsaran (Brainstorming). John Baer (1997) menggariskan 4 panduan utama semasa menjalankan sesi sumbangsaran . Cuba anda teliti 4 strategi di bawah ini.

























Aktiviti 4 :



Pada fikiran anda apakah bentuk ransangan yang boleh anda lakukan untuk murid-murid anda di sekolah, khasnya murid-murid di tahap 1     dan 2?
                                                                                                 ( 30 minit )

Fisher,R(2006) soalan untuk merangsang kreativiti boleh dirangkum dalam kumpulan huruf CREATE seperti:

    Terangkan bagaimana anda boleh mengaplikasikan     rujukan ini dalam merangsang kreativiti kanak-kanak semasa membuat corak.




Sumber:http//www.teach thinking.net

Proses Kreativiti dan Artistik

Seperkara yang sangat signifikan dalam konteks pembelajaran seni, khususnya dalam aktiviti melukis ialah “proses artistik”. Proses artistik ialah proses penghasilan karya. Proses artistik memberi kuasa tujuk kepada guru pendidikan seni bagaimana  pelajar menjana serta mengembangkan idea (proses kreativiti) berdasarkan pemerhatian dan pengamatan mereka.
           Laura H. Chapman di dalam bukunya Approach in Art Education (1978), menjelaskan bahawa proses kreativiti mempunyai pertalian dan hubungan yang hampir sama dalam proses penghasilan karya (proses artistik). Chapman juga menjelaskan bahawa proses artistik itu adalah tidak rigid dan bersifat boleh ubah dari segi kaedah dan tekniknya. Bagaimana pun beliau menyarankan prosesnya melalui tiga langkah seperti di bawah :

I
Penjanaan Idea
(Inception of Idea)

Pengkarya/Pelukis menetapkan objektif dan hala tuju menghasilkan karya. Ini bergantung kepada idea / sumber idea yang datang kepada pelukis. Kadang kala prosesnya mengambil masa yang agak lama.


II
Pengolahan/Pemurnian Idea
(Elaboration & Refinement)
Peringkat penghalusan atau pemurnian idea. Ini dibuat bagi menentukan imej yang dihasilkan benar-benar menepati tema atau tujuan dan untuk memperolehi hasil terbaik. Peringkat ini biasanya diulang beberapa kali.


III
Kemahiran Mengguna Bahan
(Execution in a Medium)
Pengkarya menentukan bahan yang sesuai untuk berkarya. Pemilihan bahan memberi kesan kepada hasilan karya dan jangkamasa menyiapkan karya.

Dalam pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran di sekolah rendah proses artistik adalah merujuk kepada aturan berikut :
                             
                             







Proses artistik sebenarnya bermula dari memilih suatu pandangan menarik umpamanya, atau memberi fokus kepada keunikan sesuatu objek hinggalah kepada siapnya sebuah hasil karya. Dalam hal ini pelajar sebenarnya telah melalui satu proses di mana mereka membuat pemerhatian , meneroka, menganalisa, menilai secara kritis serta menghasilkan karya , kemudian menghargai hasil kerja seni mereka sendiri.  Secara tidak langsung ini dapat meningkatkan kefahaman mereka tentang nilai-nilai artistik/estetika  pada sesebuah karya.

Aktiviti 5 :


Perlukah anda membimbing pelajar anda dalam menjana idea? Mengapa ? Bincangkan bersama rakan anda. Beri contoh bagaimana guru memudahcara supaya murid dapat menjana idea.
                                                                                          ( 60 minit )

i)   Rakan A :______________________________________________________
ii)  Rakan B : _____________________________________________________
iii) Rakan C : _____________________________________________________





Konsep Estetika

Perkataan estetika diambil dari perkataan Greek iaitu aisthetikos yang merujuk  kepada perkara yang berkaitan dengan pancaindera atau deria. Estetika sering dikaitkan dengan hasil karya seni, atau pada sesuatu yang ada nilai seninya.  Bagi sebahagian besar kita menyatakan sebagai indah atau cantik. Dalam Bahasa Inggeris disebut beautiful. Mampukah untuk kita mengukur keindahan atau kecantikan  itu ?.  Cuba anda amati hasil karya di bawah :





           





Aktiviti 6 :


Berdasarkan pengamatan anda kepada empat hasil karya di atas, cuba jawab soalan di bawah.
                                                                                            ( 60 minit )

i)     Pada pandangan anda karya manakah yang lebih menarik ?
ii)    Adakah karya itu mempunyai nilai estetika?
iii)   Beri justifikasi kepada jawapan anda.

Ikuti keterangan seterusnya ; Secara lebih lanjut, dalam memahami konsep estetika, usahawan seni Rahimie Harun (2004) mendefinisikan estetika dengan rumusan  berikut:









Menurut beliau setiap hasil kerja seni mempunyai nilai seninya tersendiri . Nilai itu terbit daripada  gabungan keunikan beserta pelbagai elemen seni visual lain seperti rupa, bentuk, jalinan (estetik) disertai dengan asimilasi idea, konteks, sejarah, antropologi, emosi dan sebagainya. Dapatkah kita menentukan nilai hasil kerja seni murid-murid kita ?








Aktiviti 7:


Cuba anda perhatikan karya di bawah. Dapatkah anda mengesan
aspek estetika bagi kedua-dua karya ini?

                                                                                               ( 60 minit )








Konsep estetika dalam seni seperti pendapat ahli kaji purba Jerman, Winckleman, dianalisis oleh Rasilan Johnny @ Roslan (1999), Winckleman menggabungkan pemerhati dan objek yang diperhatikan untuk tujuan mengenal atau menyedari keindahan. Walau bagaimana pun Winckleman lebih memberikan tumpuan kepada pemerhati kerana menurutnya jika tidak ada pemerhati, objek atau sesuatu benda itu tidak indah. Oleh itu apa yang indah adalah apa yang difikirkan , diberi reka bentuk dan diusahakan. (Sila rujuk Teks Pendidikan Seni Visual dan Muzik  – Editor Mohd Johari Ab Hamid, 2004)

              Menurut pandangan Al Ghazali, keindahan ialah nikmat yang tersendiri, yang dihayati keranaNya dan bukan kerana tujuan yang lain. Keindahan tiap-tiap satu benda itu terletak pada kesempurnaannya yang disedari melalui sifatnya. Justeru itu, cetusan rasa keindahan yang diamati secara luaran adalah pada tahap yang dialami oleh kanak-kanak dan haiwan manakala rasa keindahan yang timbul dari dalam diamati oleh mata hati dan cahaya penglihatan batin manusia terdiri dari mereka yang dewasa.
…Beauty is not something that "exists" objectively but something that "is felt." Some element existing in the object gives the subject an emotional stimulation that is felt by the subject as beauty. Then, what is this element that stimulates the subject emotionally, in other words, what is the element of beauty? It is the combination of the purpose for which the object was created (the purpose of creation) and the harmony of the physical elements within the object. That is to say, when the physical elements, such as lines, shapes, sounds, colors, space are well harmonized centering on the purpose of creation, they give to the subject an emotional stimulation that is felt as beauty. When beauty is recognized as such by the subject, it becomes actual beauty.
Theory of Art
http://www.messagesfromspiritworld.info/UTW/Unification%20Thoughta8.html Dikeluarkan 26/6/2005


              Pengalaman estetik adalah hasil interaksi pemerhati dengan objek tersebut. Ia tidak akan berlaku sekiranya salah satu antaranya tidak berinteraksi. Keadaan ini berlaku apabila seseorang itu bersifat sedia menerima dengan mengamati dan memahami beberapa aspek atau pengalaman yang membolehkannya membuat pentafsiran. Menurut kajian terdapat dua cara untuk melihat sifat kecantikan iaitu konsep relativist dan konsep objektivist.  Bagi yang menginterpretasi sesuatu objek seni itu melalui konsep relativist ialah mereka yang dipengaruhi oleh pengalaman, persekitaran individu, budaya dan cara hidup. Maka sudah tentu wujud perbezaan persepsi dan pendapat tentang nilai keindahan terhadap sesuatu objek seni. Misalnya mereka yang tinggal di daerah Kalabakan, Tawau dimana masyarakatnya hidup serba kekurangan dalam persekitaran pertanian kepala sawit  jauh dari bandar akan berbeza persepsi rasa keindahan atau nilai estetik berbanding masyarakat yang tinggal di Petaling Jaya.
         Konsep objektivist percaya bahawa kecantikan itu sudah ada bersama objek seni dan bukan terletak pada persepsi seseorang. Maka untuk mentakrif kecantikan pada sesebuah karya adalah dilihat dari aspek formalistik yang berkaitan dengan kandungan atau  isi (subjek) dan bentuk (form) iaitu merujuk kepada elemen-elemen  seni (garisan ,rupa, jalinan, bentuk, ruang dan warna)  dan prinsip-prinsip seni (imbangan, kontra, penegasan, irama, pergerakan, harmoni, kepelbagaian, kesatuan) pada karya.  Dengan itu seseorang harus menguasai pengetahuan formalistik atau aturan dalam bidang seni terlebih dahulu sebelum ia dapat merakamkan pengalaman estetikanya terhadap objek-objek seni di sekelilingnya.


Berdasarkan dua buah karya catan di bawah, cuba anda tafsirkan karya tersebut menurut kedua-dua konsep yang dijelaskan.
Adakah terdapat perbezaan tafsiran? (60 minit)










Aktiviti 9 :


Bincangkan bagaimana dua orang yang tinggal dalam dua zaman yang berbeza memberi tafsiran tentang keindahan sesuatu objek seni yang sama secara berbeza? Apakah  faktor-faktor yang mempengaruhi kedua-dua orang tersebut?                                                        
                                                                                                 ( 60 minit )

Konsep Ekspresi Visual
Sejak dari zaman batu hingga ke hari ini manusia adalah dikatakan sebagai pembuat imej. Contohnya imej yang terdapat di gua Laucaux , Perancis atau gua Niah di Sarawak. Tujuan utama menghasilkan imej ini adalah sebagai sumber komunikasi.  Hal yang sama pada kanak-kanak,  seawal umur dua atau tiga tahun sudah membuat contengan bagi tujuan pernyataan dan komunikasi berdasarkan gaya mereka sendiri.  Representasi imej yang dijelmakan itu adalah ekspresi visual yang tidak sama bagi setiap individu. Ekspresi visual seseorang pelukis terhadap sesuatu objek yang dilukis misalnya merupakan manifestasi rasa dalaman yang dianggap sebagai pernyataan perasaan.







Berdasarkan teori ekspresi seperti yang diutarakan oleh Tolstoy, ekspresi datang daripada peranan yang dimainkan oleh seni dalam masyarakat  dan perkembangan sejarah manusia. Seni muncul dalam segenap kehidupan dan mempunyai keupayaan menyatukan manusia sebagai satu komuniti. Ekspresi dalam seni menurutnya ialah satu bentuk komunikasi, seumpama bahasa.

           Berdasarkan konsep ekspresi visual ini, setiap orang melukis atau mencipta imej sesuai dengan tanggapan daripada apa yang mereka tahu dan lihat. Ini adalah tertakluk kepada persepsi dan daya tafsir yang berbeza. Dalam erti kata lain sebarang ungkapan yang terpancar melalui imej yang diciptakan ialah apa yang dirasai oleh pelukis itu sebagai satu ekspresi dalaman yang mempengaruhi ekspresi visualnya. Dengan sebab itulah terdapatnya pelbagai rupa dan corak hasil lukisan dan ini merupakan gagasan yang  diekspresikan  oleh seseorang pelukis. (The Expression Theory. http://www.david-closs.com/express.html)    
               Bagi Collingwood pula melihat ekspresi sebagai perhubungan yang rapat antara perasaan pelukis dan hasil kerjanya. Pelukis tidak perlu meluahkan perasaannya untuk khalayak. Collingwood mempunyai teorinya sendiri yang dinamakannya sebagai Korupsi Kesedaran  (Corruption's of Consciousness). Emosi sebegini tidak jujur dan telah difahami sebagai pernyataan pelukis. Khalayak pula tidak berhajat untuk mengalami perasaan itu. Bagi Collingwood karya seni yang sama memiliki kualiti ekspresi yang berlainan. Contohnya kerja seni yang sama boleh berkongsi kualiti ekspresi tentang keriangan, kemurungan dan kebimbangan juga boleh menggambarkan ketenangan. Collingwood melihat perasaan yang sebenarnya adalah bersifat individual dan kontekstual.
            Menurut Chapman (1985), ada tiga aspek yang menentukan perbezaan ekspresi iaitu daya intuisi, persepsi dan konsepsi. Ketiga-tiga aspek ini mempunyai pengertian yang berlainan dan ada pelbagai faktor pula yang akan membawa  kepada perbezaan bentuk ekspresinya.
                Konsep ekspresi visual pada sebuah lukisan umpamanya boleh membawa pelbagai pengertian bergantung kepada si pelukis itu. Sebenarnya terdapat pelbagai pendekatan yang digunakan oleh manusia bagi tujuan ekspresi antaranya melalui lisan, perasaan dan emosi , tulisan dan bahasa, penciptaan dan penghasilan  pergerakan.  Yang paling lazim dan tradisional ialah membuat penggambaran visual.  Bagi kanak-kanak melalui aktiviti seni merupakan jalan yang paling mudah bagi mereka  memperkembangkan daya kreativiti serta membuat ekspresi visual (pernyataan hasrat diri atau ekspresi diri). Cuba anda perhatikan ekspresi visual kanak-kanak di bawah ini :


Aktiviti 10 :


Perhatikan gerak geri murid anda, pilih satu daripada karya murid anda. Dengan merujuk kepada pandangan tiga orang tokoh tentang ekspresi visual, huraikan ekspresi visual dalam karya murid anda  .
                                                                                                       ( 60 minit )

Rumusan
            Anda telah didedahkan dengan konsep-konsep kreativiti, estetik dan ekspresi visual. Anda juga telah dijelaskan dengan proses kreatif dan artistik. Menurut G.Perry (1970), dalam “Metodologi Pendidikan Seni, oleh Hj. Iberahim Hassan (2000), guru perlu mengambilkira tentang perkembangan individu seperti kreativiti, idea, persepsi dan perasaan seseorang pelajar. Laura Chapman (1978) dan Effland (1977) pula mencadangkan pelajaran Pendidikan Seni harus boleh memberi latihan kepada pelajar untuk membuat pernyataan seni (ekspresi visual).  
               Menerusi pendekatan pengajaran seperti yang disarankan oleh Effland (1977) pula terdapat enam pendekatan yang  melibatkan ekspresi di mana wujud aktiviti penerokaan, pengolahan dan penghasilan seni.  Pelajar terlibat dalam penemuan idea sendiri secara kreatif dan membentuk diri mereka bekerja dengan media. Ketiga-tiga aktiviti ini menjadi proses kesenian yang dipelajari oleh pelajar dalam aktiviti studio di sekolah.
               Micheal (1983) pula menyatakan pengalaman seni akan membantu pelajar dalam pembelajaran dan perkembangan mereka dari peringkat paling asas seperti mengenali diri mereka, mengenali seni dan kebudayaan mereka, perasaan, konsepsi dan ekspresi diri mereka melalui media. Dalam hal ini secara tidak langsung ia membabitkan proses pengajaran dan pembelajaran,  bagaimana seseorang guru seni mengendalikan pengajarannya. Dalam konteks melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, seorang guru seni harus berfikiran kreatif dan hendaklah sentiasa meransang serta membimbing murid-muridnya agar sentiasa berfikiran kreatif dan fleksibel. Dengan demikian murid-murid akan lebih mudah menjana idea dalam proses berkarya.

                Latihan 1 :

Aspek manakah yang mempengaruhi kreativiti anda, budaya, latar belakang atau persekitaran ?  Hasilkan sebuah kolaj, lukisan atau catan, sebagai mewakili idea anda.


                                                                                                                ( 120 minit )
         
                Latihan 2 :

Setelah anda mengetahui strategi meransang kreativiti , cuba anda senaraikan   apakah perkara-perkara  yang boleh menjadi penghalang kepada kreativiti kanak-kanak.
                                                                                                              ( 30 minit )
i)________________________________________________________________
ii)________________________________________________________________
iii)_______________________________________________________________
iv)_______________________________________________________________                          
                                                                 
               Latihan 3 :

Terdapat perbezaan  ekspresi diri pada setiap seseorang.  Bincangkan apakah  faktor yang mempengaruhi gaya dan cara seseorang itu membuat  ekspresi diri?
                                                                                                                ( 30 minit )                                                
_______________________________________________________________________
Anda boleh meluaskan pengetahuan anda tentang kreativiti estetika dan ekspresi visual dengan melayari internet serta membuat bacaan lanjut terhadap sumber-sumber rujukan lain serta mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan.
                                                                                                                ( 60 minit )
Contoh: Dapatkan bahan bukti hasil daripada sumber internet dan sediakan satu peta minda sebagai pengukuhan berdasarkan pandangan dan pandapat tokoh pendidik dan  pengkaji lukisan kanak-kanak.



No comments: