Sunday 9 December 2012

Seni Proto-Renaisan di Italy 1250-1350M

Profesor Dr. Muliyadi Mahamood
Pengenalan
Para sejarawan mencipta istilah proto-renaisan bagi menghuraikan gaya seni di Itali yang berkembang di sekitar Florence pada akhir abad ke-13 dan awal abad ke-14. Gaya seni ini, terutamanya catan menampilkan unsur-unsur seni klasik dan disifatkan sebagai gaya bagi era sebelum datangnya Renaisan.
Seni catan
Catan merupakan bentuk seni Proto-Renaisan yang terpenting. Catan dinding dan panel dihasilkan dalam gaya Proto-Renaisan di mana figura-figuranya ditindankan untuk menunjukkan jarak dan ruang, komposisinya dipermudahkan, penekanan yang lebih diberikan kepada unsur-unsur naratif daripada simbolisme sementara penyampaian emosi disalurkan menerusi ekspresi muka dan gerak tangan. Jarak serta ruang juga disalurkan menerusi pengolahan cahaya dan bayang. Bentuk pakaian dapat memberi gambaran terhadap bentuk tubuh badan manusia sementara catan landskap pula menggambarkan tempat asal yang wujud, bukan fantasi. Seniman-seniman Proto-Renaisan membuat pengamatan yang terus dan secara langsung terhadap alam.
Catan masih digunakan untuk menghiasi gereja di samping bangunan-bangunan awam. Golongan pedagang yang kaya menjadi penaung kerja-kerja seni. Subjek keagamaan dan sekular juga menjadi penting. Subjek-subjek keagamaan dipetik daripada beberapa sumber utama seperti:
1.    Bible
2.    The Apocrypha ; sekumpulan cerita yang dulu pernah dimuatkan didalam Bible, tapi kemudiannya dibuang kerana tidak asli.
3.    The Golden Legend; koleksi cerita mengenai kehiduoan pengikut suci kristian yang ditulis oleh Japaco de Voragine, Archbishop Genoa dalam abad ke-13.
4.    Mirror of man’s salvation : Kisah kehidupan Nabi Isa.
Subjek sekular atau bukan keagamaan seringkali berkaitan dengan politik dan pemerintah.
Terdapat empat aliran catan yang utama pada era Proto-Renaisan, iaitu :
1.    Sieniese School : pelukis-pelukisnya seperti Duccio dan Lorenzetti.
2.    Roman School : pelukisnya Pietro Cavallini.
3.    Florentine School : pelukis-pelukisnya seperti Cimabue dan Giotto.
4.    Pisan School : pelukisnya Francesco Traini.

Seni Arca
Arca pada peringkat Proto-Renaisan kebanyakannya merupakan ukiran timbulan yang digunakan untuk menghiasi mimbar serta pintu gereja. Seperti catan, subjek-subjeknya dipetik dari Bible.
Media Dan Teknik
1.    Batu marmar digunakan untuk arca timbulan serta arca berdiri bebas kerana ia mudah didapati di Itali. Ia digabungkan dengan bahan-bahan lain seperti granit dan batu-batu lain.
2.    Gangsa juga digunakan.
Dua gaya arca di Itali dalam abad ke-14 itu adalah :
1.    Gaya klasik
Punyai cirri-ciri Rumawi seperti dalam figura, pakaian serta struktur seni bina. Pengarca utama ialah Nicola Pisano.
2.    Gaya gotik
Diilhamkan dari Perancis. Pengarcanya Giovanni Pisanno. Figura-figuranya dipersembahkan dalam aksi serta emosi yang bertenaga.


Contoh-contoh karya
Seni catan
1.    Duccio, “The Calling of the Apostles”, (1309-1311 M).
2.    Duccio, “Virgin and Child Enthroned with Saints”, (1308-1311 M).
3.    Cimabue, “Virgin and Child Enthroned with Angels And Prophets”, (1280-1290M).
4.    Giotto, “Madonna Enthroned”, (s.1310M)
5.    Giotto, “The Arena Chapel Frescoes”, (1305M)
Seni arca
1.    Nicola Pisano “Pulpit, Pisa Baptistry”, (1259-60M)
2.    Giovanni Pisanno, “Pulpit, St. Andrea, Pistoia” (1301M)

No comments: