Penulisan Artikel Penyelidikan Tindakan

Dipetik daripada bahan Modul PSV3113


Ringkasan Tajuk
Bahagian-bahagian dalam artikel penyelidikan tindakan termasuk abstrak, konteks, fokus kajian, pelan tindakan, pelaksanaan pelan tindakan, metodologi kajian (sampel dan kaedah pengumpulan data), analisis dan huraian data, releksi dan implikasi, tindakan susulan dan sumber rujukan.

Abstrak
Abstrak memberi ringkasan terperinci untuk membantu pembaca membuat rumusan terhadap kandungan kajian (Chow & Jaizah, 2011). Abstrak yang ditulis seharusnya tidak mengubah maksud, keputusan dan maklumat dalam kajian (Shaifol & Hasnul, 2008). Biasanya, abstrak tidak melebihi 250 patah perkataan dan perlu melaporkan tentang tujuan kajian, sampel, cara pengumpulan data termasuk instrumen kajian dan keputusan kajian. Abstrak yang baik perlu tepat, lengkap, ringkas dan
spesifik serta tidak membuat penilaian tetapi setakat melaporkan (Chow & Jaizah, 2011).

Contoh Huraian Abstrak:
Kajian tindakan ini bertujuan untuk menentukan sejauh manakah kaedah melukis dapat meningkatkan tumpuan dan fokus murid dalam mata pelajaran Kajian Tempatan. Responden kajian terdiri daripada 13 orang murid lelaki dan 6 orang murid perempuan dari sebuah kelas tahun 4 di sebuah sekolah di Petaling Jaya, Selangor. Instrumen kajian terdiri daripada borang pemerhatian, soal selidik dan catatan jurnal. Dua sesi pengajaran dan pembelajaran telah dijalankan; satu dengan menggunakan kaedah tradisional dan satu lagi dengan menggunakan kaedah melukis. Hasil dapatan menunjukkan bahawa aktiviti melukis semasa pelajaran Kajian Tempatan dapat membantu murid supaya memberi lebih tumpuan dan fokus semasa pelajaran.
Sumber: Muhammad Nurkhifzan (2011)

Konteks
Bahagian ini biasanya menerangkan konteks untuk isu kajian. Konteks di sini bermaksud situasi di mana isu wujud. Dalam bahagian ini, seharusnya tidak dihuraikan fokus kajian; hanya diperihal akan latar belakang, tempat kajian dan perkara-perkara lain yang dapat memberi gambaran kepada pembaca tentang situasi kajian. Contohnya, kalau fokus kajian anda berkaitan dengan kebolehan murid menggunakan imbuhan ’ter’, maka anda boleh menerangkan umur murid yang terlibat, situasi kelas yang terlibat, ciri-ciri sampel, jenis-jenis perkataan yang sering menimbulkan masalah, bila kesilapan imbuhan biasa dilakukan dan sebagainya. Anda juga boleh memasukkan literatur berkaitan dengan fokus kajian. Tidak ada bahagian yang tertentu dalam artikel bagi konteks kajian; sebaliknya, biasanya, konteks kajian merupakan sebahagian daripada pengenalan artikel, fokus kajian dan metodologi kajian.

Fokus Kajian
Dalam bahagian ini, anda seharusnya mengenal pasti dan menghuraikan isu kajian anda. Isu kajian sepatutnya berkait dengan pengalaman anda sebagai seorang guru. Isu kajian juga perlu relevan kepada keperluan murid. Dalam bahagian ini anda boleh memberi justifikasi pemilihan isu kajian. Anda juga boleh memberi sebab-sebab yang mungkin mengapa isu kajian timbul serta cadangan-cadangan tindakan penyelesaian. Justifikasi pemilihan isu kajian boleh berdasarkan kriteria berikut:
 kebolehtadbiran
 kepentingan
 kerelevanan kepada sekolah

Contoh Huraian Fokus Kajian:
Proses pengajaran dan pembelajaran merupakan tunjang utama dalam sistem pendidikan di setiap sekolah. Proses ini menjadi medium kepada aliran penyampaian ilmu yang disampaikan oleh guru dan diterima oleh murid. Menurut Bigge (1982), pembelajaran didefinisikan sebagai perubahan
dan penyusunan tingkah laku yang sistematik hasil daripada pengalaman dalam situasi yang telah dihadapi. Seifert (1983, seperti dinyatakan dalam Sun, 2007) menyatakan bahawa pembelajaran merangkumi perubahan tingkah laku akibat daripada pengalaman atau ulangan pengalaman yang
dihadapi sebelum ini. Melalui definisi ini, dapat disimpulkan bahawa pembelajaran mampu mempengaruhi karektor terutamanya bagi golongan kanak-kanak kerana pada peringkat ini, corak pemikiran atau perlakuan mereka adalah dipengaruhi oleh faktor persekitaran yang terdapat di
sekeliling mereka. 
Pendidikan masa kini mengalami perubahan paradigma daripada pengajaran dan pembelajaran berpusatkan guru kepada yang berpusatkan murid (Percival & Ellington, 1984; Ellington, 1995). Guru bukan lagi bertindak sebagai penyampai maklumat tetapi bertanggungjawab sebagai perangsang minda murid agar lebih menggunakan akal mereka untuk berfikir mengenai sesuatu yang diajar. Pendidikan tradisional yang diamalkan sejak sebelum kemerdekaan sudah tidak relevan lagi malah sudah dianggap ketinggalan zaman. Murid zaman sekarang terutamanya yang berada di bandar sukakan cabaran dan jika sesuatu yang mereka pelajari itu adalah pelajaran yang mudah, mereka akan cepat bosan dan daya tumpuan mereka juga akan mudah terganggu. Kemungkinan mereka tidak memahami topik yang diajar juga boleh berlaku kerana sesi pengajaran tradisional selalunya menyebabkan murid bosan dan mengantuk dan akhirnya murid memilih untuk tidak mempedulikan guru yang sedang mengajar di hadapan sebaliknya melakukan kerja lain seperti bermain dan berborak sesama mereka.

Masalah ini telah saya hadapi pada sesi pengajaran yang lepas iaitu murid tidak memahami topik yang diajar. Saya dapat mengesan masalah ini kerana semasa saya mengajukan soalan, murid tidak dapat menjawabnya dengan tepat. Terdapat juga murid yang langsung tidak memberikan sebarang jawapan dan hanya berdiam diri sahaja apabila disoal. Bagi melihat tahap pemahaman murid di kelas itu, saya telah memberikan lembaran kerja yang mengandungi lebih banyak soalan mengenai topik yang diajar. Melalui semakan saya, majoriti murid tidak dapat menjawab soalansoalan tersebut. Ternyata keputusan ini turut menunjukkan keadaan yang sama iaitu mereka tidak faham dengan apa yang diajar oleh saya. Selain itu, jumlah markah yang rendah dalam ujian bulanan juga menyokong lagi wujudnya permasalahan ini. Melalui pemeriksaan saya terhadap skrip jawapan murid, mereka memberikan jawapan yang tidak bertepatan dengan kehendak soalan.Terdapat juga murid yang tidak menjawab langsung soalan-soalan tersebut.

Bukti-bukti di atas jelas menunjukkan bahawa terdapat masalah dalam corak pengajaran saya. Saya telah mengkajinya semula dan menemui beberapa punca yang menyebabkan murid tidak faham. Antara punca yang utama adalah teknik penyampaian saya yang kurang berkesan dan tidak jelas.
Masalah ini berkait rapat dengan kemahiran komunikasi saya memandangkan saya masih kurang pengalaman dalam bidang perguruan. Kadang kala terdapat beberapa fakta yang saya tidak terangkan kerana terlepas pandang. Antara punca yang lain adalah corak pengajaran saya yang berkonsepkan satu hala sahaja. Corak sebegini telah menyebabkan murid cepat mengantuk dan kelas berada dalam keadaan pasif.

Pengajaran secara satu hala yang berpusatkan guru sahaja dilihat kurang berkesan kerana kebanyakan murid cepat mengantuk dan kurang faham dengan apa yang diajar. Tidak hairanlah apabila saya
melakukan aktiviti soal jawab semasa sesi penutup, majoriti daripada murid yang ditanyakan gagal memberikan jawapan yang tepat. Situasi ini jelas menggambarkan bahawa terdapat masalah dengan
corak pengajaran saya. Murid ternyata tidak faham dan kadang kala mereka gagal untuk mengingati fakta-fakta yang baru sahaja diajarkan. (Catatan Jurnal, 26 Julai 2011)

Melalui perbincangan dan renungan di atas, saya telah memikirkan beberapa langkah penyelesaian bagi mengatasi masalah saya. Langkah pertama yang ingin saya mengambil adalah menukarkan corak pengajaran menjadi dua hala. Contohnya, saya akan lebih banyak bertanya kepada murid soalan-soalan yang berkaitan dengan topik yang diajar berbanding hanya memberikan penerangan sahaja. Pendekatan ini dapat menggalakkan murid agar menggunakan akal mereka untuk berfikir
sekaligus mengelakkan mereka daripada mengantuk. 

Langkah yang kedua adalah dengan melaksanakan pembelajaran koperatif yang boleh diterapkan melalui aktiviti berkumpulan. Menurut Slavin (1990), pembelajaran koperatif merujuk kepada kaedah pengajaran yang memerlukan murid dari pelbagai kebolehan bekerjasama dalam kumpulan
kecil untuk mencapai sesuatu matlamat yang sama. Setiap murid mempunyai kebolehan dan pengetahuan yang berbeza-beza. Perkongsian ilmu semasa aktiviti perbincangan dapat melahirkan idea yang lebih baik jika dibandingkan dengan aktiviti secara individu. Contohnya, murid diberikan
tugasan menyatakan langkah-langkah mengatasi pencemaran. Jika dalam satu kumpulan terdapat 5 orang ahli dan setiap daripada mereka memberikan dua langkah, maka jumlah langkah mengatasi yang diperoleh adalah 10. Berlainan pula jika tugasan ini dilaksanakan secara individu, tentu sukar untuk seseorang murid memerah minda bagi memikirkan 10 langkah. Selain itu, aktiviti sebegini lebih menyeronokkan berbanding dengan aktiviti individu kerana murid dapat berinteraksi sesama mereka semasa sesi perbincangan sedang dijalankan. Interaksi sebegini dapat mengeratkan hubungan sesama mereka melalui unsur-unsur kecindan yang terkeluar secara tidak sengaja.

Langkah yang terakhir adalah dengan menerapkan elemen permainan dalam pembelajaran. Menurut Rohani (2004), aktiviti bermain membenarkan murid memenuhi keperluan perasaan ingin tahu, di samping meningkatkan pengetahuan, pengalaman dan kemahiran mereka. Kanak-kanak sememangnya mempunyai rasa ingin tahu yang amat kuat sehingga mereka tidak mempedulikan adakah apa yang mereka lakukan untuk mengetahui tentang sesuatu perkara itu betul atau tidak. Melalui teori ini jugalah saya telah membuat keputusan untuk mengkaji sejauh manakah konsep
permainan dalam pembelajaran mampu membuat perubahan kepada daya kefahaman murid saya.

Sumber: Abdul Rahman (2011)

Pelan Tindakan
Bahagian ini sering kali tidak dimuatkan dalam artikel penyelidikan tindakan kerana digabungkan dengan bahagian Pelaksanaan Pelan Tindakan. Kandungan utamanya memperincikan langkah dan/atau aktiviti tindakan dengan jelas. Rasional untuk setiap tindakan juga diberikan. Ada juga penulis/pengkaji yang merumuskan pelan tindakan dalam bentuk jadual beserta tarikh-tarikh untuk setiap tindakan.

Pelaksanaan Pelan Tindakan
Dalam bahagian ini, anda akan menghuraikan tindakan yang dijalankan secara terperinci. Anda akan menceritakan apa yang berlaku semasa pelaksanaan serta memasukkan refleksi kendiri tentang apa yang berlaku. Anda juga boleh mengaitkan apa yang berlaku kepada teori untuk menerangkan sesuatu situasi. Kesemua ini perlu supaya pengkaji lain boleh memahami apa yang dilalui oleh anda dan supaya anda akan lebih faham tentang keberkesanan tindakan yang dijalankan.

Contoh Huraian Pelaksanaan Pelan Tindakan:
Kajian yang saya jalankan ini memakan masa selama dua minggu bermula pada 30 Julai 2011 hingga 8 Ogos 2011. Bagi menjalankan kajian ini, saya memerlukan dua sesi pengajaran. Kedua-dua sesi pengajaran ini pula masih lagi berada di bawah tajuk yang sama iaitu Implikasi Kegiatan Ekonomi Terhadap Alam Sekitar, tetapi subtajuknya adalah berlainan. Namun, tahap kesukaran kedua-dua tajuk adalah lebih kurang sama. Dalam sesi pengajaran dan pembelajaran yang pertama, saya telah mengajar tentang “Perubahan Landskap Akibat Kegiatan Ekonomi”. Strategi pengajaran yang telah saya gunakan dalam sesi pertama ini adalah berpusatkan murid. Saya telah menggunakan teknik sumbangsaran di mana murid perlu menyatakan pendapat mereka tentang isi pelajaran di papan putih. Murid hendaklah menjawab berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada buku teks. Antara jawapan yang perlu dinyatakan murid ialah bagaimana kegiatan perindustrian, perlombongan, pembalakan, pembinaan dan pertanian membawa perubahan kepada alam sekitar.

Aktiviti seterusnya yang telah dilakukan oleh murid ialah melakukan perbincangan di dalam kumpulan. Murid telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan setiap kumpulan diberikan satu petikan karangan tentang implikasi kegiatan ekonomi. Melalui petikan tersebut, setiap kumpulan
dikehendaki berbincang dan mengenalpasti perubahan landskap yang telah berlaku akibat daripada kegiatan ekonomi. Hasil perbincangan murid pula hendaklah dibentang di hadapan kelas. Pada masa yang sama, semasa murid melakukan pembentangan bersama kumpulan mereka, saya telah
melakukan penilaian secara pemerhatian. Penilaian secara pemerhatian ini saya lakukan dengan mengambil kira sejauh manakah murid dapat menggunakan kemahiran menghubungkait isi pelajaran dengan baik. Melalui penilaian yang saya jalankan ini, saya mendapati bahawa ramai dalam kalangan murid tidak dapat menggunakan kemahiran menghubungkait dengan baik.

Semasa aktiviti pembentangan, kebanyakan murid tidak menggunakan kemahiran menghubungkait. Isi pembentangan murid agak menghampakan kerana murid hanya melakukan perbincangan
berdasarkan pengetahuan dan kefahaman mereka sahaja. Murid tidak menganalisis maklumat yang mereka peroleh hasil daripada perbincangan mereka. Hasilnya, saya tidak nampak murid melakukan
perkaitan setiap fakta yang mereka jelaskan. Jawapan yang murid berikan terhadap soalan yang saya ajukan kepada murid juga tidak menepati apa yang saya kehendaki.
(Catatan Jurnal 3, 1 Ogos 2011)

Pada sepuluh minit terakhir sesi pengajaran dan pembelajaran, saya telah mengedarkan kertas Ujian 1 kepada semua murid seperti yang telah saya rancangkan. Murid diminta menjawab kesemua soalan dalam kertas ujian tersebut dalam masa sepuluh minit yang diberikan tadi. Bagi sesi pengajaran dan pembelajaran yang kedua pula, saya telah mengajar subtajuk yang seterusnya iaitu “Pencemaran”. Pada sesi kali ini, teknik yang saya gunakan ialah tayangan video. Murid telah dipertontonkan dengan tayangan video tentang jenis-jenis pencemaran yang terhasil kesan daripada kegiatan ekonomi yang dijalankan. Video tersebut juga jelas menunjukkan perkaitan antara kegiatan ekonomi yang dijalankan dalam negara dengan pencemaran yang telah terhasil. Antara pencemaran yang telah murid tonton ialah pencemaran udara, air, darat dan bunyi. Selepas menonton tayangan video tersebut, murid telah dibahagikan ke dalam beberapa kumpulan. Isu yang perlu dibincangkan dalam setiap kumpulan ialah perkaitan antara pencemaran yang wujud dalam negara kita dengan kegiatan ekonomi yang dijalankan. Masa selama beberapa minit akan diberikan untuk setiap kumpulan membuat perbincangan. Selesai membuat perbincangan, setiap kumpulan tampil ke hadapan dan membentangkan hasil perbincangan mereka. Semasa pembentangan dilakukan, saya telah melakukan penilaian secara pemerhatian. Borang pemerhatian yang saya gunakan adalah sama dengan borang pemerhatian yang saya telah lakukan sebelum ini. 

Aktiviti pembentangan kumpulan pada hari ini sangat menarik perhatian saya. Murid seolah-olah telah menguasai kemahiran menghubungkait dengan baik. Kebanyakan kumpulan melakukan pembentangan dengan baik di mana mereka berjaya menghubungkaitkan satu fakta dengan fakta yang lain. Isi pembentang yang tersusun juga amat menarik perhatian saya. Beberapa soalan yang saya ajukan berjaya dijawab oleh murid dengan tepat. Saya merasakan bahawa penggunaan tayangan video ini berjaya membantu murid menguasai kemahiran hubungkait.
(Catatan Jurnal 4, 8 Ogos 2011)

Seterusnya, pada sepuluh minit terakhir sesi pengajaran dan pembelajaran, Ujian 2 pula telah diedarkan kepada murid. Murid dikehendaki menjawab soalan ujian berdasarkan masa yang telah ditetapkan. Akhir sekali, saya telah memilih beberapa orang murid untuk melakukan sesi temubual tentang teknik yang baru saya gunakan tadi. Untuk sesi temubual ini, saya telah mengambil masa selama lima belas minit untuk bertanya pendapat murid berkenaan teknik tayangan video yang telah digunakan. Saya sangat berpuas hati dengan sesi pengajaran dan pembelajaran pada hari ini. Maklum balas yang baik telah diberikan oleh murid. Berdasarkan temubual yang saya jalankan, murid gembira dengan pengajaran yang saya lakukan kerana mereka dapat menguasai topik tersebut dengan lebih mudah. Mereka mudah mengaitkan kegiatan ekonomi dengan pencemaran yang berlaku.
(Catatan Jurnal 6, 8 Ogos 2011)
Sumber: Muhammad Uzair (2011)

Metodologi Kajian (Sampel dan Kaedah Pengumpulan Data)

Metodologi kajian biasanya termasuk huraian tentang sampel kajian dan kaedah pengumpulan data. Kaedah pengumpulan data pula membincangkan tentang cara pengumpulan data dan instrumen kajian.

Sampel Penyelidikan
Bagi sampel, anda boleh menerangkan tentang ciri-ciri responden kajian contohnya, tahap kebolehan murid, jantina dan tingkah laku. Anda juga boleh memasukkan anekdot untuk memberi gambaran yang lebih jelas tentang responden kajian dan konteks kajian

Contoh Huraian Sampel:
Kajian ini telah dijalankan di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur dan melibatkan murid daripada sebuah kelas tahun 4. Kelas tersebut mempunyai 28 orang murid iaitu 15 orang murid lelaki dan 13 orang murid perempuan dan dikategorikan sebagai kelas pertama daripada 4 buah kelas yang ada di sekolah itu. Kebanyakan murid dalam kelas tersebut berlatar belakangkan
keluarga sederhana. Hampir kesemua ibu bapa dan penjaga mereka bekerja di sekitar ibu kota. Mereka akan datang ke sekolah pada awal pagi bersama ibu bapa masing-masing dan akan pulang ke rumah setelah ibu bapa tamat bekerja iaitu pada sebelah petang.

Kebanyakan murid dalam kelas yang terlibat tidak mempunyai masalah disiplin yang serius seperti ponteng kelas dan vandalisme. Menurut guru disiplin sekolah tersebut, murid dari kelas yang terlibat mempunyai rekod yang bersih dalam hal disiplin sekolah. Semua murid yang terdapat dalam kelas tersebut sudah boleh menguasai kemahiran 3M iaitu membaca, menulis dan mengira. Walau bagaimanapun, mereka masih mempunyai masalah dari segi memberi tumpuan semasa guru mengajar. Melalui pemerhatian yang telah saya lakukan, terdapat beberapa orang murid suka
bercakap sesama mereka di belakang kelas semasa proses pengajaran dan pembelajaran sedang berjalan.

Saya dapati beberapa orang murid yang duduk di belakang tidak memberi tumpuan dan bercakap-cakap sesama sendiri semasa saya sedang mengajar di hadapan kelas. Bagi menyelesaikan masalah ini, saya telah menghentikan pengajaran dan meminta semua murid yang bercakap supaya tukar tempat duduk mereka ke hadapan kelas.
(Catatan Jurnal No. 1, 3 Mac 2011)

Walau pun murid dalam kelas tersebut agak cerdas, mereka masih lemah dalam menghuraikan jawapan dengan lebih mendalam. Pada hemat saya, masalah ini perlu diselesaikan, kerana jika tidak, mereka akan terus mendapat markah yang tidak sepadan dengan kebolehan mereka. Lebih
penting lagi, mereka akan gagal mencapai aras tinggi. Mereka juga akan kurang berfikiran kritis dan kreatif bukan sahaja dalam mata pelajaran di sekolah tetapi juga dalam kehidupan seharian mereka kelak. Jika itu berlaku, saya menganggap diri saya gagal sebagai seorang pendidik.
Sumber: Mohd Fazril (2011)

Kaedah Pengumpulan Data
Bagi kaedah pengumpulan data, anda akan menghuraikan tentang instrumen yang digunakan, bagaimana instrumen dibina dan rasional penggunaan instrumen yang dipilih. Anda juga akan menghuraikan bagaimana data dikutip dengan instrumen yang dipilih. Dalam bahagian ini, seperti dalam bahagian lain, anda juga akan memasukkan refleksi kendiri. Antara perkara yang boleh disebut adalah apa yang berlaku semasa pembinaan instrumen dan semasa pengumpulan data.

Contoh Huraian Kaedah Pengumpulan Data:
Dalam mengumpul data, saya telah menggunakan triangulasi data. Tiga instrumen telah digunakan iaitu borang pemerhatian, soal selidik dan skedul temu bual. Pemerhatian dilakukan bertujuan untuk memerhatikan tingkah laku murid semasa pengajaran dan pembelajaran dijalankan. Menurut
Mohamad Najib (1999), kaedah pemerhatian merupakan kaedah yang paling anjal kerana seseorang boleh menjalankan kajian tanpa sebarang soalan dan ‘kayu pengukur’. Kaedah pemerhatian juga boleh digunakan dalam kajian untuk tujuan pengumpulan data sebagaimana yang dinyatakan
oleh Merriam (2002), pemerhatian adalah cara terbaik untuk mengumpul data asal ‘first hand encounter’ tentang perkara yang hendak dikaji. Dalam kajian ini, pemerhatian dilakukan dengan menggunakan borang pemerhatian. Seorang rakan saya telah membantu dalam memerhati dan
mengisi borang pemerhatian semasa sesi pengajaran dan pembelajaran berjalan. Borang pemerhatian telah dibina dengan merujuk kepada dua kajian yang lepas (Muhamad Iqhwan, 2010; Taiebah, 2010) dan instrumen tersebut telah disahkan oleh kedua-dua penyelia saya. Hasil dari
pemerhatian akan memperlihatkan sama ada murid berminat dengan pembelajaran atau pun tidak. Jika murid berminat, mereka akan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pengajaran. 

Untuk mengukuhkan lagi dapatan daripada kajian, saya telah menggunakan kaedah soal selidik untuk mengumpul data. Pemilihan kaedah ini difikirkan amat bersesuaian dengan ciri-ciri seperti umur dan tahap pemikiran murid yang terlibat sebagai sasaran kajian. Kesesuaian kaedah soal selidik ini dengan kajian saya turut diperkuatkan lagi dengan pernyataan Mohd. Majid (2004) yang menyatakan bahawa soal selidik merupakan alat ukur yang digunakan di dalam penyelidikan pendidikan untuk mendapatkan maklumat berkenaan fakta-fakta, kepercayaan, perasaan, kehendak dan sebagainya. Oleh itu, kaedah soal selidik dilihat sesuai untuk mendapatkan maklumat berkaitan minat murid. Menurut Mohd Najib (1999), soal selidik yang sempurna dapat mengukur dan mengumpul data dengan berkesan dan meningkatkan kejayaan penyelidikan. Oleh itu, saya telah berbincang dan mendapatkan pandangan dari penyelia untuk menentukan item dalam borang soal selidik. Saya juga telah merujuk kepada dua kajian yang lepas iaitu Wan Muhamad Nor Amali (2010) dan Taiebah (2010). Soal selidik dalam kajian ini menggunakan Skala Likert lima mata. Setelah soal selidik dibina, ia diserahkan kepada kedua-dua penyelia saya untuk pengesahan,

Selain daripada dua kaedah yang dikemukakan di atas, saya turut memilih kaedah temu bual bagi mendapatkan sokongan data yang lebih lengkap. Melalui kaedah temu bual bersama murid, saya telah bertanyakan soalan berdasarkan minat dan kecenderungan murid terhadap mata pelajaran
Kajian Tempatan. Menurut Mohamad Najib (1999), temu bual penting bagi mendapatkan maklum balas secara bersemuka dengan subjek. Merriam (2002) menyatakan bahawa terdapat tiga jenis temu bual iaitu temu bual berstruktur, temu bual separa berstruktur dan temu bual tidak berstruktur.
Untuk kajian ini, saya menggunakan temu bual berstuktur kerana saya ingin mendapatkan kecenderungan minat murid terhadap pengajaran Kajian Tempatan. Temu bual berstruktur juga difikirkan sesuai dengan tahap keupayaan murid saya. Soalan-soalan dalam skedul temu bual telah
disediakan terlebih dahulu dengan merujuk kepada tiga kajian yang lepas (Muhamad Nor Amali, 2010; Noor Nadihah, 2010; Taiebah, 2010). Temu bual diajalankan selepas setiap sesi pengajaran dan pembelajaran. Hasil dari temu bual ini turut dijadikan sokongan untuk menunjukkan sama ada murid berminat dengan pendekatan pengajaran menggunakan kaedah lagu atau tidak.

Sumber: Mohd Zawawi (2011)

Analisis Dan Huraian Data
Bagi bahagian ini, anda akan menyatakan dan menghuraikan hasil analisis data yang dikumpul daripada instrumen kajian. Kesimpulan akan dibuat berdasarkan hasil analisis tersebut yang seharusnya menjawab soalan kajian. Huraian analisis sebaik-baiknya disokong oleh pelbagai data berlainan iaitu triangulasi data sangat digalakkan. Contohnya, hasil analisis kuantitatif seperti markah ujian pra dan pasca boleh disokong dengan hasil analisis kualitatif seperti data temu bual.

Contoh Huraian Analisis Data dan Huraian:
Jadual 3 di bawah menunjukkan analisis data berdasarkan respon yang diterima daripada borang soal selidik. Murid diminta menjawab item soalselidik berdasarkan skala 5 mata. Item 1 hingga 4 dan 8 merupakan item positif, manakala yang lain merupakan item negatif.


Jadual 3 menunjukkan bahawa bagi item 1, min kaedah lakonan ialah 4.78 manakala min bagi kaedah tradisional ialah 1.84. Perbezaan min adalah sebanyak 2.94. Keputusan ini menunjukkan bahawa murid lebih aktif melibatkan diri semasa kelas kaedah lakonan. Keputusan ini juga
menunjukkan bahawa murid lebih berminat dengan pelajaran menggunakan kaedah lakonan. Ini kerana, secara rasionalnya murid akan melibatkan diri secara rela dengan sesuatu aktiviti sekiranya mereka berminat dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang dirancang.

Aktiviti pengajaran dan pembelajaran pada hari ini amat menarik. Saya mendapati murid seronok dan gembira. Riak wajah mereka menunjukkan rasa seronok dengan aktiviti menggunakan kaedah
lakonan. Alif yang sebelum ini sering tidak mengambil bahagian di dalam kelas begitu bersemangat dan teruja untuk berlakon. Murid juga ketawa dengan riang ketika kawan-kawan berlakon. Saya
begitu gembira melihat mereka begitu aktif belajar. Mereka juga sudi menawarkan diri untuk berlakon berkali-kali. Semua murid mengangkat tangan untuk berlakon. Saya sungguh tidak sangka
bahawa aktiviti lakonan ini memberi kesan yang positif kepada mereka. Saya berpuas hati dengan aktiviti pelajaran hari ini.
(Catatan Jurnal 6 (a), 11 Ogos 2011)

Jadual 3 juga menunjukkan bagi item 2 min bagi kaedah lakonan (4.95) adalah lebih tinggi berbanding dengan min kaedah tradisional (1.68). Ini menunjukkan bahawa murid lebih suka belajar cara lakonan berbanding kaedah tradisional. Ini membawa maksud, murid lebih berminat belajar
menggunakan kaedah lakonan berbanding kaedah tradisional.

Bagi item positif yang lain iaitu item 3, 4 dan 8, min yang diperoleh bagi kaedah lakonan juga adalah lebih tinggi berbanding kaedah tradisional. Ini menunjukkan bahawa murid lebih berminat ketika aktiviti pengajaran dan pembelajaran dijalankan menggunakan kaedah lakonan. Hal ini dapat dilihat dengan jelas melalui catatan jurnal yang telah saya buat selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah lakonan.

Murid lihat begitu aktif ketika aktiviti lakonan dijalankan. Kebanyakan murid mengangkat tangan bertanyakan soalan kepada saya. Contohnya, Daniel bertanyakan soalan kepada saya mengapa
pada zaman dahulu kala Raja Melayu memakai tenggolok. Ini menunjukkan murid memberi tumpuan dan minat dengan aktiviti yang sedang dijalankan. Mereka juga sering bertanyakan soalan antara satu sama lain. Ini jelas menunjukkan murid minat dengan kaedah lakonan yang dijalankan. Murid dilihat begitu gembira ketika aktiviti dilaksanakan. Pada akhir pembelajaran murid kelihatan sedih
dan tidak bersemangat apabila mengetahui kelas Kajian Tempatan sudah tamat. Mereka meminta saya supaya menggunakan masa guru lain untuk berlakon lagi. Mereka juga meminta saya untuk
menggunakan kaedah lakonan ini lagi untuk sesi pelajaran yang akan datang.
(Catatan Jurnal 6 (b), 11 Ogos 2011)

Bagi item negatif dalam jadual 3 iaitu item 5, 6 dan 7, min bagi kaedah lakonan adalah lebih rendah berbanding dengan min kaedah tradisional. Contohnya, bagi item 7, min kaedah lakonan (1.42) adalah lebih rendah berbanding dengan min kaedah tradisional (4.00). Keputusan ini menunjukkan bahawa murid lebih membuat kerja lain semasa pelajaran kaedah tradisional berbanding kaedah lakonan. Dalam erti kata lain, murid tidak menunjukkan minat yang tinggi terhadap topik yang diajar semasa pelajaran menggunakan kaedah tradisional.

Pada minggu ini murid dilihat tidak bermaya dan tidak memberi perhatian yang sepenuhnya terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Murid sering menanya kepada saya mengenai aktiviti lakonan. Contohnya, Imran menanyakan kepada saya, “mengapa kita tidak berlakon hari ini cikgu?..saya hendak berlakon.. “boring” lah kalau tak berlakon hari ini”. Hampir semua murid menunjukkan reaksi yang sama ketika aktiviti pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah tradisional. Terdapat juga murid yang bermain di belakang kelas dan langsung tidak memberi tumpuan yang sepenuhnya terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Contohnya, selepas saya memberi penerangan, saya menanyakan soalan kepada Amar. Dia tidak dapat menjawab soalan yang diberikan sedangkan saya baru sahaja menerangkan hal tersebut. Ini jelas menunjukkan murid
tersebut tidak memberi tumpuan sepenuhnya terhadap aktiviti yang dijalankan. Murid langsung tidak menunjukkan mimik muka gembira ketika aktiviti pengajaran dan pembelajaran menggunakan kaedah tradisional. (Catatan Jurnal 7 (a), 18 Ogos 2011)

Kesimpulannya hasil daripada borang soal selidik ini jelas menunjukkan murid berminat dengan kaedah lakonan ketika mempelajari topik Kesultanan Melayu Melaka. Ketika aktiviti pengajaran dan pembelajaran dilaksanakan secara lakonan didapati murid lebih aktif dan berani menanya dan menjawab soalan. Murid juga lebih gembira dan mengambil bahagian secara aktif. Ini menunjukkan bahawa minat murid terhadap topik Kesultanan Melayu Melaka telah meningkat.

Keberkesanan kaedah lakonan dalam meningkatkan minat murid terhadap topik Kesultanan Melayu Melaka juga boleh dilihat melalui hasil temu bual yang dilaksanakan selepas aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Beberapa orang murid dipilih sebagai sasaran bagi soalan temu bual. Semua aktiviti
temu bual ini dirakam menggunakan telefon bimbit. Antara respon murid selepas pelajaran secara lakonan adalah seperti berikut:

Saya seronok cara lakonan pada hari ini.. boleh faham apa yang cikgu ajar..saya berlakon..minat, “best” dan seronok tengok kawan berlakon..tidak mengantuk dan tidak bosan.
(Murid 1, 11 Ogos, 1.00 tengah hari)

Seronok..dapat tengok kawan berlakon.. kita semua berlakon....boleh tahu cerita Palembang..tidak mengantuk sebab tengok kawan berlakon..saya nak berlakon lagi. (Murid 2, 11 Ogos, 1.00 tengah hari)

Respon murid selepas pelajaran secara tradisional:
Bosanlah cikgu..tak seronok sebab tak dapat berlakon..penat belajar cara hari ini..nak belajar cara lain..nak belajar secara lakonan..tidak mahu diteruskan dan susah nak faham.. bosan dan tak “best”.
(Murid 1, 18 Ogos, 1.00 tengah hari)

Tak seronok..saya tak faham..tidak minat..susah nak faham..kawan kawan tidak bagi kerjasama. ..bosan..cikgu bercakap sahaja..tidak ada peluang nak cakap..tak “best”. 
(Murid 2, 18 Ogos, 1.00 tengah hari)

Hasil temu bual menunjukkan kebanyakan murid memberi respon yang positif terhadap kaedah lakonan yang dilaksanakan. Kesemua murid yang ditemu bual memberi respon menyatakan bahawa kaedah lakonan mampu menarik minat mereka untuk mempelajari topik Kesultanan Melayu Melaka.
Keputusan ini selaras dengan keputusan daripada soal selidik, borang pemerhatian dan catatan jurnal.
Sumber: Muhammad Firdaus (2011)

Refleksi dan Implikasi
Dalam bahagian ini, anda akan merumuskan kajian yang telah dijalankan. Lebih penting, anda akan menerangkan implikasi kajian iaitu apakah tindakan susulan yang perlu diambil oleh pihak berkepentingan berdasarkan keputusan kajian. Contohnya, sekiranya kajian menunjukkan bahawa kandungan buku teks Sains adalah terlalu cetek, maka implikasinya ialah guru Sains perlu mencari sumber yang lain semasa pengajaran dan pembelajaran; Kementerian Pelajaran juga perlu mengkaji semula kandungan buku teks supaya menjadikannya lebih menarik dan lebih bermanfaat.

Selain itu, dalam bahagian ini, anda perlu menghuraikan apakah yang telah dipelajari anda tentang kajian yang telah dijalankan; secara amnya, anda perlu menerangkan bagaimana proses dan dapatan kajian telah membantu anda untuk memahami dan menjalankan kerja anda sebagai seorang guru dengan lebih baik. Secara khususnya, anda perlu menerangkan apakah yang telah anda mempelajari tentang isu kajian. Contohnya, jika anda mengkaji tentang keberkesanan kaedah koperatif, anda mungkin akan menerangkan bahawa kajian anda menunjukkan bahawa kaedah koperatif hanya boleh berjaya sekiranya seseorang guru mengambil beberapa langkah awalan seperti mengkaji dulu hubungan antara murid.

Contoh Huraian Refleksi dan Implikasi:
Berdasarkan kajian tindakan yang telah dijalankan, saya menyedari bahawa seseorang guru perlu kreatif dan berminda terbuka dalam membina rancangan pengajaran yang berkesan dan bermakna. Ketika penggunaan kaedah bahan maujud dalam sesi pengajaran dan pembelajaran, saya dapati murid memberikan tindak balas yang positif dan lebih aktif semasa belajar. Situasi ini sangat berbeza dengan kelas sebelumnya yang menggunakan kaedah tradisional. Ini berkemungkinan, penggunaan kaedah bahan maujud mampu menarik minat murid terhadap pelajaran. Perkara ini
memberikan saya keyakinan bahawa kaedah ini mampu memberikan kesan yang positif.

Saya berpendapat kaedah ini juga boleh dipelbagaikan mengikut kreativiti guru sebagai pengganti kepada kaedah tradisional. Seperti yang diketahui, BBM hanya bertindak membantu sahaja, tetapi guru perlu bertindak sebagai pengolah bahan-bahan ini agar bahan-bahan pengajaran tersebut menjadi lebih kreatif dan menyeronokkan. Kreativiti boleh diperoleh apabila seorang guru mencuba. Pelbagai bahan boleh untuk digunakan sebagai BBM jika seseorang guru itu bijak mempelbagaikannya. Ini kerana isi pelajaran bagi mata pelajaran Kajian Tempatan kebanyakkannya adalah berbentuk fakta. Tidak semua murid mampu untuk faham sesuatu fakta dengan mudah.
Melalui kepelbagaian bahan pengajaran tersebut dapat menarik minat dan perhatian mereka untuk menumpukan perhatian sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran berlangsung.

Tambahan pula, gaya pembelajaran setiap murid adalah berbeza. Saya berpendapat, murid yang menjadi sasaran kajian saya memiliki gaya pembelajaran kinestetik. Ini kerana murid menunjukkan sikap pasif seperti mendiamkan diri dan kurang berkomunikasi apabila kaedah tradisional seperti chalk and talk dan buku teks kerap digunakan. Menurut Nurita (2007), gaya pembelajaran kinestetik adalah belajar melalui gerakan dan sentuhan. Melalui kaedah bahan maujud, murid berpeluang menyentuh dan membina pengetahuian konkrit berkaitan bahan maujud yang digunakan. Ini
disokong oleh Isahak (1996, seperti dinyatakan dalam Nurul Shamimi, 2010) mengatakan bahawa pencapaian murid yang meningkat atau menurun bukanlah dipengaruhi oleh tahap I.Q mereka semata-mata tetapi dipengaruhi oleh penghasilan bahan pengajaran guru yang bersistematik di samping kesediaan kognitif dan efektif murid. Oleh itu, adalah tidak mustahil untuk mencuba supaya pembelajaran murid menjadi lebih bermakna.

Dalam kajian ini, setelah kaedah bahan maujud digunakan saya dapati murid menunjukkan reaksi yang positif setiap kali kelas mata pelajaran Kajian Tempatan bermula. Tambahan lagi, ada murid yang menegur saya dan minta saya mengajar mereka walaupun tiada sesi pengajaran dan
pembelajaran bagi mata pelajaran Kajian Tempatan pada hari berkenaan. Hal ini menunjukkan minat murid terhadap mata pelajaran Kajian Tempatan sudah terbina. Murid dilihat lebih bersemangat dan bermotivasi untuk belajar. Baharom dan Ilyas (2010) menyatakan bahawa motivasi dalam diri murid tidak hadir secara sendiri tanpa disokong oleh kaedah pengajaran guru yang kreatif dan efektif. ini disokong oleh Songgok (2009) menyatakan bahawa guru yang berkesan dalam menjalankan tugasnya adalah guru yang berjaya menjadikan muridnya bermotivasi dalam pelajaran.

Keberkesanan dalam pengajaran juga bergantung kepada usaha guru dalam memahami makna motivasi belajar itu sendiri dan mengembangkan serta menggerakkan motivasi pembelajaran pelajar itu ke tahap yang maksimum melalui kaedah pengajaran yang sesuai. Dalam kajian ini, saya
menggunakan kaedah bahan maujud untuk membina motivasi belajar dalam diri murid dan keberkesannya telah dilihat berdasarkan perubahan tingkah laku murid seperti yang dinyatakan sebelum ini. Akan tetapi, melalui kajian ini saya juga pelajari bahawa penggunaan kaedah bahan maujud sematamata tidak akan berhasil sekiranya beberapa perkara tidak diambil kira. Antaranya ialah bahan maujud yang digunakan perlu menarik, mudah dikendalikan dan tidak merbahaya. Bahan ini boleh berubah mengikut kemampuan dan kepentingan guru dan cara pengendalian bahan tersebut. Tanpa pengetahuan dan cara pemakaian, bahan tersebut akan menjadi gajah putih dalam kelas dan membazir sahaja.

Kesimpulannya, banyak perkara yang telah saya pelajari dan perlu perbaiki dalam melaksanakan kaedah ini. Saya berpendapat, skop penggunaan kaedah bahan maujud adalah luas. Daya kreativiti diperlukan dalam mempelbagaikan penggunaan bahan maujud dalam mata pelajaran Kajian
Tempatan. Saya tidak boleh menarik nafas lega setelah menjalankan kajian terhadap kaedah ini sebaliknya perlu melakukan lebih banyak penyelidikan dan pembacaan dalam mempertingkatkan mutu pengajaran saya secara berterusan. Ini selari dengan Nurul Shamimi (2010) yang menyatakan
bahawa individu yang bergelar guru adalah ‘life long learning person’. Guru harus terus belajar dan berusaha memperbaiki mutu pengajaran agar mampu melahirkan murid yang berlimu dan berwawasan.
Sumber: Akmal (2011)

Tindakan Susulan
Penyelidikan tindakan biasanya melibatkan beberapa kitaran. Oleh itu, selepas satu kitaran iaitu selepas satu kajian, anda akan memikirkan apakah tindakan susulan yang boleh diambil untuk mengurangkan lagi masalah yang dihadapi; sering kali, tindakan yang dijalankan merupakan
pengubahsuaian kepada tindakan yang asal. Contohnya, jika anda menggunakan lagu 80an untuk meningkatkan tumpuan murid terhadap pelajaran, dalam kajian berikut anda mungkin akan menggunakan lagu masa kini kerana didapati bahawa lagu-lagu lama kurang menarik perhatian murid anda. Oleh itu, anda ingin mencuba lagu-lagu terkini pula.

Contoh Huraian Tindakan Susulan:
Bagi menambahbaik kajian ini, saya mencadangkan supaya dalam kajian yang berikut, saya akan memberikan ganjaran kepada kumpulan yang melakukan persembahan yang terbaik. Pada hemat saya, dan berdasarkan pemerhatian saya sepajang kajian ini, kaedah ganjaran akan semakin
meningkatkan minat dan semangat murid supaya membuat yang terbaik untuk kumpulan mereka. Cadangan saya yang kedua ialah dari segi masa. Adalah lebih baik jika masa untuk melakukan kajian itambah kepada dua sesi untuk setiap kaedah. Sebagai contoh, minggu satu dan minggu dua boleh digunakan untuk kaedah lakonan, manakala dua minggu lagi digunakan untuk kaedah tradisional. Ini adalah kerana pada minggu pertama murid boleh mengambil masa untuk bersedia dengan lakonan mereka dan tidak terlalu tergesa-gesa. Pada minggu kedua barulah setiap kumpulan mempersembahkan lakonan mereka. Oleh itu, dalam kajian saya yang berikut, saya akan menggunakan ganjaran dan akan menambah masa yang digunakan untuk setiap teknik. Adalah diharap bahawa dengan perubahanperubahan ini, masalah yang dihadapi saya iaitu tumpuan murid terhadap pelajaran akan dapat dikurangkan lagi.
Sumber: Mohd. Farhan (2011)

Sumber Rujukan
Setiap penulisan ilmiah perlu mengandungi rujukan dalam teks dan Senarai Rujukan. Bagi maklumat atau idea yang diambil daripada sesuatu sumber, anda hendaklah menyatakan sumber tersebut dalam teks. Antara lain, ini adalah untuk mengelak daripada plagiat. Di IPG, rujukan dalam teks dan dalam Senarai Rujukan hendaklah ditulis mengikut sistem American Psychological Association (APA) yang terkini. Berikut adalah panduan untuk menulis rujukan dalam teks dan Senarai Rujukan yang diadaptasi daripada Boon dan Aeria (2007).







No comments: