Kemahiran Penyoalan



Kemahiran Penyoalan

Kemahiran menyoal dalam sesi pengajaran dan Pembelajaran adalah salah satu kaedah yang digunakan oleh guru untuk mendapatkan tindak balas daripada pelajar sama ada mereka memahami atau tidak tajuk yang disampaikan. Selain itu, soalan juga dapat membantu pelajar secara langsung dalam meningkatkan prestasi pelajaran mereka.

Teknik menyoal adalah penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Soalan digunakan untuk mendapatkan maklumat atau jawapan daripada pelajar. Khususnya, guru menggunakan teknik menyoal untuk memastikan sama ada mereka memahami pelajaran baru.

Selain itu, menyoal juga mempunyai nilai sosial kemasyarakatan dengan menyoal dapat membantu pelajar mengukuhkan hubungan dan menyatukan kumpulan melalui interaksi hati ke hati.

OBJEKTIF PENYOALAN

Secara umumnya apabila guru ingin menyoal pelajar, guru akan memberi soalan kepada keseluruhan kelas. Setelah memberi mereka waktu untuk memikirkan jawapan, barulah guru memilih secara rawak beberapa orang pelajar untuk menjawab soalan tersebut. Kaedah menyoal yang betul seperti ini dapat membangkitkan kecerdasan serta menggalakkan pelajar untk berfikir. Kaedah ini juga dapat merangsang pemikiran pelajar.

i. Menggerak Minda Murid

Guru dapat merangsang dan mencungkil fikiran pelajar semasa sesi soal jawab dengan menggunakan teknik soalan kemahiran berfikir kreatif dan kritis terutamanya ketika mengajar tajuk baru. Pada masa yang sama, guru boleh menimbulkan minat dan rasa ingin tahu pelajar semasa sesi soal jawab dijalankan.

ii. Menilai Pemahaman Pelajar

Guru dapat mengukur tahap kefahaman pelajar dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan. Sesi soal jawab merupakan satu latihan sebelum menghadapi ujian atau peperiksaan.

iii. Membimbing Pelajar

Pelajar biasanya sering menunjukkan kelemahan dalam memberikan jawapan. Dalam kaedaan ini guru hendaklah tidak terus menyalahkan jawapan pelajar. Sebaliknya, guru wajar menggunakan teknik soalan yang memberikan panduan kearah jawapan yang dikehendaki sehingga pelajar menyedari kesilapan mereka dan cuba membetulkan kesalahan itu.

iv. Merantas Pembelajaran

Proses pembelajaran pelajar harus berlaku secara aktif sepanjang masa. Bentuk soalan boleh juga menggunakan konsep yang diperoleh dalam sesuatu mata pelajaran kepada situasi yang lain.

v. Menggalakkan Mutu Pemikiran Yang Tinggi

Soalan yang dibuat mestilah mempunyai unsur penganalisisan, penggabungan atau sintesis dan penilaian.

vi. Mengekalkan Perhatian Murid

Guru dapat mengenal pasti tingkah laku pelajar semasa pengajaran dan pembelajaran sedang berlaku. Jika guru ternampak pelajarnya sedang berkhayal atau leka, teknik soalan boleh digunakan untuk mengembalikan semula perhatiannya tanpa memarahi dan mengherdik pelajar terbabit.

vii. Mengeratkan Interaksi

Tujuan menyoal juga dapat mengeratkan interaksi antara guru dengan murid dan sesama murid. Interaksi guru-murid, murid-guru dan murid sesama murid penting kerana dapat mewujudkan suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih baik dan harmoni.

No comments: