KONSEP PENDIDIKAN SENI VISUAL MATLAMAT DAN OBJEKTIF PSV KSSR

Diubahsuai dari Modul PSVK3013 Pengenalan Pendidikan Seni Visual
Institut Pendidikan Guru

SINOPSIS

Tajuk ini meliputi maklumat dan latihan berkaitan konsep Pendidikan Seni Visual merujuk kepada konsep seni, seni visual dan Pendidikan Seni Visual. Penekanan diberi kepada  pemahaman tentang pelbagai bidang seni, pelbagai takrifan seni dan seni visual.  Ia juga menyentuh tentang subjek, idea, proses, media, objek, dan hasil.  Tajuk  ini juga meliputi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK), Matlamat Sukatan  Pelajaran Pendidikan Seni Visual (PSV) dan Objektif PSV dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KSSR).

Maklumat mengenai konsep Pendidikan Seni Visual, dan matlamat dan objektif PSV KSSR yang dibincangkan adalah mengikut tajuk-tajuk seperti berikut:

Konsep Seni  / Seni Visual
Konsep Pendidikan Seni Visual
Falsafah Pendidikan Kebangsaan
Matlamat PSV KSSR
Objektif PSV  KSSR

HASIL PEMBELAJARAN:

1. Menghuraikan konsep Pendidikan Seni Visual (PSV) serta matlamat dan objektif PSV Kurikulum    Bersepadu Sekolah Rendah
2. Menerangkan kepentingan PSV dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian
3. Menganalisis dan menghargai serta mengulas sumbangan dan
    pandangan tokoh-tokoh Seni dan pendidik Seni
4. Menganalisis dan menghurai kesenian pelbagai budaya dalam aspek-aspek bidang, konsep dan           nilai serta karya-karya terkenal
5. Menerangkan konsep, fungsi, bahan dan menganalisis kepentingan  
    reka bentuk dan kraf
6. Menghuraikan kepentingan PSV dalam era teknologi tinggi




Konsep Seni / Seni Visual
Seni adalah sebahagian daripada kebudayaan yang membawa erti indah, halus lembut, senang didengar atau ditutur, senang dilihat dan untuk menerangkan sesuatu. ‘Art’ berasal daripada bahasa Yunani, membawa makna kecekapan dan kebolehan, sesuatu yg selamat, memberi kepuasan hati melalui pancaindera atau deria.  Seni adalah kebudayaan yang dicetuskan oleh semua kelompok manusia kerana setiap kelompok masyarakat mempunyai fitrah semula jadi yang cinta kepada seni yang menyenangkan hati dan pancaindera.

Manusia dikatakan makhluk seni yang cinta kepada sesuatu yang selamat, memuaskan dan memberi kepuasan melalui pancaindera rasa.  Menurut Ibnu Khaldum, “seni itu suatu kebenaran, keindahan dan kebaikan yang mengandungi ciri-ciri estetika, etika & logika”. [Shahnon Ahmad, Dewan Budaya, April 1986]

Perkataan Seni Visual ialah dimaksudkan dengan Seni Lukis dan Seni Reka.  Ini termasuklah membuat, menghasilkan dan memberi penilaian terhadap hasil seni yang direka.   Aktiviti-aktivitinya termasuklah melukis, menggambar, mencorak, mencetak, mewarna, mereka bentuk, membuat arca, mengukir, menjilid buku, membuat batik, membuat tembikar atau seramik iaitu kerja-kerja dua dimensi dan tiga dimensi.

Pelbagai  Bidang Seni

Bidang seni terdiri daripada pelbagai cabang seperti catan, lakaran, cetakan, arca, muzik, kesusasteraan, dan senibina, tarian, seni visual, teater, penulisan kreatif, seni media, drama, koir  yang bentuknya amat dikenali.  Bagaimana pun, apabila berlaku modenisasi dan revolusi teknologi, bentuk baru telah wujud dalam bidang seni seperti fotografi, filem, seni video, seni instalasi, seni asemblaj, seni konseptual, seni persembahan, seni komuniti, fesyen, komik, seni komputer, animasi, multimedia interaktif, ‘landscape art’ dan permainan video.

Pelbagai Takrifan Seni Visual

1. Plato - Membincangkan seni secara mengaitkannya dengan perlakuan, akhlak, nilai dan moral untuk membawa kepada kesejahteraan kepada umat manusia. Seni juga dinyatakan sebagai elemen  yang dapat mencipta sesuatu persekitaran kebudayaan dan meningkatkan perpaduan. Seni dan Pendidikan mesti berasaskan kepada kebenaran, kebaikan, kesempurnaan, kesejahteraan dan keindahan.
2. Aristotel -  Pelukis sebenarnya tidak meniru benda alam tetapi memberi struktur bentuk yang universal kepada benda alam.
3. Chapman - Seni sangat berguna jika imaginasi dapat direalitikan. Keadaan ini menunjukkan peranan kreativiti menjadi unsur yang sangat penting untuk diberi perhatian. Dalam konteks sosial, seni dinyatakan sebagai hak masyarakat. Seni adalah berasaskan kehendak, keperluan dan perubahan  masyarakat.
4. John Dewey - Pendidikan itu ialah suatu proses untuk mengembangkan kecerdasan manusia.
5. Walter Gropius – Seni visual member faedah kepada kehidupan seharian seperti dalam prinsip rekaan dan nilai estetik bagi menghasilkan barangan harian.  Ia menggabungkan seni, pertukangan, sains dan teknologi.
6. Victor Lowenfeld – Peranan PSV yang multidimensional ada dasarnya dapat mengembangkan kemampuan dasar manusia seperti fizik, persepsi, intelektual, emosional, social, kreativiti dan estetik.
7. Al Faruqi -  Motif dan bentuk seni yang dihasilkan oleh seseorang pengkarya adalah berlandaskan konsep tauhid dan pengabdian diri kepada Tuhan

Tokoh-tokoh Islam seperti Al-Faruqi, Al-Ghazali, Ibnu Khaldun dan Abdullah Mohammad, berpendapat ”Pendidikan Seni dapat melahirkan insan yang seimbang daripada aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek”. Guru-guru seharusnya mampu mengaplikasi teori-teori ini dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Seni.

Konsep Pendidikan Seni Visual
Pendidikan Seni adalah dua perkataan yang disatukan iaitu Pendidikan dan Seni yang mempunyai dua makna iaitu, konsep pendidikan dan konsep Seni.   Pendidikan menurut pengertian Yunani adalah pedagogi, iaitu ilmu menuntun anak.  Dalam istilah Rumawi pendidikan dilihat sebagai educare iaitu mengeluarkan dan menuntun.  Tindakan merealisasikan potensi anak sewaktu dilahirkan didunia.

Pendidikan Seni atau dalam bahasa Inggerisnya ‘Art Education’ ialah istilah baru yang menggantikan Lukisan dan Pertukangan Tangan di sekolah-sekolah.  Pada tahun 1970-an, negara-negara Barat seperti England dan Amerika telah pun menukarkan istilah ‘Art and Craft’ kepada ‘Art Education’.

Pendidikan Seni Visual telah digunakan bagi menggantikan istilah Pendidikan Seni di Malaysia. Perubahan ini dirasakan lebih sesuai kerana sukatan  Pendidikan Seni Visual lebih menjurus kepada seni tampak atau visual sahaja.
Pendidikan Seni Visual bertujuan memberi peluang kepada murid memupuk minat, memperkembang keperibadian, memberi kesedaran dan kepekaan terhadap nilai-nilai kesenian dan alam sekitar serta kaitannya dengan mata pelajaran lain.

Murid di sekolah rendah pada keseluruhannya adalah kreatif, ekspresif dan aktif. Pendidikan Seni Visual memainkan peranan memperkembang sifat-sifat ini melalui persepsi visual, imaginasi dan daya pemikiran. Kegiatan pemikiran,
penerokaan dan reka bentuk dalam pelbagai jenis seni visual akan membolehkan mereka menyatakan idea dan ekspresi diri. Pengalaman ini penting kerana ia membantu murid membina keyakinan diri, membuat penilaian dan mengenali cita rasanya sendiri.

Tumpuan utama Pendidikan Seni Visual merangkumi empat aspek utama yang dipentingkan iaitu:

1. Pemerhatian secara aktif
2. Interaksi yang kritis dan kreatif dengan alat dan bahan
3. Apresiasi seni visual secara mudah
4. Menghargai nilai baik dalam semua aspek kehidupan

Sukatan pelajaran Pendidikan Seni Visual sekolah rendah disusun bertujuan melibatkan murid dalam pelbagai kegiatan seni. Kegiatan seni yang dijalankan berdasarkan empat bidang utama. Bidang-bidang tersebut ialah bidang Menggambar, Membuat Corak dan Rekaan, Membentuk dan Membuat Binaan, dan Mengenal Kraf Tradisional. Pengalaman seni ini adalah untuk memperkembang dan menyelaraskan persepsi dan konsepsi visual murid sebagai asas bagi menggalakkan pemikiran kritis dan kreatif.

Antara kegiatan dalam bidang Menggambar ialah lukisan, catan, kolaj, montaj, cetakan, resis, gosokan, stensilan, percikan, gurisan, capan, mozek dan poster.  Bidang ini menekankan perkembangan imaginasi, kreativiti dan ekspresi diri.  Kegiatan ini dapat memperkembangkan persepsi visual pelajar dan kesedaran terhadap asas seni reka seperti warna, garisan, susunan dan kesannya.

Antara kegiatan dalam Bidang Membuat Corak dan Rekaan ialah pualaman, tiupan, titisan, ikatan dan celupan, renjisan dan percikan, lukisan, catan, cetakan, capan, lipatan dan guntingan, resis, kolaj dan kaligrafi.  Bidang ini membolehkan pelajar mengenali dan mengkaji pelbagai corak dalam alam dan kehidupan seharian.

Bidang kegiatan Membentuk dan Membuat Binaan tiga dimensi merangkumi aktiviti seperti arca timbul, asemblaj, mobail, stabail, model, diorama, boneka, topeng dan origami.   Kegiatan Membentuk dan Membuat Binaan memberi peluang kepada pelajar membuat rujukan kepada objek sebenar.

Bidang ini memberi kesedaran tentang adanya beberapa jenis kraf tradisional dalam budaya tanah air. Bidang kegiatan Mengenal Kraf Tradisional memperkenalkan fungsi, proses dan teknik membuat, alat dan bahan, motif, corak dan hiasan. Aspek apresiasi hasil kerja diadakan sebagai satu proses pembelajaran yang merangkumi pengenalan, proses pembuatan serta mengenali tokoh-tokoh bagi setiap bidang kraf yang dinyatakan. 

Falsafah Pendidikan Kebangsaan


"Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arahlebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”
Sumber Sukatan Pelajaran PSV 

MATLAMAT KSSR 
Pendidikan Seni Visual sekolah rendah bermatlamat untuk melahirkan murid yang berpengetahuan dan berkemahiran dalam bidang kesenian dalam membentuk insan yang harmonis,
kritis, kreatif dan inovatif, mengamalkan nilai murni, menghargai estetik seni dari pelbagai budaya, dan mensyukuri keindahan alam ciptaan Tuhan.

OBJEKTIF UMUM PENDIDIKAN SENI VISUAL SEKOLAH RENDAH
KSSR Pendidikan Seni Visual bertujuan untuk membolehkan murid mencapai objektif berikut:
1. Mengaplikasi pengetahuan dan kefahaman bahasa seni menerusi aktiviti seni visual.
2. Menghasilkan karya seni visual secara kreatif dan inovasi dengan menggunakan pelbagai sumber dan teknologi.
3. Mengapresiasi nilai estetik dari pelbagai karya seni visual.
4. Mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran kesenian dalam menjayakan pameran seni visual.
5. Mengamalkan nilai murni menerusi aktiviti seni visual.


Objektif PSV KSSR

Menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan. 
Melibatkan diri dalam kegiatan seni secara aktif, kritis dan kreatif. 
Menajamkan daya persepsi & imaginasi melalui pancaindera. 
Mengenali asas seni reka dan olahan serta dapat menggunakannya. 
Memperkembangkan kemahiran asas dlm pelbagai kegiatan seni. 
Memupuk nilai kerjasama, yakin diri, disiplin & tanggungjawab. 
Mengenali & menghargai tokoh seni dan budaya negara.

Objektif PSV KBSR

- Menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan.
- Melibatkan diri dalam kegiatan seni visual secara aktif, kritis, kreatif dan meyeronokkan.
- Menajamkan daya persepsi dan imaginasi melalui pancaindera,
- Mengenali asas seni reka dan olahan serta dapat menggunakannya.
- Mengembangkan kemahiran asas dalam pelbagai kegiatan seni visual.
- Membiasakan diri membuat rekaan seni dengan teratur, cermat dan selamat.
- Memupuk nilai-nilai kerjasama, yakin diri, disiplin diri dan bertanggungjawab.
- Mengenal dan menghargai tokoh seni dan budaya tanah air.
- Menggunakan kemudahan teknologi dalam kegiatan penghasilan seni visual.
- Melibatkan diri dalam kegiatan seni visual sebagai aktiviti kesenggangan yang berfaedah.


No comments: