Tuesday, 8 June 2021

 

Revolusi industri 4.0: Perlu bersiap, perubahan pantas - Pensyarah

Kurniawati Kamarudin

Diterbitkan

Industri Keempat, Revolusi Keempat, Industri 4.0 atau Revolusi 4.0 – semuanya adalah tentang perkara yang sama.

Secara umumnya, ia melibatkan Internet Of Things (IOT) atau Internet Kebendaan dalam hampir semua aspek kehidupan seharian dan berbeza daripada revolusi industri pertama yang tertumpu kepada penggunaan mesin berkuasa wap, revolusi industri kedua yang menjurus kepada elektrik dan revolusi industri ketiga yang lebih kepada penggunaan teknologi maklumat (IT).

Revolusi Industri 4.0 yang rancak berlaku di seluruh dunia memerlukan semua pihak bertindak pantas seiring dengan pembangunan pesat dalam produk berteknologi dan sistem automasi lebih pintar.

Rumah pintar, kereta pintar, telefon pintar dan banyak lagi elemen pintar diterjemahkan di dalam teknologi pintar melalui Industri 4.0.

Dahulu, televisyen hanya berperanan sebagai penyampai maklumat selain memberi hiburan kepada masyarakat.

Kini, televisyen boleh berhubung secara langsung dengan manusia seperti mengesan manusia tidur lalu ia akan mematikan fungsinya secara automatik.

Ini antara contoh perkembangan teknologi yang dihasilkan melalui Revolusi Industri 4.0, yang dibangunkan melalui teknologi digital tanpa sebarang garis pemisah antara teknologi dengan sistem biologi seperti manusia.

Perkembangan revolusi industri

Terma Industri 4.0 mula diperkatakan seawal 2011 di Jerman namun, ia mendapat perhatian ketika Forum Ekonomi Dunia pada 2016 yang mengisytiharkan dunia ketika ini berada di ambang revolusi industri keempat.

Pensyarah Kanan Jabatan Elektrik, Elektronik dan Kejuruteraan Sistem, Fakulti Kejuruteraan Alam Bina di Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Sawal Hamid Md Ali berkata kata kunci revolusi itu membawa maksud perubahan yang besar dan pantas yang berlaku di dalam perkembangan industi yang bermula sejak kurun ke-18 apabila penggunaan air dan wap ditemui.

Dikenali sebagai Revolusi Industri 1.0, enjin wap digunakan untuk menggerakkan keretapi, kenderaan dan sebagainya ketika itu.

Kemudian, sebelum Perang Dunia Pertama, satu lagi perubahan berlaku apabila ahli sains menghasilkan penemuan baru seperti elektrik, yang menggerakkan Revolusi Industri 2.0 dengan terhasilnya telefon, kapal terbang dan kenderaan yang berasaskan Internal Combustion Engine.

“Apabila adanya elektrik, bermulalah pengeluaran produk secara besar-besaran dengan wujudnya kilang-kilang pengeluaran,” katanya kepada Bernama.

Selepas itu, Revolusi Industri 3.0 muncul pada akhir 1960-an. Zaman Revolusi Industri 3.0 juga dikenali sebagai revolusi digital di mana pelbagai peralatan elektronik dan digital dihasilkan seperti kamera, televisyen, radio dan sebagainya. Perkembangan tekonologi internet turut berlaku di zaman itu.

Dan sekarang, ia beralih kepada Revolusi Industri 4.0 yang pada dasarnya diasaskan daripada industri 3.0 iaitu revolusi digital.

Apa yang membezakan Industri 3.0 dan Industri 4.0 adalah ketersambungan antara teknologi digital dengan manusia dan sistem fizikal yang lain.

“Revolusi Industri 4.0 adalah tentang sistem fizikal siber dengan sistem boleh menghubungkan dunia digital, sistem fizikal sistem biologi seperti manusia melalui internet.

“Dalam Industri 3.0, teknologi itu tidak berhubung secara langsung dengan manusia tetapi sekarang dalam Industri 4.0, ia ada hubungan dua hala antara manusia dan peralatan elektronik yang menjadikan manusia itu sebahagian dari teknologi.

“Data dari manusia digunakan untuk peralatan elektronik itu menjalankan fungsinya dengan lebih baik seperti apa yang berlaku dalam telefon pintar, televisyen pintar, rumah pintar dan sebagainya,” jelasnya tentang perbezaan tersebut.

Kepantasan teknologi

Malaysia antara negara yang sedang bergerak ke hadapan dalam perkembangan Revolusi 4.0.

Satu teras utama dalam Revolusi Industri 4.0 adalah kecerdasan buatan (Artificial Intelligence) atau AI. Menerusi AI, sesuatu sistem dihasilkan untuk mempelajari persekitaran dan menjadi pemacu kepada hubungan di antara manusia, peralatan fizikal dan dunia digital.

Selain daripada itu, teknologi Robotik Automasi pula berkeupayaan untuk beroperasi dalam persekitaran kerja yang sama seperti manusia.

Teras-teras lain yang dikaitkan dengan Industri 4.0 adalah Teknologi Pemprosesan Awan dalam penyimpanan dan pemprosesan data, IoT yang menghubungkan deria pintar pada peralatan dengan sambungan internet , Sekuriti Siber bagi melindungi data dan meminimumkan risiko dan Cetakan 3D yang memudahkan pembangunan prototaip.

Selain itu, teras lain melibatkan Realiti Maya yang dapat menyediakan maklumat visual secara maya, Realiti Berperantara yang menggabungkan dunia fizikal dengan dunia maya serta Analisis Data Besar yang menggunakan data dikumpul untuk penyediaan perkhidmatan dan melakukan unjuran yang lebih tepat.

Sawal Hamid berkata perkembangan dan kemajuan di dalam revolusi baharu ini bergantung kepada teknologi internet dan analisis data yang besar bagi memacu pengeluaran, perkhidmatan mahupun perniagaan.

“Sekiranya kemudahan internet tidak meluas dan kelajuannya terhad, ian akan menjejaskan perkembangan Revolusi Industri 4.0

“Kejayaan GRAB (berasaskan aplikasi My Teksi) yang dihasilkan rakyat Malaysia adalah contoh tentang kebergantungan kepada teknologi internet ini. Rakyat Malaysia sudah bersedia untuk menjadi pemain dan pengerak revolusi baharu ini," katanya.

Walaupun Malaysia masih lagi menjadi negara pengguna bukan pengeluar namun, dengan adanya kemudahan internet, akses kepada pengetahuan menjadi lebih mudah dan murah yang dapat membantu masyarakat membangunkan sesuatu sistem yang berasaskan Industri 4.0.

Pembangunan sistem, aplikasi dan perkhidmatan seperti kecerdasan buatan misalnya akan membuka peluang kepada masyarakat dalam menghasilkan suatu model bisnes yang baharu.

Data pemangkin revolusi

Antara faktor yang menggerakkan Industri 4.0 adalah keupayaan kuasa pemprosesan yang tinggi dan ditambah dengan keupayaan penstoran digital yang memacu kepada penghasilan produk berteknologi tinggi.

“Bila kuasa pemprosesan tinggi, telefon pintar yang kecil boleh menjalankan pelbagai fungsi. Sekarang, telefon pintar sudah dilengkapi dengan pemprosesan AI yang mampu menggunakan maklumat data persekitaran untuk beroperasi dengan lebih baik. 

"Sebagai contoh, fungsi AI semasa mengambil gambar membolehkan keadaan persekitaran digunakan untuk menghasilkan gambar yang lebih menarik secara automatik.

“Kuasa pemprosesan yang tinggi serta kemampuan penstoran data tinggi menjadi pemangkin dalam revolusi keempat ini,” katanya.

Robot ganti peranan manusia

Namun, ada kebimbangan yang sering disuarakan apabila peranan manusia semakin digantikan oleh robot.

Tenaga kerja berkemahiran rendah seperti operator pengeluaran antara yang mungkin terjejas kerana secara perlahan-lahan tenaga mereka tidak lagi diperlukan dan digantikan dengan penggunaan robot atau sistem komputer berdigital lain.

Bagaimanapun, tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk membangunkan sistem perisian, kecerdasan buatan, pereka bentuk, pengendali program amat diperlukan di dalam Revolusi Industri 4.0

“Mungkin kita tidak lagi memerlukan tenaga buruh yang ramai namun tenaga kerja berkemahiran tinggi akan mempunyai permintaan pada pasaran kerja sekarang dan akan datang,” katanya.

Perubahan dalam sistem pendidikan perlu dilakukan dengan memberi pendedahan kepada pelajar bermula dari peringkat sekolah rendah hingga ke universiti tentang Revolusi Industri 4.0.

Pelajar perlu diberikan pengetahuan secukupnya untuk membangunkan teknologi contohnya menghasilkan kod dan algorithm dan pembangunan sistem aplikasi yang kini mudah untuk dibangunkan oleh pelajar seawal diperingkat sekolah rendah lagi.

“Sekiranya pendedahan awal tentang teknologi berkaitan Industri 4.0 dapat diberikan dan digalakkan, tenaga mahir itu dapat kita wujudkan mengikut keperluan pasaran.

“Tambahan maklumat dan proses untuk mendapatkan ilmu tentang membangunkan sesuatu teknologi itu semakin mudah diperolehi dan dipelajari menerusi internet dan sebahagian besarnya adalah percuma,” katanya.

Masyarakat perlu berubah

Perubahan pesat dalam industri memerlukan masyarakat menjadi penggerak dalam Revolusi Industri 4.0, justeru itu, mereka harus turut berubah.​

​​​​​​Sawal Hamid berkata sekiranya mereka tidak mahu berubah, mereka yang kelak diubahkan oleh teknologi tersebut.

Ini yang berlaku apabila perkhidmatan e-hailing seperti GRAB, yang menggunakan teknologi berasaskan telefon pintar dan memudahkan pengguna, boleh memberi kesan yang menjejaskan perkhidmatan teksi konvensional.

Keadaan sama juga berlaku apabila Netflix diperkenalkan di mana penstriman video untuk menonton filem melalui dalam talian melenyapkan perkhidmatan sewaan video seperti Blockbuster.

“Teknologi yang ada sekarang menukar cara konvensional dan golongan yang tidak mahu berubah akan diganggu dan dinyahkan oleh teknologi baharu.

“Teknologi sekarang bergerak begitu pantas dan seluruh dunia sedang bergerak pantas dalam menguasai teknologi ini. Jika kita tidak berusaha keras, negara-negara serantau lain seperti Indonesia , Thailand , Vietnam akan mendahului dan meninggalkan kita,” katanya.

Perubahan teknologi yang pantas ini juga menyukarkan kita untuk menjangka apa yang bakal berlaku pada masa hadapan.

Oleh itu, kita perlu sentiasa peka dan bersedia untuk berubah.

- (Disunting oleh Nur-ul Afida Kamaludin) Bernama

No comments: