Juga dikenali sebagai 'Ochee', Duri Hitam yang rasanya sungguh istimewa dan sukar untuk dijelaskan, adalah antara jenis durian yang paling menjadi sebutan peminat raja buah itu.
Durian spesies unik itu juga sukar diperoleh dan hanya beberapa gerai di sini yang menjualnya.
Pemilik gerai Durian King Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Erik Ong berkata bagi penggemar durian, Duri Hitam adalah hidangan wajib pada setiap musim kerana durian jenis itu mempunyai keenakan tersendiri serta berbeza mengikut musim.
"Walaupun Musang King antara jenis yang digemari ramai, Duri Hitam mempunyai keunikan tersendiri dan pasti memikat selera anda," katanya.
Mengenai rasanya, Erik berkata isi Duri Hitam sangat lemak, tebal dan berwarna oren pekat serta amat luar biasa keenakannya.
Pemilik gerai di tempat letak kenderaan Pasar Besar TTDI itu berkata ketika mula berniaga di situ Jumaat lepas, dia mendapat bekalan kira-kira 800 kilogram Duri Hitam dari Kedah, dan hanya lebih kurang 200kg yang masih berbaki untuk dijual.
Duri Hitam berharga sekitar RM35 hingga RM40 sekilogram, bergantung kepada keadaan pasaran.
Bersempena pembukaan rasmi gerainya, Erik melancarkan pelan pemasaran istimewa termasuk pemberian durian Musang King, D24 dan Udang Merah secara percuma kepada orang ramai selama tiga hari mulai Jumaat.
"Kami memesan lebih satu tan durian pelbagai jenis untuk tujuan ini setiap hari dan sekiranya bernasib baik, anda akan mendapat Duri Hitam juga," katanya sambil menjelaskan bahawa acara itu bermula 8 malam hingga habis bekalan serta berdasarkan siapa cepat, dia dapat.
Erik juga menawarkan kepada pelanggannya percutian mewah secara percuma ke Langkawi dengan hanya memuat naik gambar mereka pada acara itu ke laman Instagram dengan hashtag #duriankingttdi dan mereka yang mendapat paling banyak 'like' akan diisytihar sebagai pemenang.
No comments:
Post a Comment