Wednesday 9 December 2015

Khasiat sebiji avocado









BUAH Avocado mungkin tidak sepopular buah-buahan import lain seperti epal atau kiwi yang sudah lama berada di pasaran negara ini.

Bagaimanapun bua h yang berbentuk lonjong berwarna hijau ini sebenarnya mengandungi khasiat pemakanan yang hebat.

Di kalangan wanita di negara ini mungkin sekian lama tahu mengenai buah avocado ini tetapi tahap pemahamannya hanya setakat digunakan dalam produk kecantikan.

Avocado sebenarnya mempunyai rasa yang lemak dengan isinya yang halus.

Ia bukan sahaja sedap untuk dimakan begitu sahaja malah boleh dipelbagaikan cara masaknya seperti snek, salad, pencuci mulut atau sup.

Baru-baru ini Euro-Atlantic Sdn. Bhd., pengimport buah-buahan di negara ini mengundang Jodie Campbell selaku penyelaras kursus dan latihan dari Agri-Science Queensland untuk menyampaikan ceramah mengenai Rasa Avocado Australia.

Ceramah yang disampaikan di Berjaya University College of Hospitality (BUCH) di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur, itu bertujuan mendedahkan tentang kelebihan nilai pemakanan buah avocado.

Jelas Jodie, avocado Australia memang istimewa kerana ia didatangkan daripada ladang yang terpilih supaya kualiti dan khasiatnya terjamin setelah dieksport.

''Avocado bukan sahaja rendah kandungan gula dan tiada garam tetapi kaya dengan vitamin iaitu C, E dan K,'' katanya.

Selain itu ia juga mengandungi antioksida dan potasium untuk mengelak daripada penyakit radang sendi dan kandungan asid foliknya pula dapat mengelak serangan jantung dan kanser.

Katanya, hasil kajian oleh Wesley Medical Centre, Brisbane, Australia mendapati jika seseorang itu makan setengah atau sebiji avocado setiap hari selama sebulan akan dapat mengurangkan berat badan dan merendahkan kolesterol.

Selain itu, katanya, buah itu juga kaya dengan vitamin E yang baik untuk memperlahankan proses penuaan dan juga kanser.

''Avocado juga mengandungi sumber lutein yang tinggi untuk mengawal katarak sebagai langkah awal daripada menjadi buta,'' katanya.

Katanya, buah itu juga sesuai sebagai makanan bayi kerana dengan kandungan lemak tidak tepu akan membantu proses perkembangannya.

Jelas Jodie, buah avocado Australia terdapat dalam dua jenis iaitu hass di mana berbentuk lonjong dengan kulitnya agak menggerutu berwarna hijau yang bertukar menjadi gelap dan ungu setelah masak.

Manakala jenis shepard pula berbentuk lonjong macam pir yang berwarna hijau dengan kulit lebih licin dengan rasa isi lebih lembut dan lemak.

Katanya, disebabkan bahagian luar avocado agak lembut maka ia perlu dipegang dan disimpan dengan cermat supaya tidak mudah lebam.

Pada majlis itu juga diadakan demonstrasi resipi Avocado Zimbabwe dan lebih banyak resipi lagi boleh dicari dengan melayari www.avocado.org.au.



Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?

No comments: