KUALA TERENGGANU 24 Ogos 2015 - Durian 'D24' dan 'Musang King' dari Hulu Terengganu, Setiu dan Besut menjadi pilihan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk dijadikan durian sejuk beku sebelum dieksport ke luar negara.
Pengarah FAMA negeri, Hasan Jusoh berkata durian sejuk beku mempunyai potensi dan permintaan yang tinggi terutama di China kerana dianggap produk premium dalam kalangan pengguna di negara itu.
Menurutnya, isi durian yang dipek dan divakumkan itu adalah lebih mudah, praktikal serta tanpa mengeluarkan bau bagi tujuan eksport dan tidak akan mengubah aroma rasa raja buah itu ketika dimakan.
"Di negeri ini, durian terpilih yang dipungut dari tiga daerah itu kemudiannya akan dihantar ke Pusat Pemprosesan Durian di Jerantut, Pahang bagi tujuan diasingkan isi durian dengan bijinya sebelum dijadikan pes durian dalam bentuk pek. Malah ada juga pes tersebut dijual kepada kilang-kilang pembuatan aiskrim.
"Buat masa ini, harga pes durian D24 adalah RM30 sekilogram dan ia dipek dalam bentuk dua kilogram. Namun bagi pes Musang King ia dipek bersama bijinya bagi mengekalkan identitinya yang dijual RM100 bagi setiap satu kilogram," katanya.
Hasan berkata demikian kepada pemberita pada majlis Kempen Lebihkan Makan Buah-Buahan Tempatan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke-58 anjuran bersama Politeknik Kuala Terengganu dan FAMA Terengganu di Perkarangan Politeknik Kuala Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir Pengarah Politeknik Kuala Terengganu Radiah Che Su.
Majlis tersebut memberi peluang kepada pelajar politeknik berkenaan menikmati pelbagai jenis buah-buahan tempatan termasuk durian, duku, rambutan dan manggis. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment