Thursday, 6 October 2016

Hasil Musang King lebih cepat


Teknik cantuman dewasa Jabatan Pertanian percepat pengeluaran hasil Musang King

ASHRIQ FAHMY AHMAD  |  05 Oktober 2015 

Terkenal berdasarkan cita rasa serta rupa yang begitu menyelerakan, durian Musang King atau gelaran sebenarnya Raja Kunyit sentiasa mendapat sambutan hangat dalam kalangan peminat raja buah tersebut.
Ternyata, pelaburan pengusaha yang menanam varieti durian klon D197 itu bertahun dahulu kini mula membuahkan hasil. Lonjakkan Musang King di pasaran akibat permintaan tinggi membolehkan pengusahanya mengaut keuntungan yang lumayan. Cuba anda bayangkan harga bagi sekilogram (kg) mampu mencecah RM30 hingga RM35 pada waktu-waktu biasa dan naik sehingga RM60 bagi waktu kurang bekalan.

Bagi merancakkan lagi industri itu, Jabatan Pertanian telah memperkenalkan pelbagai teknik untuk mempercepatkan pengusaha ladang durian Musang King menikmati hasilnya.

Menurut Penolong Pegawai Penyelidik, Unit Hortikultur, Jabatan Pertanian Daerah Raub, Pahang, Mohd. Ali Hanafiah Mazlan, antara kaedah terpantas untuk mendapat hasil adalah teknik cantuman dewasa.

Jelasnya, teknik kebiasaan yang digunakan dalam bidang pertanian tersebut amat sesuai untuk pokok durian.

“Cantuman dewasa membolehkan tempoh berbuah disingkatkan kepada empat hingga lima tahun berbanding kaedah cantuman anak pokok (kahwin) yang perlu menunggu lebih daripada jangka masa tersebut.

“Teknik ini menggunakan pokok penanti daripada varieti lain dan di sini kami menggunakan pokok durian kampung yang telah dewasa, matang dan berbuah,” katanya ketika ditemui di Raub, Pahang baru-baru ini.

Tambah Mohd. Ali, dia menggunakan ranting pokok durian Musang King yang memiliki tunas untuk ditumpangkan. Ujarnya, hanya bahagian ranting tersebut yang sesuai, mampu membesar dan menjadi batang utama bagi menggantikan pokok asal yang di tumpang.

Pemilihan durian kampung sebagai pokok penanti kerana varieti tersebut tahan lasak, selain buahnya tidak memiliki harga yang tinggi di pasaran. Rata-rata pemilik ladang durian terutamanya pada peringkat awal penanaman dahulu lebih cenderung untuk menanam varieti durian kampung sahaja.

Pokok durian kampung yang ditanam oleh generasi terdahulu kini mencecah puluhan tahun dan ada di antaranya sudah tidak mampu mengeluarkan hasil dengan baik.

Untuk menanam pokok durian Musang King bermula daripada anak benih memerlukan jangkamasa yang agak lama. Justeru, teknik catuman dewasa lebih sesuai digunakan.

Tambah Mohd. Ali, teknik cantuman dewasa dilakukan dengan mengenal pasti potensi pokok penanti yang sedia ada. “Caranya mudah iaitu dengan meneliti kewujudan tunas kecil di sekitar pangkal pokok penanti. Jika ada, bermakna pokok tersebut sesuai untuk digunakan.

“Seterusnya, mengikis nipis bahagian kulit pokok penanti pada arah berlawanan pokok tersebut akan ditumbangkan.

“Ini kerana kita mahu mengelakkan batang pokok penanti yang ditebang menimpa dahan yang ditumpang lalu merosakkannya,” katanya.

Setelah itu, kulit pokok penanti akan disiat sedikit bagi memberi ruang untuk ranting pokok Musang King diselit ke dalam kulit tersebut. Bagaimana pun tidak semua ranting Musang King sesuai digunakan, antaranya adalah ranting yang terdiri daripada enam hingga tujuh helai daun perlu memiliki tunas (petiole) di celahan daunnya.

Hal demikian kerana, tunas tersebut akan membesar dan menjadi dahan seterusnya menggantikan batang pokok penanti yang lama. Kemudian ranting yang telah diselit ke dalam kulit pokok penanti akan dibalut dengan lapisan plastik nipis bagi memastikannya melekat kukuh pada pokok penanti.
Di sini, mereka menemui kaedah baharu bagi memudahkan balutan kerana cantuman dewasa tersebut dibuat pada batang pokok durian kampung tua yang memiliki ukur lilit yang lebar.

Mohd. Ali menggunakan kaedah ikatan ‘tali kasut’ dengan memaku di kiri dan kanan pokok penanti sebelum mula menjalin lapisan plastik seterusnya memegang dahan yang diselit dengan kemas.
Selesai balutan dilakukan, tunas tersebut akan dilabel serta dipantau sehingga tunas membesar selama 45 hari dan ke atas.

Jelas Mohd. Ali, pada usia 45 hari, mata tunas yang membesar masih hijau dan pengusaha perlu memastikan cantuman tunas benar-benar kukuh sebelum balutan dibuka.
Pun begitu, tunas yang baharu tumbuh perlu diikat pada pancang kayu atau buluh untuk memberi sokongan agar tidak sekah.

Setelah membesar di dalam lingkungan beberapa bulan lagi selepas tempoh tersebut, barulah batang pokok penanti ditebang bagi memudahkan dahan baharu menggantikannya. Jika pokok penanti ditebang terlebih dahulu baharu dilakukan teknik cantuman dewasa, dikhuatiri pokok penanti mudah mati atau cantuman tidak berjaya dan perkara tersebut akan merugikan pemiliknya.

Teknik cantuman dewasa dikatakan lebih mudah dan selamat dilakukan malah dengan kelolaan dan tunjuk ajar oleh kakitangan jabatan, pengusaha tanaman durian dapat melakukannya sendiri dengan baik. Dalam pada itu, Mohd. Ali berkata, teknik itu bukan sahaja boleh dilakukan kepada Musang King sahaja, malah sesuai diaplikasikan kepada mana-mana varieti durian yang lain.

Raub hab durian
Pahang mempunyai tanah seluas 10,339.5 hektar untuk tanaman durian iaitu kedua terluas di Malaysia. Daerah Raub pula merupakan anatrayang terbesar dengan penanaman pokok durian seluas 4,950 hektar bagi negeri Pahang. Sejumlah 2,486 petani terlibat dengan penanaman pokok durian tersebut dan 163 peserta bergiat sama ada secara kecil-kecilan, berkelompok atau komersial.
Penglibatan petani dalam penanaman pokok durian adalah memberangsangkan berikutan terdapat pelbagai klon dan jenis baharu seperti D197 atau lebih dikenali sebagai Raja Kunyit atau Musang King’ selain klon D24 yang mendapat permintaan tinggi di dalam dan luar negara.
Antaranya, Basri Ramli, 58 yang mengusahakan ladang durian seluas empat ekar dengan sejumlah 40 pokok semuanya.

Jelas Basri, pokok-pokok yang ditanam di ladangnya itu telah berusia hampir 30 tahun.

“Ketika program ini diperkenalkan, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah mengenalpasti hanya dua kawasan iaitu di Raub, Pahang dan Batu Kawan, Pulau Pinang.

“Oleh yang demikian saya mengambil peluang ini dengan menyertai program yang diadakan,” katanya. Ujarnya, menerusi program tersebut segalanya dikelolakan oleh jabatan bermula daripada kursus sehingga kepada khidmat nasihat.

“Menerusi teknik cantuman dewasa ini dijangkakan pokok tumpang memerlukan empat setengah hingga lima tahun sahaja untuk mengeluarkan hasil,” katanya.

Dalam pada itu, jelas Pegawai Pertanian Daerah Raub, Pahang, Radzali Guat Ching, sebanyak empat buah kampung terlibat dalam program tersebut iaitu Kampung Pamah Kulat, Kampung Pamah Rawas, Kampung Peruas dan Kampung Kuala Keloi. Empat kampung tersebut melibatkan 180 peserta dengan kawasan tanah seluas 245 hektar (ha) keseluruhan, namun bagi kawasan durian hanya melibatkan 30 perserta dengan keluasan tanah 35 ha. Selain durian, tanaman lain seperti dokong, langsat, rambutan dan lain-lain jenis buah-buahan juga turut terlibat.

“Dijangka kita akan melihat kejayaan program ini dalam jangka masa lima hingga enam tahun lagi.

“Untuk durian kita menjangkakan sebanyak 1418 pokok durian kampung akan ditukarkan kepada varieti musang king menerusi kaedah cantuman dewasa di dalam program ini,” katanya.

Bagaimanapun ujar Radzali, tidak semua durian kampung akan ditukar kerana masih terdapat varieti durian kampung yang berkualiti. Durian kampung juga mendapat permintaan yang baik terutamanya dari negara China, dijadikan perisa dan pelbagai lagi produk hiliran.

Jelasnya, fungsi jabatan untuk mengembangkan teknologi dan memberikan khidmat nasihat kepada petani serta usahawan.

Antara tumpuan jabatan masa kini adalah untuk mengalakan golongan muda menceburi bidang pertanian seperti melalui Program Tapak Kekal Pengeluaran Makanan dan pelbagai lagi.  Program tersebut bukan sahaja melibatkan pelbagai jenis tanaman namun turut memuatkan penternakan madu kelulut.

No comments: