RANGSANGAN DAN FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI LUKISAN KANAK-KANAK


SINOPSIS

Kursus ini memberi tumpuan kepada rangsangan dan faktor-faktor yang mempengaruhi lukisan kanak-kanak. Topik-topik khusus ini meliputi perkembangan lukisan kanak-kanak mengikut fizikal, sosial, emosi, rohani, mental dan estetika. Malahan ia juga menjelaskan definisi dan proses apresiasi lukisan kanak-kanak berdasarkan diskripsi, analisis dan interpretasi..
HASIL PEMBELAJARAN:

Pada akhir tajuk ini anda seharusnya dapat;
1. Menjelaskan tentang ransangan dan faktor-faktor yang mempengaruhi lukisan kanak-kanak.
2. Menjelaskan tentang perkembangan lukisan kanak-kanak mengikut fizikal, sosial, emosi, rohani, mental dan estetik.
3. Menjelaskan definisi dan proses apresiasi.
4. Membuat apresiasi lukisan kanak-kanak dari segi tajuk, pengalaman dan penggunaan alat dan bahan
5. Membuat apresiasi karya kanak-kanak berdasarkan diskripsi, analisis dan interpretasi

RANGSANGAN DAN FAKTOR-FAKTOR YANG MEMPENGARUHI LUKISAN KANAK-KANAK

Setiap insan di dunia mempunyai keinginan, terutamanya kanak-kanak. Sebagai guru,
memahami keinginan mereka memberi ruang kepada kita untuk mengatur sesi
pembelajaran serta pendekatan yang digunakan dengan cara yang lebih berkesan. Apabila tiba pada peringkat umur tertentu, kanak-kanak akan lebih cenderung untuk melukis berdasarkan apa yang mereka lihat daripada menggunakan imaginasi sendiri. Kenapa ini berlaku?

KEINGINAN ASAS KANAK-KANAK

(a) Untuk Bergerak, Berjaya dan Diiktiraf, Diterima dan Disanjung

Pujian dan sanjungan merupakan sebahagian daripada kaedah meningkatkan motivasi kanak-kanak. Di dalam aktiviti pendidikan seni visual, penghasilan karya oleh kanak-kanak perlu mendapat kredit yang sewajarnya daripada guru. Lukisan yang dihasilkan oleh kanak-kanak hendaklah dipamerkan pada papan kenyataan murid di sekolah sebagai sebahagian daripada usaha meningkatkan keyakinan diri murid selain sebagai satu bentuk penghargaan kepada mereka di atas usaha menghasilkan karya.  (b) Untuk Bersaing, Ketangkasan Fizikal dan Memahami

Aktiviti melukis dijadikan sebagai landasan bagi membina persaingan yang sihat di kalangan kanak-kanak. Pertandingan seperti pertandingan melukis dan mewarna sering diadakan bertujuan untuk mewujudkan persaingan positif di kalangan kanak-kanak di samping memberikan peluang kepada mereka untuk berinteraksi denganrakan sebaya. Penganjuran aktiviti sebegini memberikan peluang kepada mereka untuk mempelajari kaedah dan perkara baru sesama mereka. (c) Untuk Meneroka, Pencapaian Kreatif dan Meluahkan Perasaan

Aktiviti melukis meningkatkan dan membuka ruang ke arah pembinaan daya kreativiti kanak-kanak. Selain itu, melalui aktiviti melukis kanak-kanak diberikan peluang untuk meneroka dan bereksperimentasi dengan bahan-bahan lukisan seperti pensil, pen, pensil warna, dan sebagainya. Kanak-kanak sememangnya sukauntuk mencuba. Perasaan ingin mencuba ini merupakan sebahagian daripadaproses pembelajaran bagi kanak-kanak.


Latihan
Sebagai guru, bagaimanakah pengetahuan tentang perkembangan artistik pelajar dapat membantu meningkatkan proses pembelajaran?
Dalam topik ini anda telah didedahkan dengan maklumat mengenai mengapa kanak-kanak gemar melukis dan seharusnya telah memahami mengapa lukisan yang dihasilkan oleh kanak-kanak mempunyai interpretasi dan makna yang berbeza dengan karya yang dihasilkan oleh golongan dewasa. Karya yang dihasilkan oleh kanak-kanak merupakan satu kaedah bagi mengenal pasti proses perkembangan mereka. Pengetahuan ini juga sesuai untuk mengatur aktiviti yang menggalakkan perkembangan artistik mereka. Selain daripada itu memberikan peluang kepada kanak-kanak untuk bercerita dan berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan seusia dengan mereka supaya pengalaman rakan yang lain turut menjadi sebahagian daripada proses pembelajaran.

 PENGALAMAN MELALUI PENGGUNAAN ALAT, MEDIA DAN ALAT BANTU

Namakan lima deria yang ada pada manusia normal, dan bagaimanakah deria-deria ini membantu dalam kehidupan anda sehari-hari?


Ekspresi seni memerlukan medium. Seperti mana pelukis memerlukan kanvas, berus dan warna; kanak-kanak juga perlu dibekalkan dengan alatan yang bersesuaian untuk dapatmerangsang daya imaginasi mereka. Harga bukanlah menjadi isu kerana kreativiti dapat dihasilkan dengan memanipulasikan objek alam. Perkara paling mudah ialah dengan menyediakan krayon dan kertas dan kanak-kanak diberi kebebasan untuk berkomunikasi dengan kreativiti sendiri. Membekalkan alatan sampingan untuk merangsang minda mampu memberi anjakan motivasi dan membuatkan proses pembelajaran menjadi lebih menyeronokkan. Untuk menggalakkan perkembangan ini, guru-guru seharusnya tidak terlalu bergantung kepada kreativiti kanak-kanak itu sendiri malah haruslah memikirkan alatan bersesuaian yang boleh disediakan untuk merangsang daya imaginasi kanak-kanak di dalam kelas.

Pelbagai Jenis Alat dan Media Suasana pembelajaran akan menjadi lebih menarik sekiranya guru mampu menyediakan alatan tertentu yang sesuai dengan objektif pembelajaran dan sukatan mata pelajaran yang ditetapkan. Oleh itu, pelbagai jenis alatan dan media wajar diketengahkan dalam proses pembelajaran untuk merangsang minda kanak-kanak.

(a) Alatan Asas

Walaupun penyediaan peralatan untuk pembelajaran seni visual di sekolah amat berkaitrapat dengan peruntukan yang disediakan oleh sekolah yang telah ditetapkan oleh kementerian, setiap bilik seni di sekolah pasti menyediakan alatan-alatan asas seperti kertas lukisan, berus, warna dan krayon. Di peringkat permulaan, alatan ini sebenarnya memadai untuk merangsang minat kanak-kanak untuk melukis dan mencipta. Dengan bimbingan yang sesuai, terpulanglah kepada para pelajar untuk bermain dengan pelbagai warna dalam eksplorasi penghasilan karya kreatif mereka.

(b) Gambar

Satu lagi bentuk rangsangan yang efektif ialah dengan memperkenalkan gambar-gambar foto kepada kanak-kanak. Gambar-gambar foto ini bolehlah digunakan daripada imej yang pelbagai, contohnya gambar keluarga, haiwan, bangunan, pemandangan dan pelbagai lagi objek alam yang lain. Menggunakan gambar foto di dalam pembelajaran adalah menjimatkan kerana sumber foto boleh didapati di surat khabar, majalah ataupun risalah,ataupun menggunakan gambar pelajar itu sendiri.
 Guru perlu memahami bahawa terdapat dua objektif utama di dalam mengetengahkan gambar-gambar foto kepada kanak-kanak. Gambar foto boleh diperkenalkan sekiranya guru inginkan para pelajar meniru imej di dalam foto untuk dimanifestasikan di dalam karya lukisan mereka. Mungkin ramai yang beranggapan bahawa teknik meniru tidak akan memupuk kreativiti kanak-kanak, malah tidak ada elemen pembelajaran yang boleh didapati daripada aktiviti seperti ini. Namun, teknik imitasi merupakan antara teknik terbaik yang wajar diperkenalkan kepada kanak-kanak di peringkat awal, di atas kelebihan-kelebihan tertentu. Walaupun kanak-kanak berinteraksi dengan objek alam, namun pengamatan mereka terhadap persekitaran adalah terbatas. Teknik imitasi gambar ini dapat menajamkan pengamatan para pelajar di dalam proses penghasilan imej yang  serupa, seterusnya melahirkan pelajar yang lebih peka dan lebih menitikberatkan ketelitian. Teknik ini juga menajamkan daya ingatan para pelajar terhadap objek alam kerana mereka perlu tahu ciri yang perlu ada pada imej yang ingin ditiru.

Satu lagi objektif memperkenalkan gambar foto ialah dengan tujuan untuk memperkayakan tatabahasa visual kanak-kanak. Memperluaskan tatabahasa visual dapat menajamkan ingatan visual kanak-kanak terhadap imej yang diperkenalkan, sekaligusn meluaskan pengetahuan mereka terhadap imej-imej tersebut. Bagi mencapai objektif ini,guru-guru digalakkan memprojeksikan gambar tersebut di hadapan kelas agar semua pelajar mendapat gambaran yang jelas. Sekiranya kemudahan projektor, komputer dan perisian Microsoft Powerpoint ada disediakan di sekolah, guru bolehlah mengaplikasikan teknologi tersebut untuk tujuan ini.

Semasa dipaparkan, guru perlu memberi penerangan terperinci mengenai imej terbabit. Contohnya dalam memaparkan imej rumah Minangkabau disertakan dengan penjelasan guru, para pelajar bukan sahaja dapat melihat bentuk dan rupa imej tersebut, malah penguasaan tatabahasa visual mereka dikuatkan lagi dengan pengetahuan berkenaan ciri-ciri khas rumah, budaya serta warna yang signifikan dengan rumah tersebut. Maklumat ini seterusnya dapat dipindahkan oleh pelajar ke dalam karya lukisan mereka.

Latihan

Bagaimanakah teknik meniru gambar foto berkemampuan untuk menajamkan daya ingatan para pelajar terhadap imej di dalam foto?

(c) Rakaman Video dan Penggunaan ICT Penggunaan rakaman video dan teknologi maklumat memberikan nafas baru di dalam pembelajaran seni visual di sekolah. Walaupun kemudahan teknologi yang disediakan di sekolah mungkin agak terhad, sekurang-kurangnya guru masih boleh menggunakan rakaman video dan menayangkan kepada para pelajar di bilik media atau bilik pandang dengar yang terdapat di sekolah-sekolah.  Jadi, rakaman video bagaimanakah yang sesuai untuk ditayangkan kepada para pelajar?  Sekali lagi, guru harus memikirkan kesesuaian kandungan video berdasarkan sukatan mata pelajaran pendidikan seni visual. Sekiranya fokus guru adalah untuk mengajar proses pembuatan sesuatu bahan atau benda, jadi rakaman video tentang proses pembuatan bahan tersebut bolehlah ditayangkan. Contohnya, proses pembuatan batik, pasu tanah liat, wau, dan sebagainya. Setiap satu proses yang ditayangkan perlu mendapat penerangan sampingan daripada guru dan harus disusuli dengan sesi soal-jawab untuk menjawab keraguan atau soalan yang bermain di fikiran para pelajar.

Walaupun di dalam pendidikan seni visual, guru akan mendemonstrasikan sendiri proses pembuatan sesuatu bahan atau material, namun rakaman video merupakan alternatif terbaik di atas sebab-sebab tertentu. Menayangkan rakaman video memberi penegasan terhadap proses pengeluaran sesuatu objek. Ada kalanya guru ingin mendedahkan pengetahuan tentang proses tertentu yang mungkin tidak dapat di demonstrasikan di dalam kelas kerana kos yang mahal dan ketiadaan bahan-bahan. Oleh itu dengan tayangan video, proses pembuatan sesuatu bahan masih dapat didedahkan kepada para pelajar.Penggunaan ICT merujuk kepada penggunaan alatan digital dan elektronik dalam proses pembelajaran seni visual dan ianya memberi pengalaman yang baru dan berbeza kepada para pelajar dan juga guru. Penggunaan IT dalam pengajaran memberi kesempatan kepada kanak-kanak untuk meneroka benda. Menggunakan komputer memang menyeronokkan, tetapi kanak-kanak perlu mempunyai kemahiran untuk mengendalikan komputer terlebih dahulu sebelum mereka dapat memanipulasikan perisian-perisian yang ada. Di dalam pendidikan seni visual, penggunaan komputer, pengimbas, kamera digital, pencetak dan Internet mencabar guru untuk memikirkan alternatif kepada suasanapembelajaran yang lebih kreatif dan menyeronokkan.

PENGALAMAN DERIA

Apakah penggunaan deria terhad kepada untuk melihat, menyentuh, mendengar, merasa dan menghidu sahaja? Pada pendapat anda, mampukah deria mempengaruhi cara dan gaya anda belajar?

Perasaan ingin tahu mempunyai tarikan yang kuat untuk menggalakkan kanak-kanak mempelajari sesuatu. Seni memberi ruang kepada mereka untuk menjalinkan hubungan intim dengan dunia di sekeliling mereka. Untuk memahami persekitaran, kanak-kanak perlu lebih peka dan ini memerlukan mereka membuka dan menajamkan setiap deria yang dimiliki – deria rasa, bau, dengar, lihat dan sentuh. Umum mengetahui bahawa setiap insan normal mempunyai lima deria iaitu deria rasa, deria bau, deria dengar, deria lihat dan deria sentuh. Kelima-lima deria ini memainkan peranan yang amat penting di dalam kehidupan manusia sehari-hari, dan sangat-sangat diperlukan untuk proses pembelajaran. Di dalam konteks pembelajaran seni visual, guru haruslah bijak mengasuh kanak-kanak menggunakan deria mereka. Penggunaan deria yang baik akan dapat melahirkan kanak-kanak yang mampu membuat pemerhatian secara aktif, dan ianya menggalakkan interaksi yang kritis dan kreatif dengan alam, alat dan bahan. Pelbagai pendekatan boleh diambil oleh guru untuk merangsang penggunaan pancaindera kanak-kanak. Dalam konteks pembelajaran, pendekatan mengadakan perbincangan dan lawatan boleh menajamkan deria para pelajar.

Cara Belajar
Deria memainkan peranan yang sangat signifikan di dalam proses pembelajaran kanak-kanak. Namun perlu disedari bahawa setiap kanak-kanak adalah individu yang berbeza, oleh itu tahap penggunaan serta kecenderungan mereka di dalam penggunaan deria adalah berbeza di antara satu individu dengan individu yang lain. Kecenderungan ini mempengaruhi minat kanak-kanak, cara mereka memproses dan menterjemah maklumat
serta medium terbaik untuk menyampaikan sesuatu maklumat. Kajian-kajian yang dijalankan mendapati bahawa terdapat tiga jenis kecenderungan utama di dalam belajar atau tiga cara belajar: visual, auditori dan kinestetik.

Belajar Secara Visual
Pelajar visual, secara amnya, dapatlah diklasifikasikan sebagai pelajar yang gemarmenggunakan deria penglihatan lebih daripada deria yang lain untuk mendapatkan maklumat semasa proses pembelajaran berlaku. Pelajar di dalam golongan ini lebih cenderung menggunakan maklumat bertulis, nota, diagram dan gambar. Semasa sesuatu pembentangan dilakukan atau semasa guru sedang mengajar, pelajar ini suka menyalin nota dengan terperinci. Ada kalanya pelajar visual hanya dapat belajar dengan efektif sekiranya mereka dapat melihat maklumat di dalam format bertulis.  Berhadapan dengan pelajar visual, adalah lebih berkesan sekiranya guru dapatmemastikan bahawa memek muka serta isyarat-isyarat bukan verbal dapat dilihat dengan jelas oleh pelajar-pelajar ini. Guru juga perlu membanyakkan paparan visual di dalam pengajaran seperti diagram, video, carta dan pemilihan material pembacaan sekiranya mampu biarlah mempunyai ilustrasi menarik. Guru juga seharusnya memberi masa yang secukupnya kepada pelajar-pelajar ini untuk menyalin informasi pengajaran dengan cara yang terperinci agar mereka dapat memahami dan menyerap maklumat yang disampaikan.

Belajar Secara Auditori
Pelajar auditori menggunakan deria mendengar lebih daripada yang lain semasa proses pembelajaran. Mereka lebih terangsang untuk belajar dengan medium verbal. Semasa di dalam kelas, pelajar auditori mendengar dengan tekun untuk memahami, dan proses menulis nota dilakukan kemudian. Adakalanya pelajar auditori tidak memahami maklumat bertulis dan perlu mendengar dengan sendiri penjelasan guru. Untuk mengajar pelajar auditori dengan lebih berkesan, ada beberapa teknik yang boleh diaplikasikan oleh guru. Sekiranya ingin memberitahu sesuatu maklumat, pastikan maklumat tersebut tidak hanya dicetak di atas kertas (yang hanya menguntungkan pelajar visual), tetapi hendaklah dibaca dengan kuat. Galakkan perbincangan di dalam kelas, sebarang masalah boleh dibincang dan dihuraikan dengan jelas dan belajar untuk mendengar pendapat pelajar-pelajar. Kerja-kerja kumpulan juga hendaklah digalakkan dijalankan melalui aktiviti-aktiviti perbincangan. Guru juga haruslah lebih peka dengan isyarat verbal mereka semasa mengajar kerana pelajar auditori juga mempunyai kecenderungan untuk menterjemah maksud tersembunyi melalui ton suara guru, kepantasan dan nada yang digunakan.

Belajar Secara Kinestetik

Pelajar kinestetik mendapatkan kemahiran melalui imitasi dan latihan. Pelajar golongan ini dapat belajar dengan lebih efektif melalui sentuhan dan pergerakan. Malangnya bukanlah satu kelaziman untuk guru-guru di sekolah mengajar dengan menggunakan pendekatan ini. Ketidakserasian cara belajar dengan teknik pengajaran guru membuatkan pelajar kinestetik tidak dapat memproses maklumat dengan baik dan impaknya mengakibatkan mereka selalu ketinggalan di dalam kelas. Untuk pengajaran yang lebih berkesan, golongan ini memerlukan aktiviti yang lebih berbentuk hands-on. Guru juga seharusnya menganjurkan aktiviti-aktiviti yang memerlukan penglibatan langsung para pelajar atau tugasan yang berbentuk praktikal,  pengajaran juga lebih kepada demonstrasi dan bukan sekadar hanya penerangan.  Sekiranya guru merasakan demonstrasi merupakan cara terbaik untuk menyampaikan sesuatu maklumat, pilihlah pelajar kinestetik untuk melakukan demonstrasi tersebut.

CIRI-CIRI PERKEMBANGAN

Kesedaran terhadap proses perkembangan kognitif dan artistik kanak-kanak mula mendapat tempat di kalangan penyelidik, pengkaji, pendidik dan ahli psikologi pada awal 1900. Hasil daripada kajian-kajian yang dijalankan mendapati bahawa proses perkembangan kanak-kanak adalah mengikut peringkat-peringkat tertentu.  Setiap peringkat diwakili dengan ciri-ciri dominan yang dipaparkan secara berulang-ulang di dalam hasil seni kanak-kanak. Peringkat-peringkat ini juga mempunyai kaitan dengan umur kanak-kanak dan kematangan di dalam ekspresi artistik selalunya jelas berdasarkan kematangan usia mereka.

PERKEMBANGAN ESTETIK
Kita sering mengaitkan elemen estetika dengan kreativiti dan artistik.  Apakah sebenarnya estetik dan bagaimanakah ianya berbeza dengan konsep kreativiti di dalam seni?

Perkembangan estetik kanak-kanak selalunya diterjemahkan melalui gerak-geri dan pergerakan badan mereka. Kebolehan kanak-kanak dalam meluahkan nilai estetika mereka merupakan satu bentuk kemahiran kognitif yang bukan sahaja penting di dalam perkembangan seni kanak-kanak tersebut, malah amat penting di dalam perkembangan pemikiran dan intelektualiti mereka. Luahan estetik kanak-kanak amat berbeza dengan pergerakan badan yang biasa. Di dalam kehidupan seharian, kita berkomunikasi secara verbal ataupun bukan verbal.   Komunikasi bukan verbal melibatkan pergerakan tangan, memek muka, pandangan mata dan pergerakan bahagian badan yang lain. Pergerakan estetik pula menjurus kepada isyarat virtual. Isyarat virtual ini merupakan jendela kepada emosi dalaman kanak-kanak dan juga jiwa dan pemikiran mereka.

Walaupun perkembangan estetik kanak-kanak secara total masih belum dapat dikenalpasti, para pengkaji telah menemui beberapa pergerakan yang menjadi refleksi kepadaperkembangan estetik kanak-kanak. Pergerakan estetik awal kanak-kanak mempunyai kaitan langsung dengan emosi mereka kerana resepsi deria yang mengeluarkan isyarat tersebut selalunya mempunyai hubungan terus dengan bahagian otak yang merangsang emosi.  Kanak-kanak pada umur 2 hingga 4 tahun selalunya mengeluarkan isyarat-isyarat tertentu yang lebih berbaur emosi daripada rasional atau intelektualiti. Isyarat-isyarat biasa seperti tunduk memberi hormat atau pergerakan biasa yang dilakukan ketika beribadat mempunyai implikasi emosi. Apabila usia mereka meningkat ke tahun ketiga dan keempat, kanak-kanak menjadi lebih peka kepada gerakan-gerakan dinamik yang melibatkan imbangan, arah, konsisten, daya dan juga keintiman. Di usia ini, mereka dapat mengimbangkan diri mereka dengan baik di atas kerusi yang kecil dan mengekalkan langkah yang konsisten semasa mencuba tarian yang mudah. Mereka juga dapat membezakan kiri dan kanak, atas dan bawah.

Pada umur 6 tahun, kanak-kanak tahu bahawa gerak-geri mereka juga mempunyaielemen psikologi. Contohnya meluahkan rasa sedih dengan menundukkan muka atau pun melahirkan ekspresi sedang berfikir dengan meletakkan tangan di bawah dagu. Semua pergerakan ini adalah luahan estetik mereka dan sebagai orang dewasa, pemerhatian terhadap pergerakan-pergerakan mereka akan dapat membantu kita menentukan apa yang bermain di dalam fikiran dan jiwa mereka.

PERKEMBANGAN ARTISTIK
Pelbagai model perkembangan telah dikemukakan yang membantu memperjelas perkembangan artistik kanak-kanak. Antara model-model terkemuka telah diformulasikan oleh Lowenfeld (1975), Chapman (1972). Model-model ini secara umumnya berbeza namun mempunyai corak perkembangan yang lebih kurang sama. Antara persamaan yang ketara ialah transisi perkembangan daripada peringkat scribbling ke representation. Antara persamaan-persamaan yang lain ialah:
(a) Faktor sosioekonomi mempunyai pengaruh yang amat terbatas dalam peringkat awal pertumbuhan kanak-kanak. Kanak-kanak lelaki dan perempuan didapati melukis dengan cara yang sama di peringkat awal pertumbuhan  (b) Lukisan kanak-kanak dapat memberi lebih banyak maklumat tentang perkembangan mereka daripada catan kerana ianya menggunakan krayon, pensil dan pen. Alatan ini lebih mudah dikawal oleh kanak-kanak daripada berus dan warna.

(c) Terdapat pertindihan yang agak ketara di antara peringkat-peringkat perkembangan. Lukisan kanak-kanak mungkin mempunyai elemen dua peringkat serentak dan tidak semestinya elemen satu peringkat perkembangan sahaja.

Menurut kebanyakkan penyelidik berkenaan kreativiti, kreativiti seringkali dikaitkan dengan kanak-kanak, hal ini kerana kanak-kanak biasanya bermain dengan idea dan mempamerkan ciri-ciri kreatif secara berperingkat pada individu kanak-kanak ini. Albert Einstien ( Schilpp 1949), menyatakan perkara yang paling kreatif pada diri kanak-kanak adalah apabila mereka bermain dengan fikiran.

E. Paul Torrance (1964) menyatakan pula, kanak-kanak menunjukkan tahap paling kreatif pada usia empat tahun.
Sekiranya perkara yang dinyatakan ini benar, perkara ini mungkin menarik untuk kita mengklasfikasikan ciri-ciri kanak-kanak yang menunjukan kreativiti yang ada pada diri mereka.
Apakah sifat-sifat istimewa yang mereka miliki yang boleh membantu kita memahami cara yang unik mereka mengalami dunia?;
Kebanyakkan pada kanak-kanak yang berusia empat tahun;
a) Bebas
b) Seronok mempelajari perkara baru
c) Sifat ingin tahu
d) Suka bermain/ keseronokkane) Peserta yang aktif
Kebanyakkan kanak-kanak, yang baru mengenali dunia ciri-ciri kreativiti mereka lebih terpengaruh dengan keaadaan sekeliling.
Walau bagaimanapun, kanak-kanak ini bersifat mengikut, meniru  apa yang mereka lihat dengan kerap kalinya, terutamanya sifat orang dewasa.
Sifat kreatif ini kemungkinan akan hilang sekiranya perkara yang ditunjuk oleh ibu bapa berbeza.
Namun sekiranya kanak-kanak tersebut sememangnya kreatif,
Bagaimana dikatakan persekitaran menyokong keupayaan kreativiti kanak-kanak tersebut?
Bagaimana kreativiti ini dipupuk agar kekal dalam diri kanak-kanak ? mungkin permulaan yang baik untuk membangunkan kesedaran kompleks dalam proses pemikiran kreatif.

Kreativiti sangat susah untuk kita fahami. Namun perkembangannya boleh dilihat dari peringkat ke satu peringkat ketika usia kanak-kanak.

Setiap kanak-kanak dilahirkan dalam keadaan kreatif( Lowenfeld 1975).
Menurut Guilford (1964) menerangkan bahawa intelektual atau minda mempunyai lima bentuk operasi yang terdiri daripada;
a) kognitif, yang menerima dan memproses maklumat
b) memori, yang menerima dan menyimpan maklumat
c) pemikiran kovergen, keupayaan pemikiran penyelesaian masalah secara khusus
d) pemikiran divergen, kebolehan pemikiran yang bersifat pelbagai atu bercapah yang selari dengan pemikiran kreatif
e) penilaian, yang merupakan hasil pertimbangan sesuatu tindakkan.


Kepentingan Aktiviti  Melukis dan Kreativiti dalam perkembangan kanak-kanak

Melukis sebagai medium Komunikasi. Lukisan merupakan bentuk komunikasi awal kanak-kanak sebelum mereka berupaya untuk bertutur.
Ianya dijadikan alat perhubungan yang berkesan untuk berinteraksi.
Melukis merupakan aktiviti yang mampu memberikan kepuasan kepada kanak-kanak.
Melalui lukisan, kanak-kanak dapat meluahkan perasaan dan emosi selain dapat membina kekuatan otot.
Aktiviti sebegini juga dapat membantu menajamkan daya intuisi kanak-kanak.
Melukis juga untuk meningkatkan daya penguasaan kendiri (Self Esteem).
Aktiviti melukis dapat memberikan kepuasan kepada kanak-kanak dalam meluahkan apa yang dilihat lalu dipindahkan semula dalam bentuk dan rupa imej yang unik mengikut tahap pemahaman mereka.
Melalui aktiviti melukis, kanak-kanak dapat meningkatkan daya sensitiviti pancaindera.

Setiap kanak-kanak mempunyai imaginasi yang tinggi dalam sesuatu perkara. Kanak-kanak sangat kreatif dalam melakukan sesuatu perkara untuk memenuhi citarasa mereka.
Sebagai contoh apabila mereka melakar atau membina sesuatu permainan seperti melukis kereta, orang atau apa sahaja, ia datangnya daripada imaginasi mereka sendiri.
Oleh sebab itu, hasil yang diperoleh adalah lukisan yang pelik yang tidak terjangkau akal orang dewasa.

Seni - Bahasa pertama kanak-kanak
Kanak-kanak memerlukan peluang untuk mencipta seni kerana penting untuk pertumbuhan minda mereka.
Kanak-kanak ini tidak boleh dipisahkan dari kesenian terutama dalam kegiatan harian mereka.


Seni membantu perkembangan kanak-kanak
Melalui seni, kanak-kanak mendapat kemahiran dan membangunkan konsep yang meningkatkan keyakinan diri dan keupayaan berinteraksi dengan persekitaran. Perkembangan kanak-kanak ini boleh dilihat dari segi:
a) Fizikal - seni membantu kanak-kanak membangunkan fizikal untuk membaiki keupayaan untuk mengawal besar dan kecil otot dan mengawal dan membaiki koordinasi tangan-mata.
Penyediaan pelbagai bahan dan alat membantu kanak-kanak ini meningkatkan keupayaan mereka untuk mengawal basar dan kecil otot kanak-kanak tersebut.

Hal ini kerana keseronokan mereka mengambil alat, mangangkat barangan seni, dan lain-lain sebenarnya automatik menyumbang kepada perkembangan fizikal.  Selain daripada itu, permainan yang melibatkan penggunaan mainan doh dan tanah liat meningkatkan kekuatan jari. Penggunaan berus dan easel mengawal lengan dan pergelangan tangan


b) Emosi dan sosial, seni juga membantu kanak-kanak membangunkan emosi untuk menjadi lebih berkeyakinan.
Murid boleh berinterakasi dan meningkatkan keupayaan bersosial selain meningkatkan keyakinan diri.
Mata pelajaran pendidikan seni juga menganjurkan semangat bekerjasama didalam aktiviti kumpulan yang dibentuk.

c) Kreativiti, latihan dan projek yang bersifat terbuka dapat membantu murid untuk mengembangkan aspek kreativiti mereka.
Aktiviti dan projek seni juga mengutamakan proses, berbanding dengan hasil akhir.

d) Kognitif, penganjuran aktiviti seni visual yang tersusun dan terancang menggalakkan kanak-kanak ini berfikir, malah mengembangkan minda kanak-kanak yang mempunyai masalah serta mampu membuat penilaian dan bijak membuat keputusan.
Kanak-kanak sangat memerlukan tunjuk ajar daripada orang dewasa untuk mengembangkan bakat melalui imaginasi mereka.
Sekiranya kita ingin melahirkan generasi yang berwawasan, maka "Be the Change you want to see in the world".

PERKEMBANGAN ARTISTIK KANAK-KANAK

Seni lukis melibatkan skema dalam perkembangan seni kanak-kanak terutama dalam kerja-kerja seni seperti lukisan.
Berdasarkan kepada skema dalam perkembangan seni kanak-kanak, guru dapat melihat perkembangan kemahiran dan kebolehan kanak-kanak dalam bahasa tampaknya.

Setiap kanak-kanak mempunyai kebolehan yang berbeza, maka pembelajaran kanak-kanak adalah mengikut tahapnya sendiri.
Selain daripada itu, pembelajaran kanak-kanak juga berlaku melalui pemerhatian terhadap orang lain dan peniruan dari apa yang mereka lihat dan dengar.
Kanak-kanak lazimnya melukis apa yang mereka lihat dan mereka juga melukis perkara yang menarik perhatian mereka.

Corrado Ricci yang berbangsa Itali telah menghasilkan tulisannya di dalam buku yang bertajuk “ The Art of Little Garden “yang mana mengkaji beberapa lukisan kanak-kanak.
Kanak-kanak suka mengambarkan diri mereka sebagai ibu bapa, guru-guru dan sebagainya.
Mereka suka menggunakan daya imaginasi mereka. Mereka mempunyai interpretasi yang berbeza dengan karya yang di hasilkan oleh orang dewasa.
Karya kanak-kanak bersifat peribadi, luahan dan ekspresif. Ini kerana lukisan merupakan alat komunikasi awal sebelum mereka berupaya untuk bertutur.
Aktiviti lukisan dapat meluahkan perasaan dan emosi selain dapat membina kekuatan otot kanak-kanak.

PERKEMBANGAN FIZIKAL, EMOSI, ROHANI, SOSIAL, MENTAL  DAN ESTETIK
Aspek Kognitif
Perkembangan seni kanak-kanak amat dipengaruhi oleh aspek kognitif sama ada daripada segi gaya mahu pun kandungan.
Aktiviti seni yang tersusun dan terancang dapat melahirkan kanak-kanak yang mempunyai keupayaan menyelesaikan masalah serta mampu membuat penilaian dan bijak membuat keputusan.

Kanak-kanak melukis apa yang mereka tahu berdasarkan pengalaman kanak-kanak ditentukan oleh pengalaman mereka melihat, daya ingatan, imej dan kesan konsep ini dilukis di atas kertas. Perkembangan konitif kanak-kanak boleh dilihat melalui contengan yang mereka lakukan iaitu contengan tidak terkawal dan terkawal.

Contengan tidak terkawal yang dihasilkan secara spontan, sembarangan, ringkas dan sekadar membuat garisan pada sebarang permukaan. Contengan terkawal pula lebih berorganisasi, berulang, penggunaan tangan lebih terkawal, boleh melukis dalam kertas yang disediakan dan lebih bervariasi dengan menunjukkan minat

Aspek Fizikal

Penggunaan alat dan bahan dalam pengajaran dan pembelajaran dalam seni memberikan satu bentuk latihan berkesan kepada otot tangan (psychomotor) dan koordinasi tangan serta mata, kawalan motor halus, perkembangan otot kecil, kemahiran tangan, contengan dan melukis bentuk dapat dilihat bahawa batasan perkembangan fizikal boleh dilihat dengan jelas.

Aspek Kreativiti Latihan dan projek yang bersifat terbuka dapat membantu murid untuk mengembangkan aspek kreativiti mereka kerana  lukisan artistik mengutamakan proses, berbanding dengan hasilan akhir.

Kanak-kanak boleh mempertingkatkan dan menajamkan penggunaan pancaindera dan deria. Seni menambahkan pengetahuan mengenai konsep pembuatan dan kronologi sesuatu produk iaitu proses penghasilan dan hasilan seni, produk dan objek yang terdapat di sekeliling mereka dengan menghasilkan lukisan berdasarkan kepada apa yang mereka fahami berbanding apa yang mereka lihat.




Aspek Sosial dan Emosi

Murid boleh berinteraksi dan meningkatkan keupayaan bersosial selain dapat meningkatkan keyakinan diri. Proses penyertaan ini mewujudkan kerjasama antara kumpulan yang dibentuk.
Emosi kanak-kanak juga ditunjukkan menerusi kandungan dan gaya dalam hasil seni mereka. Kanak- kanak melukis peristiwa yang mereka lalui setiap hari, objek yang mereka sukai atau individu yang mereka sayangi. Cerita yang ingin disampaikan oleh kanak- kanak diperelokkan melalui penggunaan warna, saiz, bentuk dan garis yang sesuai akan menambah emosi kepada lukisan mereka.
Perkembangan kanak-kanak tidak boleh dibahagikan kepada bahagian-bahagian yang kecil, oleh itu kurikulum kanak-kanak juga tidak boleh dipisahkan secara entiti.
Kurikulum kanak-kanak adalah saling berkaitan. Walaupun pemisahan kurikulum ini bagus secara analisis, tetapi kanak-kanak adalah holistik dan pembelajarannya juga secara holistik.
Kanak-kanak yang menceburi pemikiran kreatif dan penyelesaian masalah yang boleh merentasi bidang matematik dan sains, seni, dan kajian sosial

LATIHAN
Suasana pembelajaran akan menjadi lebih menarik sekiranya guru mampu menyediakan alatan tertentu yang sesuai dengan objektif pembelajaran dan sukatan matapelajaran yang ditetapkan. Oleh itu, pelbagai jenis alatan dan media wajar diketengahkan dalam proses pembelajaran untuk meransang minda kanak-kanak.
(a)  Senaraikan EMPAT alatan asas yang boleh disediakan oleh guru pendidikan seni visual bagi meransang minat kanak-kanak untuk melukis dan mencipta.
Calvin W. Taylor (1976) percaya bahawa pengembangan bakat berkait rapat dengan cara guru meransang pemikiran mereka. Melalui teorinya Multiple Creative Talent, beliau percaya pembentukan bakat perlu sesuai dengan aktiviti yang dijalankan di dalam kelas. Beliau membahagikan kreativiti kepada lima peringkat utama. Huraikan LIMA peringkat utama tersebut.
Pelajar visual secara amnya dapatlah diklasifikasikan sebagai pelajar yang gemar menggunakan deria penglihatan lebih daripada deria yang lain untuk mendapatkan maklumat semasa proses pembelajaran berlaku. Jelaskan DUA peranan yang boleh dimainkan oleh guru di dalam meransang pelajar mempelajari secara visual

APRESIASI HASIL SENI 2 DIMENSI KANAK-KANAK

OBJEKTIF APRESIASI

a) Memahami dan bertindak terhadap aspek seni
b) Mengetahui pentingnya nilai seni dalam kehidupan
c) Menghasilkan karya (produk seni)
d) Memahami seni dan hubungannya
e) Membuat dan menggunakan pertimbangan estetik dan kualiti karya seni

APRESIASI
PENGENALAN

Apresiasi bolehlah didefinisikan sebagai kajian mengenai pelukis-pelukis atau pandai tukang mengenai hasil-hasil seni mereka, faktor yang mempengaruhi mereka, cara mereka bekerja, bagaimana mereka memilih tema dan ‘subject matter’ serta gaya dan stail mereka .Semua ini berkait rapat dengan aspek pemahaman mereka dari aspek-aspek kognitif. Hal ini disebabkan oleh, ianya juga sebagai satu penghargaan terhadap penilaian dan perasaan terhadap sesuatu hasil seni itu. Ia boleh dikatakan sebagai pembentukan sikap, minat dan kebolehan membuat pilihan dan ini berkait rapat dengan aspek-aspek afektif.

Menurut Smith (1966), apresiasi seni ini memerlukan “logical operation such as defining, valuing and explaining” Pendidikan seni harus dilihat dalam skop yang lebih luas. Umumnya, para pendidik seni beranggapan Pendidikan Seni di sekolah bukan sekadar meningkatkan kemahiran dan teknik menghasilkan karya seni sahaja.

Menurut Chapman (1978) “if treatart if it were only a matter of learning acts an mastering technique, we deny its value and character”. Kebanyakan pendidik seni percaya bahawa melalui apresiasi karya seni, pelajar-pelajar dapat memahami adat, tradisi dan nilai sesuatu masyarakat.

Macfee (1961) menegaskan bahawa “…every culture, differences in value and belief are expressed through language an art forms such as dress, architecture an decoration…”

Apresiasi seni melibatkan sepenuhnya deria rasa/sentuh dan deria pandang. Karya seni seperti catan, lukisan, cetakan dipandang sementara arca dan binaan disentuh.Apresiasi seni secara aktif melibatkan penggunaan bahasa untuk berkomunikasi dengan orang lain apa yang difikirkan dan dirasakan. Dalam konteks ini pengetahuan mengenai seni serta perbendaharaan kata yang cukup mengenai seni yang diperlukan.

Objektif apresiasi ialah memahami dan bertindak terhadap aspek seni. Selain itu, mengetahui pentingnya nilai seni dalam kehidupan, menghasilkan karya (produk seni), memahami seni dan hubungannya serta membuat dan menggunakan pertimbangan estetik dan kualiti karya seni.

Tujuan Apresiasi dan Kritikan Seni.
Apresiasi seni membolehkan pelajar memahami aspek-aspek nilai estetika, pengertian unsur-unsur seni dan nilai-nilai sosiobudaya yang terkandung dalam hasil senidan kraf. Ianya juga dapat menghubungkaitkan diri dan hasil sendiri dengan hasil-hasillain berdasarkan persepsi visual.
Begitu juga dengan aktiviti apresiasi seni, kita dapat melihat perhubungan antara kerja sendiri dengan kerja-kerja orang lain di mana kita dapat membentuk keyakinan dan kefahaman penghargaan terhadap bidang seni.

“Pendekatan apresiasi dan kritikan seni:
Mengikut John A. Michael dalam bukunya “art and adolescence” ada dua pendekatan dalam apresiasi seni iaitu dengan cara pendekatan secara logik dan pendekatan secara psiklogi.”

Pendekatan secara logik iaitu pendekatan ini adalah berbentuk tradisional dan memerlukan pemahaman intelek semata-mata dan banyak berfaktakan kepada aspek andaian dan munasabah pada yang melihat sesuatu karya seni tersebut. Cadangan aktiviti pendekatan secara logik ialah secara penerangan membaca, mengkaji, bila dihasilkan, tujuan/teknik pelukis, media, proses, nilai- nilai estetika dan pengaruh. Secara pemerhatian Balai seni, pameran, filem, slaid, mengumpul dan menyusun gambar- gambar. Secara perbandingan pula ialah analisa, penilaian, perbandingan antara satu dengan yang lain serta menimbulkan kesedaran. Secara penghasilan ialah membuat mengikut gaya artis/stail, menimbulkan kefahaman masalah nilai- nilai khas, kepuasan, menghubungkan diri dengan pelukis/pandai tukang gaya konsep dan zaman.

Ciri-ciri  karya arca
Arca tidak seperti mana dengan seni tampak yang lain kerana mempunyai ciri-ciri tertentu iaitu bercirikan tiga dimensi (3D). Hal ini disebabkan oleh, arca merupakan bentuk citra dalam susuanan tiga dimensi untuk dikaji dan dinikmati nilai estetikanya. Walaupun arca merupakan karya seni yang sealiran dengan seni bina, hiasan dalaman dan reka bentuk pentas, namun karya ini mempunyai keistimewaannya tersendiri.





Jenis bentuk arca

Terdapat dua jenis bentuk arca iaitu arca bentuk berfungsi dan arca bentuk estetika. Arca bentuk berfungsi dimaksudkan dengan arca yang boleh digunakan di samping memaparkan ciri-ciri estetikanya. Bagi arca bentuk estetika pula merupakan bentuk cipataan pelukis yang tidak mempunyai fungsi tertentu, hanya untuk dihayati dari aspek estetikanya.

            Oleh itu, arca estetika biasanya dipamerkan di galeri, taman, atau ruang legar kawasan peranginan, dan ruang-ruang yang sering dikunjungi oleh orang ramai. Terdapat beberapa jenis arca antaranya arca tambahan, arca asemblaj, arca luakan, arca binaan, arca acuan, arca bergerak/arca mobil/arca kinetik, arca stabil arca timbulan, arca dinding, arca instalasi ( pemasangan), dan arca citra tanah (seni land).

            Arca-arca tersebut mempunyai perbezaan tertentu dari segi bahan yang digunakan, dan teknik. Arca tambahan menggunakan bahan seperti tanah liat, lilin, bahan-bahan rapuh, gangsa, tuangan simen, dan sebagainya. Arca tambahan ini menggunakan teknik bahan lembut digunakan sebagai tempat tumpangan. Bahan sebenar ialah gangsa tuangan atau simen. Bahan lembut boleh dipecahkan apabila arca sebenar siap. Arca tambahan dibina pada arca utama.

            Bagi arca asemblaj pula, menggunakan bahan seperti kayu logam, batu, simen, bongkah-bongkah, plaster Paris atau bahan kutipan yang mempunyai bentuk, warna, dan jalinan yang menarik, serta alat untuk menolong dan memateri. Bahagian yang berasingan dicantumkan menjadi satu bentuk yang menarik merupakan teknik arca asemblaj.





Sejarah arca

Arca yang paling awal dijumpai merupakan arca ukiran daripada gading, tulang, tanduk, dan tanah liat. Arca ini dihasilkan oleh orang Aurignacian dan Magladenia pada kira-kira tahun 8000 S.M. masyarakat zaman tamadun lama seperti orang Mesir, Yunani, Mesopotamia, China, dan India turut menghasilkan beraneka jenis arca dengan menggunakan bahan-bahan yang berlainan.

            Pada zaman itu, subjek dibina dalam bentuk figura manusia dan haiwan disebabkan fungsinya sebagai lambang yang berkaitan dengan sistem kepercayaan dan keagamaan. Michelangelo di Lodovico Buonarroti Simoni (1475-1564), merupakan pengarca yang teragung pada Zaman Pembaharuan iaitu lebih dikenali sebagai Renaissance di Eropah.

            Pengarca masyhur yang mula membina arca dalam bentuk abstrak pada zaman sebelum Perang Dunia Kedua ialah Henry Moore (1898-1986), yang berbangsa Inggeris dan Alberto Giacometri (1901-1966), warganegara Switzerland. Selepas Perang Dunia Kedua, bahan yang digunakan untuk arca telah beralih daripada bahan tradisional seperti batu marmar, kayu, gangsa, dan sebagainya kepada bahan plastik, nilon, fabrik, dan bahan buangan lain.

            Di samping teknik luakan binaan dan tambahan, teknik acuan, pateri, jahitan, gam, asemblaj, dan sebagainya turut digunakan. Terdapat juga arca yang bergerak, berbunyi atau berlampu kesan penggabungan kuasa elektrik dalam gubahan.

            Arca instalasi (pemasangan) merupakan seni yang dapat bertindak terus dengan orang yang sedang melihat atau memandang dalam tempo dan ruang tertentu kerana arca jenis ini dicipta khas buat sementara waktu bagi tapak tertentu dalam sesuatu pameran. Selain itu, arca ini juga merupakan karya tiga dimensi (3D) yang memerlukan ruang yang luas untuk dihasilkan dan dipamerkan. Bahagian-bahagian berasingan dicantum, dipasang, atau disusun menjadi satu.
            Seni land (citra tanah) ialah projek seni dalam skala besar yang sering berkaitan dengan tapak alam semulajadi tertentu. Pergerakan seni ini dapat menarik perhatian orang ramai terhadap masalah pencemaran alam sekeliling yang bertambah serius masa kini. Seni land menggunakan mesin atau jentera berat untuk menukar permukaan bumi/tanah atau membungkus tapak yang sedia ada. Seni yang dipersembahkan adalah dalam bentuk siri gambar foto atau video.

            Sejarah arca di Malaysia tidak berkembang secara meluas berbanding dengan catan. Namun, terdapat juga karya yang sangat menarik dan tersohor. Arca yang menarik lahirnya dari minda yang kreatif dan mempunyai semangat dan kesabaran yang tinggi. Pengarca yang memina arca estetika moden hanya muncul pada sekitar tahun 1960-an. Antara perintis pengarca tempatan yang terkenal ialah Anthony Lau, Latiff Mohidin, Syed Ahmad Jamal, Lee Kian Sen, Ramlan Abdullah dan ramai lagi.

            Mad Annuar Ismail, Raja Shahriman Raja Aziddin, Chin Wan Kee, Wong Pei Yu, dan lain-lain nama baru yang melopori bidang arca di Malaysia. Mereka merupakan generasi muda yang aktif dalam kegiatan mencipta karya-karya arca.

            Baharuddin Mohd Arus, John Hii, Hasnul Jamal Saidon, dan lain-lain adalah pengarca-pengarca yang tertarik kepada pendekatan elektronik dan multimedia. Laman Asean yang terletak berhampiran Tugu Peringatan Kuala Lumpur merupakan sebuah taman arca yang istimewa di Malaysia. Enam buah karya arca di sini merupakan hasil kreativiti pengarca dari Indonesia, Thaniland, Brunei Darussalam, Singapura, dan Malaysia sempena menyambut ulang tahun ke 20 penubuhan Asean.







Apresiasi  3 D - Seni Arca yang dipilih.



Raja Shahriman Raja Aziddin dilahirkan pada 17 November 1967 bertempat di Kuala Kangsar, Perak. Beliau melanjutkan pelajaran ke Dip in Art and Design (Fine Art) UTM (Majoring Sculpture). Contoh pameran yang telah diadakan ialah pada tahun 2009 iaitu “3D to 2D : Sculpture Studies”, Pelita Hati House of Art, Kuala Lumpur. Pada tahun 1992 beliau telah mengadakan pameran “Young Contemporary”, National Art Gallery, Kuala Lumpur.

            Raja Shahriman Raja Aziddin mahu karyanya berdiri sendiri dan dihayati oleh penonton dengan bebas. Dalam kebebasan itu, penonton mungkin mencipta sesuatu yang berlainan dalam kotak fikiran dan ruang pengamatan mereka.






                             Tajuk : Persamaan Membangun atau Growing Equity.
                               Taman Wawasan, Public bank, Kuala Lumpur.

Jika dilihat dari sifat semulajadi manusia, pembangunan merupakan satu faktor yang berterusan. Manusia dicipta dengan akal fikiran bagi mencapai kemajuan iaitu dari segi rohani dan jasmani serta material dan spiritual. Setiap pembangunan harus ada matlamat dan dalam mencapai matlamat perlu ada wawasan supaya perjalanan menuju kepada kemajuan merupakan perjalanan yang selamat.

             Arca ini menggunakan unsur rupa dengan rentak yang lembut yang melambangkan sifat semulajadi pertumbuhan. Pada bahagian atas arca terdapat garis tegak yang meruncing ke atas melambangkan perjalanan ke arah kemajuan. Menurut Raja Shahriman Raja Aziddin juga fungsi yang menunjuk ke langit pada arca tersebut kerana dalam mencapai kemajuan kita mesti tidak melupakan keagungan Tuhan.

            Selain itu, garisan utama yang besar melambangkan wawasan sebagai landasan utama di dalam usaha mencapai kemajuan. Garisan pendek melintang yang berulang-ulang di atas garis utama pula melambangkan kemajuan yang telah dicapai dan yang akan dicapai sepanjang perjalanan menuju ke arah matlamat mencapai taraf Negara maju. Kesemua kemajuan ini bergerak ke arah matlamat yang satu serta berlandaskan wawasan yang sama.


Apresisi Karya 2 Dimensi


Tay Hooi Keat
Fishermen Village Oil 1956

Karya ini dihasilkan oleh  Tay Hooi Keat pada 1956. Karya ini bertajuk Fisherman Village Oil, dengan menggunakan media cat minyak. Tema dalam karya ini menunjukkan suasana nelayan-nelayan dikampung yang berusaha mencari rezeki. Dalam karya tersebut dapat dilihat bahawa pelukis telah mengaplikasikan gaya post-impresionisme. Gaya pada karya tersebut dapat dilihat pada cara gubahan gaya yang kelihatan seolah-olah telah dibingkaikan oleh darat. Gaya catan menunjukkan penggunaan warna biru sangat sinonim dengan kehidupan penangkap ikan dan menimbulkan keindahan apabila memandang.

Unsur seni dalam karya ini ialah unsur jalinan ,ruang dan warna. Dari segi warna, karya ini menggunakan warna harmoni sebagai penarik, penggunaan warna harmoni sangat sinonim dengan karya-karya yang berlatarkan laut dan sungai. Unsur ruang pula ialah ruang dalam digunakan iaitu daripada warna yang cerah seterusnya beransur gelap. Jalinan tampak dalam karya ini juga menunjukkan kesan yang mendalam kepada penonton. Hal benda yang menjadi subjek utama adalah sampan yang dihasilkan dengan warna garang,

PROSES APRESIASI SENI
Terdapat berbagai cadangan oleh beberapa pakar pendidikan seni mengenai proses apresiasi. Feldman (1967) dan smith (1967) mencadangkan aktiviti-aktiviti apresiasi seni berasaskan kepada proses persepsi dan intelektual melalui empat tahap: a) Menggambarkan (Deskripsi)
b) Menganalisa
c) Tafsiran (Interpretasi)
d) Penilaian
A. MENGGAMBARKAN
Mengamati hasil seni dan menggambarkab sifat-sifat tampak seperti warna, garisan, bentuk, rupa, jalinan dan elemen-elemen gubahan iaitu prinsip dan struktur.
B. MENGANALISA
i. Menganalisa perhubungan sifat-sifat tampak seperti unsure-unsur seni, prinsip dan stuktur
ii. Menganalisa kualiti ekspresif seperti mood dan suasana
iii. Menghauraikan stail sesuatu karya


C. TAFSIRAN
i. Mencari makna-makna yang tedapat pada sifat-sifat tampak seperti subjek, symbol, unsur-unsur seni, prinsip, strktur, corak dan bahan ii. Mencari metafora-metafora (ibarat/kiasan) an analogi-analogi (persamaan) untuk menjelaskan makna tersebut.
D. PENILAIAN
i. Membuat penilaian berdasarkan kepada criteria yang bersesuaian seperti keaslian, gubahan, teknik dan fungsi
ii. Menilai hasil seni berdasarkan kepada pengertiannya dari segi individu, social,  keaagamaan dan kepercayaan, sejarah serta keseniaannya.
LATIHAN















      Redza Piyadasa
   Malay Couple, 1988,
                                    Mixed media collage, 60 x 50 cm

PENILAIAN: Perbincangan lanjut

Apakah fikiran anda tentang karya  ini secara keseluruhan?
Bagaimanakah anda nilai hasil kerja ini? Biasa, sederhana, ,baik dan cemerlang?
Adakah anda suka? Kenapa?
Pada pandangan anda, apakah gred yang anda akan beri terhadap karya  tersebut?
Bolehkah anda kaitkan karya  tersebut dengan kehidupan anda


















No comments: