Pengenalan Kepada Kaedah Penyelidikan Dalam Pendidikan

Dipetik daripada bahan Modul PSV3113

Dalam tajuk ini, anda akan mempelajari tentang tujuan, ciri-ciri, pendekatan dan etika penyelidikan dalam pendidikan. Antara lain, anda akan didedahkan kepada sebab-sebab mengapa penyelidikan dalam pendidikan dijalankan, ciri-ciri penyelidikan dalam pendidikan, pendekatan positivis dan interpretatif dan tingkah laku yang perlu diamalkan oleh seseorang penyelidik.

Objektif Penulisan
1. menerangkan empat tujuan penyelidikan dalam pendidikan;
2. menghuraikan empat ciri penyelidikan dalam pendidikan;
3. menerangkan tentang pendekatan positivis dan interpretatif;
4. menyatakan dan menerangkan etika penyelidikan dalam pendidikan.

Rajah 1

Tujuan Penyelidikan Dalam Pendidikan
Secara umumnya, penyelidikan dijalankan dalam pendidikan untuk meningkatkan mutu pengajaran dan pembelajaran. Sering kali ia melibatkan penyelesaian masalah atau penjelasan teori pendidikan. Secara khususnya, tujuan penyelidikan boleh dibahagikan kepada empat iaitu penerokaan, penghuraian, penerangan dan ramalan (University of Texas, 2011). Rajah 2 merumuskan tujuan penyelidikan dalam pendidikan.

Rajah 2

Biasanya, kajian dijalankan untuk menerokai apabila sesuatu masalah masih dalam peringkat awal atau isu yang diterokai agak baru. Ia digunakan untuk menjawab soalan seperti apa, mengapa, dan bagaimana (Babbie, 1989; “Exploratory Research”, 2011). Contohnya, pada awal pelaksanaan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris), kajian mungkin dijalankan untuk menerokai apakah masalah yang dihadapi oleh guru dan murid dalam pengajaran dan pembelajaran.
       Satu lagi tujuan penyelidikan ialah untuk penghuraian. Kajian sedemikian biasanya dijalankan untuk menghuraikan perkara (Kotler & Armstrong, 2005) seperti sifat-sifat murid yang suka ponteng kelas, ciri-ciri guru yang baik dan sebagainya. Akan tetapi kajian sedemikian tidak menerangkan mengapa dan bagaimana. Untuk itu, seseorang penyelidik akan menjalankan kajian dengan tujuan untuk menerangkan. Contohnya, kajian boleh dijalankan untuk menerangkan mengapa tahap kelesuan guru di Lembah Kelang adalah agak tinggi. Tujuan terakhir penyelidikan adalah untuk ramalan. Dalam hal ini, kajian dijalankan untuk menentukan kesudahan pada masa depan berdasarkan data pada masa kini. Contohnya, kajian boleh dijalankan untuk menentukan sama ada calon yang mendapat skor yang tinggi dalam Ujian MTEST (Malaysian Teacher Selection Test) juga akan menjadi guru yang cemerlang pada masa hadapan.

Ciri-Ciri Penyelidikan Dalam Pendidikan
Sesuatu penyelidikan biasanya mempunyai empat ciri utama iaitu ia berbentuk empirikal, sistematik, mengikut langkah-langkah logikal dan mematuhi kaedah saintifik. Rajah 3 berikut merumuskan keempat-empat ciri penyelidikan dalam pendidikan.
Rajah 3

Penyelidikan dikatakan berbentuk empirikal kerana data dikutip melalui pemerhatian, pengalaman atau pengujian yang sebenar. Sering kali data dikutip secara langsung daripada responden. Data boleh dikutip melalui pelbagai kaedah. Contohnya, data boleh dikutip daripada responden melalui soal selidik; atau data boleh dikutip apabila pengkaji memerhati responden dalam setting tertentu (misalnya, bilik darjah). Data juga boleh dikutip melalui analisis dokumen seperti buku kedatangan murid dan rekod profil murid.

Penyelidikan dikatakan sistematik kerana biasanya ia dirancang dan diurus dengan teliti serta mengikuti prosedur-prosedur tertentu. Kesemua ini adalah perlu untuk meningkatkan kesahan dan kebolehpercayaan penyelidikan. Penyelidikan juga mengikuti langkah-langkah yang logikal. Biasanya, penyelidikan bermula dengan pengenalpastian masalah dan ini diikuti dengan tinjauan literatur, pembentukan soalan kajian, pengumpulan data, penganalisisan data dan rumusan kajian.

Seperti yang dinyatakan di atas, penyelidikan dalam pendidikan biasanya bermula dengan pengenalpastian masalah. Ini diikuti dengan cadangan hipotesis untuk menerangkan sesuatu fenomena dan kemudian menjalankan langkah-langkah penyelidikan untuk menentukan sama ada hipotesis yang dicadangkan itu boleh diterima atau tidak. Penyelidikan juga dijalankan secara objektif iaitu semua dapatan adalah berdasarkan bukti empirikal. Disebabkan itu, penyelidikan dalam pendidikan dikatakan mengikuti kaedah saintifik. Contohnya, seseorang penyelidik mungkin bermula kajian dengan hipotesis bahawa masalah disiplin di sekolah semakin bertambah disebabkan pengaruh media massa. Kemudian beliau akan menjalankan langkah seperti mengumpul data melalui soal selidik atau memerhatikan murid di beberapa buah sekolah untuk mengumpul data bagi menentukan sama ada hipotesis beliau boleh diterima atau tidak.

Pendekatan Penyelidikan Dalam Pendidikan
Terdapat dua pendekatan dalam penyelidikan iaitu pendekatan positivis dan interpetatif. Pendekatan positivis menekankan ketepatan bukti penyelidikan dengan menggunakan data dalam bentuk numerikal (Chua, 2006). Dalam pendekatan ini, pengkaji berpegang kepada kepercayaan bahawa ilmu adalah objektif iaitu ilmu dan realiti tidak bergantung kepada interpretasi manusia. Oleh itu sesuatu situasi boleh digambarkan melalui nombor. Contohnya, kita boleh tentukan sebab-sebab utama mengapa murid ponteng sekolah berdasarkan kepada purata skor item-item sebuah soal selidik. Pendekatan positivis juga biasa dikenali sebagai pendekatan kuantitatif.

Pendekatan interpretatif pula menghuraikan sesuatu fenomena dengan menggunakan data deskriptif verbal iaitu dengan menggunakan perkataan berbanding nombor (Chua, 2006). Dalam pendekatan ini, pengkaji berpegang kepada kepercayaan bahawa ilmu dan realiti adalah dibina oleh manusia.
Oleh itu, realiti sesuatu situasi hanya dapat digambarkan melalui interpretasi pengkaji. Contohnya, kita boleh tentukan sebab-sebab utama mengapa murid ponteng sekolah berdasarkan pemerhatian kita tentang apa yang berlaku di sekolah serta temu bual kita dengan guru, murid, ibu bapa dan mana-mana pihak yang terlibat. Kemudian kita membuat huraian dan interpretasi berdasarkan pemerhatian dan temu bual kita untuk menentukan sebab-sebab utama mengapa murid ponteng sekolah. Ini berbeza dengan pendekatan positivis yang bergantung kepada nombor semata-mata. Pendekatan
interpretatif juga dikenali sebagai pendekatan kualitatif.

Jadual 1.1 merumuskan perbezaan antara pendekatan positivis dan interpretatif. Perbezaan dilihat dari segi enam aspek iaitu tujuan, pendekatan, terjemahan realiti, pembolehubah dalam kajian, cara menganalisis data dan alat-alat atau instrumen kajian.


Etika Penyelidikan Dalam Pendidikan
Apakah yang dimaksudkan dengan etika? Etika boleh didefinisikan sebagai norma-norma perlakuan yang membezakan antara tingkah laku yang boleh dan yang tidak boleh diterima (Resnick, 2011). Kod etika penyelidikan diperlukan untuk memastikan bahawa dapatan kajian sah, boleh percaya dan
diperoleh melalui cara yang wajar. Unsur-unsur dalam kod etika termasuklah nilai, kesedaran diri, profesionalisme, kebolehpercayaan dan panduan disiplin (Chua, 2006).

Berikut adalah beberapa perlakuan dalam kod etika penyelidikan yang diharapkan daripada seseorang penyelidik dalam pendidikan:
1. Jujur dalam semua hal berkaitan dengan kajian yang dijalankan;
Contohnya, seseorang penyelidik tidak seharusnya mereka data atau melaporkan dapatan yang palsu.
2. Berintegrasi. Contohnya, seseorang penyelidik perlu bertindak dengan ikhlas, tekal dengan pemikiran dan tindakannya dan akur dengan semua janjinya.
3. Menghormati dan merahsiakan identiti responden.
4. Adil kepada semua responden.
5. Mendapat persetujuan responden sebelum melibatkannya.
6. Membenarkan responden berhenti daripada melibatkan diri pada bila bila masa.
7. Tidak menggunakan paksaan dalam pengumpulan data,
8. Berhati-hati dalam semua kerja berkaitan dengan penyelidikan yang dijalankan.
9. Mempunyai sikap terbuka; contohnya sedia menerima kritikan yang berasas
10. Menghormati harta intelek dan hak cipta terpelihara semasa membuat laporan



























No comments: