Utusan Malaysia. Sabah dan Sarawak
ARKIB : 25/11/2008
Oleh SOPI SAMAILE
KUCHING 24 Nov. - Keaslian hasil tenunan masyarakat Iban di Sarawak sememangnya diakui sebagai salah satu bahan warisan yang tidak ternilai mutu seninya.
Salah satu tenunan kebanggaan kaum tersebut ialah kain pua kumbu yang begitu jelas dapat menggambarkan identiti pewarisnya.
Pua kumbu yang menjadi kemegahan di kalangan wanita kaum itu jika dilihat dengan teliti turut memaparkan corak kehidupan seharian masyarakat Iban.
Ketulenan hasil tenunan berwarna hitam, merah, coklat dan putih dengan motif alam, kehidupan semula jadi, tumbuhan dan binatang menjadikan ia amat menarik, namun bukan semua wanita mampu menghasilkannya.
Corak serta motif tertentu atau istimewa yang disulamkan dalam sesebuah tenunan itu hanya dihasilkan oleh penenun pakar yang dikenali sebagai Master Wive.
Ini kerana, kain itu yang juga dikenali sebagai selimut rohani di kalangan masyarakat Iban di Sarawak dipercayai memberi tenaga dan semangat kepada pemakainya berdasarkan corak yang dipilih.
Pua kumbu jenis ini ditenun oleh wanita yang sudah mahir menenun kerana kain kategori ini adalah paling rumit untuk ditenun malah motif-motifnya kerap dikaitkan dengan kepercayaan dan pantang larang mereka.
Penenun pua kumbu di Kampung Budaya Sarawak, Fiorita Sylvester, 42, memberitahu, motif pada pua kumbu bukan dilakukan sesuka hati tetapi harus mengikut keserasian pembuat dengan motif atau corak tersebut.
Menurut beliau, maksudnya jika seseorang itu berkeras untuk menghasilkan motif atau corak pua kumbu di luar kemampuannya dipercayai akan 'memakan diri' dan kain tersebut tidak dapat dihasilkan.
''Apa yang dimaksudkan dengan memakan diri itu pula adalah pembuat itu akan jatuh sakit dan ada sahaja perkara lain yang menghalangnya untuk menyiapkan tenunan tersebut.
''Berbeza dengan penenun yang dikenali sebagai Master Wive yang memperoleh motif serta corak menerusi mimpi yang kemudiannya diterjemahkan dalam tenunan pua kumbu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Beliau berkata, selesai setiap pua kumbu dihasilkan, Master Wive akan membuat sebuah tatu di tangan yang bermakna penenun tersebut adalah pakar atau telah ditauliahkan.
Katanya, terdapat juga penenun yang telah mencapai tahap Master Wive tertinggi dan ia boleh dilihat pada wanita yang mempunyai tatu di beberapa tempat di anggota badannya termasuk di bahagian leher.
Tambahnya, kain pua kumbu yang dihasilkan oleh Master Wive pula bukan kain sembarangan kerana ia mempunyai semangat tersendiri dan kebanyakan motif yang digunakan adalah seperti ular, harimau, burung, rusa, lintah dan lipan.
''Meskipun saya mampu menenun pua kumbu tetapi saya tidak mampu untuk menghasilkan tenunan bercorak harimau terutamanya bahagian kakinya yang berkuku tajam kerana saya akan berasa seperti kena terkam oleh binatang tersebut.
''Jadi saya hanya menghasilkan pua kumbu yang bermotifkan tumbuh-tumbuhan. Setiap kain yang ditenun pula ada 'makanan' yang perlu disediakan untuknya," ujar beliau.
Fiorita memberitahu tenunan kain pua kumbu juga dikenali sebagai tenunan ikat yang dihasilkan daripada benang kapas dan ditenun menggunakan 'Kek Iban'.
Kain tenunan ini biasanya dihasilkan sepanjang lebih kurang 40 hingga 50 sentimeter.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai maksud motif, beliau memberitahu, contohnya motif engkeramba menggambarkan figura roh yang dikenali sebagai engkaramba yang ditenun dengan teknik ikat.
''Motif ini dipercayai berkuasa menghalang bencana atau kuasa jahat daripada menyerang tanam-tanaman dan penghuni rumah panjang.
''Biasanya, motif engkeramba hanya boleh ditenun oleh anak dan isteri ketua rumah panjang sahaja kerana mereka benar-benar mahir menenun cara ikat tersebut," katanya.
Selain itu, beliau memberitahu, motif lain adalah binatang yang digunakan antaranya motif buaya, ular, katak, harimau dan tikus, kasturi, rusa dan serangga.
Jelasnya, motif buaya dipercayai mempunyai kuasa untuk menjaga tempat berhuma (tanaman padi) malah terdapat kepercayaan kaum Iban bahawa buaya adalah jelmaan saudara-mara mereka.
Motif ular pula tidak ditenun dengan sewenang-wenangnya kerana reptilia ini membawa petanda buruk malah kemunculan ular dikaitkan dengan kuasa jahat atau hantu.
Kain yang mempunyai motif burung pula dipercayai boleh menyembuhkan penyakit dan mendatangkan kekayaan dalam apa jua pekerjaan.
''Kaedah membuat tenunan ini juga perlu dijalankan dengan teliti kerana tenunannya agak rumit dan hanya boleh disiapkan antara satu hingga dua bulan.
''Pada zaman sekarang, kebanyakan tenunan kain tersebut menggunakan motif tumbuh-tumbuhan dan antara yang sering ditenun ialah rotan, pucuk paku, pucuk rebung, buah-buahan, biji benih dan bunga-bungaan,'' katanya.
Fiorita berkata, pua kumbu pada zaman dahulu sering digunakan dalam upacara seperti kelahiran, perkahwinan, pengkebumian, perubatan, menyambut kepala (selepas ngayau) dan upacara bercucuk tanam.
Beliau memberitahu, kemahiran menghasil kain tenunan merupakan satu kemestian bagi wanita suku kaum Iban, malah kebolehan itu juga pernah menjadi faktor tarikan utama kaum lelaki suatu ketika dulu.
Katanya, bagi masyarakat Iban, seni tangan itu bukan sahaja menggambarkan kerajinan dan ketekunan malah sikap bertanggungjawab di dalam rumahtangga.
''Seseorang wanita Iban yang tidak mempunyai kepandaian menenun kain tidak akan dipilih sebagai calon isteri dan lambat bertemu jodoh.
''Walaupun kepercayaan dan adat itu tidak lagi diutamakan pada masa sekarang, masyarakat Iban masih lagi memiliki kemahiran itu malah hasilnya adalah antara yang terbaik di kalangan suku kaum Dayak," katanya.
Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=1125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sabah_%26_Sarawak&pg=wb_01.htm#ixzz3lbT5Ofc3
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment