KREATIVITI, ESTETIKA DAN EKSPRESI VISUAL

MODULPENDIDIKAN SENI VISUAL
PENDIDIKAN RENDAH

BAHAGIAN PENDIDIKAN GURU
SEKTOR PEMBANGUNAN PROFESIONALISME KEGURUAN
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Tajuk ini memberi pendedahan tentang huraian konsep-konsep kreativiti, estetika, ekspresi visual kanak-kanak dari beberapa tokoh dan pengkaji lukisan kanak kanak. Perhatian diberi kepada aspek kajian kepada konsep-konsep yang diketengahkan.

Hasil Pembelajaran
Menjelaskan konsep kreativiti, estetika dan ekspresi visual
Menghurai ciri-ciri kreativiti, estetika dan ekpresi visual dan faktor yang menghalang kreativiti kanak-kanak
Menjelaskan kepentingan proses kreativiti dan artistik
Membandingkan pendapat beberap tokoh tentang kreativiti, estetika dan ekspresi


Pengenalan
Tajuk Kreativiti, Estetika dan Ekspresi Visual merupakan kesinambungan dari tajuk 6 Imaginasi dan Kreativiti kanak-Kanak. Semasa sesi interaksi bersemuka, anda telah didedahkan dengan pelbagai ragam gaya lukisan kanak kanak merangkumi ciri lukisan kanak-kanak, watak-watak dan gaya bahasa kanak-kanak menerusi analisis lukisan yang telah anda laksanakan. Apa yang anda perolehi itu kesemuanya adalah petunjuk kepada ekspresi visual kanak kanak berdasarkan imaginasi serta daya kreativiti kanak-kanak. Hasil lukisan kanak-kanak itu mempunyai nilai estetiknya tersendiri. Kesinambungan daripada tajuk itu kita akan menumpu secara lebih spesifik kepada konsep seperti kreativiti, estetika dan ekspresi visual seperti yang dinyatakan.

Kreativiti
(Senario Guru di Sekolah Pendalaman) :
Dalam sebuah artikel mengatakan; Ada sebuah sekolah di pendalaman negeri Sabah, guru menggunakan daun keladi sebagai menggantikan kertas lukisan semasa menjalankan kelas seni . Ini berikutan kesukaran guru mendapatkan sumber bekalan kertas lukisan kerana kedudukan sekolah agak jauh dari pekan.Guru berkenaan terpaksa berkorban masa saban minggu untuk mengumpul
helaian daun keladi di sekitar kampung untuk dibawa ke sekolah. Merujuk kepada senario di atas, adakah anda pernah mengambil tindakan yang serupa bila berhadapan dengan masalah ? Bolehkah kita mengatakan guru berkenaan sebagai guru yang kreatif ? Bagaimana pula jika anda mendapati
pelajar di sekolah anda suka mencipta roket kertas ? Bolehkah anda mengatakan pelajar anda pelajar yang kreatif ?
Terminologi kreatif berasal dari perkataan Latin ‘creare’ yang bermaksud “membuat/ mencipta/ mereka cipta”. Manakala Greek “creare” bermaksud “memenuhi”. Sehubungan itu dapat dirumuskan bahawa kreativiti melibatkan daya berfikir dan kemahiran berfikir yang menerbitkan idea manakala pemikiran kritis adalah pemikiran yang menilai ke atas sesuatu idea. Oleh itu pemikiran kreatif mestilah berasaskan manipulasi dari pengalaman serta pengetahuan yang sedia ada bagi membolehkan seseorang itu dapat mencetuskan idea atau hasil ciptaan yang baru dan lebih baik daripada yang sebelumnya.
Kreativiti bersangkut dengan pemikiran kreatif. Berfikiran kreatif bermaksud berfikir di luar kotak. Ia juga berkait dengan keupayaan seseorang menyelesaikan masalah. Kathy Goff, dalam. http://www.creativitycentre.com/Ret.2001,
mengatakan pemikiran kreatif itu melewati imaginasi kita untuk mencipta idea-idea baru. Ia adalah gaya hidup, sifat personaliti seseorang, cara melihat dunia dan cara kita berinteraksi dengan sesuatu. Dalam sebuah laporan 'All our futures:
Creativity, Culture and Education', the National Advisory Committee's report (DfEE, 1999). Definisi kreativiti dirungkaikan kepada empat ciri ; pertama yang melibatkan pemikiran dan tingkahlaku imaginatif. Kedua ialah aktiviti imaginatif (penghayalan) yang bertujuan, iaitu terarah bagi mencapai satu-satu objektif. Ketiga proses ini mesti menjana sesuatu yang asli (original). Keempat ialah nilai
yang berkait dengan objektif yang dikhayalkan itu. Laporan ini juga mengatakan bahawa darjah kreativiti seseorang boleh jadi berkurang atau lebih jika diberi peluang.
Menurut Muhamad Tamyez Bajuri (1996), kreativiti adalah berkait dengan aspek penerokaan, sama ada melalui mental atau fizikal. Daya inilah yang membawa kita kepada satu cara pemikiran di luar pemikiran biasa (berfikir diluar kotak). Sesungguhnya kreativiti melibatkan daya berfikir dan kemahiran berfikir seseorang , maka itu ia dapat dibentuk, dilatih menerusi ransangan tertentu.

Pandangan pakar-pakar berikut mengenai kreativiti

E. Paul Torrance
Pencipta kepada “Torrence Test of Creative Thinking” iaitu satu kaedah penanda aras dalam mengukur tahap kreativiti seseorang. Menganjurkan tujuh kaedah utama dalam proses penjanaan
kreativiti seseorang individu : Penyoalan, Penemuan, Pemerhatian, Percubaan, Penerokaan, Memanipulasi, Aktiviti bermain

June King McFee
Melihat bahawa kreativiti seseorang mampu dirobah bagi melahirkan satu idea yang baru.

Carl Rogers
Melihat bahawa faktor kesihatan adalah menjadi asas kepada menjadi manusia kreatif: keterbukaan kepada pengalaman, menikmati keindahan, Menghargai diri, Mengamalkan kebebasan

Victor Lowenfeld
Pakar ini percaya bahawa setiap kanak-kanak dilahirkan kreatif. Melihat kreativiti pada seorang murid boleh diukur melalui empat komponen utama iaitu kelancaran, fleksibel, keaslian dan kepekaan

Guilford
Pengatur kepada Teori Struktur Intelek (SI) terdiri daripada 180 kebolehan (termasuk kreativiti) dalam dimensi operasi, kandungan dan hasilan

Pengasas kepada Creative Problem Solving (CPS). Banyak mengutarakan model-model pemikiran produktif. Menganjurkan sesuatu masalah boleh diselesaikan secara kreatif melalui model CPS. Perluasan Kaedah kreatif: Membesarkan, mengecilkan, membanyakkan,  mengurangkan, mengubahsuaikan menukar kedudukan. Kaedah kreatif Alexander Osborne akan disentuh dengan lebih terperinci dalam kursus yang akan datang.

Meransang Kreativiti
Cuba anda ikuti keterangan di bawah : Antara strategi yang dapat dilakukan untuk merangsang ke arah pemikiran kreatif ialah melalui kaedah sumbangsaran (Brainstorming). John Baer (1997) menggariskan 4 panduan utama semasa menjalankan sesi sumbangsaran . Cuba anda teliti 4 strategi di bawah ini.

Strategi Pertama.
Elakkan daripada membuat penilaian awal terhadap pemikiran murid-murid semasa proses awal sumbangsaran. Tindakan ini boleh membantutkan keyakinan dan usaha murid-murid untuk menyalurkan idea-idea kreatif mereka.

Strategi Kedua.
Elakkan pemilikan idea oleh kumpulan dan individu. Ini kerana, apabila idea dan saranan dihakimi oleh individu atau kumpulan ianya akan menerbitkan perasaan ego maka kerjasama dalam kalangan murid akan berkurang. Sekiranya keadaan sebegini berlaku, biasanya akan wujud suasana tegang dalam kalangan murid kerana mereka akan cuba mempertahankan idea mereka dan secara tidak
langsung akan berlaku kesukaran pada guru untuk memperbaiki idea tersebut.

Strategi Ketiga.
Main peranan sebagai guru untuk menjelaskan kepada murid-murid bahawa tidak menjadi kesalahan untuk meminjam idea dan meniru cara yang telah sedia ada bagi tujuan penambahbaikan dalam proses seterusnya.

Strategi Keempat.
Menggalakkan sumbangsaran idea yang luar biasa daripada murid walau pun terkeluar idea yang tidak masuk akal. Galakan sebegini dapat merangsang murid berfikir di luar daripada kemampuan. Ini supaya murid dapat melahirkan idea yang menarik, jika tidak, idea hanya bersifat konvesional / biasa sahaja.

Proses Kreativiti dan Artistik
Seperkara yang sangat signifikan dalam konteks pembelajaran seni, khususnya dalam aktiviti melukis ialah “proses artistik”. Proses artistik ialah proses penghasilan karya. Proses artistik memberi kuasa tujuk kepada guru pendidikan seni bagaimana pelajar menjana serta mengembangkan idea (proses kreativiti) berdasarkan pemerhatian dan pengamatan mereka.

Laura H. Chapman di dalam bukunya Approach in Art Education (1978), menjelaskan bahawa proses kreativiti mempunyai pertalian dan hubungan yang hampir sama dalam proses penghasilan karya (proses artistik). Chapman juga menjelaskan bahawa proses artistik itu adalah tidak rigid dan bersifat boleh ubah dari segi kaedah dan tekniknya. Bagaimana pun beliau menyarankan prosesnya melalui tiga langkah seperti di bawah :

I Penjanaan Idea (Inception of Idea)
Pengkarya/Pelukis menetapkan objektif dan hala tuju menghasilkan karya. Ini bergantung kepada
idea / sumber idea yang datang kepada pelukis. Kadang kala prosesnya mengambil masa yang
agak lama.

II Pengolahan/Pemurnian Idea (Elaboration & Refinement)
Peringkat penghalusan atau pemurnian idea. Ini dibuat bagi menentukan imej yang dihasilkan
benar-benar menepati tema atau tujuan dan untuk memperolehi hasil terbaik. Peringkat ini biasanya diulang beberapa kali.

III Kemahiran Mengguna Bahan (Execution in a Medium)
Pengkarya menentukan bahan yang sesuai untuk berkarya. Pemilihan bahan memberi kesan kepada hasilan karya dan jangkamasa menyiapkan karya.



Proses artistik sebenarnya bermula dari memilih suatu pandangan menarik umpamanya, atau memberi fokus kepada keunikan sesuatu objek hinggalah kepada siapnya sebuah hasil karya. Dalam hal ini pelajar sebenarnya telah melalui satu proses di mana mereka membuat pemerhatian , meneroka, menganalisa, menilai secara kritis serta menghasilkan karya, kemudian menghargai hasil kerja seni mereka sendiri. Secara tidak langsung ini dapat meningkatkan kefahaman mereka tentang nilai-nilai artistik/estetika pada sesebuah karya.

Konsep Estetika
Perkataan estetika diambil dari perkataan Greek iaitu aisthetikos yang merujuk kepada perkara yang berkaitan dengan pancaindera atau deria. Estetika sering dikaitkan dengan hasil karya seni, atau pada sesuatu yang ada nilai seninya. Bagi sebahagian besar kita menyatakan sebagai indah atau cantik. Dalam Bahasa Inggeris disebut beautiful.

Konsep estetika dalam seni seperti pendapat ahli kaji purba Jerman, Winckleman, dianalisis oleh Rasilan Johnny @ Roslan (1999), Winckleman menggabungkan pemerhati dan objek yang diperhatikan untuk tujuan mengenal atau menyedari keindahan. Walau bagaimana pun Winckleman lebih memberikan tumpuan kepada pemerhati kerana menurutnya jika tidak ada pemerhati, objek atau
sesuatu benda itu tidak indah. Oleh itu apa yang indah adalah apa yang difikirkan , diberi reka bentuk dan diusahakan. (Sila rujuk Teks Pendidikan Seni Visual dan Muzik – Editor Mohd Johari Ab Hamid, 2004)
Menurut pandangan Al Ghazali, keindahan ialah nikmat yang tersendiri, yang dihayati keranaNya dan bukan kerana tujuan yang lain. Keindahan tiap-tiap satu benda itu terletak pada esempurnaannya yang disedari melalui sifatnya. Justeru itu, cetusan rasa keindahan yang diamati secara luaran adalah pada tahap yang dialami oleh kanak-kanak dan haiwan manakala rasa keindahan yang timbul dari dalam diamati oleh mata hati dan cahaya penglihatan batin manusia terdiri dari mereka yang dewasa.

…Beauty is not something that "exists" objectively but something that "is felt." Some element existing in the object gives the subject an emotional stimulation that is felt by the subject as beauty. Then,
what is this element that stimulates the subject emotionally, in other words, what is the element of beauty? It is the combination of the purpose for which the object was created (the purpose of creation) and the harmony of the physical elements within the object. That is to say, when the physical elements, such as lines, shapes, sounds, colors, space are well harmonized centering on the purpose of creation, they give to the subject an emotional stimulation that is felt as beauty. When beauty is recognized as such by the subject, it becomes actual beauty.
Theory of Art

http://www.messagesfromspiritworld.info/UTW/Unification%20Thou
ghta8.html Dikeluarkan 26/6/2005

Pengalaman estetik adalah hasil interaksi pemerhati dengan objek tersebut. Ia tidak akan berlaku sekiranya salah satu antaranya tidak berinteraksi. Keadaan ini berlaku apabila seseorang itu bersifat sedia menerima dengan mengamati dan memahami beberapa aspek atau pengalaman yang
membolehkannya membuat pentafsiran. Menurut kajian terdapat dua cara untuk melihat sifat kecantikan iaitu konsep relativist dan konsep objektivist. Bagi yang menginterpretasi sesuatu objek seni itu melalui konsep relativist ialah mereka yang dipengaruhi oleh pengalaman, persekitaran individu, budaya dan cara hidup. Maka sudah tentu wujud perbezaan persepsi dan pendapat tentang nilai keindahan terhadap sesuatu objek seni. Misalnya mereka yang tinggal di daerah Kalabakan, Tawau dimana masyarakatnya hidup serba kekurangan dalam persekitaran pertanian kepala sawit jauh dari bandar akan berbeza persepsi rasa keindahan atau nilai estetik berbanding masyarakat yang tinggal di Petaling Jaya. Konsep objektivist percaya bahawa kecantikan itu sudah ada bersama objek
seni dan bukan terletak pada persepsi seseorang. Maka untuk mentakrif kecantikan pada sesebuah karya adalah dilihat dari aspek formalistik yang berkaitan dengan kandungan atau isi (subjek) dan bentuk (form) iaitu merujuk kepada elemen-elemen seni (garisan ,rupa, jalinan, bentuk, ruang dan warna) dan prinsip-prinsip seni (imbangan, kontra, penegasan, irama, pergerakan, harmoni, kepelbagaian, kesatuan) pada karya. Dengan itu seseorang harus menguasai pengetahuan formalistik atau aturan dalam bidang seni terlebih dahulu sebelum ia dapat merakamkan pengalaman estetikanya terhadap objek-objek seni di sekelilingnya.

Konsep Ekspresi Visual
Sejak dari zaman batu hingga ke hari ini manusia adalah dikatakan sebagai pembuat imej. Contohnya imej yang terdapat di gua Laucaux , Perancis atau gua Niah di Sarawak. Tujuan utama menghasilkan imej ini adalah sebagai sumber komunikasi. Hal yang sama pada kanak-kanak, seawal umur dua atau tiga tahun sudah membuat contengan bagi tujuan pernyataan dan komunikasi berdasarkan gaya mereka sendiri. Representasi imej yang dijelmakan itu adalah ekspresi visual yang tidak sama bagi setiap individu. Ekspresi visual seseorang pelukis terhadap sesuatu objek yang dilukis misalnya merupakan manifestasi rasa dalaman yang dianggap sebagai pernyataan perasaan.

…the expressionist uses the term expression simply to record the obvious fact that art has something to do with human emotions and feelings. But by articulating this in term of “expression” a special and by no means obvious slant is placed on this intuitively obvious assumption which suggests that art is the venting or exhibition of emotion. And this slant is largely determined by ordinary meaning of the term expression…
H.Gene Bloker
(Philosophy of Art: Expression : http://www.ebookrate.com/pal.htm)

Berdasarkan teori ekspresi seperti yang diutarakan oleh Tolstoy, ekspresi datang daripada peranan yang dimainkan oleh seni dalam masyarakat dan perkembangan sejarah manusia. Seni muncul dalam segenap kehidupan dan mempunyai keupayaan menyatukan manusia sebagai satu komuniti. Ekspresi
dalam seni menurutnya ialah satu bentuk komunikasi, seumpama bahasa.

Berdasarkan konsep ekspresi visual ini, setiap orang melukis atau mencipta imej sesuai dengan tanggapan daripada apa yang mereka tahu dan lihat. Ini adalah tertakluk kepada persepsi dan daya tafsir yang berbeza. Dalam erti kata lain sebarang ungkapan yang terpancar melalui imej yang diciptakan ialah apa yang dirasai oleh pelukis itu sebagai satu ekspresi dalaman yang mempengaruhi ekspresi visualnya. Dengan sebab itulah terdapatnya pelbagai rupa dan corak hasil lukisan dan ini merupakan gagasan yang diekspresikan oleh seseorang pelukis.
(The Expression Theory. http://www.davidcloss.com/express.html)

Bagi Collingwood pula melihat ekspresi sebagai perhubungan yang rapat antara perasaan pelukis dan hasil kerjanya. Pelukis tidak perlu meluahkan perasaannya untuk khalayak. Collingwood mempunyai teorinya sendiri yang dinamakannya sebagai Korupsi Kesedaran (Corruption's of Consciousness).
Emosi sebegini tidak jujur dan telah difahami sebagai pernyataan pelukis. Khalayak pula tidak berhajat untuk mengalami perasaan itu. Bagi Collingwood karya seni yang sama memiliki kualiti ekspresi yang berlainan. Contohnya kerja seni yang sama boleh berkongsi kualiti ekspresi tentang keriangan, kemurungan dan kebimbangan juga boleh menggambarkan ketenangan. Collingwood melihat perasaan yang sebenarnya adalah bersifat individual dan kontekstual.
Menurut Chapman (1985), ada tiga aspek yang menentukan perbezaan ekspresi iaitu daya intuisi, persepsi dan konsepsi. Ketiga-tiga aspek ini mempunyai pengertian yang berlainan dan ada pelbagai faktor pula yang akan membawa kepada perbezaan bentuk ekspresinya.
Konsep ekspresi visual pada sebuah lukisan umpamanya boleh membawa pelbagai pengertian bergantung kepada si pelukis itu. Sebenarnya terdapat pelbagai pendekatan yang digunakan oleh manusia bagi tujuan ekspresi antaranya melalui lisan, perasaan dan emosi , tulisan dan bahasa, penciptaan dan penghasilan pergerakan. Yang paling lazim dan tradisional ialah membuat penggambaran visual. Bagi kanak kanak melalui aktiviti seni merupakan jalan yang paling mudah bagi mereka memperkembangkan daya kreativiti serta membuat ekspresi visual (pernyataan hasrat diri atau ekspresi diri).

Rumusan
Anda telah didedahkan dengan konsep-konsep kreativiti, estetik dan ekspresi visual. Anda juga telah dijelaskan dengan proses kreatif dan artistik. Menurut G.Perry (1970), dalam “Metodologi Pendidikan Seni, oleh Hj. Iberahim Hassan (2000), guru perlu mengambilkira tentang perkembangan individu seperti kreativiti, idea, persepsi dan perasaan seseorang pelajar. Laura Chapman (1978) dan
Effland (1977) pula mencadangkan pelajaran Pendidikan Seni harus boleh memberi latihan kepada pelajar untuk membuat pernyataan seni (ekspresi visual).

Menerusi pendekatan pengajaran seperti yang disarankan oleh Effland (1977) pula terdapat enam pendekatan yang melibatkan ekspresi di mana wujud aktiviti penerokaan, pengolahan dan penghasilan seni. Pelajar terlibat dalam penemuan idea sendiri secara kreatif dan membentuk diri mereka bekerja dengan media. Ketiga-tiga aktiviti ini menjadi proses kesenian yang dipelajari oleh pelajar dalam aktiviti studio di sekolah.

Micheal (1983) pula menyatakan pengalaman seni akan membantu pelajar dalam pembelajaran dan perkembangan mereka dari peringkat paling asas seperti mengenali diri mereka, mengenali seni dan kebudayaan mereka, perasaan, konsepsi dan ekspresi diri mereka melalui media. Dalam hal ini secara
tidak langsung ia membabitkan proses pengajaran dan pembelajaran, bagaimana seseorang guru seni mengendalikan pengajarannya. Dalam konteks melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, seorang guru seni harus berfikiran kreatif dan hendaklah sentiasa meransang serta membimbing murid-muridnya agar sentiasa berfikiran kreatif dan fleksibel. Dengan demikian
murid-murid akan lebih mudah menjana idea dalam proses berkarya.


Rujukan

Hurwirtz, Al & Day, M. (2001). Children and their art –Methods for the elementary school.(7th.ed.)USA : Wardsworth Thomson Learning.

Isbell, R. & Raines, S. (2002). Creativity and the arts with young children. NY: Thomson Delmar Learning.

Lowenfeld, V.& Brittain,W.L.(1987). Creative and mental growth, (8th.ed.). USA : MacMillan Pub.

Cox, Maureen. (1992). Children’s drawing. London:Penguin Group.

Chang Hon Woon (1994). Teori Seni Tampak, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa Pustaka

Cole, N.R. (1960). The Arts In The Classroom. New York : The John Day Co.

Eisner, E.W. (1976). The Arts, Human Development and Education,Berkeley : McCutchan Publishing Corporation

Efland, A.. (1977). Planning art education: in the middle/secondary schools of Ohio, USA. State of Ohio Department of Education

Feldman, E.B. (1986). Becoming human through art. New Jersey: Prentice Hall

Figg, G. (2003).Children’s Drawing. Dalam Janet Atkin (Ed.) Early EducationChild Development Series, Diperoleh Ogos 1,2003 daripada http://www.early-education.org.uk/1leaflet1.htm

Feldman, E.B. (1996). Philosophy of Art Education, New Jersey : Parentice Hall. Inc.

Goleman D., Kaufman P., and Ray M. (1992) The creative spirit. New York: Penguin.Piirto, J. (1992) Understanding those who create, 1st ed. Dayton, Ohio. Ohio Psychology Press.

Green, L. & Mitchell, R. (1997) Art 7-11: Developing Primary Teaching Skills. London: Routledge.

Hargreaves, David J.(1987).Children and the arts Philadephia : Open University Press.

Hanes, J.M & Weisman, E. (2000). Use Drawing To Find Meaning : Art Education Journal.Vol.53, 2000 Pg.7 (The Journal of the N.A.E.A)

Helen, R. (1994). Teaching From A Multicultural Perspective California, USA : Sagr Publication, Inc.

Herberholz, D. W. (1994) Artworks For Elementry Teachers: Developing Artistic & Perceptual Awareness, 8th Edition. New York: Mc Graw.Hill.

Holcombe A.C. (2003). A guide to write a critique of an art exhibit, The Method of Edmund Feldman Diperoleh Ogos 21,2004 daripada http://www.ksu.edu/artsci/artcrit.html

Iberahim Hassan (2000a). Pendidikan Seni : Matlamat dan Kepentingannya, (Kumpulan Esei Pilihan Seni dan Muzik).Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong Malim.

Iberahim Hassan (2000b). Perkembangan Psikologi Kanak-Kanak Berhubung Dengan Pendidikan Seni.(Kumpulan Esei Pilihan Seni dan Muzik). Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjong
Malim.

Kissick, J. (1996). Art : Context & Critism. 2nd Edition. New York : McGraw Hill.

Krieger, et. al. (2003). Children art. Munich : Frederking & Sheler.

Leland, N. (1990). Creative Artist, Cincinnati Ohio USA: F&W Publication.

Lansing, K.M. (1971) Art, Artist and Art Education.New York: Mc Grraw-Hill Book Company

Lowenfeld, V. & Brittain, W.L (1970) Creative and Mental Growth. 5th Ed. New York: Macmillan Company.

Matil, et.al. (1981). Meaning in children art. New Jersey : Prentice Hall Inc

Mayesky,M. (2001). Creative activities for young children. New York : Thomson Delmar Learning

Mayesky,M. (2003). How to foster creativity in all children. New York : Thomson Delmar Learning

Mohd Johari Ab Hamid (Ed).(2004) Pendidikan Seni Visual dan Muzik, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjong Malim:Malindo Printers Sdn.Bhd.

Multiple Intelligence Theory. Diperoleh Sep 16,2003 daripada http://www.ed.psu.edu/insys/ESD/gardner/Mitheory.html

Parsons, M. (1987). How We Understand Art, Cambridge: Cambridge University Press

Peterson, B. (1996). Using design basics to get creative results. Cincinnati Ohio.USA : North Light Books, F&W Pub.Inc.

Piaget, J. (1955). The child’s concept of reality. London:Routledge.

Simpson, J.W. (1998). Creating meaning through art: Teacher as choice maker. New Jersey USA: Prentice Hall.Inc.

Schirrmacher, R.( 2002). Art and creative development for young children. USA : Delmar Thomson

No comments: