Tuesday 29 December 2015

LPP Promosi Produk Pertanian Berasaskan Pisang Saba








November 10, 2015 16:05 PM

BEAUFORT, 10 Nov (Bernama)-- Lembaga Pertubuhan Peladang Sabah (LPP) kini giat mempromosikan produk pertanian berasaskan pisang Saba bagi menonjolkan buah itu yang hanya terdapat di negeri ini.

Pengarahnya Anita Misuari berkata antara produk dari pisang Saba yang dihasilkan usahawan tani di Sabah termasuk kerepek dan cucur pisang yang dijual di pasaran tempatan mahupun di pesta keramaian.

Katanya pada masa ini Kota Marudu mempunyai tanaman pisang Saba kira-kira 500 hektar dan mampu mengeluarkan hasil tuaian dua tan sehari.

"Hasil tuaian itu akan dihantar ke FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) untuk diproses sebelum dihantar ke Semenanjung," katanya ketika ditemui pemberita pada majlis penyampaian wang ihsan bantuan bencana agromakanan kepada usahawan, di sini Selasa.

Ia disampaikan Timbalan Pengerusi Peladang Kebangsaan (NAFAS) yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Sabah (PPNS) Datuk Mohd Nazri Abdullah.

Anita berkata harga pisang Saba di pasaran tempatan kini mampu mencecah 80 sen hingga 90 sen sekilogram.

"LPP turut menggalakkan peladang negeri ini untuk membuka dan menanam pisang itu di kawasan baharu bagi menampung permintaan yang dijangka meningkat," katanya.

Pisang Saba itu yang biasanya bersaiz lapan hingga 13 sentimeter panjang dan 2.5 hingga 5.5 sentimeter lebar berbentuk segi empat, boleh dituai dalam tempoh 150 hingga 180 hari selepas penanaman.

Ia sesuai dijadikan kerepek pisang semasa masih mentah kerana rasanya yang manis berbanding pisang lain.

Sementara itu, Anita berkata bagi menambah pengeluaran beras di negeri ini LPP turut membuka kawasan baharu penanaman padi di Kota Marudu dan Beluran yang melibatkan kira-kira 50 hingga 100 hektar kawasan penanaman.

Beliau berkata hasil tuaian padi di Beluran kini mampu mencapai 7.5 tan sehektar.

"Ini adalah antara usaha yang dilakukan untuk meningkatkan pengeluaran beras di negeri ini,"katanya.



-- BERNAMA

No comments: